Khamis, 1 Mei 2008

102. ILMU ISLAM PENYEBAR KEAMANAN SEJAGAT

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 122 surah at-Taubah :
وما كان المؤمنون لينفروا كافة فلولانفر من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا فى الدين ولينذروا قومهم إذا رجعوا إليهم لعلهم يحذرون
Maksudnya : Tidak sepatutnya bagi orang mukmin pergi kesemuanya ke medan perang. Mengapa tidak pergi dari tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam ilmu mengenai agama untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya agar mereka itu dapat menjaga dirinya
Islam dan ilmu tidak dapat dipisahkan kerana berkembangnya Islam atas asas ilmu yang disuluhi cahaya wahyu dan ia bukannya bangkit atas asas nafsu yang dikongkong oleh kesesatan. Oleh itu kita dapati banyak arahan dan saranan di dalam al-Quran dan hadis nabi mengenai ilmu agar umat manusia dapat menghindarkan diri daripada kejahilan yang boleh membawa kepada kesesatan dan kezaliman. Kejayaan barat yang dahulunya berada dalam kegelapan tamadun tetapi kini mampu membina tamadun kebendaan yang hebat kerana kejayaan mereka menguasai ilmu. Manakala terjajahnya umat Islam dan mundurnya kita dalam membina tamadun kebendaan serta hampir runtuhnya tamadun rohani yang dijaga sekian lama ialah disebabkan terabainya budaya ilmu dalam kehidupan. Sebab itulah Rasulullah s.a.w telah memperingatkan kita bagaimana kepentingan ilmu dalam mencari kesenangan hidup di dunia dan akhirat sebagaimana sebuah hadis nabi yang berbunyi :
من أراد الدنيا فعليه بالعلم ومن أراد الآخرة فعليه بالعلم ومن أرادهما فعليه بالعلم
Maksudnya : Sesiapa yang inginkan dunia maka hendaklah dia berilmu, sesiapa yang inginkan akhirat maka dia juga mesti berilmu dan sesiapa yang ingin keduanya iaitu dunia dan akhirat maka dia lebih dituntut agar berilmu
Rasulullah s.a.w pernah berpesan kepada Sayyidina Ali bin Abi Tolib yang bermaksud : Jika berlalu masa 40 hari sahaja sedangkan umat Islam tidak duduk di dalam mana-mana majlis ilmu maka dia akan menghadapi dua kemungkinan besar yang buruk iaitu yang pertamanya hatinya menjadi gelap dan keduanya dia akan bertindak berani melakukan dosa-dosa besar.
Menyedari betapa pentingnya ilmu pengetahuan dan bahayanya jika kita mengabaikan ilmu maka sepatutnya kita lebih bersungguh untuk menambah ilmu pengetahuan bukannya terus ditakuk yang lama terutama dalam masalah ilmu agama. Jangan merasakan bahawa belajar ilmu agama itu adanya batasan umur tertentu kerana kita diminta agar belajar ilmu bermula daripada buaian sehinggalah ke liang lahad. Akibat terlalu berpuas hati dengan ilmu yang ada maka umat Islam terus ketinggalan dan mudah ditipu dengan istilah ilmu moden. Kita pernah dikejutkan bagaimana adanya jemaah haji yang terpaksa disuntik dengan vaksin yang dihasil daripada gelatin babi pada tahun lepas akibat kehabisan bekalan vaksin halal sedangkan negara umat Islam begitu ramai pakar sains yang sepatutnya lebih bersungguh untuk mengeluarkan vaksin tersebut bukannya terlalu bergantung kepada negara kuffar. Malah dalam sebulan ini dunia dikejutkan dengan lahirnya bayi hasil proses klon di mana ia mesti di ambil berat oleh ulama’ dan pakar sains agar dunia tidak menjadi lebih celaru. Masalah bayi hasil penzinaan pun sukar ditangani apatah lagi bayi klon yang lebih banyak mendatangkan masalah. Begitu juga dengan fatwa terbaru ulama’ al-Azhar yang mengharuskan pembinaan senjata nuklear bukan untuk mendatangkan ancaman kepada dunia tetapi bertindak sebagai pertahanan agar pihak kuffar merasa gerun untuk menyerang umat Islam sewenang-wenangnya kerana umat Islam turut ada senjata nuklear sebagaimana mereka.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan kita bagaimana apabila hampirnya waktu qiamat maka ilmu akan ditarik iaitu dengan kematian ulama’. Perkara ini dapat kita saksikan dengan mata kepala kita sendiri di mana bukan setakat ulama’ yang mati malah ulama’ yang masih hidup disekat daripada bergerak dalam menyatakan kebenaran Islam ditambah lagi dengan pelbagai sekatan terhadap pengajian agama yang banyak melahirkan ilmuan Islam termasuk sekolah agama rakyat atas alasan negara ini tidak memerlukan lebih ramai ulama’. Golongan agama dianggap sebagai golongan yang ketinggalan zaman yang banyak menganggur di mana akibat tiadanya kerja menjadikan golongan ini merasa marah dan bangkit menentang pemimpin. Jika pemimpin bercakap melalui fakta ilmiah maka tuduhan mereka begitu tersasar jauh kerana yang menubuhkan kumpulan perompak bersenjata tidak ramai yang belajar agama, yang terlibat dengan pelbagai masalah sosial yang lain amat sedikit yang faham agama. Malah berlakunya pengangguran lulusan agama kerana sikap pemimpin sendiri yang melarang daripada hidupnya majlis-majlis ilmu di surau dan masjid sedangkan rakyat begitu memerlukan khidmat mereka yang faham agama untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka. Pada peringkat sekolah kebangsaan pula hanya ada satu mata pelajaran agama sahaja yang disediakan sedangkan keperluan pelajar untuk memahami agama secara lebih mendalam terutama berkaitan ilmu fardhu ‘ain sendiri agak diperlukan. Kita terlalu bimbang memandangkan ramai pelajar Islam yang terkandas awal daripada persekolahan samada kerana gagal dalam peperiksaan, masalah kewangan atau malas belajar tidak mampu mempelajari ilmu fardhu ‘ain dengan baik yang menyebabkan peratus pelajar yang tidak pandai mengucap dua kalimah syahadah, membaca fatihah, membaca tahiyyat semakin meningkat apatah lagi yang mampu membaca al-Quran dengan baik serta mampu menunaikan solat dengan penuh sempurna.
Ini baru sentuh tentang beberapa kewajipan agama yang paling asas belum lagi diperingkat kefahaman tentang sistem Islam yang menyeluruh. Pemimpin hanya tahu memberi alasan bahawa hukum Islam tidak dapat dilaksanakan dalam negara kerana jarang saksi tidak fasik dan rakyat masih jahil sedangkan usaha pemimpin dalam menyekat daripada berjalannya pengajian agama semakin kuat. Orang yang belajar agama dianggap sebagai pengganas yang membayakan negara sedangkan ribuan umat Islam yang telah murtad daripada Islam tidak diambil tindakan sewajarnya. Malah semakin jahil rakyat yang mengikut kejahilan pemimpin telah menyebabkan pandangan terhadap kesucian Islam dicemari seperti masalah poligami yang dianggap menghancurkan maruah wanita sedangkan masyarakat barat sendiri telah lama mengiktiraf bagaimana hanya melalui poligami mampu menangani masalah pelacuran, penzinaan dan penganiayaan terhadap golongan wanita.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Inilah bahayanya apabila pemimpin hanya mengiktiraf ilmu moden sahaja sebagai penyumbang kepada pembinaan tamadun yang maju dan menganggap bahawa ilmu agama khusus hanya sebagai kegunaan peribadi. Kita perlu ingat bagaimana keadaan yang kucar kacir dalam dunia hari ini apabila masing-masing meninggalkan peranan agama. Akhirnya berdirinya bangunan tinggi yang megah tetapi tidak juga menenangkan hati manusia kerana ramai yang melakukan rasuah, pecah amanah dan kemungkaran yang lain di dalamnya. Semakin jauh rakyat meninggalkan agama maka semakin banyak wang negara yang perlu dihabiskan untuk menggaji anggota polis dan membina bangunan yang lebih kukuh agar terselamat daripada kecurian dan rompakan. Pembinaan penjara dan pusat serenti serta kelengkapan mahkamah yang memerlukan kos yang begitu tinggi kerana semakin tingginya kes jenayah akibat semakin rendahnya nilai akhlak disebabkan kurangnya kefahaman ilmu. Sedangkan jika kerajaan yang ada menghidupkan budaya ilmu dan mengangkat golongan ulama’ sebagai penyumbang penting dalam melahirkan masyarakat yang faham agama yang boleh mengurangkan kadar jenayah maka wang rakyat lebih banyak disumbangkan kepada orang soleh daripada mengalir untuk menjaga dan mengubati manusia yang telah rosak. Jika doktor di hospital dikira banyak berjasa kerana mampu mengubati penyakit ketagihan arak dan dadah maka ulama’ mesti lebih dikira berjasa kerana berjaya membina manusia yang terus menjauhi dadah dan arak dengan pencegahan sejak daripada awal lagi hasil penyampaian ilmu agama. Jika golongan pakar ilmu moden dikira penyumbang besar kepada tamadun negara kerana berjaya membina bangunan yang tinggi dan memajukan ekonomi maka golongan ulama’ lebih berjasa kerana berjaya membina manusia yang takut kepada Allah sehingga mampu menghidupkan bangunan tinggi yang dibina dan memajukan ekonomi berasaskan Islam dengan menghindari rasuah, pecah amanah dan sebagainya. Oleh itu sedarlah kita betapa pentingnya ilmu agama dan ulama’ dalam membangunkan tamadun negara bukannya pembinaan tamadun bersepadu bergantung semata-mata kepada ilmu moden sahaja.
Firman Allah dalam ayat 17 surah Huud:
أفمن كان على بينة من ربه ويتلوه شاهد منه ومن قبله كتب موسى إماما ورحمة أولئك يؤمنون به ومن يكفر به من الأحزاب فالنار موعده فلاتك فى مرية منه إنه الحق من ربك ولكن أكثر الناس لايؤمنون
Maksudnya : Adakah orang-orang kafir itu sama dengan orang-orang yang mempunyai bukti yang nyata (al-Quran) dari Tuhannya dan diikuti pula dengan seorang saksi (nabi Muhammad s.a.w) dari Allah dan sebelum al-Quran itu telah ada Kitab nabi Musa yang menjadi pedoman dan rahmat. Mereka itu beriman kepada al-Quran. Dan sesiapa di antara mereka (orang-orang Quraisy) dan sekutunya yang kafir kepada al-Quran maka nerakalah tempat yang disediakan baginya. Oleh itu janganlah kamu ragu-ragu terhadap al-Quran itu. Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar dari Tuhanmu tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan