أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Khamis, 29 Oktober 2026
Khutbah Jumaat : Kukuhkan Aqidah Julang Kegemilangan Islam
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 15 surah Al-Hujurat:
اِنَّمَا الۡمُؤۡمِنُوۡنَ الَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡا بِاللّٰهِ وَرَسُوۡلِهٖ ثُمَّ لَمۡ يَرۡتَابُوۡا وَجَاهَدُوۡا بِاَمۡوَالِهِمۡ وَاَنۡفُسِهِمۡ فِىۡ سَبِيۡلِ اللّٰهِ ؕ اُولٰٓٮِٕكَ هُمُ الصّٰدِقُوۡنَ
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”
Kita sedang berada pada bulan Jamadil Awwal yang banyak mencatatkan peristiwa besar dalam Sejarah Islam antaranya kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh memasuki bandar Constantinople atau Istanbul Turki untuk membukanya pada hari Selasa 20 Jamadilawal tahun 857 Hijrah bersamaan 29 Mei 1453 Masihi. Janji nabi s.a.w tentang kehebatan panglima tentera dan pasukan tentera yang bakal menawan kota Constantinople ini telah disahut sejak dari zaman sahabat nabi RH lagi termasuk Abu Ayyub Al-Anshari sehingga kuburnya ditemui dekat kubu Constantinople. 800 tahun selepas itu barulah apa yang dijanjikan oleh nabi s.a.w dicapai
قال النبي : لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ، وَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ- رواه أحمد
Maksudnya : Sungguh Constantinople akan dibuka, maka sebaik – baik panglima tenteranya adalah panglimanya dan sebaik – baik pasukan tentera adalah pasukan tersebut (yang membukanya)
Kejayaan besar Sultan Muhammad al-Fateh membuka Constantinople yang diubah nama kepada Islambol yang bererti Bandaraya Islam yang kemudian diubah kepada nama Istanbul. Sebalik kebesaran namanya maka di sana ada nilai-nilai tarbiyah yang dapat menjadi pelajaran berharga bagi pendidikan kita saat ini. Kemenangan yang dijanjikan oleh Allah bukan datang dengan senang dan mudah tetapi ia dibayar dengan jihad harta, tenaga, darah dan nyawa
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 200 surah Ali ‘Imran:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ٢٠٠﴾
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu, tetaplah bersiap siaga (melaksanakan tugas), dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat kemenangan.”
Allah SWT menjanjikan kemenangan buat para pejuang Islam di mana kemenangan hanya akan diperoleh apabila dilaksanakan segala syarat kemenangan yang melayakkan untuk mendapat pertolongan Allah antaranya :
Syarat [1] Pembinaan kekuatan rohani iaitu iman, akhlak dan ilmu secara tafaqquh. Iman yang membuahkan amal, melaksanakan apa yang disuruh, menjauhi apa yang dilarang, sentiasa berusaha sehabis daya dalam mencari Redha Allah. Sesungguhnya iman bukan sekadar dakwaan. Iman yang hakiki dapat disaksikan manifestasinya pada diri, akhlak dan peribadi.
Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Anfal :
اِنَّمَا الۡمُؤۡمِنُوۡنَ الَّذِيۡنَ اِذَا ذُكِرَ اللّٰهُ وَجِلَتۡ قُلُوۡبُهُمۡ وَاِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡهِمۡ اٰيٰتُهٗ زَادَتۡهُمۡ اِيۡمَانًا وَّعَلٰى رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُوۡنَ
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 8 Surah Al-Mumtahanah:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّالْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: "Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengusirmu dari negerimu".
Akibat kejahilan boleh menyebabkan umat Islam melakukan perkara haram yang boleh menjejaskan keimanannya seperti terlibat dengan Ritual Agama lain. Umat Islam dilarang sama sekali terlibat, menyertai, atau meniru upacara keagamaan penganut agama lain termasuk memainkan alat muzik, menyertai perarakan, atau melakukan perbuatan simbolik walaupun atas alasan budaya atau menghormati orang lain. Kesan ke atas Aqidah: Penglibatan dalam ritual yang mengandungi unsur pemujaan atau penyembahan selain Allah SWT boleh merosakkan atau menjejaskan kemurnian akidah seseorang
Perbezaan agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik kepada sesiapa sahaja atas dasar kemanusiaan. Namun demikian, Islam juga menggariskan batas-batas yang perlu dijaga dan dijadikan sempadan bagi memelihara kesucian aqidah kita. penglibatan Muslim dalam gotong-royong membersihkan rumah ibadat agama lain juga adalah dilarang, sejajar dengan kaedah syarak yang mengharamkan segala bentuk kesyirikan dan menegah daripada apa jua bentuk kerjasama serta bantuan yang menjurus ke arah kesyirikan.Firman Allah dalam ayat 2 Surah al-Ma’idah:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu saling bantu-membantu dalam membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bantu-membantu pada melakukan dosa dan pencerobohan.
Hal ini juga berdasarkan kaedah yang mengarahkan seseorang Muslim itu agar memelihara dirinya daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan timbulnya salah faham terhadap dirinya sendiri:
Sehubungan itu, mana-mana pertubuhan, institusi pendidikan, agensi kerajaan atau badan sukarela yang merancang program gotong-royong antara agama dinasihati supaya memberi perhatian kepada sensitiviti akidah umat Islam
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 4 surah as-Soff:
﴿إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِهِۦ صَفّٗا كَأَنَّهُم بُنۡيَٰنٞ مَّرۡصُوصٞ﴾
Makusdnya: “Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang berjuang di jalan-Nya dalam saf yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”
Syarat ke [2] dalam mencapai janji kemenangan daripada Allah ialah kesatuan umat Islam atas dasar Islam. Perpecahan umat Islam sudah pasti melemahkan kita dan akan diambil kesempatan oleh musuh Islam untuk terus melanyak dan menjajah kita. Apabila ada umat Islam sendiri lebih memuja ideologi kuffar seperti sekuler maka kita dapat lihat kesan apa yang baru berlaku di Azerbaijan walaupun 96 peratus penduduknya beragama Islam tetapi Perlembagaan negara itu menetapkan Azerbaijan sebagai sebuah negara sekuler sehingga memperkenalkan peraturan pakaian sekolah yang secara tidak langsung menghadkan pemakaian hijab
Begitulah peperangan antara negara umat Islam yang menjadi proksi kepada Amerika Syarikat dan sekutunya menambahkan lagi masalah umat Islam. Tumpuan umat Islam dalam memerdekakan Masjid Aqsa dan bumi Palestin terus kabur akibat daripada peperangan sesama sendiri
قال الرسول : يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا، فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا، وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ. رواه أحمد وأبو دأود
Maksudnya : “Hampir dekat sahaja para umat (golongan kafir) akan mengerumuni kamu semua sebagaimana mereka berkumpul menghadap makanan dalam mangkuk.” Seseorang bertanya: “Adakah kami pada saat itu sedikit?” Rasulullah bersabda: “Bahkan kamu semua pada saat itu ramai. Akan tetapi kamu bagai buih yang dibawa arus. Allah akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kamu dan akan menimpakan dalam hati kamu penyakit al-wahnu.” Seseorang bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah sebab alwahnu itu?” Rasulullah menjawab: “Cinta dunia dan benci kepada mati.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 60 surah Al-Anfal:
وَاَعِدُّوۡا لَهُمۡ مَّا اسۡتَطَعۡتُمۡ مِّنۡ قُوَّةٍ وَّمِنۡ رِّبَاطِ الۡخَـيۡلِ تُرۡهِبُوۡنَ بِهٖ عَدُوَّ اللّٰهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَاٰخَرِيۡنَ مِنۡ دُوۡنِهِمۡ ۚ لَا تَعۡلَمُوۡنَهُمُ ۚ اَللّٰهُ يَعۡلَمُهُمۡؕ وَمَا تُـنۡفِقُوۡا مِنۡ شَىۡءٍ فِىۡ سَبِيۡلِ اللّٰهِ يُوَفَّ اِلَيۡكُمۡ وَاَنۡـتُمۡ لَا تُظۡلَمُوۡنَ
Maksudnya : “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukanpasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”
Syarat ke [3] dalam mencapai janji kemenangan daripada Allah ialah Umat Islam diperintahkan supaya menyediakan apa sahaja bentuk kekuatan yang mampu disediakan yang meliputi kekuatan fizikal, strategi ketenteraan, kelengkapan perang, serta teknologi semasa yang relevan dengan peredaran zaman seperti senjata moden atau teknologi yang menggentarkan musuh. Persiapan ini bukan bertujuan untuk menzalimi, tetapi untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh umat Islam, termasuk musuh-musuh yang diketahui mahupun yang tidak diketahui oleh umat Islam (tetapi diketahui oleh Allah). Begitu juga galakan Berinfaq Fi-Sabilillah di mana apa sahaja harta yang dibelanjakan atau diinfaqkan pada jalan Allah untuk tujuan persiapan dan pertahanan ini akan disempurnakan balasannya oleh Allah. Kekuatan ketenteraan semata-mata tidak cukup tanpa perpaduan. Hanya Allah SWT yang mampu menyatukan hati manusia sebagaimana sejarah penyatuan Aus, Khazraj, Muhajirin, dan Ansar atas dasar aqidah Islam, bukan kerana dorongan harta benda atau semangat kebangsaan semata-mata. Islamlah nescaya kita selamat dan Berjaya dunia dan akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan