Rabu, 9 Ogos 2023

Khutbah Jumaat : Hijrah Membentuk Negara Merdeka yang berkat

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala su ruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 40 surah at-Taubah : إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّـهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّـهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّـهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّـهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٤٠﴾ Maksudnya : Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Peristiwa Hijrah dijadikan sebagai asas kepada perkiraan Taqwim umat Islam bagi meniupkan semangat berubah kepada keadaan yang lebih baik. Walau pun peristiwa hijrah telah lama berlaku namun pengajaran dan hasil daripada peristiwa bersejarah ini mesti dihidupkan dalam kehidupan umat Islam untuk mencapai kejayaan umat Islam dunia dan akhirat قال الرسول e : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya Allah memberi suatu peringatan termasuk melalui ayat 40 surah at-Taubah yang telah dibaca pada awal khutbah tadi bahawa perjuangan Islam akan diberi pertolongan oleh Allah walau ada umat Islam sendiri tidak mahu membantu apatah lagi malas untuk berjuang. Antara pertolongan Allah ketika berlangsungnya hijrah nabi s.a.w ialah musuh tidak nampak nabi Muhammad s.a.w bersama Saidina Abu Bakar RH dalam gua yang sempit, dibuang rasa takut dengan ditanam keyakinan dengan bantuan Allah, memberi ketenangan disaat getir dan didatangkan bantuan para malaikat. Oleh itu kita jangan memberi pelbagai dalih dan seeribu alasan dalam memperjuangkan Islam sebaliknya kita wajib mencari pelbagai usaha dan rancangan agar seluruh sistem Islam yang merangkumi ibadah khusus, ekonomi, politik, sosial dan lain-lain dapat dilaksana dalam negara Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal : وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya Ketika merenungi peristiwa hijrah yang agong ini maka kita dapati pelbagai usaha dan perancangan yang disusun dan diatur oleh nabi Muhammad s.a.w yang memberi pengajaran kepada kita walau pun baginda s.a.w sebagai seorang nabi namun mesti berusaha disampung bertawakkal kepada Allah kerana kemenangan Islam tidak dihampar dengan permaidani merah sebaliknya perlu kepada tumpahnya darah, tidak dijanjikan dengan kemenangan yang senang sebalikny menuntut nyawa yang melayang, bukan kejayaan yang mudah sebaliknya perlu kepada pengorbanan yang berterusan. Antara pengajaran besar daripada hijrah nabi s.a.w ialah : Melakukan strategi dan perancangan yang tersusun dan kemas. Nabi SAW telah memberikan contoh melakukan perancangan hijrah antaranya menyediakan pengganti untuk berada di tempat tidur Nabi SAW, kaedah menghantar bekalan makanan, mengatur laluan perjalanan, memilih pemandu jalan, bersembunyi di gua Thur dan sebagainya. Malah telah berlaku 2 kali Baiah Aqabah iaitu janji taat setia daripada penduduk Madinah dari kalangan Aus dan Khazraj yang bukan sahaja terkandung akuan beriman semata-mata malah turut menekankan rasa tanggungjawab dan kesediaan untuk melantik nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin serta sanggup gugur syahid dalam menjaga nabi s.a.w Pengorbanan perlu dilakukan dalam mencapai matlamat dalam kehidupan. Nabi SAW telah mencontohkan penghijrahan dengan melakukan pengorbanan jiwa, harta dan tanah air tercinta menjadi titik tolak perubahan dan pemangkin kejayaan penyebaran syiar Islam ke seluruh alam. Islam bukan sahaja mengurus diri, keluarga malah bernegara Hijrah dan perubahan adalah suatu tuntutan hidup serta memerlukan pengorbanan. Perubahan dari suatu yang buruk kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang terbaik adalah perlu dilaksanakan dalam kehidupan yang menuntut pengorbanan. Melahirkan sifat sabar dan tawakkal berserah diri hanya kepada Allah SWT. Nabi SAW telah mencontohkan kesabaran melalui pelbagai kesukaran ketika berhijrah seperti diancam bunuh, dikejar musuh, perjalanan yang jauh dan sebagainya. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal : وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia Pengajaran Hijrah Ke –[5] Keperluan kepada sokongan dan dokongan pelbagai pihak. Nabi SAW memberi teladan bahawa hijrah yang dilakukan memerlukan sokongan dan dokongan pelbagai lapisan usia, jantina, agama dan sebagainya untuk menjayakan misi hijrah. Contohnya Saidini Abu Bakar al-Siddiq dan Uthman bin Affan yang mempunyai pengaruh dan kekuatan melalui kekuasaan dan kewangan. Saidina Ali bin Abi Talib yang masih belia menggantikan tempat tidur Nabi SAW. Asma’ binti Abu Bakar berperanan menghantar bekalan makanan. Abdullah bin ‘Uraiqit walaupun bukan Islam berperanan sebagai pemandu jalan ke Madinah. Kelebihan yang ada digunakan untuk memainkan peranan yang sesuai mengikut potensi masing-masing. Begitulah juga dalam kehidupan, manusia sentiasa perlukan sokongan dan dokongan dari pelbagai pihak supaya dibantu, terus bermotivasi dan berjaya dalam setiap kerja dan misi hijrah yang dilakukan. Mewujudkan semangat persaudaraan dan saling membantu. Nabi SAW mencontohkan mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin serta menggalakkan memberi bantuan. Peristiwa hijrah telah mendidik sifat keperihatinan dan kepedulian masyarakat tanpa mengira latar belakang dan keturunan. Islam menganjurkan kepada setiap Muslim agar selalu peduli dengan nasib masyarakat disekeliling. Firman Allah dalam ayat 4 surah as-Soff : إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ ‎﴿٤﴾ Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 26 Surah Ali ‘Imran: قُلِ اللَّـهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ‌ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ‌ Maksudnya :Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Hijrah nabi s.a.w menunjukkan bukti yang jelas kepada kita bahawa kepimpinan, bernegara dan politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Islam mengajar kita bagaimana hanya Kerajaan Allah sahaja merupakan kerajaan yang sebenar dan berkekalan. Manakala kerajaan lain merupakan suatu amanah yang sementara sahaja yang bakal disoal tentang corak pemerintahannya di akhirat nanti. Semua kerajaan lain berada di bawah genggaman kekuasaan Allah di mana Allah boleh menaik dan menjatuhkan sesebuah kerajaan mengikut kehendakNya. Ia mengingatkan kita semua bahawa tidak ada kerajaan yang terus kekal memerintah selama-lamanya agar pemimpin sentiasa bertaqwa dalam memerintah negara dengan menjauhi penyalahgunaankuasa yang menyebabkan kerajaan mereka bukan sahaja dijatuhkan di dunia malah di akhirat kelak akan diseksa dalam api neraka Allah yang dahsyat bakarannya. Oleh itu pilih pemimpin yang bersungguh mengharamkan judi dan menghadkan jualan arak, membanteras rasuah. Memilih kerajaan yang mampu menjaga etika untuk rakyat berhibur bukannya menjemput kumpulan LGBT yang merosakkan rakyat dan negara. Islam nescaya negara berkat rakyat selamat. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan