السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 144 surah al-Baqarah :
قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاء فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّواْ وُجُوِهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوْتُواْ الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.
Kita sekarang ini masih berada pada bulan Sya’aban yang pernah melakar beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya peristiwa perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama yahudi dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Selagi sistem yang digunakan oleh oleh umat Islam masih berqiblat kepada sistem kuffar maka selagi itulah kita terus mundur dan terjajah dalam negara sendiri. Sebagai contohnya yahudi sentiasa memastikan agar umat Islam tidak kembali kepada penggunaan wang dinar walau pun di kalangan negara bawah Pertubuhan Negara Islam (OIC) sahaja kerana yahudi bimbang sistem riba akan hancur dan pelbagai penipuan melalui wang kertas yang membolehkan mereka kaya raya akan musnah. Kita pernah menyaksikan bagaimana pertukaran penggunaan wang dinar emas kepada wang kertas antara penyebab kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki 1924. Malah perlaksanaan hukum hudud iaitu kerat tangan kepada pencuri turut terganggu jika kadar minima dibuat berdasarkan wang kertas kerana nilainya sentiasa berubah berbanding dinar emas. Ketika menyebut berkenaan Masjid Aqsa juga maka tidak boleh lari untuk kita memperkatakan tentang usaha yang perlu kita lakukan dalam membebaskan bumi Palestin terutama ketika memperingati suatu sejarah hitam 39 tahun tindakan jahat seorang pelampau yahudi yang membakar Masjid Aqsa pada 21 Ogos 1969 atas alasan agama bagi membina Haikal nabi Sulaiman di atas runtuhan Masjid Aqsa itu. Buat sekian kalinya kita sebagai umat Islam yang bermaruah menyatakan bahawa Masjid Aqsa milik Islam dan sekiranya benar Masjid Aqsa dibina adalah Haikal nabi Sulaiman maka ia pun milik umat Islam kerana semua nabi adalah menyeru kepada agama yang satu iaitu Islam.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 173 dan 174 surah Ali ’Imran :
الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ فَانْقَلَبُوا بِنِعْمَةٍ مِنَ اللهِ وَفَضْلٍ لَمْ يَمْسَسْهُمْ سُوءٌ وَاتَّبَعُوا رِضْوَانَ اللهِ ۗ وَاللهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ
Maksudnya : Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar
Peristiwa besar kedua yang pernah berlaku pada bulan Sya’aban tahun ke 4 Hijrah ialah Peperangan Badar Sughra atau Badar Kecil. Peperangan ini meletus setahun selepas Peperangan Uhud bagi mememenuhi janji Abu Sufian yang merupakan antara pembesar kafir Quraisy pada waktu itu di mana sebaik sahaja menang dalam peperangan Uhud maka Abu Sufian dengan angkuhnya mencabar nabi Muhammad s.a.w untuk bertempur di Badar pada tahun berikutnya bagi menentukan siapa sebenarnya yang layak untuk bergelar pemenang samada nabi bersama tentera Islam atau tentera kafir Quraisy. Nabi Muhammad s.a.w sebagai memenuhi janji tersebut mengumpul sejumlah tentera Islam telah keluar ke Badar manakala tentera kafir Quraisy pimpinan Abu Sufian turut keluar tetapi belum sampai di Badar lalu Abu Sufian terus berasa takut untuk berperang lalu dinyatakan alasan untuk menarik diri disebabkan cuaca kemarau dan dipersetujui oleh semua tentera kafir yang sememangnya takut untuk berperang. Bagi menutup kelemahan dan perasaan takut ini lalu Abu Sufian mengupah seorang Islam yang bernama Nua’im bin Mas’ud yang baru pulang dari Mekah kerana menunaikan umrah supaya menakut-nakutkan nabi dan tentera Islam agar jangan keluar ke Badar atas alasan tentera musuh begitu ramai dan tidak mampu dihadapi oleh tentera. Dia juga menyatakan supaya tentera Islam jangan terlalu mengikut perasaan untuk pergi berperang agar kekalahan dalam peperangan Uhud yang baru setahun berlalu tidak berulang semula. Hasutan ini diterima oleh sebahagian besar tentera Islam tetapi bila mendengar kata-kata Rasulullah bahawa baginda tetap akan keluar ke Badar walau pun seorang diri telah menyebabkan semangat tentera Islam semakin berkobar-kobar. Akhirnya bila tiba di Badar dan menunggu ketibaan tentera kafir Quraisy selama 8 hari maka didapati musuh tidak kunjung tiba. Nabi Muhammad s.a.w dan para tentera Islam telah mendapat 2 kemenangan iaitu musuh yang menyerah sebelum berperang dan keuntungan berlipat ganda daripada perniagaan sepanjang 8 hari di Badar sambil menunggu musuh datang. Persitiwa ini memberi pengajaran penting agar kita sentiasa menepati janji walau pun terhadap musuh. Kita juga mesti beringat bahawa sentiasa wujud musuh dalam selimut yang sanggup makan upahan musuh Islam di dalam melemah dan menghancurkan kesatuan umat Islam. Kita sebagai umat Islam yang cintakan Allah dan rasulNya mesti sentiasa bersiap dari segi ilmu dan kemampuan yang lain dalam menghadapi musuh Islam. Kewajipan kita sekarang ialah untuk mengurangkan musuh dengan memastikan kita sendiri betul-betul faham dan beramal dengan Islam sehingga orang bukan Islam semakin jelas tentang Islam dan mereka bertindak bijak masuk Islam atau sekurang-kurangnya mereka tidak menentang Islam
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Peristiwa besar yang ketiga yang berlangsung pada bulan Sya’aban ini juga ialah Peperangan Bani Mustaliq pada tahun 6 Hijrah apabila Rasulullah bertindak pantas menyerang Bani Mustaliq yang sedang merancang untuk menyerang Madinah. Antara perkara yang besar sepanjang peperangan ini ialah khabar Ifk atau berita bohong yang dilempar terhadap diri Siti Aisyah yang dituduh melakukan perbuatan sumbang dengan Safwan bin al-Mu’tal. Fitnah ini begitu kuat sehingga Rasulullah s.a.w sendiri tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah turunnya wahyu yang menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. Rasulullah s.a.w sendiri meminta agar diselidik mengenai orang- yang mula-mula menaburkan fitnah yang dahsyat ini di mana akhirnya 3 orang dihukum dengan hukuman qazaf 80 kali sebatan iaitu Hasan bin Thabit, Musytaq dan seorang perempuan bangsawan Quraisy. Peristiwa ini memberi pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam supaya berhati-hati dan cermat terutama dalam berdepan dengan fitnah dan tuduhan liar terhadap Islam dan umatnya. Kita bimbang budaya bersumpah sebelum lagi sesuatu bukti tuduhan ditunjukkan di mahkamah akan menjadi suatu cara untuk tidak lagi menggunakan saluran mahkamah sebagai tempat untuk menghukum siapa salah dan siapa benar sebaliknya cukup sekadar siapa yang berani bersumpah dialah yang benar walau pun bukti tiada.
Firman Allah dalam ayat 19 surah an-Nur :
إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ۚ وَاللهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman maka bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan