Khamis, 16 Mac 2023

Khutbah Jumaat : Islam DiNobat Filem Sesat DiSekat Aqidah Selamat

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Renungilah firman Allah dalam ayat 7-8 surah al-Bayyinah: إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ خَيْرُ‌ الْبَرِ‌يَّةِ ﴿٧﴾ جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَ‌بِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِ‌ي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ‌ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّ‌ضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَ‌ضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَ‌بَّهُ ﴿٨﴾ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. Kini kita telah pun berada minggu ketiga bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Nabi s.a.w bila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah. Maka nabi s.a.w ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa. Ibarat kata Ulama’ : “Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya.” Begitu juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Antara amalan sunat yang paling baik bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, sedekah, membaca al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Renungilah firman Allah dalam ayat 150 surah al-Baqarah: وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ Maksudnya : Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar) Jika padal bulan Rejab yang baru lalu pernah mencatatkan peristiwa Isra’ Mikraj, manakala pada bulan Sya’aban pula telah berlaku perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula nabi Muhamamd s.a.w sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama yahudi dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Akibat dipasak dan ditanam dengan system penjajah begitu lama telah melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah yang mengagungkan segala system kuffar serta memandang hina system Islam. 2 peristiwa yang besar ini membuktikan bagaimana Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa adalah 2 saudara yang tidak boleh dipisahkan. Jika terabai salah satunya, maka yang satu lagi juga turut akan terjejas. David Ben-Gurion, Perdana Menteri pertama Israel pernah mengerahkan tentera Yahudi untuk mengepung Masjidil Aqsa sambil beliau menyampaikan ucapan kepada hadirin dalam penuh rasa kebencian (ke atas ummat Islam dan rakyat Palestin) serta mengakhiri teks ucapannya dengan mengatakan: “Kami dah pun menakluk Al Quds (Al-Aqsa) dan sekarang kami dalam perjalanan ke Yathrib(Madinah).” Begitu juga Golda Meir Bekas Perdana Menteri keempat zionis Israel pernah berkata dengan bongkaknya selepas mereka berjaya merampas Al-Quds: “Aku dapat mencium bau nenek moyangku di (Madinah dan Hijaz) dan itu adalah negara kami yang kami bakal merampasnya kembali.” Kenyataan biadap pemimpin zionis ini sepatutnya membangkitkan rasa perhambaan diri kita kepada Allah dan semangat berjihad dijalan Allah adalah satu jalan untuk membebaskan Masjidil Aqsa. Hentikan zionis Yahudi daripada terus bermaharajalela di segenap ceruk rantau dan yakinlah kita tentang kemenangan Islam dan kemerdekaan Aqsa adalah suatu ketetapan Allah yang pasti terlaksana. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 186 surah Ali ‘Imran: لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا ۚ وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ ﴿١٨٦﴾ Maksudnya : Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya) Peristiwa pertukaran Qiblat ini memberi isyarat yang jelas kepada umat Islam agar kita mesti berusaha menjauhi amalan dan budaya hidup yang bercanggah daripada Islam yang sentiasa disogokkan oleh musuh Islam dengan pelbagai cara. Umat Islam mesti mempunyai jatidiri berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh al-Quran dan Sunnah Nabi sehingga kita mampu menjadi contoh teladan yang baik kepada orang bukan Islam bukannya kita menjadi penghalang atau tembok yang mendinding orang bukan Islam daripada melihat keindahan yang ada dalam Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Umat Islam wajib kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sehingga orang bukan Islam yang selama ini dimomokkan dengan gambaran jahat tentang Islam dan umatnya yang dipandang sebagai punca keganasan dan kemunduran dapat ditepis. Islam adalah agama yang menyucikan aqidah dan mencantikkan akhlak manusia dengan membersihkan diri daripada sifat dan sikap yang buruk serta menyuruh umat manusia agar tunduk patuh kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dalam setiap kelakuan. Islam bukan agama yang bersangkutan hati sahaja tetapi ia adalah sebuah agama yang lengkap. Islam juga bukan agama untuk kegunaan peribadi tetapi ajarannya mengambil berat tentang kehidupan masyarakat seluruhnya. Kegagalan umat Islam sendiri daripada menghayati suruhan agama dalam kehidupan seharian bukan sahaja menyebabkan diri mereka rosak malah turut memberi kesan kepada orang bukan Islam untuk memandang rendah kepada Islam. Sebab itulah Sayyidina Ali Karramallahu wajhah pernah memberi nasihat penting dengan katanya : “ Kenalilah muslim melalui Islam dan jangan kamu kenali Islam melalui muslim”. Pesanan berharga ini mengingatkan kita semua bahawa dalamilah Islam terlebih dahulu barulah seseorang itu dapat tahu siapakah orang Islam yang benar-benar menghayati Islam atau sebaliknya. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun : وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ ﴿٧١﴾ Maksudnya : Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya; Seminggu dua ini isu sebuah Filem yang bertajuk Mentega Terbang hangat diperkatakan. Kita menyokong penuh tindakan pantas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menegaskan bahawa filem ini ‘bertentangan dengan akidah’ adalah maklum balas yang wajar bagi sebuah agensi kerajaan. Kita bimbang adanya unsur Plurel agama diterapkan melalai filem akan memberi kesan besar kepada aqidah umat Islam terutama yang cetek pengetahuan agamanya Pluralisme agama adalah pandangan, fikiran, keyakinan bahawa agama-agama yang pelbagai dan berbeza-beza itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi, soteriologi dan epistemologi. Seperti dikemukakan Peter Byrne, pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis. Pertama, semua tradisi agama-agama besar dunia adalah sama, semuanya merujuk dan mengisyarat kepada suatu realiti tunggal yang suci. Kedua, semuanya sama-sama menawarkan jalan keselamatan. Dan ketiga, semuanya tidak ada yang final. Ertinya, setiap agama mesti senantiasa terbuka untuk dikritik dan diteliti kembali. Ini jelas bercanggah dengan aqidah Islam Dengan menisbikan kebenaran mutlak, ini bermakna secara tersirat ia telah menafikan, atau sekurang-kurangnya merendahkan kebenaran mutlak yang sebenar. Tuntutan pluralisme agama membawa implikasi berbahaya kepada manusia sama ada yang bersifat teori, epistemologi, dan metodologi, atau yang bersifat ideologi dan akidah, atau yang berkaitan dengan isu yang lebih praktikal, iaitu hak asasi manusia (human rights), terutamanya kebebasan beragama. Paling penting, sehingga hari ini kita belum temui bukti faham pluralisme agama ini mampu menyelesaikan isu pertelingkahan dan mewujudkan toleransi yang sebenar antara agama tanpa menggadaikan prinsip akidah masing-masing. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Filem ini juga cuba menerapkan konsep kelahiran semula di mana konsep perpindahan roh dari satu jasad ke satu jasad yang lain wujud dalam pelbagai agama-agama selain Islam. Ia berasal daripada beberapa buah agama dan falsafah kerohanian seperti Hindu, Buddha, sebahagian ajaran Greek, ajaran Mesir Purba, dan sebahagian agama-agama di Afrika. Dalil yang paling jelas tentang batilnya akidah konsep perpindahan roh dari satu jasad ke satu jasad adalah ketidakmampuan roh kembali ke dunia selepas meninggal dunia sedangkan itulah yang diimpikan oleh orang kafir apabila mereka melihat azab-Nya. Firman Allah S.W.T: وَلَوۡ تَرَىٰٓ إِذۡ وُقِفُواْ عَلَى ٱلنَّارِ فَقَالُواْ يَٰلَيۡتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِـَٔايَٰتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ. Maksudnya : “Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman.” Kita mendesak agar kerajaan mengharamkan fileh ini dari terus disiarkan agar sebarang usaha dalam menyesatkan umat dalam apa juag bentuk termasuk melalui filem dapat disekat. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan