Jumaat, 18 April 2008

42. KORBAN SEGALANYA DEMI ISLAM

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 100 surah an-Nisa’ :
ومن يهاجر فى سبيل الله يجد فى الأرض مرغما كثيرا وسعة ومن يخرج من بيته مهاجرا إلى الله ورسوله ثم يدركه الموت فقد وقع أجره على الله وكان الله غفورا رحيما
Maksudnya : Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah S.W.T nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah S.W.T dan rasulNya kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang dituju maka telah tetap pahala di sisi Allah S.W.T. Dan adalah Allah S.W.T Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
Tahun 1426 bakal meninggalkan kita bagi sama-sama menyambut ketibaan tahun baru 1427 dalam beberapa hari lagi. Tahun yang berlalu meninggalkan pelbagai kisah dan kenangan pahit dan manis dalam setiap sanubari insan manakala kedatangan tahun baru pula diiringi dengan azam dan tekad baru yang disusuli oleh tindakan dalam melaksanakannya. Manusia yang berjaya ialah mereka yang hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Manakala ciri manusia yang rugi dan gagal pula ialah mereka yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esok lebih buruk daripada hari ini. Alangkah beruntungnya umat Islam yang berjaya mendekatkan diri kepada Allah dari hari ke hari sedangkan betapa ruginya umat manusia yang semakin jauh daripada Allah dari hari ke hari. Alangkah bertuahnya umat Islam yang umurnya diisi dengan pelbagai amalan soleh dan betapa malangnya manusia yang menghabiskan usianya untuk melakukan maksiat terhadap Allah. Ingatlah kita bahawa berlalunya masa bererti bertambahnya usia serta semakin hampirnya kita kepada waktu ajal kematian yang bakal tiba bila-bila masa sahaja. Masa tidak akan berundur ke belakang sebaliknya lubang kubur setia menunggu di hadapan. Detik dan waktu sentiasa berjalan tanpa menunggu umat manusia

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Jika pada bulan Zulhijjah kita diperingatkan dengan pengorbanan suci maka dengan datangnya Muharram kita diberi penekanan mengenai Hijraturrasul s.a.w. Bila kita lihat kepada korban dan hijrah maka didapati keduanya saling berkait rapat antara satu sama lain di mana hijrah memerlukan pengorbanan yang tinggi barulah ia dapat dilaksanakan dengan jaya. Peristiwa penghijrahan nabi Muhammad s.a.w dari tanahairnya Mekah ke tempat baru iaitu Yathrib yang kemudiannya ditukar nama kepada Madinah al-Munawwarah yang bererti Kota yang bercahaya merupakan suatu pengorbanan besar dalam membebaskan diri daripada kongkongan kekufuran kepada keimanan, jahiliah kepada Islam, dosa kepada pahala, kesesatan kepada kebenaran, kezaliman kepada keadilan, lemah tanpa kuasa kepada gagah bersama tertegaknya negara. Hijrahnya nabi Muhammad s.a.w telah banyak meninggalkan pengajaran dan tauladan yang sepatutnya dihayati dengan bersungguh-sungguh oleh seluruh umat Islam dalam mengembalikan semula kemenangan dan kegemilangan Islam. Sebagai pejuang yang mengaku bahawa kita ini berjuang untuk meletakkan kalimah Allah S.W.T di tempat paling tinggi maka sudah semestinya mengambil iktibar sebanyak mungkin daripada peristiwa hijrah agar semangat kita terus berkobar dan gerak kerja kita sentiasa berterusan tanpa rasa takut dan gentar terhadap sebarang ujian dan cabaran yang mendatang.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Ingatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Anas:
قال الرسول  : مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَقِلَّ العِلْمُ وَيَظْهَرَ الجَهْلُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا وَتَكْثُرَ النِّسَاء ُوَيَقِلَّ الرِّجَالُ حَتَّى يَكُوْنََ لِخَمْسِيْنَ امْرَأَةً القَيِّمُ الوَاحِدُ
Maksudnya : Antara tanda qiamat itu ialah ilmu agama sedikit, kejahilan semakin jelas, perbuatan zina dilakukan terang-terang, jumlah perempuan cukup ramai manakala jumlah lelaki berkurangan sehingga bandingan 50 orang perempuan dijaga oleh seorang lelaki
Masa terus berlalu tanpa menunggu kita. Umur semakin bertambah dan mendekatkan kita kepada lubang kubur. Dunia sudah hampir Qiamat apabila hampir keseluruhan tanda-tanda kecil dan besar telah pun berlaku. Apa yang malang apabila manusia pada hari ini hanya melihat tanda-tanda itu tanpa mengambil iktibar sewajarnya dalam mendekatkan diri kepada Allah serta menambah bekalan akhirat. Penyakit ini timbul akibat daripada semakin kurang ilmu agama samada dengan kematian dan hilang penghormatan terhadap ulama, malas belajar, mengenepikan ilmu agama yang dianggap tidak menjanjikan kemewahan dunia serta termakan hasutan musuh bahawa Islam adalah agama pengganas dan punca kemunduran. Terhakisnya ilmu agama menyebabkan kejahilan semakin meluas sehingga aqidah semakin goyang, ibadat menjadi kurang dan akhlak bertambah hilang. Kita melihat hasil daripada kejahilan menyebabkan suburnya ajaran sesat yang merosakkan aqidah seperti ajaran Ayah Pin, orang mengaku menjadi nabi orang Melayu dan lain-lain. Keadaan bertambah teruk apabila golongan ajaran sesat ini menggunakan peruntukan perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan pertukaran agama untuk lepas daripada hukuman. Masalah Black Metal dan Kumpulan Jangan Ikut Tuhan (JIT) menambahkan kerosakan aqidah yang sedia ada.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Korban dan Hijrah mengajar kita agar bersungguh dalam melaksanakan keseluruhan sistem Islam tanpa banyak soal dan alasan. Berjayanya umat Islam apabila kepentingan Islam didahulukan daripada kepentingan peribadi, arahan wahyu mengatasi godaan nafsu. Gagalnya umat Islam apabila mereka lebih percaya kepada sistem ciptaan manusia daripada sistem Islam, membataskan pelaksanaan sistem Islam serta meletakkan Islam sebagaimana agama lain iaitu hanya melibatkan ibadat khusus seperti solat, puasa, haji tanpa membebaskan Islam untuk mengawal sistem ekonomi, perundangan, sosial dan sebagainya. Mulianya umat Islam apabila membesarkan Allah lebih daripada segalanya sehingga sistem Islam bukan sahaja dapat dirasai keadilannya oleh umat Islam tetapi turut dirasai oleh orang bukan Kegagalan demi kegagalan sistem yang bercanggah dengan Islam sepatutnya menginsafkan umat Islam agar lebih bersungguh dalam mengembalikan Islam sebagai cara hidup. Kita begitu bimbang apabila masalah dadah terus parah manakala bala Hiv/AIDS menunjukkan peningkatan apabila Malaysia kini berada di tempat kelima di rantau Asia Pasifik. Oleh itu pengajian seks bermula daripada kanak-kanak mestilah diselaraskan dengan kehendak Islam agar rakyat bukan sahaja bimbang pada bala Hiv/AIDS malah mesti takut kepada Allah dan juga azab neraka. Laporan bagaimana 5000 orang gadis Melayu menjadi tukang urut di sekitar Lembah Klang sahaja sepatutnya merisaukan kita bagaimana rosaknya umat Islam di mana ini semua mesti dicarikan jalan penyelesaian yang terbaik dalam menanganinya. Kini timbul pula golongan terutamanya bukan Islam yang mendesak agar mahkamah syariah berada di bawah kehakiman sivil yang sekuler sebagaimana pada era penjajah selepas perebutan mayat pendaki gunung Everest baru-baru ini. Desakan ini begitu merbahaya terutama dalam memberi ruang yang lebih luas kepada orang Islam untuk murtad serta agama Islam baka dikawal sepenuhnya oleh mahkamah sivil. Kita turut bimbang apabila Sisters In Islam yang mengaku Islam mempertikaikan beberapa ketetapan Allah dalam pembahagian pesaka dan masalah talak. Hilangnya ilmu agama menyebabkan zahirnya kejahilan yang membawa kepada kesesatan. Oleh itu suburkan semula pengajian agama dan perkasakan pusat pengajiannya. Bersama kita basmi kejahilan dan perangi kesesatan.
Renungilah firman Allah dalam ayat 85 surah Ali- Imran :
ومن يبتغ غير الإسلام دينا فلن يقبل منه وهو فى الأخرة من الخـــسرين
Maksudnya : Dan sesiapa yang memilih agama lain daripada Islam sebagai cara hidup maka tidak akan diterima dan dia pada hari akhirat nanti termasuk dalam golongan mereka yang rugi
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan