الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 76-77 surah al-Qasas :
إن قــرون كان من قوم موسى فبغى عليهم وءاتينــه من الكنوز مآإن مفاتحه لتنوأ بالعصبة أولى القوة إذقال له لاتفرح إن الله لايحب الفرحين وابتغ فيمآ ءاتئك الله الدار الآخرة ولاتنس نصيبك من الدنيا وأحسن كما أحسن الله إليك ولاتبغ الفساد فى الأرض إن الله لايحب المفسدين
Maksudnya : Sesungguhnya Qarun daripada kalangan kaum nabi Musa maka dia melampaui batas terhadap mereka dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta di mana kunci-kuncinya sangat berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat. Ingatlah ketika kaumnya berkata kepada Qarun : “ Janganlah engkau terlalu bangga sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang membanggakan diri”. Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadamu kebahagiaan negeri akhirat dan janganlah pula lupa bahagianmu daripada kenikmatan dunia. Berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu. Janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi ini. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan
Kehidupan dunia yang sementara berkait rapat denganh kehidupan alam akhirat yang kekal selamanya. Kehidupan dunia merupakan suatu kehidupan singkat yang mesti digunakan sebaik mungkin oleh setiap diri manusia dalam mencari dan menambah bekalan untuk dibawa ke alam akhirat. Setiap amalan soleh yang menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah adalah sebaik-baik bekalan apabila dihisab di padang Mahsyar nanti sebaliknya amalan dosa dan kejahatan akan menjatuhkan manusia ke tempat yang hina iaitu dalam neraka jahannam yang marak menjulang di akhirat nanti. Oleh itu manusia telah diberi peringatan melalui wahyu Allah tentang tentang dua perkara penting ini di mana terserah kepada mereka samada lebih mementingkan kehidupan dunia fana atau lebih kuat mengejar kebahagian hakiki di akhirat sana. Manusia diberi peluang yang luas samada mahu menjadikan wahyu sebagai panduan hidup sehingga mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat atau pun lebih suka tunduk kepada kehendak nafsu sehingga terseksa di alam akhirat nanti. Ramai manusia ketika miskinnya begitu hampir dengan Allah tetapi apabila dianugerahkan kekayaan maka mereka kembali kufur kepadaNya. Ramai manusia ketika susah begitu dekat dengan Allah tetapi ketika senang semakin jauh daripada ajaran yang disuruh oleh Allah. Ada manusia yang dirinya soleh dan mampu memperbaik orang lain dan dalam masa yang sama tidak kurang manusia yang rosak dan merosakkan pula orang lain samada dalam keadaan dia sedar kesilapan diri atau pun sebaliknya. Ada manusia yang mempunyai ilmu dan mengembangkan ilmu untuk kebaikan manusia dan ada pula manusia yang menggunakan ilmu yang ada untuk menyesatkan manusia dan mengaut keuntungan daripadanya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kemewahan hidup di dunia tidak salah untuk dikecapi malah Islam sentiasa menggalakkan umatnya agar berusaha memperolehinya tetapi yang perlu sentiasa diingat ialah kemewahan itu digunakan untuk Islam dan mampu menambahkan ketaqwaan kita kepada Allah bukannya kemewahan tadi bakal mengikis keimanan dan ketaqwaan kita sehingga membawa kepada kekufuran sebagaimana yang pernah terjadi kepada Qarun dan mereka yang dimurkai oleh Allah yang lain. Ramai dari kalangan para sahabat nabi yang kaya raya seperti Sayyidina Uthman Affan, Abdul Rahman bin ‘Auf, Suhaib ar-Rumi dan lain-lain di mana seluruh kekayaan itu digunakan untuk mengembangkan ajaran Islam bukan sebaliknya. Harta itu digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah sehingga pernah Abdul Rahman bin ‘Auf menyatakan kebimbangan di atas kekayaannya yang akan menyebabkan beliau akan dihisab begitu lama di akhirat nanti walau pun beliau merupakan antara 10 sahabat yang dijanjikan Syurga oleh Allah. Perkara ini mestilah diambil pengajaran yang sewajarnya oleh umat Islam agar kita tidak hanyut dengan kemewahan dunia sehingga melupakan kita kepada alam akhirat tempat kembalinya kita.
Kita sentiasa tertanya-tanya bagaimana para sahabat nabi berlumba-lumba mencari harta dan kemudiannya berlumba-lumba pula menggunakan harta itu untuk Islam sehingga mereka boleh mengaut harta dunia yang banyak dan dalam masa yang sama mampu menambahkan bekalan akhirat hasil nafkah harta itu kepada Islam. Akhirnya usaha dan jasa mereka yang begitu banyak terhadap Islam telah membawa kepada kejayaan Islam untuk menyinari kehidupan manusia di mana sahaja mereka berada. Ilmu dan harta yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka digunakan sebaik mungkin untuk Islam bukannya untuk melawan Islam.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Malangnya pada hari ini tidak banyak harta milik umat Islam digunakan untuk memperjuangkan Islam sebaliknya digunakan untuk kepentingan diri. Harta dilihat mampu membeli dunia tetapi tidak dilihat bahawa harta yang sama boleh digunakan untuk menambahkan bekalan akhirat dengan mendapatkan hasil daripada sumber yang halal dan membelanjakannya pula pada jalan yang dibenarkan oleh agama. Agama dilihat sebagai punca kemunduran kerana banyak menegah daripada mendapatkan keuntungan yang sebanyak mungkin daripada sumber haram seperti arak dan judi serta riba sedangkan agama sepatutnya dijadikan suatu yang paling bernilai daripada harta dunia kerana agama berjaya memuliakan diri kita daripada dihancurkan oleh nafsu dan syaitan. Ramai di kalangan umat Islam yang tersesat pegangannya kerana menganggap agama hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah ketika beribadat khusus sahaja sedangkan mereka sepatutnya menggunakan agama ketika beribadat khusus dan juga melakukan urusan ekonomi, sosial, politik dan seluruh urusan keduniaan yang lain sehingga segala tindakan mereka yang mengikut lunas Islam mendapat pahala yang memungkinkan mereka beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Ramai yang terlalu bimbang apabila melihat umat Islam tertinggal dari segi kemajuan ekonomi semata-mata tetapi tidak ramai yang bimbang apabila umat Islam terlucut aqidah dan tertinggal dari sudut bekalan akhiratnya. Ramai yang risau apabila adanya golongan agama yang mengejar akhirat semata-mata sedangkan tidak ramai yang risau betapa ramai manusia yang menjual dan melucutkan agamanya kerana mengejar dunia semata-mata. Ramai yang menganggap bahawa manusia yang sentiasa merancang untuk membangunkan negara dengan bangunan yang tinggi tanpa memikirkan halal haram dan manfaatnya untuk Islam adalah seorang yang berwawasan jauh sedangkan tidak ramai yang melihat ulama’ soleh yang meminta agar berpada dengan dunia kerana mahligai tinggi yang bakal diperolehi di akhirat nanti jika kita menjaga batas agama dalam semua urusan dunia merupakan seorang yang lebih berwawasan tinggi. Ramai melihat bahawa golongan yang mampu menambahkan harta dunia tanpa mengira halal haram lebih berjasa berbanding golongan agama yang banyak menekan mengenai pahala dan dosa yang perlu dititik beratkan dalam mencari kemewahan dunia dan harta itu pula mesti dibelanjakan pada jalan yang betul bukannya untuk memuaskan hawa nafsu yang sentiasa bergelora dalam diri. Inilah antara kesan bahayanya kejahilan terhadap agama apabila harta dianggap lebih mulia daripada agama sehingga dunia fana lebih dikejar daripada kebahagiaan hakiki di akhirat sana. Alangkah malangnya seseorang yang mengejar kemewahan dunia yang sementara semata-mata sedangkan ia pasti akan ditinggal. Alangkah ruginya pula seseorang yang mengabai untuk menambah bekalan hari akhirat tempat tinggalnya yang kekal kerana terlalu asyik dengan godaan dunia.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Hancurnya umat dahulu kerana mereka derhaka kepada Allah setelah dianugerahkan dengan kemewahan dunia. Tiada umat yang dihancurkan oleh Allah kerana terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam. Hidup dalam sebuah pemerintahan yang memisahkan antara agama dan urusan dunia menyebabkan umat Islam diserang pelbagai penyakit kerana pemimpin akan membuat penyakit disamping membuat tempat merawat penyakit yang senagaja ditempah. Contohnya seperti penyakit ketagihan arak begitu serius dan bertambah kerana pemimpin sendiri memberi lesen yang meluas untuk membuka kilang dan kedai arak. Pemimpin mahu memerangi pelacur sedangkan mereka membuka seluas mungkin tempat untuk merebaknya pelacuran seperti kelab malam. Pemimpin begitu bimbang tentang merebaknya ketagihan dadah sedangkan mereka tidak menekankan erti halal haram ,dosa pahala agar rakyat menjauhi perkara yang dilarang oleh agama malah pusat pengajian agama terutama sekolah agama rakyat diperangi habis-habisan. Masalah penzinaan bertambah memandangkan majalah, akhbar, tv dan kebanyakan media massa yang lain lebih banyak membangkitkan nafsu daripada memerangi nafsu. Pemimpin cuba memerangi penyakit AIDS sedangkan dalam masa yang sama pemimpin hanya menyerapkan pengajian seks di sekolah untuk memberitahu tentang cara yang selamat untuk melakukan hubungan seks tanpa ditekankan tentang kewajipan agama yang membolehkan perkara itu dilakukan disamping penjualan kondom begitu berleluasa.Inilah bahayanya apabila agama diletakkan jauh daripada sistem kehidupan. Akhirnya timbulnya penyakit sosial yang lebih banyak berbanding ubat untuk merawat penyakit yang sengaja ditempah. Oleh itu kembalilah kepada Islam yang sepastinya mempunyai ubat pencegah dan ubat merawat lebih banyak daripada penyakit yang timbul dengan bersungguh untuk menutup saluran yang boleh membawa penyakit sosial serta mempunyai hukuman yang adil dan kaedah yang berkesan dalam merawati penyakit tersebut.
Firman Allah dalam ayat 79-80 surah al-Qasas:
فخرج على قومه في زينته قال الذين يريدون الحيــوة الدنيا يليت لنا مثل ماأوتي قــرون إنه لذو حظ عظيم وقال الذين أوتوا العلم ويلكم ثواب الله خير لمن ءامن وعمل صــلحا ولايلقئها إلاالصــبرون
Maksudnya : Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemewahan. Berkatalah orang-orang yang mengkehendaki kehidupan dunia : “ Semoga kita mendapat sebagaimana yang telah dianugerahkan kepada Qarun. Sesungguhnya dia benar-benar memperolehi keuntungan yang besar”. Berkatalah mereka yang berilmu : “ Kecelakaan yang besarlah bagimu kerana pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh di mana tidak beroleh pahala itu melainkan mereka yang sabar”.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan