Jumaat, 3 Mei 2013
Jihad Ubah Kepimpinan Zalim Kepada Adil
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 26 Surah Ali ‘Imran:
قُلِ اللَّـهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Islam mengajar kita bagaimana hanya Kerajaan Allah sahaja merupakan kerajaan yang sebenar dan berkekalan. Manakala kerajaan lain merupakan suatu amanah yang sementara sahaja yang bakal disoal tentang corak pemerintahannya di akhirat nanti. Semua kerajaan lain berada di bawah genggaman kekuasaan Allah di mana Allah boleh menaik dan menjatuhkan sesebuah kerajaan mengikut kehendakNya. Ia mengingatkan kita semua bahawa tidak ada kerajaan yang terus kekal memerintah selama-lamanya agar pemimpin sentiasa bertaqwa dalam memerintah negara dengan menjauhi penyalahgunaankuasa yang menyebabkan kerajaan mereka bukan sahaja dijatuhkan di dunia malah di akhirat kelak akan diseksa dalam api neraka Allah yang dahsyat bakarannya. Allah pernah memberi kerajaan kepada nabi Sulaiman dan nabi Muhammad s.a.w di mana baginda berdua memerintah negara dengan taqwa dan adil sehingga keadilan dan keselamatan dirasai bukan sahaja oleh manusia malah makhluk yang lain. Begitu juga Allah pernah menyerahkan kerajaan kepada Namrud dan Firaun namun mereka melakukan kezaliman dan kerosakan dengan kekuasaan yang ada sehingga kerajaan mereka dijatuhkan dengan penuh kehinaan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Hujurat :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Memandangkan pemilihan pemimpin bukan suatu yang kecil malah akan dipertanggungjawab di akhirat nanti maka kita wajib memilih pemimpin berdasarkan petunjuk wahyu bukannya mengikut hawa nafsu. Antaranya dengan kita menapis segala bentuk berita dan maklumat yang tersebar melalui tv, radio, akhbar dan media massa yang lain agar kita tidak tertipu dan dipermainkan oleh emosi sehingga mengambil langkah yang salah dalam memilih pemimpin. Kita sedar bahawa hidup pada akhir zaman penuh dengan fitnah dan seribu macam penipuan sehingga hukum hakam Islam dipermainkan dengan dirujuk kepada bukan ahlinya. Akhirnya timbul kata-kata yang menghina hukum Islam tanpa tindakan sewajarnya seperti jika hukum Hudud dilaksanakan maka Negara menjadi mundur kerana ramai umat Islam kudung kaki dan tangan, penutupan aurat hanya sesuai di Negara arab sahaja kerana di sana suasana padang pasir yang berdebu dan masyarakat arab yang kuat nafsu. Malah seruan terbaru yang dikatakan sebagai jihad agar mengubah Kerajaan Kelantan yang telah mengharamkan judi, menghad penjualan arak di kalangan bukan Islam, menyimpan wang kerajaan dalam perbankan Islam, telah melulus enakmen Hudud disamping banyak lagi program yang berteraskan Islam sedangkan sudah 55 tahun Negara ini diperintah oleh golongan sekulerisme ini bukan sahaja hasil arak dan judi bertambah malah ada orang Islam yang menjadi ahli pengarah kepada syarikat arak dan judi. Begitu juga masalah hiburan melampau yang merosakkan akhlak rakyat terus disuburkan di mana selepas pilihanraya nanti telah dirancang suatu program yang menelan belanja RM 26 juta bagi menjemput artis dalam dan luar Negara untuk menambahkan lagi masalah Negara. Malangnya penggunaan tv, radio, akhbar dan media massa yang berat sebelah menyebabkan manusia yang merosakkan agama dianggap sebagai pejuang agama, orang yang menghancurkan bangsa Melayu dianggap sebagai pejuang Melayu
عن و أبو هريرة قال : قال النبي :سيأتِي على الناسِ سنواتٌ خدّاعاتٌ ، يُصدَّقُ فيها الكاذِبُ ، ويُكذَّبُ فيها الصادِقُ ، ويُؤتَمَنُ فيها الخائِنُ ، ويخونُ الأمينُ ، وينطِقُ فيها الرُّويْبِضَةُ . قِيلَ : وما الرُّويْبِضةُ ؟ قال : الرجُلُ التّافِهُ يتَكلَّمُ في أمرِ العامةِ – رواه ابن ماجه
Maksudnya : “Akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang jujur didustakan, pengkhianat dipercayai sedangkan orang amanah dianggap pengkhianat. Pada saat itu ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apakah dimaksudkan dengan ruwaibidhah?”. Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 7-8 Surah Yunus:
نَّ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا وَرَضُوا بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاطْمَأَنُّوا بِهَا وَالَّذِينَ هُمْ عَنْ آيَاتِنَا غَافِلُونَ ﴿٧﴾ أُولَـٰئِكَ مَأْوَاهُمُ النَّارُ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami,. Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan.
Kita wajib memilih pemimpin yang mampu memperkasakan Islam, menjulang maruah bangsa dan menjaga kestabilan negara. Kita mesti menjadi manusia yang cerdik yang tidak boleh dijual beli undi mereka dengan habuan yang sedikit sedangkan bakal berdepan dengan kesengsaraan dengan kenaikan harga minyak yang menyebabkan harga barang akan naik, harga tol, bil elektrik, telefon, air terus naik, saman automatik seperti saman ekor yang memeras duit rakyat untuk kayakan syarikat kroni, cukai yang membebankan, hutang PTPTN kepada pelajar Universiti diteruskan sehingga ramai yang diheret ke mahkamah kerana hutang belajar ribu ringgit sahaja sedangkan dalam masa yang sama boleh hapus kira hutang MAS sebanyak RM 500 juta kepada kroni. Kita di Kelantan dirompak royalti 12 bilion kemudian dituduh tidak mampu membina lebuhraya yang berharga RM 2 bilion. Inilah bahayanya bila memilih pemimpin yang berniaga dengan rakyat iaitu beri sedikit ditarik balik berjuta-juta. Dasar pemimpin jenis ini terus mengekalkan rakyat dalam keadaan miskin agar mereka terus dapat menekan dan mengugut rakyat jelata dengan kuasa yang ada. Pemimpin jenis ini juga lebih suka berhutang sehingga negara hampir muflis akibat hutang telah mencecah RM 500 bilion iaitu setiap rakyat menanggung beban hutang negara RM 22 ribu seorang. Begitu juga banyak negeri dalam negara kita lebih banyak berhutang daripada membayar kecuali negeri yang diperintah oleh pemimpin berjiwa rakyat seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Jangan biar negara menjadi muflis baru kita menyesal untuk mencari pemimpin yang dapat menyelesaikan masalah yang parah ini. Berubah sebelum parah, beringat sebelum kena, berhati-hati sebelum menyesal
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Laungan khurafat yang sering dilaungkan oleh penjajah ialah penjajah tidak akan memberi pemerintahan kepada anak watan kerana mereka tidak pandai memerintah. Maka laungan khurafat ini diteruskan oleh anak didik penjajah dengan mengatakan golongan selain mereka tidak pandai memerintah walau pun sepanjang 55 tahun memerintah begitu banyak hutang Negara ditimbun, amalan rasuah semakin parah sehingga indek rasuah peringkat antarabangsa semakin menjunam , pecah amanah menjadi amalan malah ada pemimpin yang boleh mempermainkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa rasa takut. Akhinya undang-undang dalam Negara tidak lebih daripada sarang labah-labah iaitu jika rakyat di bawah dikejar sehingga ke lubang cacing sedangkan pemimpin atasan boleh menari di depan undang-undang. Sedangkan Rasulullah s.a.w pernah memberi jaminan bahawa system Islam akan dilaksanakan walau pun kepada Puteri kesayangannya sendiri Siti Fatimah yang membuktikan ketelusan system Islam tanpa memilih bulu. Begitu juga politik fitnah dan lucah boleh dimainkan tanpa rasa takut kepada Allah. Oleh itu tidak pelik apabila golongan ini begitu takut kepada hukum Islam yang melarang dan mengambil tindakan tegas sekiranya tersebarnya fitnah terutama dalam masalah zina dan liwat. Firman Allah dalam ayat
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; -
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Imam al-Ghazali pernah berpesan bahawa sebodoh-bodoh manusia ialah orang yang menjual akhiratnya kerana dunia orang lain iaitu dia sendiri tidak kalut dengan dunia tetapi terus mempertahankan orang yang gila dunia dan kuasa. Kita juga mesti mengelak daripada terlibat dgn sebarang rasuah dlm memilih pemimpin tambahan pula pemimpin tersebut adalah zalim terhadap rakyat. Jika mereka menabur wang ringgit dan menyuruh agar memilih serta mengekalkan kedudukan mereka lalu penerima wang tadi menurut kehendaknya semata-mata kerana mengambil wang tersebut maka dia telah terlibat dengan rasuah.
Rasulullah pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah iaitu antara 3 orang yang Allah S.W.T tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat serta tidak disucikan mereka dan mendapat azab pedih ialah:
…. وَرَجُلٌ بَايَعَ إِمَامًا لايُبَايِعَهُ إِلا لِدُنْيَا . فَإِنْ أَعْطَاهُ مِنْهَا وَفَى لَهُ وَإِنْ لَمْ يُعْطِهِ مِنْهَا لَمْ يَفِ لَهُ
Maksudnya : ….dan seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia tidak taat kecuali kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka dia tunai ketaatan baginya tetapi jika pemimpin tidak memberinya maka dia tidak mentaatinya
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan