Isnin, 28 April 2008

76. ISLAM PENTINGKAN KEPIMPINAN

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 166 dan167 surah al-Baqarah :
إذ تبرأ الذين اتبعوا من الذين اتبعوا ورأو العذاب وتقطعت بهم الأسباب وقال الذين اتبعوا لو أن لنا كرة فنتبرأ منهم كما تبرءوا منا كذلك يريهم الله أعمــلهم حسرت عليهم وما هم بخـــرجين من النار
Maksudnya : Ketika orang-orang yang diikuti (pemimpin) itu berlepas diri daripada mereka yang mengikutinya dan mereka melihat siksa dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah para pengikut : " Sekiranya kami dapat kembali (ke dunia) sudah pasti kami akan berlepas diri daripada mereka (pemimpin) sebagaimana mereka (pemimpin) berlepas diri daripada kami". Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka yang menjadi kesesalan bagi mereka dan mereka tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripada api neraka.
Islam menyuruh umatnya agar berhijrah daripada sesuatu yang buruk kepada sesuatu yang baik dan daripada keadaan yang baik kepada suasana yang lebih baik berdasarkan pertimbangan wahyu bukannya nafsu. Selagi wahyu Allah S.W.T diletakkan di tempat yang sepatutnya maka segala godaan nafsu dapat dihindarkan sebaliknya jika nafsu yang dihasut oleh syaitan dibiarkan menguasai setiap tindakan maka ia semestinya akan mengenepikan segala kehendak wahyu yang bertentangan dengan nafsu. Kita dapat lihat bagaimana peristiwa Hijraturrasul yang sentiasa kita peringatkan setiap kali datangnya bulan Muharram telah menyaksikan suatu perubahan besar bukan sahaja pada peranan Rasulullah s.a.w itu sendiri malah pelaksanaan sistem Islam semakin meluas bukan sahaja berkisar mengenai aqidah, ibadat khusus dan akhlak sahaja sebagaimana yang pernah berlaku di Mekah sebelum berlangsungnya hijrah. Islam semakin kuat dan umat Islam semakin gagah apabila berdirinya Daulah Islam pertama di Madinah di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w sehingga keindahan dan keadilan Islam semakin jelas dapat dilihat dan dirasai dengan terlaksananya seluruh sistem Islam dalam pemerintahan yang merangkumi ibadat, politik, sosial, ekonomi dan selainnya. Melalui peristiwa ini juga kita dapat lihat bagaimana pentingnya kepimpinan dalam Islam yang membolehkan system Islam dapat dijalankan dengan jayanya tanpa banyak soal dan dalih. Rasulullah s.a.w sendiri yang menjadi pemimpin telah menunjukkan lagi bagaimana Islam menyuruh agar kepimpinan yang dilantik oleh umat Islam mestilah yang berkemampuan membawa manusia bukan sahaja untuk mencari kesenangan hidup di dunia malah pemimpin dalam Islam mestilah terdiri kalangan mereka yang mampu menunjuk cara hidup yang betul di dunia sehingga mampu mencapai keredhaan Allah S.W.T dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Bulan Muharram turut mengingatkan kita tentang kewafatan Khalifah Islam yang kedua iaitu Sayyidina Umar al-Khottab di mana sebelum menghembuskan nafas yang terakhir maka Sayyidina Umar sempat berwasiat agar dipilih pemimpin selepasnya dari kalangan ahli Majlis Syura yang terdiri daripada sahabat-sahabat utama. Kepimpinan merupakan suatu amanah yang besar dalam memastikan kesucian Islam dapat dijaga daripada dicemari dan urusan dunia dapat ditadbir berlandaskan wahyu bukannya nafsu. Kepimpinan dalam Islam bukan untuk membuat pembangunan fizikal semata-mata tetapi apa yang lebih penting ialah pemimpin yang dilantik mestilah berusaha dalam membina tamadun kemanusiaan dan kebendaan secara serentak sehingga rakyat dapat hidup dalam suasana tunduk dan patuh kepada ajaran agama bukannya semakin ramai yang mahu lari dari berpegang teguh kepada ajaran Islam yang menyeluruh. Kita dapat lihat bagaimana kepimpinan banyak mempengaruhi keadaan rakyat dalam beragama seperti 2 pemimpin sebelum Khalifah Umar bin Abdul Aziz di mana salah satu pemimpin itu suka bercakap tentang perempuan sehingga rakyat jelata turut banyak bercakap mengenai perempuan juga manakala seorang pemimpin lagi suka berhibur dengan hiburan yang melalaikan sehingga rakyat pun ramai yang hidup sebagaimana pemimpin itu. Apabila Khalifah Umar bin Abdul Aziz naik menjadi khalifah dan sentiasa bercakap mengenai agama terutama kehidupan akhirat maka rakyatnya turut bercakap mengenainya. الناس على دين ملوكهم : Manusia mengikut agama pemimpin mereka. Jika pemimpin gila dunia maka ramai rakyatnya turut mengejar dunia sehingga lupa kepada akhirat dan bila pemimpin sentiasa takutkan Allah S.W.T serta mengingati pembalasan hari akhirat maka rakyat pun ramai yang hidup sebagaimana cara hidup pemimpin mereka itu.
Sebab itulah pemimpin yang adil merupakan antara golongan yang bakal dibayangi oleh ‘Arasy Allah S.W.T pada hari akhirat nanti sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis :
وعن أبي هريرة رضى الله عنه عن النبي  قال : سَبْعَةٌ يُظِلُّمُهُمُ اللهُ فِى ظِلِّهِ يَوْمَ لاظِلَّ إِلا ظِلُّهُ : إِمَامٌ عَادِلٌ
Maksudnya : 7 golongan yang akan mendapat perlindungan Allah S.W.T pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah S.W.T pada hari akhirat nanti iaitu :Golongan pertama ialah pemimpin yang adil

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Kepimpinan dalam Islam ialah suatu amanah besar dalam memastikan seluruh system Islam dilaksanakan dalam pemerintahan agar keadilan Islam dapat disebarkan dan rakyat dapat hidup dalam suasana yang dikawal dan dijaga oleh wahyu bukannya nafsu sehingga kita mendapat keredhaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat nanti. Ingatlah bahawa kehidupan kita ini bukan berakhir di lubang kubur sahaja malah segala amalan kita sepanjang hidup di dunia bakal disoal di hadapan Allah S.W.T di akhirat nanti. Oleh itu soal kepimpinan mestilah diambil berat sehingga kita dapat membuat keputusan yang betul sebagaimana yang disuruh oleh agama iaitu memilih pemimpin yang mampu melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah S.W.T dan menjauhi segala yang ditegah oleh Allah S.W.T seperti memilih pemimpin yang berusaha mengharamkan judi bukannya menggalakkan lagi perjudian, memilih pemimpin yang berusaha menghadkan penjualan arak di kalangan bukan Islam bukannya membina 27 kilang arak sehingga rakyat negara ini berada di tempat ke-10 pengguna arak terbesar di dunia, memilih pemimpin yang berusaha melaksanakan hukum hudud bagi menyelesaikan banyak masalah sosial terutama kecurian, rompakan, zina, rogol yang begitu meningkat bukannya berusaha menyaman hukum hudud, memilih pemimpin yang berusaha menghidupkan masjid dan surau bukannya bertindak kejam merobohnya, memilih pemimpin yang berusaha meningkatkan kemajuan sekolah dan pusat pengajian agama bukannya berusaha menyekat perkembangannya termasuk menarik bantuan berkapita yang menyebabkan banyak sekolah agama rakyat yang terpaksa ditutup. Kita kena ingat kepada peringatan Allah S.W.T sebagaimana yang tersebut dalam ayat 166 dan167 surah al-Baqarah di mana betapa ramai rakyat yang menyesal akibat tersilap memilih pemimpin sehingga mereka menyuruh Allah agar disiksa pemimpin yang selama ini mernyesatkan mereka di dunia dengan siksaan yang lebih berat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Sempena hari Jumaat yang mulia ini kita turut menyatakan kesedihan terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas tahanan ISA. Ada yang dibakar janggut kerana tidak mahu bercukur dan ada yang hanya dibenarkan sembahyang dengan berseluar pendek. Apa yang lebih malang apabila ramai tahanan ISA yang ditahan selama dua tahun tidak pernah dibenarkan untuk mengerjakan solat Jumaat sepanjang tempoh dua tahun itu. Semoga kezaliman ISA dapat dihentikan dengan tindakan bijak kita dalam memilih pemimpin. Jadikan Islam sebagai dasar kita dalam memilih pemimpin sehingga kita mampu menunaikan kewajipan terhadap agama dan negara dengan baik. Semoga kezaliman dan kesesatan dapat dihentikan dengan pemilihan pemimpin berlandaskan wahyu bukannya nafsu.
Firman Allah dalam ayat 113 surah Hud :
ولا تركنوا إلى الذين ظلموا فتمسكم النار ومالكم من دون الله من أولياء ثم لاتنصرون
Maksudnya : Dan Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah S.W.T. Kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan