Jumaat, 3 Januari 2014

Sistem Islam DiLaksana Keberkatan Negara DiRasa

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 15-17 surah Saba’ : لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِن رِّ‌زْقِ رَ‌بِّكُمْ وَاشْكُرُ‌وا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَ‌بٌّ غَفُورٌ‌ ﴿١٥﴾ فَأَعْرَ‌ضُوا فَأَرْ‌سَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِ‌مِ وَبَدَّلْنَاهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِّن سِدْرٍ‌ قَلِيلٍ ﴿١٦﴾ ذَٰلِكَ جَزَيْنَاهُم بِمَا كَفَرُ‌وا ۖ وَهَلْ نُجَازِي إِلَّا الْكَفُورَ‌ Maksudnya : Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!. Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur Kita kini berada di penghujung bulan Disember tahun 2013 di mana kita bakal menyambut kedatangan tahun baru 2014 mulai Rabu depan. Jika pada penghunung tahun lepas ramai masyarakat dunia membicarakan tentang ramalan Qiamat mengikut kepercayaan Kalendar kaum Mayan yang menjangka berlaku pada 21 Disember 2012 sehingga ada yang begitu sibuk membuat pelbagai persiapan menghadapi Qiamat dengan pelbagai ragam dan gelagat mengikut logik akal yang lemah. Akhir-akhir ini sekali lagi masyarakat mula sibuk untuk membicara tentang Qiamat apabila berlakunya fanomena turun salji di beberapa negeri di Arab Saudi, Mesir disamping Vietnam dan Loas. Ini ditambah dengan peristiwa begitu banyak ikan tamban yang merupakan ikan pantai dalam mendarat di tepian pantai Lahad Datu, ikan lumba-lumba di pantai Terengganu sehingga masyarakat mula bimbang peristiwa tsunami yang pernah berlaku pada 26 Disember 2004 kembali berulang. Kita sebagai umat yang beriman kepada Allah dan hari Qiamat sewajibnya yakin bahawa tarikh Qiamat yang sebenar hanya diketahui oleh Allah. Melalui peristiwa yang berlaku menambahkan keyakinan tentang kehebatan Allah yang berkuasa melakukan segala sesuatu tanpa mampu disekat. Oleh itu kita mesti berebut-rebut untuk menambahkan bekalan akhirat bukannya sibuk mencari tarikh Qiamat kerana banyak tanda-tanda Qiamat samada besar atau kecil telah berlaku pada zaman kita. عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “كَيْفَ أَنْعَمُ وَصَاحِبُ الْقَرْنِ قَدِ الْتَقَمَ الْقَرْنَ وَاسْتَمَعَ الْإِذْنَ مَتَى يُؤْمَرُ بِالنَّفْخِ فَيَنْفُخُ”، فَكَأَنَّ ذَلِكَ ثَقُلَ عَلَى أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَهُمْ: “قُولُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا”. أخرجه أحمد ، والترمذي ، وابن حبان ، والحاكم Maksudnya : “Bagaimana boleh aku berasa tenteram dan tenang sedangkan Malaikat Israfil telah meletakkan serunai sangkakala ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya.” Maka keadaan itu menyebabkan para sahabat merasa terlalu bimbang maka sabda nabi kepada mereka ucapkanlah : “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dialah sebaik-baik pengurus, kepada Allah segala urusan kami serahkan. Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, Ketika merenung tentang kemakmuran dan keberkatan sesebuah Negara maka jadikan kisah al-Quran melalui kerajaan Saba’ sebagai contoh yang dirakam dalam surah Saba’ dan an-Namlu. Kerajaan Saba’ merupakan Suatu kuasa yang bertahan selama ratusan tahun bermula pada tahun 950 sebelum Masihi sehinggalah 115 sebelum Masihi yang telah melalui zaman pembinaan dan zaman kegemilangan yang bukan sahaja merupakan sebuah negara yang kaya, bahkan ia merupakan sebuah negara yang mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Menurut satu riwayat bahawa kerajaan tersebut pernah menaungi semua kerajaan yang berada di semenanjung tanah Arab pada satu ketika dahulu. Antara ciri kerajaan hebat ini ialah: Ciri-[1] Negara berkat ialah Kemajuan yang di dorong oleh aspek ketaqwaan kepada Allah SWT dan akidah yang tulen. Dalam kitab sejarah Al-Kamil fi al-Tarikh, Al-Bidayah wa Al-Nihayah, dan juga kitab-kitab tafsir berkenaan dengan kisah ini, kita dapati bahawa zaman kegemilangan dan kemakmuran ini berpunca daripada kepimpinan Ratu Balqis yang diutus oleh Nabi Allah Sulaiman a.s yang telah menjadikan aspek iman dan taqwa kepada Allah SWT sebagai asas pemerintahan. Oleh itu kita wajib berusaha dalam mencontohinya dengan melaksanakan syariat Islam secara syumul termasuk pelaksanaan segala hukum-hakamnya untuk memberi jaminan keamanan dan kemakmuran di dunia dan akhirat. Untuk mencapai ini pelaksanaan pemerintahan mestilah mengikut prinsip Maqasid Syariah iaitu keperluan asasi (dharuriah) yang memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Contoh terbaru di mana apabila kerajaan Brunei mengisytiharkan pelaksanaan Syariat bermula Jun 2014 maka 50 peratus kes jenayah berkurangan disamping 6 telaga minyak baru ditemui yang boleh mengeluarkan hasil sehingga 600 tahun. Yakinlah kita bahawa Allah yang memberi rezeki bukannya manusia. Taatilah Allah nescaya Allah mengasihi kita. Sebaliknya keengkaran terhadap perintah Allah mengundang padah dan derita Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah SWT dalam Surah al-A'araf ayat 96: وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَ‌ىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَ‌كَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْ‌ضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ Maksudnya : Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan". Ciri-[2] Negara berkat ialah Memberi keutamaan kepada aspek pembinaan sosial yang berasaskan ilmu dan keimanan kepada Allah. Keamanan terserlah sebagaimana dikisahkan dalam Tafsir Ibnu Kathir, para musafir tidak menghadapi masalah bekalan, di mana saja mereka singgah mereka boleh mendapatkan keperluan seperti minuman dan makanan. Mereka juga boleh berehat siang di daerah yang lain dan malam di daerah yang lain pula. Jelasnya, mereka boleh bermusafir dalam keadaan selesa dan aman. Ciri-[3] Negara berkat ialah Kekuatan ekonomi berasaskan tauhid sehinggalah keberkatan dan kemakmuran yang Allah kurniakan kepada mereka menyebabkan mereka tidak pernah kekurangan makanan, malahan berlebihan. Menurut Qatadah menceritakan jika seorang wanita pergi ke kebun membawa bakul dan menjunjungnya di atas kepala, buah-buahan yang masak ranum akan jatuh dengan sendirinya ke dalam bakul tanpa perlu dipetik dan apabila ia keluar dari kebun, bakulnya itu penuh berisi dengan buah-buahan. Tidak sebagaimana kita yang dibelenggu system riba sehinga Negara dan rakyat dicengkam oleh hutang yang tinggi sehingga adanya dakwaan ada aset Negara yang digadai bagi menghadapi defisit sebagaimana laporan Bank Dunia. Ramai rakyat termasuk golongan muda yang diisytihar muflis. Malah Negara masih bergantung kepada cukai arak dan judi di mana bagi tempoh 4 tahun dari 2006-2011 menjangkau RM 24.4 bilion Ciri-[4] Negara berkat ialah Kekuatan ketenteraan dan kesetiaan kepada pemerintah sehinggalah keselamatan dan keamanan dapat dinikmati oleh rakyat. Kita tidak mahu akibat salahguna dalam pembelian senjata yang tidak berkualiti, kehilangan senjata yang dianggap isu remeh-temeh serta masalah jenayah dari kalangan anggota keselamatan sendiri yang semakin menjadi-jadi akan menyebabkan keselamatan Negara semakin tergugat Ciri-[5] Negara berkat ialah Memiliki teknologi pembinaan yang tinggi sehingga mereka dapat membina empangan Maa'rib yang masyhur dan masih kekal sehingga ke hari ini. Sedangkan banyak pembangunan Negara kita untuk bermewah sehingga membazir dan banyak juga berlaku penyelengan sehinga adanya yang runtuh Ciri-[6] Negara berkat ialah Negara yang mengutamakan kebajikan untuk rakyat agar semua lapisan rakyat dapat mengecapi nikmat pembangunan, kemajuan dan menikmati hasil mahsul Negara. Bukan kekayaan hanya berlegar di kalangan orang kaya dan pemimpin sahaja sehingga rakyat diminta supaya berjimat sedangkan masalah ketirisan, pecah amanah dan rasuah menghanguskan berbilion wang rakyat tidak ditangani sebaliknya dijerut rakyat dengan kenaikan harga minyak, gula akan diikuti dengan kedatangan tahun baru 2014 dengan kebaikan tariff elektrik, tol, cukai pintu dan sebagainya. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal : وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَ‌سُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِ‌يحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُ‌وا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِ‌ينَ Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. Ketika mahu menutup tirai 2013 maka sewajarnya kita melihat nasib malang yang menimpa saudara seagama di beberapa Negara yang lain. Kita tidak mahu akibat terlalu teruja dengan bilangan pingat dalam pertandingan sukan SEA baru-baru ini menyebabkan kita lupa keganasan kerajaan Myanmar dalam membunuh dan menzalimi bangsa Ronghiya. Kita juga jangan memandang sebelah mata sahaja hukuman gantung kepada pemimpin gerakan Islam di Bangladesh akibat tunduk kepada kehendak golongan sekulerisme. Kita tidak mahu harga maruah dan darah umat Islam begitu murah sehingga boleh dipermainkan begitu sahaja oleh musuh Islam tanpa sebarang pembelaan dan tindakan sewajarnya daripada saudara seagama yang lain akibat sibuk mengejar kemewahan dunia dan benci kepada kematian. Kita juga jangan lupa untuk menghiaskan akhir tahun dengan amalan soleh termasuk membantu mangsa banjir besar terutama persiapan persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi dengan pelbagai cara. Kasihanilah manusia nescaya kita dikasihani oleh Allah dan seluruh makhluk di bumi dan di langit بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan