Jumaat, 18 Ogos 2023
Khutbah Jumaat : Raikan Kemenangan Perkasakan Undang-undang Islam
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Fathu :
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا ﴿١﴾ لِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُّسْتَقِيمًا ﴿٢﴾ وَيَنصُرَكَ اللَّهُ نَصْرًا عَزِيزًا ﴿٣﴾
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)
Kemenangan adalah suatu perkara yang sentiasa menjadi matlamat dalam setiap perjuangan. Tidak kira perjuangan itu benar haq atau batil, pejuang itu Muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain. Islam mempunyai asasnya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al-fawzu, al-nasru dan al-fathu. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza.
Kemenangan dengan istilah “al-falah” melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat. Kemenangan “al-fawz” pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Manakala kemenangan “al-nasr” pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuhNya. “Al fath” pula kejayaan yang diperolehi setelah melalui pelbagai jenis ujian seperti kekalahan, kelemahan, kesedihan dan kesengsaraan.
Kemenangan pula terbahagai kepada 2 iaitu kemenangan di Dunia dan kemenangan di akhirat nanti. Di dalam al-Quran, golongan yang memperolehi kemenangan dunia (al-nasr) ini disebut sebagai ghalibun dan dzahirun. Ghalibun memberi maksud orang-orang yang mengalahkan, manakala dzahirun bermaksud orang yang menang. Kemenangan di dunia disebut juga al-fath. Istilah al-fath digunakan oleh al-Quran dalam banyak ayat yang menyentuh tentang kemenangan besar. Ulama’ sejarah menggunakan istilah al-fath (pembukaan) di dalam setiap kejayan tentera Islam menawan sesuatu wilayah kerana mengambil pengajaran dari al-Quran. Sifat penaklukan itu bukan pemaksaan dan penjajahan, tatapi ia adalah pendedahan manusia kepada Islam, pemerintahannya dan keadilannya.
3 bentuk kemenangan al-nasr di dunia yang dijanjikan itu adalah :
[1] Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan pendukung-pendukung ke atas negara atau wilayah dan memegang tampuk pimpinan.
[2] Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya kewibawaan untuk menentukan kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan undang-undang dalam negara.
[3] Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 10-12 surah as-Soff:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ ﴿١٠﴾ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿١١﴾ يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٢﴾
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar.
Kemenangan di akhirat yang disebut al-fawzu pula adalah kemenangan yang sebenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam. Allah menawarkan kemenangan di akhirat itu meliputi 4 perkara iaitu : [1] Mendapat jaminan keselamatan dari azab yang pedih di akhirat. [2] Mendapat keampunan dari Allah Taala di atas segala dosa yang telah dilakukan. [3] Dimasukkah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai yang mengalir. [4] Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di Syurga yang bernama ‘Adni.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 1-3 surah an-Nasru:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ ﴿١﴾ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا ﴿٢﴾ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا ﴿٣﴾
Maksudnya : Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), - Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, - Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
Surah an-Nasru bukan sahaja memberitahu tentang kemenangan Islam malah ia merupakan penunjuk Rabbani saat datang pertolongan Allah dan kemenangan dari-Nya. Rasulullah diperintahkan untuk bertasbih, bertahmid dan beristighfar. Orang-orang beriman tidak boleh sombong dan angkuh atas kemenangan ini. Tapi mesti menyedari bahqwa kemenangan itu datangnya dari Allah. Oleh itu wajib mendekatkan diri kepada Allah, mensucikan Allah daripada segala sifat kekurangan, bersyukur kepada-Nya dan memohon ampunanNya. Bertasbih dan bertahmid atas kurniaan dan anugerah Allah yang telah menjadikan mereka sebagai pemegang amanah untuk melaksanakan dakwah-Nya dan menjaga agama-Nya. Beristighfar dari rasa bangga dan sombong yang kadang-kadang menyelinap ke dalam jiwa saat kemenangan tiba. Juga beristighfar atas perasaan dan sikap yang boleh jadi menyertai saat perjuangan panjang dan sekian lama menantikan datangnya kemenangan.
Ibnu Katsir menjelaskan, Rasulullah s.a.w tidak hanya bertasbih dan beristighfar. Bahkan pada hari pembukkan Kota Makkah, baginda mengerjakan solat dhuha 8 rakaat. Sebahagian ulama berpendapat, disunnahkan mencontohi Rasulullah s.a.w mengerjakan sholat 8 rakaat ketika mendapatkan kemenangan atas suatu negeri. Sa’ad bin Abi Waqash RH ketika menawan kota-kota di Parsi juga melakukan solat itu.
Rasulullah mensyukuri nikmat pengampunan Allah ini dengan pengampunan kepada seluruh penduduk Makkah. Baginda memaafkan mereka meskipun dulunya menyakiti dan memerangi Rasulullah s.a.w.
Sebelum pembukaan Kota Makkah berlaku, pemimpin Quraisy Abu Sufyan bin Harb telah datang menemui Rasulullah S.A.W meminta perdamaian. Beliau tahu Quraisy tidak dapat lagi menghadapi kemaraan umat Islam. Nabi s.a.w menerima perdamaian itu dengan meletakkan beberapa syarat. Namun semangat berkobar-kobar umat Islam mahu membalas pengkhianatan janji Quraisy menyebabkan Saad bin Ubadah menyatakan kata-kata keras di hadapan Abu Sufyan:
الْيَوْمَ يَوْمُ الْمَلْحَمَةِ ، الْيَوْمَ تُسْتَحَلُّ الْكَعْبَةُ
Maksdudnya : "Hari ini adalah hari balasc dendam! Hari ini Kaabah akan ditawan!"
Apabila Nabi S.A.W mendapat tahu perkara ini, baginda membalas:
الْيَوْمُ يَوْمُ الْمَرْحَمَةِ .
Maksudnya : "Sebenarnya hari ini hari kerahmatan kasih sayang..
Keadaan ini telah membuatkan orang berbondong-bondong memeluk Islam. Kemenangan Islam tidak sedikitpun digunakan bagi membalas dendam kejahatan yang selama ini dilakukan Quraisy.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah :
وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾
Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Ketika Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan kali ke-66 sepatutnya budaya penjajah yang merosakkan dan pemikiran penjajah samada sekuler, liberal dan sebagainya sudah terhakis namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Masih ada segelintir umat Islam sendiri yang mengaku sudah merdeka namun cara hidup dan berfikir terus berqiblatkan penjajah. Kita begitu bimbang apabila ada usaha halus dan terancang telah memfailkan permohonan untuk membatalkan 21 kesalahan jenayah Syariah Negeri Kelantan. Antaranya termasuk liwat, persetubuhan dengan mayat dan bukan manusia, musnahkan tempat ibadat, judi, arak dan banyak lagi. Permohonan itu bersandarkan kepada keputusan kes Iki Putra. Bahawa Negeri Kelantan tiada kuasa untuk buat undang-undang tersebut. Pendengaran kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid ditetapkan semalam 17 Ogos 2023. Kalau Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan permohonan tersebut, maka 21 kesalahan tersebut akan dibatalkan.
Namun yang lebih parah kesannya, saya pasti kesemua Enakmen Jenayah Syariah di semua negeri akan mula dicabar dan terus dicabar. Ia membawa teori domino jika Kanun Jenayah Syariah Kelantan dibatalkan ia boleh membawa akibat terbatalnya juga Kanun Jenayah Syariah di lain-lain negeri. Oleh itu kita menyeru pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun berkaitan agama Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama diseru terlibat dalam kes berkaitan Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Kelantan sama ada sebagai pencelah atau sahabat mahkamah dalam menentang tindakan jahat ini. Kita juga sebagai umat Islam yang bermaruah mesti terus bermunajat berdoa kepada Allah agar dilembutkan hati golongan ini dan dihancur serta digagalkan segala perancangan jahat mereka yang tidak bertanggungjawab. Kita juga wajib berdoa dan berusaha agar kuasa Mahkamah Syariah bukan sahaja semakin lemah malah semakin diperkasakan dari masa ke semasa bermula dengan kesungguhan pemimpin negara dan ahli parlimen. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan