Jumaat, 25 April 2008

70. RAIHKANLAH KEMULIAAN HIDUP DENGAN IMAN

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 54 surah al-Maidah :
يــأيها الذين ءامنوا من يرتد منكم عن دينه فسوف يأتى الله بقوم يحبهم ويحبونه أذلة على المؤمنين أعزة على الكــفرين يجــهدون فى سبيل الله ولايخافون لومة لآئم ذلك فضل الله يؤتيه من يشاء والله وسع عليم
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu yang murtad dari agamaNya maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum di mana Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai Allah, bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin dan tegas terhadap orang kafir, berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah suatu kurniaan Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui
Manusia sentiasa mencari kebahagiaan hakiki dan kemuliaan diri dengan pelbagai cara samada bersumberkan suluhan wahyu atau pun tersesat dalam kongkongan nafsu. Melalui neraca yang ditunjukkan oleh al-Quran dan hadis nabi serta catatan sejarah maka kita dapati bagaimana kebahagiaan hakiki dan kemuliaan abadi hanya mampu diraih apabila manusia tunduk kepada kehendak Allah dan rasulNya dengan mengikut segala ajaran Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Kebahagiaan dan keseronokan adalah sesuatu yang berbeza, begitu juga dengan kemuliaan dan kekayaan merupakan sesuatu yang berlainan. Ramai manusia yang membeli keseronokan dengan hanyut dalam hiburan yang melalaikan sehingga ada yang terlampau mahu mencari keronokan dengan menghampiri najis arak dan dadah namun begitu pada zahirnya mereka nampak seronok tetapi sebenarnya mereka gagal mendapat kebahagiaan di mana jiwa mereka terus kekosongan. Ramai manusia yang memiliki kekayaan tetapi tidak merasai ketenangan apatah lagi kemuliaan hidup di mana manusia disekelilingnya hanya sayang pada hartanya bukan mengasihi dirinya terutama kekayaan itu diperolehi daripada sumber yang haram. Oleh itu berhatilah kita dalam mencari kebahagiaan hakiki dan kemuliaan abadi dengan memastikan diri kita mengikuti jejak langkah yang telah diwahyukan oleh Allah dan ditunjukkan oleh Rasulllah s.a.w kepada kita.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kebahagiaan hakiki dan kemuliaan abadi hanya dapat diraih apabila kita dapat merasai kemanisan iman dengan mencintai Allah dan rasulNya melebihi kasih kita kepada perkara yang lain serta mengasihi saudara Islam yang lain atas dasar iman bukan selainnya sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Anas:
قَالَ الرَّسُوْلُ : ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ ِبهِنَّ حَلاوَةَ الإْيمَان : أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ ِمَّما سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لايُحِبُّهَ إِلا ِللهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ
Maksudnya : Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini nescaya dia akan dapat merasakan kemanisan iman iaitu dia mengasihi Allah dan rasulNya lebih daripada yang lain dan dia mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka
Setelah meraih rasa kasih yang tidak berbelah bahagi terhadap Allah dan rasulNya maka ia akan menyemarakkan lagi semangat kita untuk memperjuangkan Islam untuk kembali merajai dunia. Jika kita boleh menunaikan solat lima waktu, puasa Ramadhan, mengeluarkan zakat serta menunaikan haji tanpa banyak bertanya tentang apakah ganjaran dunia yang segera yang kita boleh dapat daripadanya maka begitulah juga dalam memperjuangkan system Islam yang lain untuk dilaksanakan di mana kita tidak akan bertanya tentang ganjaran dunia yang kita akan dapat daripadanya sebaliknya kita yakin dalam diri bahawa semua ini kita lakukan kerana kasih kita kepada Allah dan rasulNya. Kita perlu ingat bahawa jika kita tidak bersungguh apatah lagi tidak mahu memperjuangkan pelaksanaan sistem Islam yang menyeluruh maka Allah akan menghancurkan kita dengan menggantikan petugas dalam memperjuangkan Islam kepada bangsa lain yang lebih bersungguh. Oleh itu tunaikanlah segala amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh Allah dengan sebaiknya serta bersungguh dengan penuh istiqamah dalam berjuang sehingga datangnya ketentuan daripada Allah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Mulianya bani Israel sebelum ini bukan disebabkan mereka berketurunan nabi dan dalam bangsa mereka dilahirkan begitu ramai para nabi sebaliknya mulianya mereka kerana tunduk kepada Islam. Begitu juga mulianya bangsa arab bukanlah disebabkan al-Quran diturunkan dalam bahasa arab dan nabi dilahirkan daripada kalangan bangsa itu sebaliknya kerana bangsa arab terlebih dahulu memahami al-Quran dan beriman kepada nabi serta tunduk kepada seluruh ajaran Islam. Mulianya umat Islam bukan semata-mata kita mengaku beragama Islam sebaliknya mestilah disertakan dengan tertunainya pelbagai kewajipan dan tanggungjawab yang terpikul atas bahu kita bukan sahaja berkisar pada ibadat khusus tetapi meliputi seluruh aspek kehidupan yang lain. Kita perlu sedar bagaimana pelbagai penyakit dan bala yang menimpa umat Islam akibat daripada sikap sesetengah umat Islam yang meninggalkan ajaran Islam yang menyeluruh. Umat Islam telah diberi ubat mujarab yang mampu mencegah dan merawat ribuan penyakit di mana ubat itu berbentuk sistem Islam dalam menangani pelbagai masalah kita samada dari segi peribadatan, perundangan, pemerintahan, sosial dan sebagainya. Alangkah malangnya umat Islam yang meninggalkan ubat mujarab itu dengan mengguna pakai sistem ciptaan manusia yang bukan sahaja tidak berupaya mengubati satu penyakit pun malah membawa ribuan racun yang menambahkan lagi penyakit yang sedia ada.
Ingatlah kita bahawa hukuman selain hukuman Allah tiada jaminan dan pencegahan daripada Allah. Kita pernah membaca bagaimana kerajaan Amerika Syarikat cuba mengharamkan peminuman, pembelian, penjualan, pengeluaran dan pengedaran arak pada tahun 1930. Mereka mengemukakan pelbagai cara melalui penyelidikan yang teliti dan perbahasan ilmiah mengenai bahayanya arak untuk disebarkan kepada rakyat mengenainya. Media massa digunakan sepenuhnya untuk menerangkan mengenai perkara ini yang mana tujuan ini menelan belanja sebanyak US65 juta dan pencetakan sahaja meliputi US9 juta serta US4 juta lebih bagi tujuan pelaksanaan undang-undang ini. Menurut laporan dari bahagian penyelidikan dan pengkajian menunjukkan kesan pelaksanaannya antara Oktober 1933 telah menyebabkan 200 orang dihukum bunuh, seramai setengah juta orang dipenjara dan rampasan kepada arak mencapai angka US 1.5 juta serta denda yang dikenakan kerana kesalahan ini berjumlah US400 juta. Akhirnya undang-undang ini terpaksa dibatalkan pada akhir tahun 1933 memandangkan mereka kehilangan banyak nyawa dan juga denda yang dilakukan tidak mampu membendung masalah arak ini. Ini adalah kerana undang-undang yang dicipta oleh tangan manusia tidak mampu menimbulkan keinsafan dan juga tiadanya perhubungan antara duniawi dan ukhrawi tidak sebagaimana hukuman Allah yang Maha Adil dan memberi kesan kepada makhlukNya. Hukuman sebat ke atas peminum arak sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam mampu menginsafkan mereka yang terlibat untuk bertaubat dan berhenti daripada tabiat minum arak dan berupaya pula untuk mencegah orang lain daripada terjerumus dalam kesalahan yang sama.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Masalah umat Islam semakin bertambah terutama apabila kempen dalam membenci umat Islam terus disemarakkan ke seluruh dunia oleh kuffar yang diketuai oleh Amerika. Penjajahan baru turut menambah penderitaan umat Islam sebagaimana di Afghanistan yang sebelum ini telah berjaya menghapuskan penanaman candu tetapi selepas perlantikan kerajaan boneka telah menjadikan Afghanistan sebagai pengeluar candu terbesar dunia. Begitu juga penjajahan Iraq menyebabkan penjualan dadah mula merebak dengan meluas disamping yahudi menggunakan peluang yang ada untuk mengambil dan membeli tanah di Iraq bagi meluaskan lagi penempatan yahudi yang sedia ada di Palestin. Akhirnya umat Islam menghadapi dua masalah besar iaitu dalaman dengan pelbagai masalah sosial yang banyak membantut kemajuan ditambah dengan masalah luaran berbentuk penjajahan baru dengan pelbagai kekerasan yang dilakukan agar seluruh negara umat Islam terus tunduk kepada kuffar. Ketika berhadapan dengan musuh maka seluruh kekuatan mesti kita dilengkapkan terutama ikatan hati dengan Allah. Ingatlah kata-kata yang pernah dikeluarkan oleh Sayyidina Umar al-Khottab : Kamu hendaklah takut kepada dosa kamu sendiri berbanding musuh. Jika kamu mati di tangan musuh maka hanya jasad bercerai daripada roh sedangkan jika kamu mati dengan dosa maka ia akan kamu bawa ke akhirat. Orang kafir itu dikalahkan disebabkan kederhakaan mereka terhadap Allah. Sekiranya kamu umat Islam pun turut derhaka maka kamu tidak akan dibantu oleh Allah.
Ingatlah Firman Allah dalam ayat 162-163 surah al-An’am :
قل إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العــلمين لاشريك له وبذلك أمرت وأنا أول المسلمين
Maksudnya : Katakanlah : “ Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri kepada Allah
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

Tiada ulasan:

Catat Ulasan