Jumaat, 13 Mac 2020

Kerajaan Taqwa DiBentuk Keredhaan Allah DiTuntut

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 1-2 surah al-Mulk : تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١﴾ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ ﴿٢﴾ Maksudnya : Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); Umat beriman sentiasa meyakini bahawa Allah adalah Pemerintah yang memiliki kuasa mutlak dalam memerintah segala raja-raja yang ada di dunia ini sama ada raja Islam ataupun kafir, adil ataupun zalim. Semua kerajaan dunia diberi oleh Allah di mana kerajaan-kerajaan itu tidak kekal selama-lamanya. Kerajaan yang kekal hanya kerajaan Allah sahaja sebagaimana Allah telah memberi kerajaan kepada nabi Daud AS dan anaknya nabi Sulaiman AS yang memerintah kerajaan yang besar menguasi jin, manusia dan binatang-binatang termasuk burung yang terbang di udara. Begitu juga kerajaan kepada Raja Zulqarnain yang disebut dalam Quran yang memerintah dunia. Allah memberi kerajaan juga kepada nabi Muhamad SAW. Dalam masa yang sama Allah turut memberi kerajaan kepada Namrud dan Firaun yang zalim. Allah memberi kerajaan kepada orang zalim yang ada pada hari ini. Mereka melakukan kezaliman dan bila habis tempuh Allah tamatkan kerajaan itu. Kerajaan Namrud dan Firaun yang zalim itu ditamatkan dan Allah kekalkan kisahnya dalam Quran. Kerajaan nabi Daud, nabi Sulaiman dan Raja Zulkurnain yang memerintah secara Islam telah berlalu dan dinyatakan dalam Quran. Kerajaan nabi Muhamad s.a.w dan kerajaan khalifah ar-Rasyidin serta khilafah Islamiah selepas itu dapat dibaca dalam kitab-kitab karangan ulamak. Mengapa Allah jadikan kerajaan itu silih berganti?. Antara hikmatnya ialah Allah hendak menguji manusia mana satu kerajaan yang hendak disokong. Manusia boleh menyokong mana-mana kerajaan yang mereka suka samada kerajaan zalim atau kerajaan adil. Di hari kiamat mereka akan dibicarakan di hadapan mahkamah Allah di mana kerajaan adil mendapat pahala yang sangat besar. Manakala Kerajaan zalim dan termasuk penyokong-penyokongnya masuk neraka. Firman Allah dalam ayat 66-67 surah al-Ahzab : يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّـهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا ﴿٦٦﴾ وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا ﴿٦٧﴾ Maksudnya Pada hari dibalik-balikkan muka-muka mereka dalam neraka lalu mereka berkata alangkah baiknya masa atas dunia dulu aku taatkan Allah dan taatkan rasul dan mereka berkata wahai Tuhan kami! Sebenarnya kami ikut pemimpin-pemimpin kami dan mereka telah menyesatkan kami atas dunia dulu.” Sidang Jumaat yang berkati Allah, Dari Abu Sa’id Al Khudri, ia berkata bahwa Rasulullah s.a.w bersabda, لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِى جُحْرِ ضَبٍّ لاَتَّبَعْتُمُوهُمْ . قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ – رواه مسلم Maksudnya : Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob, pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, Apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Lantas siapa lagi?” Kewajipan kita dalam memastikan sebarang perubahan terhadap kerajaan Malaysia ialah sebuah kerajaan yang lebih bersungguh dalam melaksanakan system Islam dalam negara. Kita dapat lihat bagaimana Yahudi dan barat cuba untuk merosakkan jatidiri umat Islam termasuk di Malaysia dengan menggunakan proksi-proksi liberal yang terdiri daripada ejen-ejen mereka yang berselindung di sebalik laungan, Islam moderate, Islam liberal, hak asasi manusia, hak samarata dan istilah-istilah lain yang bertopengkan Islam. Suara sumbang seperti mengkritik amalan solat berjemaah yang dijalankan di sekolah, qiamullail dan program kerohanian agama dikatakan tidak membantu dalam membangunkan perkembangan pelajar. Malah yang lebih teruk lagi bila didakwa pendidikan agama sebagai punca kelembapan minda orang Melayu sehingga adanya suara sumbang yang mencadangkan agar pendidikan agama di sekolah dihadkan tidak lebih dari 2 jam seminggu sahaja. Pemikiran sesat ini bukan sahaja bercanggah dengan cara didikan nabi Muhammad s.a.w malah sebuah kajian yang dijalankan oleh Harvard University mendapati bahawa anak-anak yang dibesarkan dengan didikan agama akan membesar dengan lebih sihat dan mempunyai kehidupan yang lebih baik ketika dewasa. Kajian yang dikendalikan oleh Harvard School of Public Health ini dijalankan ke atas 5000 responden berusia di antara 8 hingga 14 tahun. 18 peratus daripada mereka menikmati kegembiraan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak menerima pendidikan agama sejak dari kecil. Oleh itu yakinlah kita dengan pendidikan Islam dalam membina generasi yang hebat dunia sebagaimana Rasulullah S.A.W sangat menekankan pendidikan asas agama bagi anak-anak Muslim. Ulamak menjelaskan bahawa seawal kelahiran anak kecil itu lagi kita telah dianjurkan untuk membisikkan azan di telinga mereka. Lafaz-lafaz tauhid yang menerobos ke telinga mereka menggambarkan betapa penerapan nilai aqidah perlu diterapkan sejak anak kecil itu lahir ke dunia lagi. Pengabaian terhadap didikan agama akan melahirkan umat yang hilang jatidiri dan mudah terpengaruh dengan hidup sesat Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ‘Imran وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾ Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi Kita juga sama-sama doakan kepada Allah agar kerajaan yang akan terbentuk akan lebih bersungguh dalam menjaga kedaulatan Islam sebagai agama negara. Kita bimbang kata-kata dari salah sebuah laman sesawang Missionary Kristian yang memfokuskan usaha pendakyahan kepada Muslim di Malaysia. Kenapa mereka tetap nak berdakyah sedangkan mereka tahu Malaysia tidak membenarkan pendakyahan agama lain kepada Muslim di Malaysia?. Jawapannya mudah. Dalam buku “Vision 2020: A Malaysian Christian Response – Theoloji Wawasan 2020” halaman 103 ada jawapannya; (Secara asasnya, gereja hanya memiliki satu misi iaitu: penginjilan! Itulah perintah Tuhan kita (Matius 28:19)… Di dalam masyarakat berbilang bangsa, berpendidikan dan serba mewah, penginjilan adalah sangat sukar. Namun kita mesti mematuhi perintah itu (penginjilan). Masa depan kelihatan sukar tetapi hakikatnya ianya adakah masa keemasan untuk menginjilkan Malaysia.) Kristian sanggup menghadapi onak dan duri walaupun berdepan tindakan undang-undang tetapi bagaimana pula dengan kita sebagai Muslim?. Mereka tidak akan berhenti tetapi apakah majoriti Muslim masih lena dan tertidur di zon selesa sehingga ‘rumahnya terbakar’ sekalipun dia masih belum mahu berdakwah atau menyumbang kepada usaha dakwah?. Mereka tetap akan mara tetapi apakah Muslim cukup dengan marah tanpa mara ke depan untuk berdakwah? Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 20 surah al-A’araf : فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِن سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَـٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَن تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ ﴿٢٠﴾ Maksudnya : Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”. Kejahilan punca kesesatan maka ketika ada golongan Liberal yang keliru mengenai pensyariatan penutupan aurat. Katanya hukum aurat hanya datang pada zaman Nabi Muhammad. Pernyataan ini tidak benar bahkan bercanggah dengan pandangan beberapa Ulama’ berhubung perkara ini. Misalnya Al-Imam al-Qurtubi dalam kitab Jami li Ahkam al-Quran ketika menghuraikan ayat berhubung hasutan Iblis untuk mengeluarkan Nabi Adam dari syurga, beliau menjelaskan bahawa di sinilah bermula perbahasan isu berhubung aurat berlaku. “Dalam ayat ini terdapat dalil yang jelas membuktikan mengenai kejelikan membuka aurat, dan Allah telah mewajibkan untuk menutupnya (menutup aurat). Dan di situ titik permulaan kepada penutupannya. Dan tidak ada yang menghalang Allah mengeluarkan arahan (menutup aurat sedemikian) sepertimana arahan kepada Nabi Adam agar menjauhi pokok tersebut.” Perhatikan di sini bagaimana al-Imam al-Qurtubi berpandangan bahawa arahan (atau penghukuman) aurat ini telah bermula di zaman Nabi Adam lagi. Ia jelas bercanggah dengan pandangan seorang Feminis Liberal yang mengeluarkan kenyataan tanpa mendatangkan dalil yang jelas. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Fathu : وَلِلَّـهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ عَزِيزًا حَكِيمًا ﴿٧﴾ Maksudnya : Dan Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang-orang yang derhaka); dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, di rumah Allah yang mulia maka marilah kita sama-sama doakan keselamatan kepada saudara segama yang sedang dibunuh di Palestin, Syria, Iraq, China, India, Yaman, Filiphina, Myanmar dan selainnya. Jika sebelum ini dunia menyaksikan kezaliman yang melampau terhadap umat Islam Uyghuir oleh kerajaan China tapi lenyap isunya ditimbus oleh serangan virus corona yang menjalar hampir seluruh dunia. Yang terbaru pihak Arab Saudi menggantung visa pelancong dari negara-negara yang terjejas dengan virus tersebut. Sehebat dan sekuat mana manusia rasa namun tidak mampu menandingi kehebatan dan kekuatan Allah. Allah tidak perlu menghantar tenteraNya yang besar namun cukup dengan tentera sekecil virus namun mampu menggegarkan dunia Penderitaan saudara seagama di India yang berlarutan sekian lama kian memuncak dengan pelbagai tekanan dan kezaliman yang dilakukan tanpa pembelaan sewajarnya. Bagi yang berkemampuan hulurkan bantuan mengikut kadar kemampuan masing-masing. Paling penting panjatkan doa sentiasa kepada Allah dalam membantu dan menghentikan perderitaan saudara segama yang sedang ditindas. Adakah subur iman kita jika saudara seagama meraung kesakitan sedangkan kita melaung keseronokan, adakah kita boleh rehat kekenyangan sedangkan saudara seagama sedang menggelupur kelaparan, adakah kita boleh tidur nyenyak ketika musuh sedang melanyak tubuh saudara seagama, adakah air mata kita dibazirkan untuk menangis ditipu filem tv daripada sedih memikirkan penderitaan saudara seagama yang dibom, adakah kita tersenyum girang melihat mahligai indah sedangkan rumah saudara seagama sedang ranap menyembah tanah. Tepuklah dada tanyalah iman بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan