Jumaat, 18 April 2008

41. PEMIMPIN & WANITA TERJAGA UMMAH BERJAYA

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 31 surah an-Nur :
وقل للمؤمنت يغضضن من أبصرهن ويحفظن فروجهن ولايبدين زينتهن إلا ماظهر منها وليضربن بخمرهن على جيوبهن ولايبدين زينتهن إلا لبعولتهن أو ءابائهن أو ءاباء بعولتهن أو أبنائهن أو أبناء بعولتهن أو إخوانهن أو بني إخونهن أو بني أخوتهن أو نسائهن أو ماملكت أيمنهن أو التبعين غير أولى الإربة من الرجال أو الطفل الذين لم يظهروا على عورت النساء ولايضربن بأرجلهن ليعلم مايخفين من زينتهن وتوبوا إلى الله جميعا أيه المؤمنون لعلكم تفلحون
Maksudnya : Dan katakanlah kepada kaum perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka daripada memandang perkara yang haram. Memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Mereka hendaklah menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. Janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau adik beradik mereka atau anak saudara mereka daripada saudara lelaki atau anak saudara daripada saudara perempuan atau perempuan Islam atau hamba mereka atau orang gaji daripada lelaki yang lanjut usia dan tidak lagi mempunyai keinginan terhadap perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan. Janganlah pula mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka. Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah S.W.T wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beroleh kejayaan
Kita umat Islam sedang menghadapi pelbagai serangan dan cabaran daripada pihak musuh Islam yang tidak pernah senang melihat umat Islam terutama golongan yang bersungguh-sungguh mahu mengembalikan semula pelaksanaan seluruh system Islam dalam kehidupan seharian. Musuh Islam sentiasa mencari jalan baagi melemahkan umat Islam serta menjauhkan kita daripada cahaya petunjuk al-Quran. Malah musuh Islam sanggup menghabiskan masa dan wang dalam menyelidik tentang cara untuk melemahkan umat Islam agar mereka terus dapat menjajah tubuh dan pemikiran umat Islam. Antara umpan musuh yang sedang ditelan oleh umat Islam ialah pergaulan bebas dan cara berpakaian yang menjolok mata di mana kesemua ini merupakan pintu ke arah penzinaan. Atas nama hak asasi manusia serta kebebasan maka umat Islam tanpa segan silu berpakaian mendedahkan bentuk tubuh badan ditambah dengan pergaulan yang melampaui batas yang dibenarkan oleh syarak. Kita masih ingat suatu cadangan yang pernah disyorkan oleh bekas Perdana Menteri Britain Gladstone pada awal penjajahan terhadap bumi umat Islam dengan katanya : “ Untuk menghancurkan kekuatan Islam, mestilah dibuang dahulu hijab daripada muka perempuan Islam, ditutup terlebih dahulu al-Quran dan mestilah membawa masuk benda-benda yang memabukkan, dadah, benda keji dan mungkar”.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Renungilah sebuah hadis nabi daripada Abu Hurairah yang berbunyi :
قال االرسول  :صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ البَقَرِ يَضْرِبُوْنَ ِبَها النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيْلاتٌ مَائِلاتٌ رُؤُوْسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ البُخْتِ المَائِلَةِ لايَدْخُلْنَ الجَنَّةَ وَلايَجِدْنَ رِيْْحَهَا وَاِنَّ رِيْْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةٍ كَذَا وَكَذَا - رواه مسلم
Maksudnya : Ada 2 golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi akau melihat mereka. Pertama, golongan penguasa yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, golongan perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menghayun-hayunkan bahunya. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wangi syurga sedangkan bau wangi syurga itu sudah tercium daripada perjalanan yang sangat jauh daripadanya.
Melalui hadis tadi, Rasulullah s.a.w memberi ingatan kepada kita semua bagaimana pentingnya dua golongan untuk diselamatkan barulah keadaan negara aman sejahtera. Golongan pertama yang mesti dijaga ialah pemimpin agar dipilih daripada orang yang benar-benar layak mengikut pandangan Islam sehingga kuasa dan amanah yang dipikul dapat dilaksanakan bukannya tampuk kepimpinan dianggap sebagai suatu jalan pintas dalam mengaut keuntungan dan membina kekayaan sehingga rakyat semakin lama diasak dengan pelbagai undang-undang yang keras demi menjaga kuasa yang ada. Kita berasa kecewa apabila pemimpin negara lambat bertindak apabila kes-kes murtad diketengahkan sebaliknya bila berlakunya pihak perebutan mayat A Rayappan maka pemimpin negara sendiri terus mengeluarkan kenyataan meminta pihak Peguam Negara (AG) campur tangan dan menentukan status agama A Rayappan jika kes si mati masih dibicarakan di mahkamah. Ia dianggap suatu usaha campur tangan dan tekanan daripada pihak eksekutif keatas Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tambahan selepas sehari kenyataan pemimpin negara menyebabkan pihak Mais menarik balik permohonannya menuntut jenazah A Rayappan. Kita juga merasa kecewa apabila akhbar The Star dan The Sun telah membangkitkan isu tercatat perkataan Kristian dalam kad pengenalan A Rayappan bagi menunjukkan status si mati adalah bukan Islam sebaliknya beragama Kristian sedangkan bila dilihat keadaan sebenar tidak tercatat sebagaimana yang didakwa. Inilah antara bahayanya bila pemimpin yang dilantik lebih menyokong musuh Islam daripada mengambil berat tentang nasib saudara seagama.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Golongan kedua yang mesti diselamatkan ialah golongan perempuan yang kini terus dirosakkan oleh musuh Islam. Kita menyokong penuh tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam dalam menguatkuasakan undang-undang kecil yang sedia ada berkenaan pemakaian terutama terhadap jurujual perempuan Islam yang berpakaian menjolok mata. Kita sedar bahawa dalam mendidik umat Islam terutama dalam bab pemakaian dimulai dengan memberi ilmu kefahaman tentang cara pemakaian yang dibenarkan oleh syarak. Setelah itu maka suatu undang-undang diperlukan dalam memastikan mereka yang berdegil dapat diambil tindakan sehingga mereka gerun untuk melanggarnya. Jika sebelum ini dunia dihebohkan tentang perbalahan antara mufti dan Perdana Menteri Australia berkaitan perempuan yang suka mendedah tubuh yang diumpamakan oleh mufti negara berkenaan seperti daging mentah yang dijual digerai-gerai tepi jalan. Begitulah yang berlaku dalam negeri kita ini apabila adanya umat Islam sendiri yang tidak bersetuju dengan tindakan terhadap perempuan yang memakai menjolok mata atas nama menyekat kebebasan sedangkan kita tahu bagaimana kes rogol dan penzinaan dalam negara semakin meningkat disebabkan pemakaian yang menjolok mata semakin meluas. Sepatutnya kita sebagai umat Islam yang mempunyai maruah sama-sama berfikir bagaimana cara untuk menyedarkan golongan yang suka mendedah aurat agar kembali menutup aurat serta menutup kelab-kelab malam dan tempat maksiat bagi mengurangkan penzinaan kerana ramai di kalangan perempuan Islam sendiri yang turut berkerja di tempat-tempat ini yang bukan sahaja menuntut kepada mereka untuk berpakaian seksi tetapi mereka turut terdedah kepada bahaya rogol dan zina.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tugas kita semakin lama semakin banyak dan berat kerana kita tahu dalam memperjuangkan Islam bukannya melalui jalan yang mudah dan senang sebaliknya memerlukan tumpahnya darah dan nyawa melayang. Kita mesti bersungguh-sungguh dalam memperbetulkan semula pemikiran umat Islam yang telah lama terjajah dengan cara pemikiran dan kehidupan penjajah yang bercanggah daripada Islam. Ini semua memerlukan kepada pengorbanan dan istiqamah barulah janji kemenangan dan kemuliaan daripada Allah S.W.T dapat diraih. Kita perlu ingat bahawa hidup pada zaman di mana orang yang jahat lebih berani daripada orang yang baik, orang yang buat maksiat lebih lantang daripada orang yang mencegahnya, orang penipu lebih dipercayai berbanding orang yang benar maka semangat serta keyakinan yang tinggi bahawa kita ini bekerja kerana Allah S.W.T mestilah sentiasa subur dalam diri sehingga maksiat dapat dicegah, kekufuran dapat dibanteras dan Islam dapat ditegakkan
Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Ankabut :
مثل الذين اتخذوا من دون الله أولياء كمثل العنكبوت اتخذت بيتا وإن أوهن البيوت لبيت العنكبوت لو كانو يعلمون
Maksudnya : Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka mengetahui
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan