Khamis, 1 Mei 2008

107. SISTEM ISLAM PENYEMBUH KEGANASAN

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 27 سورة المائدة :
واتل عليهم نبأ ابنى ءادم بالحق إذ قربا قربانا فتقبل من أحدهما ولم يتقبل من الأخر قال لأقتلنك قال إنما يتقبل الله من المتقين
Maksudnya : Ceritakanlah kepada mereka kisah 2 anak nabi Adam yang sebenar ketika keduanya mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua dan tidak diterima daripada yang lain. Dia (Qabil) berkata :” Aku pasti membunuhmu!”. Lalu berkata Habil :” Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada mereka yang bertaqwa”.
Setiap diri insan dianugerahkan akal dan nafsu di mana ia berperanan besar dalam mencari jalan kebenaran jika seseorang itu mampu tunduk kepada petunjuk wahyu. Sebaliknya jika akal dibiarkan berfikir mengikut kehendak nafsu tanpa pedoman wahyu maka kebanyakan manusia akan sesat seterusnya mereka melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Oleh itu dalam mencari jalan kebenaran maka ia memerlukan kepada pengorbanan bermula daripada menuntut ilmu agama peringkat asas lagi sehinggalah kita mampu menjalani kehidupan harian berdasarkan apa yang dikehendaki oleh wahyu. Bertepatan dengan maksud korban itu sendiri iaitu melakukan suatu amalan yang bertepatan dengan kehendak syarak bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Jika kita tidak sanggup berkorban dalam mencari kebenaran maka kita akan menjadi mangsa korban nafsu yang sentiasa bergelora dalam melakukan perderhakaan terhadap Allah. Ada pengorbanan yang dilakukan ikhlas kerana Allah di mana ia diterima sebagai suatu amalan mulia sedangkan ada perbuatan yang didakwa sebagai pengorbanan tetapi bercanggah dengan kehendak syarak maka ia bukan sahaja menjadi amalan yang sia-sia malah menambahkan dosa.
Menyedari bahawa betapa perlunya sesuatu pengorbanan dalam memperolehi jalan kebenaran seterusnya mempertahankannya daripada dicemari oleh kesesatan maka kita perlu sedar tentang apakah yang perlu dikorbankan demi mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat. Setelah melihat kepada keadaan yang berlaku terhadap umat Islam khususnya dan dunia umumnya maka memang tidak dapat dinafikan bahawa pengorbanan bermula daripada harta benda dan diri kita begitu diperlukan dalam menghentikan segala bentuk penindasan dan pembunuhan yang berlaku. Selagi umat Islam masih disaluti dengan perasaan terlalu kasih kepada harta dunia dan takut pada mati maka selama itulah pengorbanan yang sepatutnya disumbangkan demi membantu saudara seagama yang sedang ditindas dan dibunuh tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Akhirnya dunia umat Islam akan kekal terbahagi kepada 2 iaitu yang pertama dunia umat Islam yang terus menangis menderita disiksa oleh kuffar dan satu lagi dunia umat Islam yang hanya mampu menangis melihat saudara seagama sedang ditindas sedangkan dirinya terus hanyut dalam kenikmatan dunia serta takut untuk membantu dengan seluruh kemampuan yang ada akibat terlalu bimbang dirinya turut akan diserang oleh kuffar.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dunia umat Islam terus diratah dan dibaham secara silih berganti oleh kuffar durjana diketuai oleh yahudi kerana kesilapan dalam berkorban sehingga umat Islam menjadi mangsa korban. Bermula dengan kejatuhan Khilafah Islamiah Othmaniah Turki 1924 akibat silap berkorban di mana kerana ditipu dengan istilah mahu melihat kemodenan maka sistem khilafah menjadi mangsa yang dihancurkan oleh umat Islam sendiri. Akibat tidak sedar tentang tipu daya musuh itu telah menyebabkan umat Islam kehilangan suatu kuasa pemerintahan yang mengawal umat Islam selama ini. Selemah-lemah pemerintah dalam suatu sistem khilafah namun ia masih mampu menjaga kebajikan dan maslahat umat Islam yang berada di bawah naungannya sehingga musuh tidak berani membunuh umat Islam sesuka hati. Sebaliknya kita dapat lihat bagaimana walau pun belum cukup 100 tahun umat Islam kehilangan sistem khilafah tetapi telah berjuta umat Islam menjadi mangsa korban kuffar yang tidak berperi kemanusiaan akibat tiada lagi suatu kuasa pemerintahan yang menjaga umat Islam walau pun jumlah kita begitu ramai. Umat Islam tiada tempat mengadu sehingga musuh mudah untuk menghancurkan negara umat Islam satu demi satu dalam memenuhi kehendak nafsu mereka.
Dasar pecah perintah yang dilakukan oleh kuffar terhadap negara-negara umat Islam turut menjayakan lagi matlamat kuffar untuk terus menjajah umat Islam ditambah lagi tindakan kuffar yang terus berusaha dalam memastikan pemimpin negara umat Islam mestilah terdiri daripada kalangan mereka yang berusaha mempertahankan sistem penjajah dan sanggup bermati-matian dalam melawan sistem Islam. Kuffar akan memperkudakan pemimpin ini dalam melawan Islam samada secara kasar atau halus tetapi dalam masa yang sama kuffar akan menghancurkan pemimpin tersebut walau pun telah banyak berjasa kepada mereka apabila kuffar merasakan bahawa pemimpin tadi sudah tidak berguna lagi. Contohnya yahudi beberapa kali menggertak dengan menembak tempat kedudukan Yasir Arafat pemimpin Palestin sedangkan beliau telah banyak menjayakan kehendak yahudi dalam menguasai tanah sekitar masjid Aqsa dan mendirikan negara haram zionis yahudi di atas bumi Palestin. Begitu juga dengan Saddam Husein yang telah digunakan oleh kuffar dalam menyerang Iran sebelum ini tetapi bermula daripada peperangan Teluk sehingga hari ini kuffar berusaha menggulingnya sedangkan melalui Saddan Husein kuffar berjaya membina alasan kukuh untuk menyedut minyak bukan sahaja di Iraq malah di Kuwait dan Arab Saudi. Umat Islam pada hari ini diseru membantu Iraq bukan disebabkan mahu mempertahankan batang tubuh Saddam Husein tetapi kerana kewajipan dalam membantu rakyat Iraq yang begitu lama menderita terutama dengan sekatan ekonomi yang turut diberi sokongan oleh pemimpin negara umat Islam sendiri. Adakah kita tidak merasa berdosa membiarkan anak-anak kecil di Iraq mati kebuluran dan bakal menjadi mangsa pembunuhan kuffar. Adakah kita tidak rasa bersalah membiarkan orang-orang tua dan wanita yang tidak berdosa terus dibaham oleh peluru musuh. Adakah kita tidak berasa belas kasihan melihat rakyat Iraq diratah oleh bom kuffar durjana. Berapa banyakkah sumbangan yang kita telah dan bakal hulurkan untuk rakyat Iraq. Adakah kita sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Allah agar umat Islam di Iraq dan seluruh dunia diberi bantuan dan keselamatan.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika berhadapan dengan keganasan kuffar yang dihasut oleh yahudi maka umat Islam mesti kembali bersatu di bawah panji Islam. Selagimana umat Islam meninggalkan ajaran Islam yang menyeluruh maka selama itulah kita akan dihina oleh Allah antaranya melalui penindasan musuh. Usah banyak bercakap dan hanya tahu berhimpun dalam menyebut keganasan terhadap umat Islam sedangkan pemimpin masih meneruskan dasar lama iaitu berpakat untuk tidak sepakat serta bersatu untuk berpecah. Sepatutnya sesuatu perhimpunan diadakan dalam mencari jalan terbaik untuk menghentikan keganasan bukannya untuk menonjolkan siapa jaguh dalam bercakap tentang keamanan sejagat sedangkan dialah juga jaguh yang melakukan penindasan terhadap rakyat sendiri. Pemimpin umat Islam sewajarnya memadamkan sikap gila kuasa serta menghilangkan semangat kebangsaan dengan mengutamakan maslahat Islam dan sejagat. Apabila tiada lagi sikap gila kuasa dan semangat kebangsaan yang sempit dalam diri pemimpin maka ia boleh membawa kepada seluruh negara umat Islam bersatu di bawah satu kepimpinan bukannya sebagaimana hari ini di mana ada ketua tetapi sekadar dalam Pertubuhan Negara Islam (OIC) sahaja sedangkan keputusan yang bakal dibuat kebanyakannya tertakluk kepada negara masing-masing. Akhirnya kuffar tidak pernah gentar apabila melihat pemimpin negara umat Islam berhimpun kerana kebanyakan hasil adalah menguntungkan kuffar.
Disamping itu pemimpin negara umat Islam perlu bersepakat dalam melaksanakan seluruh sistem Islam dalam negara sehingga kita mampu tunjukkan model yang terbaik kepada dunia tentang keindahan dan keadilan sistem ekonomi, perundangan, sosial Islam. Negara bukan Islam tidak akan menolak mentah-mentah sistem Islam bagi menggantikan kegagalan sistem ciptaan yahudi terutama kapitalis, sosialis dan komunis jika ada model sistem Islam yang telah dijalankan dengan jayanya. Dunia pernah menyaksikan bagaimana peristiwa Hijrah nabi ke Madinah telah mematikan sistem riba amalan yahudi dengan berjalannya sistem jual beli berdasarkan Islam sehingga penduduk Madinah dan yahudi sendiri sanggup tunduk kepadanya. Selagi negara umat Islam sendiri terus tunduk kepada sistem kuffar serta terikut-ikut dengan rentak kuffar dalam menuduh umat Islam sebagai pengganas dan Islam adalah punca kemunduran maka selagi itulah kuffar akan terus memperkudakan kita manakala orang bukan Islam tidak nampak alasan yang munasabah untuk menggunakan sistem Islam apatah lagi untuk melantik umat Islam sebagai ketua dalam menjaga keamanan dunia.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Setelah menyedari bagaimana pengorbanan yang sepatutnya dibuat maka umat Islam mesti sentiasa berhati dengan usaha musuh dalam menghancurkan Islam. Kita di negara ini diuji dengan pemimpin yang sikapnya seperti Mustafa Kamal at-Tartuk iaitu seorang pemimpin yang pasti melakukan apa yang dinafikan. Jika Mustafa Kamal at-Tartuk laknatullah pernah berjanji kepada ulama’ dengan bersungguh-sungguh bahawa dia hanya mahu melihat Turki lebih maju dan sama sekali tidak akan membuang sistem khilafah yang ada tetapi apa yang dibuat adalah sebaliknya iaitu dengan menghancurkan sistem khilafah seterusnya menubuhkan negara Turki sekuler. Begitulah yang dilakukan oleh pemimpin kita pada hari ini termasuk dalam kes sekolah agama rakyat di mana telah dihamburkan janji kepada mufti bahawa sekolah agama tidak akan diganggu sebaliknya beberapa hari selepas itu bukan sahaja ditarik bantuan perkapita tetapi disertakan dengan usaha jahat yang lain atas alasan kemajuan dalam menghancurkan sekolah agama. Jika umat Islam sehingga hari ini menderita akibat kehilangan sistem khilafah akibat tipu daya Mustafal Kamal at-Tartuk maka kita disini jangan sama sekali tertipu buat kali kedua sehingga boleh menyebabkan usaha dalam menjadikan negara ini sebagai negara sekuler penuh akan terlaksana menyebabkan anak cucu kita bakal menderita dan kehilangan cahaya agama. Kita yang dijajah sehingga hilangnya sistem Islam yang pernah dilaksanakan pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu pun cukup menderita terutama hanya mampu melihat dengan mata putih bagaimana ribuan umat Islam murtad daripada agama tanpa tindakan yang sewajarnya. Ini ditambah lagi dengan kehilangan sistem pendidikan agama yang sepastinya akan diubah dari masa ke semasa mengikut kesesuaian sekuler. Oleh itu bangkitlah segera dalam melawan usaha jahat sekuler yang sememangnya memusuhi Islam. Sebelum terlambat maka berusahalah semampu yang mungkin dalam menghancurkan perancangan terkutuk ini. Berkorbanlah untuk Islam. Jangan korbankan Islam untuk nafsu.
Firman Allah dalam ayat 24 surah at-Taubah:
قل إن كان آباؤكم وأبناؤكم وإخوانكم وأزواجكم وعشيرتكم وأموال اقترفتموها وتجارة تخشون كسادها ومسكن ترضونها أحب إليكم من الله ورسوله وجهاد فى سبيله فتربصوا حتى يأتي الله بأمره والله لايهدى القوم الفــسقين
Maksudnya : Katakanlah wahai Muhammad! : “ Jika bapa-bapa kamu, anak-pinakmu, saudara-maramu, isteri-isterimu dan keluargamu serta harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai di mana jika ini semua menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan rasulNya dan daripada berjihad untuk agamaNya maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan ketetapanNya daripada azab kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada mereka yang derhaka
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan