Ahad, 1 Ogos 2010

111. MERDEKAKAN NEGARA DARIPADA PENJAJAHAN BARU

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 31 surah Saba’ :
وقال الذين كفروا لن نؤمن بهذا القرءان ولا بالذي بين يديه ولو ترى إذ الظــلمون موقوفون عند ربهم يرجع بعضهم إلى بعض القول يقول الذين استنضعفوا للذين استكبروا لولآ أنتم لكنا مؤمنين
Maksudnya : Dan orang-orang kafir berkata : “ Kami sekali-kali tidak akan beriman kepada al-Quran ini dan tidak pula beriman kepada kitab-kitab sebelumnya”. Dan betapa hebatnya jika kamu melihat ketika mereka yang zalim itu dihadapkan kepada Tuhannya di mana sebahagian mereka menghadapkan perkataan kepada sebahagian yang lain. Berkata mereka yang dianggap lemah kepada mereka yang menyombong diri : “ Jika bukan kerana kamu nescaya kami menjadi orang-orang yang beriman”.
Setiap insan cintakan kebebasan dan kemerdekaan mengikut keadaan masing-masing. Si miskin mahu bebas daripada kemiskinan, Si peniaga mahu bebas daripada belenggu hutang dan kerugian, Si banduan mahu bebas daripada penjara dan Mangsa kezaliman mahu bebas daripada penindasan. Setiap manusia mudah menyebut perkataan merdeka tetapi ramai di kalangan mereka tidak tahu hakikat kemerdekaan dan bagaimana cara mengisi kemerdekaan. Ramai yang hanya tahu melaung perkataan merdeka sedangkan dirinya terus terjajah. Makna kemerdekaan yang sepatutnya kita guna pakai ialah kebebasan daripada kesempitan sistem jahiliah kepada keluasan dan keadilan Islam, daripada penindasan kezaliman sistem yang sesat kepada kesaksamaan sistem Islam, daripada belenggu kegelapan jahiliah kepada sinar ilmu Islam yang terang.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Kini buat sekian kalinya rakyat negara ini menyambut ketibaan bulan Ogos yang merupakan bulan bagi menyambut kemerdekaan negara daripada penjajah. Bagi mereka yang pernah hidup di zaman penjajah maka mereka pernah merasai keperitan hidup di zaman itu dan bagi generasi yang muda pula mereka hanya mendengar melalui cerita ayah dan datuk mereka tentang penindasan yang telah dilakukan oleh penjajah terhadap rakyat jelata. Di sini sudah kita dapati perbezaan antara dua golongan iaitu yang tua dan yang muda dalam mengerti erti kemerdekaan di mana yang tua lebih terasa bahang kemerdekaan berbanding dengan generasi muda. Golongan tua menyambut merdeka dengan penuh perasaan hiba sedangkan generasi muda kebanyakannya hanya tahu melompat menjerit perkataan merdeka sedangkan diri mereka disalut dengan budaya penjajah.
Pada tahun ini kerajaan akan membazirkan sebanyak RM 1 juta wang rakyat bagi kempen mengibar bendera jalur gemilang. Bila dilihat kepada keadaan ini maka menunjukkan bagaimana rakyat pada hari ini kurang bersemangat menyambut merdeka sehingga kerajaan terpaksa membazirkan wang yang begitu banyak bertujuan semata-mata mahu melihat rakyat mengibar bendera. Semangat menyambut merdeka telah semakin berkurangan disebabkan berlakunya penjajahan baru oleh pemimpin dictator yang terlalu banyak menindas rakyat. Walau pun penjajah British telah dihalau namun anak buah penjajah yang menjadi gantiannya terus memerintah menggunakan sistem penjajah disamping lebih banyak penyelewengan yang berlaku sehingga rakyat tidak tahu lagi membeza antara penjajahan British dengan penjajahan pemimpin yang sebangsa. Rakyat mula berfikir tentang bagaimana mereka diminta bergembira mengibarkan bendera sedangkan pemimpin terus ketawa menggadai negara. Rakyat mula bimbang pada suatu masa nanti negara ini hanya tinggal bendera sedangkan seluruh kekayaan dan tanah akan menjadi milik orang asing akibat kelalaian dan penyelewengan pemimpin yang tamak haloba. Kemerdekaan yang disambut tidak lebih daripada menang sorak kampung tergadai. Oleh itu marilah kita sama-sama menukarkan cara sambutan merdeka ke arah mengikut lunas Islam agar kemerdekaan yang pernah dicapai dapat digunakan sepenuhnya dalam melaksanakan kembali sistem Islam sebagaimana yang telah dilaksanakan pada zaman Kesultanan Melayu sebelum kedatangan penjajah.


Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Pada zaman sebelum merdeka, penjajah British tidak berani mengganggu sekolah-sekolah Melayu dan pondok-pondok tempat pengajian agama sedangkan pada zaman anak didik penjajah di mana mereka lebih berani dalam menukar cuti daripada Jumaat kepada hari Ahad di beberapa buah negeri, penghapusan tulisan jawi sebelum ini, pengurangan isi kandungan dalam pengajian Islam, larangan memakai kopiah apatah lagi jubah dan serban di sekolah serta anak didik penjajah dengan begitu lantang memerangi pusat pengajian Islam sehingga ada yang terpaksa ditutup disamping menyusahkan orang ramai daripada mendapatkan pengajian di surau dan masjid sehingga kebanyakan masjid hanya menjadi tempat solat sahaja bukan lagi berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu Islam. Mengajar agama secara menyeluruh dianggap pengganas dan membahayakan keselamatan negara sedangkan sistem pendidikan yang ada lebih ramai melahirkan kaki lepak dan mereka yang terlibat dengan najis dadah sehingga pusat Serenti tumbuh sama banyak dengan bilangan universiti.
Malah anak didik penjajah turut berani mahu menukarkan pengajian sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sedangkan usaha ini tidak lebih daripada berundur ke belakang dan mengkhianati amanah bangsa. Usaha ini telah ditentang oleh orang Melayu walau pun pemimpin yang mengaku berbangsa Melayu ini mendakwa bahawa kebanyakan orang Melayu setuju dengan usaha ini. Mereka boleh menyembunyikan fakta yang sebenar kerana seluruh media dikuasai oleh pemimpin yang hanya tahu menipu rakyat sedangkan dalam masa yang sama sudah ramai guru-guru yang mahu menarik diri daripada mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Mengapakah kita perlu bersetuju dengan usaha anak didik penjajah yang menjadi pengkhianat kepada bangsa sendiri sedangkan orang Cina dan India turut bangun menentang secara terang-terangan usaha penggunaan Bahasa penjajah itu di negara ini. Sepatutnya semakin lama merdeka maka semakin banyak ilmu yang dapat di alih ke dalam bahasa Melayu sebagaimana usaha kuffar yang telah menghabiskan wang yang banyak dalam menterjemahkan ilmu-ilmu yang diambil daripada tamadun Islam dalam bahasa arab ke dalam bahasa mereka. Adakah setelah begitu lama kita merdeka dan semakin banyak universiti yang dibangunkan maka negara kita masih kekurangan ahli penterjemah dan pakar bahasa. Jika masih belum mampu melahirkannya maka suatu usaha yang lebih gigih mesti dibuat segera bukannya hanya tahu membazirkan wang rakyat dalam membina mahligai yang berjuta serta membina projek mega yang hanya menguntungkan kroni sahaja sedangkan rakyat hanya mampu berputih mata


Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Sehubungan dengan ini maka sempena sambutan bulan merdeka maka sepatutnya kita sambut dengan penuh insaf dalam mengembalikan semula negara ini sebagaimana sebelum kedatangan penjajah iaitu di dalamnya dilaksanakan sistem Islam secara menyeluruh. Sepatutnya semakin lama menyambut merdeka maka semakin kurangnya orang bukan Islam dalam negara jika kerajaan yang ada begitu serius mengajak orang bukan Islam terutama bangsa Cina dan India untuk memeluk Islam. Alangkah indahnya pada suatu hari nanti kita dapat merasai bagaimana orang Melayu, Cina, India dan lain bangsa bersatu dalam satu agama iaitu Islam dalam memajukan negara. Tiada lagi perasaan iri hati dan dendam kepada suatu bangsa yang lain kerana masing-masing sudah disatukan oleh Islam. Orang Cina dan India serta bangsa lain tidak boleh bertukar kepada bangsa Melayu tetapi mereka boleh bersama kita di dunia dan akhirat dengan memeluk Islam. Pada hari ini kita masih gagal merasai suasana itu kerana kita diperintah oleh pemimpin yang berjuang atas semangat kebangsaan yang sempit. Semoga dengan merdekanya kita daripada pemimpin yang kolot dan ketinggalan zaman itu maka erti kemerdekaan yang hakiki dapat dirasai oleh seluruh rakyat jelata
Firman Allah dalam ayat 37 surah Saba’ :
وما أمولكم ولآأولــدكم بالتي تقربكم عندنا زلفى إلا من ءامن وعمل صالحا فأولئك لهم جزاء الضعف بما عملوا وهم فى الغرفــت ءامنون
Maksudnya : Dan bukanlah harta dan anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami walau pun sedikit. Tetapi mereka yang beriman dan beramal soleh maka mereka itulah yang memperolehi balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi iaitu di Syurga.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan