Jumaat, 21 Februari 2020
Valentine’s Day DiHindari, Laknat Allah DiJauhi, Rahmat Allah DiMiliki
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 24 surah at-Taubah :
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّـهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ ﴿٢٤﴾
Maksudnya : Katakanlah (wahai nabi Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)
Islam begitu menitikberatkan sifat berkasih sayang dengan memberi ruang lingkupnya sangat luas dan mempunyai batas-batas tertentu. Islam sememangnya dari peringkat asas lagi adalah agama yang menyebarkan kasih sayang bukan sahaja sesama manusia bahkan kasih sayang dizahirkan dengan melarang daripada melakukan kezaliman kepada alam dan binatang. Cinta yang paling agung adalah cinta kepada Allah diikuti dengan cinta kepada Rasul-Nya, para Sahabat, ibu bapa, sesama orang-orang beriman dan sesama manusia. Sebagai seorang beriman, kita wajib pandai menyusun kedudukan cintanya yang perlu didahulukan dan cinta yang mana perlu diputuskan. Pemahaman seseorang terhadap kedudukan cinta ini sudah tentu akan membentuk jati diri seseorang dan sudah tentu akan mempengaruhi cara ia berfikir dan bertindak. Al-Quran telah memberi panduan di dalam meletakkan kedudukan cinta bahkan al-Quran telah menggambarkan akibat apabila kita gagal meletakkan kedudukan cinta pada tempat sepatutnya iaitu bakal menerima azab Allah, digelar fasiq, jauh dari petunjuk Allah
Malah melalui ayat ayat 24 surah at-Taubah yang dibaca awal khutbah tadi maka kita mendapati bahawa cinta Allah adalah paling utama, Rasul-Nya dan berusaha bersungguh-sungguh sehabis daya untuk memenangkan agama Allah di atas muka bumi ini. Ayat di atas juga difahami bahawa kita tidak dihalang untuk mencintai perkara-perkara yang lazimnya dicintai oleh manusia seperti anggota keluarga, sanak saudara, perniagaan dan sebagainya asalkan kecintaan kepada perkara-perkara berkenaan tidak berlawanan dengan apa yang dibenarkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak membantut dan menghalang usaha jihad mendaulatkan agama Allah di atas muka bumi ini.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 72 surah an-Nahlu :
وَاللَّـهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ أَفَبِالْبَاطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَتِ اللَّـهِ هُمْ يَكْفُرُونَ ﴿٧٢﴾
Maksudnya : Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?
Tarikh 14 Februari seluruh dunia khususnya dunia remaja dan awal dewasa akan diwarnai dengan fenomena mengadakan sambutan ‘Hari Kekasih’ atau disebut sebagai Valentine’s Day. Sambutan lebih tertumpu kepada meraikan percintaan pasangan-pasangan walaupun ada di kalangan mereka yang tiada ikatan pernikahan yang sah.Jika disaring sambutan ‘Hari Kekasih’ seperti yang disambut oleh masyarakat muda-mudi hari ini, mengikut fahaman di atas maka kita dapati peluang untuk melanggar cinta Allah dan Rasul-Nya sangat terbuka luas. Mencintai kekasih yang berlainan jantina tanpa sebarang ikatan pernikahan yang sah sehingga membawa kepada pergaulan bebas adalah sesuatu yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya.
Bulan Februari dipromosikan sebagai bulan cinta dan dijadikan tema bulanan yang seolah-olah wajib diraikan. Media memainkan peranan mempromosi sambutan ini dengan berbagai pendekatan sama ada secara langsung mahupun secara halus. Tidak boleh secara terang-terangan, dibuat secara lebih diplomasi seperti menu istimewa sempena hari kekasih, fesyen hari kekasih dan sebagainya. Para pemuda-pemudi dikelirukan pula dengan pujukan “tidak mengapa menyambut hari kekasih dan menyambutnya berdua-duaan asalkan tahu menjaga diri”. Bahkan ada ibu bapa yang dikatakan ‘berfikiran terbuka’ mengizinkan sambutan berkenaan untuk hari istimewa itu
Oleh itu sebagai umat beriman yang memiliki jatidiri yang tinggi sepastinya menjauhi sebarang perkara yang menjerumus kepada kemungkaran termasuk zina yang bukan saja menjatuhkan maruah malah merosakkan keturunan
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Dari Abu Sa’id Al Khudri, ia berkata bahwa Rasulullah s.a.w bersabda,
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِى جُحْرِ ضَبٍّ لاَتَّبَعْتُمُوهُمْ . قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ – رواه مسلم
Maksudnya : Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob, pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, Apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Lantas siapa lagi?”
Umat Islam wajib sedar bahawa serangan terhadap Islam dan umatnya terus berlangsung tanpa henti. Serangan musuh bukan setakat dengan senjata fizikal malah melalui serangan pemikiran dalam menghilangkan jatidiri umat Islam. Yahudi dan barat cuba untuk merosakkan jatidiri umat Islam termasuk di Malaysia dengan menggunakan proksi-proksi liberal yang terdiri daripada ejen-ejen mereka yang berselindung di sebalik laungan, Islam moderate, Islam liberal, hak asasi manusia, hak samarata dan istilah-istilah lain yang bertopengkan Islam. Suara sumbang seperti mengkritik amalan solat berjemaah yang dijalankan di sekolah, qiamullail dan program kerohanian agama dikatakan tidak membantu dalam membangunkan perkembangan pelajar. Malah yang lebih teruk lagi bila didakwa pendidikan agama sebagai punca kelembapan minda orang Melayu sehingga dicadangkan agar pendidikan agama dihadkan tidak lebih dari 2 jam seminggu sahaja.
Pemikiran sesat ini bukan sahaja bercanggah dengan cara didikan nabi Muhammad s.a.w malah sebuah kajian yang dijalankan oleh Harvard University mendapati bahawa anak-anak yang dibesarkan dengan didikan agama akan membesar dengan lebih sihat dan mempunyai kehidupan yang lebih baik ketika dewasa. Kajian yang dikendalikan oleh Harvard School of Public Health ini dijalankan ke atas 5000 responden berusia di antara 8 hingga 14 tahun. 18 peratus daripada mereka menikmati kegembiraan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak menerima pendidikan agama sejak dari kecil. Sekalipun kesedaran mengenai agama dilihat menurun di Amerika, 51 peratus daripada mereka masih menganggap agama sebagai sesuatu yang sangat penting. Perkembangan di Amerika lebih membimbangkan apabila Pew Research Centre mengeluarkan data bahawa 36 peratus daripada anak-anak yang lahir sekitar tahun 1990 hingga 1996 tidak mengikat diri mereka dengan agama.
Oleh itu yakinlah kita dengan pendidikan Islam dalam membina generasi yang hebat dunia sebagaimana Rasulullah S.A.W sangat menekankan pendidikan asas agama bagi anak-anak Muslim. Al-Imam Ibn al-Qayyim menjelaskan bahawa seawal kelahiran anak kecil itu lagi kita telah dianjurkan untuk membisikkan azan di telinga mereka. Lafaz-lafaz tauhid yang menerobos ke telinga mereka menggambarkan betapa penerapan nilai aqidah perlu diterapkan sejak anak kecil itu lahir ke dunia lagi. Pengabaian terhadap didikan agama akan melahirkan umat yang hilang jatidiri dan mudah terpengaruh dengan hidup sesat
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 32 surah al-Anfal :
وَإِذْ قَالُوا اللَّـهُمَّ إِن كَانَ هَـٰذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِندِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِّنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ﴿٣٢﴾
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: “Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.
Kita berasa sedih akibat kejahilan maka terdapat golongan Liberal yang bertanya, mengapa Allah tidak menghantar petir ketika pendukung kemungkaran melakukan kerosakan di Mekah? Tahukah golongan Liberal ini bahawa kafir Quraisy pernah melakukan lebih dahsyat dari itu. Kafir Quraiys pernah menghimpunkan segala berhala di dalam Kaabah, bahkan memposisikan patung Hubal di atas Kaabah. Mereka melakukan dosa syirik iaitu kezaliman yang paling besar di sisi Allah, namun Allah tidak mengazab mereka serta merta. Soalan golongan liberal ini tidak ubah seperti yang pernah diutarakan oleh Abu Jahal sebagaimana dirakam dalam ayat 32 surah al-Anfal
Menurut al-Imam Ibn Hajar, soalan ini, atau lebih tepat cabaran ini diutarakan sendiri oleh Abu Jahal, penghulu kemungkaran yang mencabar kebenaran al-Quran. Tindakan Abu Jahal ini kemudian diikuti oleh beberapa pembesar Quraysh yang lain, bertanyakan sesuatu dengan nada mencabar kebenaran al-Quran. Mendengar cabaran tersebut, Allah terus menjawab melalui firmannya dalam ayat 33 surah al-Anfal:
وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Maksudnya : “Allah tidak akan sekali-kali menurunkan azab selagimana engkau (wahai nabi Muhammad) masih berada di sisi mereka. Bahkan Allah tidak akan mengazab mereka selagi mana ada dikalangan mereka yang memohon keampunan.”
Melalui ayat ini, Allah menjelaskan bahawa keberadaan Rasulullah yang berusaha untuk membimbing kaum Baginda menjadi sebab mengapa Allah menangguh azab. Bahkan ucapan istighfar (permohonan ampun) dan belas ehsan oleh kaum muslimin menjadi salah satu punca mengapa sesuatu azab ditangguhkan. Ini kerana, sekiranya Allah menimpakan azab ke atas sesuatu kaum, maka ia akan turut menimpa semua yang berada dengan mereka sebagaimana Firman Allah dalam ayat 45 surah Fatir:
وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا مَا تَرَكَ عَلَىٰ ظَهْرِهَا مِن دَابَّةٍ
Maksudnya : “Dan kalaulah Allah menghitung kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Allah tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak.”
Lalu, bagi menghadapi cabaran kafir Quraisy ini, Allah mendidik Rasulullah agar memberikan jawapan yang positif dengan menjelaskan bahawa Allah itu Maha Pengasih. Mengapa azab yang kamu minta sedangkan rahmat Allah itu luas?
Bala Allah jangan diminta, laknat Allah jangan dipinta. Perbanyakkan ibadat, istigfar dan taubat agar diampuni seterusnya disirami rahmat dan nikmat Allah dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن
Tiada ulasan:
Catat Ulasan