Jumaat, 12 April 2013
Pemimpin Adil Bawa Bahagia Pemimpin Zalim Bawa Derita
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan
Kedatangan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman yang bukan sahaja sebagai seorang ahli ibadat yang tawadhu’, pendakwah yang cekal, ketua keluarga yang penyayang, ahli masyarakat yang sopan, ketua tentera yang bijak malah sebagai pemimpin negara yang hebat. Jangan sekali-kali memisahkan cara hidup nabi dalam setiap kehidupan dengan hanya melihat nabi sebagai pendakwah yang tidak berpolitik atau hanya memakmurkan masjid tidak terlibat dalam mengurus negara. Kewafatan nabi bukan bererti berakhirnya dakwah Islam sebagaimana permusuhan terhadap Islam terus berlangsung hingga hari qiamat. Jahiliah yang pernah dibanteras oleh nabi akan kembali subur semula akibat gagalnya sistem Islam dilaksanakan atas muka bumi ini. Tugas nabi yang mulia ini diteruskan oleh khulafa’ ar-Rasyidin selepas kewafatan baginda bagi memastikan suasana yang baik dan teratur tidak kembali menjadi buruk dan berterabur. Sesuai dengan maksud khalifah itu sendiri iaitu kepimpinan dalam mengurus dunia berdasarkan agama ke arah menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Antara tugas besar kepimpinan Islam ialah memastikan rakyat jelata sentiasa mengambil berat tentang kewajipan solat 5 waktu, pembayaran zakat dan agihan yang adil kepada rakyat dalam memastikan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berjalan dengan baik bagi menjamin keberkatan dan ketenangan hidup ditambah dengan memperkasa tugas amar makruf nahi mungkar dalam setiap aspek kehidupan supaya cara hidup rakyat berpandu kepada wahyu bukannya hanyut dengan godaan nafsu
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 247 surah al-Baqarah :
وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّـهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوا أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِّنَ الْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ اللَّـهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ ۖ وَاللَّـهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya : Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.
Tugas sebagai pemimpin bukanlah suatu lambang kebanggaan sebaliknya ia adalah amanah yang besar dalam membentuk corak pemerintahan samada tunduk kepada Allah atau menyalahiNya, mendapat berkat atau laknat, bermatlamat dunia atau akhirat. Al-Quran dan hadis nabi banyak memberitahu kepada kita bagaimana pemimpin yang adil mengikut syariat akan mendapat balasan Syurga manakala pemimpin zalim akan dibakar dalam Neraka. Malah pemimpin yang adil antara 7 golongan yang bakal dipayungi di bawah bayangan Arasy pada hari akhirat dan juga antara golongan yang dimakbulkan doa oleh Allah.
Menyedari tentang kewajipan dan tanggungjawab pemimpin yang begitu besar ini maka kita sebagai rakyat jelata mesti memilih kepimpinan sebagaimana yang diajar oleh wahyu bukannya mengikut selera wahyu. Kisah perlantikan Talut sebagai pemimpin dalam berdepan dengan kezaliman Jalut antaranya mengajar kita tentang 2 ciri utama pemimpin iaitu berilmu dan beramal dengan ajaran syarak disamping memiliki kemampuan untuk melaksanakan tugas yang dipikul serta mampu memberi keyakinan kepada rakyat dengan penampilan akhlak yang baik.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 8 surah Al-Maidah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّـهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Kisah ini juga memberi peringatan agar kita jangan terpedaya dalam memilih pemimpin hanya berdasarkan keturunan dan kekayaan semata-mata kerana ia tidak menjamin kebahagiaan hidup dunia apatah lagi di akhirat nanti. Ingat pesanan berharga daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz : Jika pemimpin kaya maka rakyat akan miskin tetapi bila pemimpin miskin maka rakyat akan kaya. Ini adalah kerana pemimpin yang kaya sentiasa sibuk untuk menambah kekayaan sehingga lupa rakyat yang susah sedangkan pemimpin yang miskin sentiasa berfikir tentang kebajikan rakyatnya yang susah." Begitu juga Ibnu Khaldun di dalam al-Muqaddimah telah menggariskan beberapa sebab atau punca yang menyebabkan keruntuhan sesebuah kerajaan antaranya ialah masalah wang atau aktiviti mega yang berbentuk mewah bukan untuk keperluan rakyat sehingga wujudnya pembaziran, pecah amanah, salah kuasa, rasuah yang menyebabkan rakyat memikul bebanan cukai dan kos sara hidup yang tinggi ketika pemimpin terus hidup mewah. Kepincangan dalam menguruskan kekayaan Negara cuba ditutup dengan pemberian habuan yang sedikit kepada rakyat dengan membiarkan masalah rasuah, pecah amanah, pembaziran serta hasil mahsul Negara dibahagi sesama kroni sahaja sehingga yang kaya semakin kaya yang miskin papa kedana. Kita begitu bimbang apabila hutang dalam Negara kita makin membesar akibat pembaziran, pecah amanah, rasuah yang kadarnya sentiasa meningkat dari tahun ke tahun yang mendekatkan Negara menjadi muflis
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 19 surah at-Taubah :
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
Al-Quran turut menyatakan bagaimana betapa pentingnya dalam menghidupkan syiar dan syariat dalam negara agar keberkatan hidup dunia dicapai, kebahagiaan akhirat digapai. Oleh itu kita bukan sahaja digalakkan untuk membina masjid tetapi apa yang paling penting dalam memperkasakan pengajian agama sehingga rakyat jelata berilmu dan semakin jinak dengan masjid. Jangan pula seronok memberitahu dunia bahawa mereka adalah golongan yang membina masjid sedangkan dalam masa yang sama tangan yang sama memberi lesen untuk judi, kelab malam, kilang dan kedai arak yang berleluasa, hiburan melampau serta tempat dan aktiviti maksiat yang lain. Kita tidak mahu rakyat terus hanyut dengan hiburan melampau, ketagihan arak, judi, penzinaan akibat lesen yang diberi. Sepatutnya dengan melihat pelbagai kerosakan akhlak yang membawa kepada peningkatan jenayah dalam negara maka pelbagai aktiviti tarbiah dipertingkat manakala lesen tempat maksiat dikawal bukan semakin disuburkan semata-mata mahu mengaut keuntungan dunia sehingga maruah rakyat dikorbankan. Sampai bilakah kita mahu dikenali sebagai negara pengguna arak antara yang terbesar di dunia dan pengutip hasil judi yang terus menjadi antara sumber utama negara. Oleh itu buatlah perubahan terbaik dalam memilih pemimpin demi mencapai keberkatan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat. Jangan menyalahkan orang lain jika kerosakan dalam negara terus berlaku akibat kesalahan kita sendiri dalam memilih pemimpin. Ingatlah bahawa atas setiap kita adanya amanah mengikut jawatan yang kita pikul dan amanah ini pasti akan ditanya diakhirat kelak termasuk dalam masalah memilih pemimpin. Bijak memilih bahagia, Salah memilih menderita.
Firman Allah dalam ayat 41 Surah ar-Ruum:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan