Jumaat, 10 Januari 2014

Cinta Nabi Muhammad s.a.w Subur Umat Makmur

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab : لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya Kini kita sedang menyambut kehadiran bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang merupakan nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Rahmat daripada kelahiran Rasulullah SAW merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk aqidah, syariah dan akhlak. Dalam soal membersihkan aqidah, Baginda s.a.w membimbing umat manusia kepada mentauhidkan Allah setelah masyarakat kehilangan arah sehingga meluasnya penyembahan berhala dan selainnya. Kemudian dalam soal syariat atau hukum-hakam agama maka ia diajar dan diperlihatkan oleh Baginda a.a.w sama ada melalui teori dan amali. Begitu juga dengan akhlak ditunjukkan melalui kehidupan seharian dan nasihat yang berkesan sehingga keindahan akhlak nabi Muhammad s.a.w berjaya menarik ramai manusia yang selama ini tenggelam dalam arus kerakusan hawa nafsu kepada adab Islam yang murni. Kejayaan sesuatu kepimpinan keluarga, masyarakat, negeri dan seterusnya negara bergantung kepada sejauh mana kita mencontohi cara hidup nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan. Kita wajib menghayati kisah hidup para sahabat nabi yang bukan sahaja bersungguh-sungguh mengikut cara hidup nabi dari segi pemakaian, pemakanan, membina keluarga bahagia, mengurus masyarakat dan Negara malah sanggup diseksa dan mati demi mempertahankan nabi Muhammad s.a.w. Pengorbanan suci ini lahir daripada rasa kasih dan cinta kepada nabi Muhammad s.a.w yang tidak berbelah bahagi. Tak kenal maka tak cinta serta tidak melahirkan rasa bertanggungjawab dan peka terhadap isu yang berkaitan dengan nabi Muhammad قال الرسول: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه Maksudnya:Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran : قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Perasaan kasih dan cinta yang tinggi kepada junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w tidak mampu terhasil melainkan melalui ilmu. Oleh itu betapa pentingnya system pendidikan Negara dirangka dalam melahirkan rakyat yang benar-benar mengenali seterusnya mencintai dan meneladani cara hidup nabi Muhammad s.a.w yang lengkap. Begitu juga suasana di rumah dan sekitar mesti menjadi perangsang kepada minat mendalam dalam diri anak-anak untuk mengenal nabi Muhammad s.a.w dan menjadikan baginda sebagai contoh teladan terbaik dalam kehidupan. Sempena berada di bulan Maulidurrasul s.a.w ini, marilah kita sama-sama menghitung diri tentang tahap kecintaan kita kepada nabi Muhammad s.a.w dan apakah usaha berterusan yang kita lakukan dalam menyuburkan rasa cinta kepada baginda. Berapa banyak kitab atau buku yang berkaitan kisah nabi Muhammad s.a.w berbanding novel, komik, majalah hiburan yang ada di rumah kita. Kita perlu mengambil perhatian sewajarnya berkenaan suatu Kaji selidik yang dilakukan oleh Adecco Malaysia menunjukkan 12 peratus kanak-kanak berusia 7 hingga 14 tahun di Malaysia mahu menjadi pelakon apabila dewasa sebagai pilihan utama kerana ingin mencipta nama dalam industri hiburan. Cara hidup dan pendedahan yang begitu meluas berkaitan cara hidup artis telah membuatkan anak-anak mudah terpengaruh dan menganggap bahawa cara hidup ini merupakan pilihan terbaik. Ibarat peribahasa “Melentur buluh biar dari rebungnya”. Oleh itu pendidikan anak-anak diperingkat bawah umur 12 tahun perlu dijaga dan dikawal kerana peringkat usia ini mereka mudah terpengaruh samada perkara baik atau buruk dari segi pemakaian, pergaulan, pemakanan, cara bercakap dan sebagainya. Banyak kisah bagaimana hebatnya nabi Muhammad s.a.w dalam mendidik golongan kanak-kanak dan remaja dari segi adab kehidupan sehingga pendidikan ini melekat dan disuburkan lagi kepada orang lain. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 128-129 surah at-Taubah : لَقَدْ جَاءَكُمْ رَ‌سُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِ‌يصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَ‌ءُوفٌ رَّ‌حِيمٌ ﴿١٢٨﴾ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَ‌بُّ الْعَرْ‌شِ الْعَظِيمِ ﴿١٢٩﴾ Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang agong." Sempena berada di bulan Maulidurrasul s.a.w ini juga marilah kita perbanyakkan untuk berselawat kepada junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w عن أبي هريرة أن رسول الله قال: مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً وَاحِدَةً، صَلىَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْر ًا ( رواه مسلم) Maksudnya : Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali maka Allah berselawat (iaitu memberi rahmat dan gandaan ganjaran) ke atasnya sepuluh kali Jika para bapa yang lain lebih banyak berjasa memelihara kebajikan kebendaan yang tidak kekal sifatnya maka Rasulullah s.a.w adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur jiwa dan ruh umatnya agar berjaya di dunia dan akhirat. Hidup dan mati baginda sentiasa tamak menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk umatnya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan. Kasih sayang yang tinggi pada umatnya tergambar dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud : Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu al ‘As berkata : Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca ayat 36 surah Ibrahim: رَ‌بِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرً‌ا مِّنَ النَّاسِ ۖ فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ‌ رَّ‌حِيمٌ Maksudnya : Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). Kemudian Baginda SAW membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118 : إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ ۖ وَإِن تَغْفِرْ‌ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ Maksudnya : Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana Setelah itu, Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis: Ya Allah! Umatku! Umatku! Lalu Allah berfirman kepada Jibril as, “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada nabi Muhammad – sememangnya Allah lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.” Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as, “Pergilah kamu menemui nabi Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau. Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keprihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda SAW menzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Menyedari betapa kasihnya nabi kepada kita sebagai umatnya maka wajib meningkat lagi rasa cinta dan kasih kita kepada baginda dengan bersungguh melaksanakan sunnah nabi dalam setiap aspek kehidupan. Bermula daripada pemimpin yang wajib menanamkan rasa bertanggungjawab kepada rakyat jelata sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh nabi bukannya membiarkan amalan rasuah, pecah amanah dan pembaziran dalam menguruskan harta rakyat kemudian dihisap darah rakyat dengan kenaikan harga minyak, barangan keperluan, tol, tarif elektrik, cukai dan sebagainya. Pastikan cadangan dan tindakan yang boleh merosakkan aqidah dan akhlak umat Islam disisihkan serta perkasakan pelaksaan syariat Islam dalam Negara dalam meraih keberkatan dan rahmat daripada Allah dunia akhirat. Begitu juga ibubapa bertanggungjawab dalam melahirkan zuriat yang cintakan Allah dan rasulNya agar masalah kerosakan akhlak dan jenayah rumahtangga dapat diatasi. Sunnah nabi dilaksana umat mulia. Sirah nabi dihayati umat diberkati Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru : وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya) بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan