Jumaat, 2 September 2011

40. PEPERANGAN UHUD PERINGATAN BERHARGA

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 7-8 surah Yunus :
إن الذين لايرجون لقاءنا ورضوا بالحيــوة الدنيا واطمأنوا بها والذين هم عن ءايــتنا غــفلون . أولئك مأوئهم النار بما كانوا يكسبون
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan untuk menemui Kami (pada hari Akhirat untuk menerima balasan) dan yang redha dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengan kehidupan dunia dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda kekuasaan) Kami. Orang-orang yang demikian keadaannya (di dunia) maka tempat tinggal mereka ialah neraka disebabkan oleh keengkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan
Perasaan syukur tidak terhingga kita hadirkan dalam hati, ucapkan dengan lisan serta laksanakan melalui seluruh anggota dengan tunduk patuh kepada segala suruhan Allah serta menjauhi segala laranganNya di atas nikmat besar yang Allah anugerahkan kepada kita semua iaitu nikmat Ramadhan bersama kelebihannya dan nikmat Syawal bersama keistimewaannya. Semoga tarbiah yang kita sama-sama lalui sepanjang Ramadhan lepas diikuti dengan ibadat berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal dapat mendidik diri serta mengawal nafsu kita untuk lahir sebagai umat yang bertaqwa yang kehidupannya bersandar kepada petunjuk wahyu bukannya berlandas kepada hawa nafsu. Menjadi suatu perkara yang rugi jika sebulan Ramadhan lalu dijadikan medan untuk merapatkan diri kepada Allah sedangkan kedatangan Syawal pula dijadikan medan untuk memperbanyakkan maksiat terhadap Allah. Jangan jadikan ibadat sepanjang Ramadhan lalu semata-mata untuk melepaskan kewajipan agama bukan digunakan sebaik mungkin tarbiah Ramadhan itu untuk melahirkan diri kita sebagai hamba yang bertaqwa. Jangan pula jadikan kedatangan Syawal sebagai bulan melayan kehendak nafsu sehingga hilang sama sekali kesan tarbiah Ramadhan. Kita menyokong pandangan Mufti Perak agar sebarang program maksiat tidak digabungkan dengan nama eidilfitri yang mulia seperti joget aidilfitri dan sebagainya. Islam dan jahiliah tidak akan bersatu, iman dan kufur sentiasa bertentangan, pahala dan dosa sentiasa berlawanan, ibadat dan maksiat sentiasa bertembung sepanjang zaman.
Ingatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi :
قال االرسول  :ا لكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ المَوْتِ وَالعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللهِ الأمَانِى
Maksudnya : Orang yang cerdik ialah orang yang selalu menghitungkan dirinya dan dia suka beramal untuk bekalan sesudah mati sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah (untuk mendapat kebahagiaan dan pengampunan tanpa beramal soleh)

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Syawal mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini antaranya Peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah. Walau pun pada peringkat pertama tentera Islam telah pun berjaya mengalahkan musuh dalam peperangan Uhud ini namun pada peringkat kedua tentera Islam diuji dengan kekalahan di mana antara puncanya ialah keengkaran sebahagian besar daripada kumpulan pemanah yang turut turun mengutip harta rampasan perang dengan alasan tentera Islam telah pun menang disamping ada juga tentera Islam yang bimbang jika habuan untuk mereka akan dinafikan. Sebab itulah adanya ahli tafsir daripada kalangan para sahabat ketika menafsirkan beberapa ayat dari surah Ali ‘Imran berkenaan Peperangan Uhud menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyangka bahawa ada juga di kalangan tentera Islam yang telah ditarbiah oleh Rasulullah s.a.w sendiri masih lagi ada perasaan tamak kepada habuan dunia. Sekiranya Allah tidak membongkarkan perkara ini dalam al-Quran maka ia tidak diketahui oleh sesiapa. Perkara ini boleh kita dapati melalui firman Allah antaranya dalam ayat 145 surah Ali ‘Imran :
وما كان لنفس أن تموت إلا بإذن الله كتـبا مؤجلا ومن يرد ثواب الدنيا نؤته منها ومن يرد ثواب الآخرة نؤته منها وسنجزى الشــكرين
Maksudnya : Tiada suatu jiwa pun akan mati melainkan dengan izin Allah melalui suatu suratan yang telah ditetapkan. Sesiapa yang mahu habuan dunia maka Kami akan berikan kepadanya. Dan sesiapa yang inginkan pahala akhirat maka Kami juga akan anugerahkan kepadanya. Kami akan berikan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
Kita wajib mengambil iktibar sebaik mungkin daripada peperangan Uhud ini di mana akibat meninggal tempat strategik kerana ingin habuan dunia maka tentera Islam diuji dengan kekalahan. Umat Islam pada hari apa kurangnya apabila ramai yang telah meninggalkan tempat terbaik iaitu masjid dan surau akibat sibuk dengan urusan dunia. Sepatutnya tarbiah Ramadhan yang mengajar diri kita untuk lebih jinak dan rapat dengan masjid mestilah diteruskan pada bulan-bulan yang lain. Bila umat Islam sendiri meninggal serta mengosongkan masjid dan surau bilakah kemenangan yang dijanjikan oleh Allah mampu diraih dan dijulang. Tanyalah diri kita bilakah urusan dunia kita akan selesai barulah boleh kita untuk datang ke masjid atau surau. Adakah kita yakin bahawa perjuangan Islam akan menang tanpa perlu menghidupkan masjid atau surau sedangkan penganut ajaran lain sedang berusaha memenuhkan gereja dan kuil mereka dengan pengikutnya termasuklah kalangan umat Islam yang bakal dan telah dimurtadkan. Jangan tunggu sehingga masjid semakin kosong dan usang sedangkan gereja dan kuil semakin penuh dan subur baru kita menyesal dan menangis

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 15 dan 16 surah Huud :
من كان يريد الحيــوة الدنيا وزينتها نوف إليهم أعمــلهم فيها وهم فيها لايبخسون . أولئك الذين ليس لهم فى الأخرة إلا النار وحبط ما صنعوا فيها وبــطل ما كانوا يعملون
Maksudnya : Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (tanpa mengira halal dan haram), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab Neraka dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.
Peperangan Uhud juga menyedarkan kita tentang bahayanya pengaruh kebendaan dalam diri pejuang Islam yang boleh menyebabkan kita bakal ditimpa dengan kekalahan dan kehinaan di dunia dan akhirat. Selagi masih ramai pemimpin dan rakyat beragama Islam yang menjadikan pecah amanah sebagai amalan, rasuah sebagai keperluan, hidup terlalu mewah atas penderitaan orang lain sebagai kebiasaan maka janji kemenangan dan kemuliaan daripada Allah masih jauh untuk dicapai. Kita mesti rasa malu dan hina bila indeks rasuah negara ini terus merudum ke tangga 44 daripada 163 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah sedangkan kedudukan Malaysia pada tahun lalu ialah pada tangga ke 39 daripada 158 negara

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Budaya mencari kesenangan dunia sehingga mengetepikan kepentingan agama yang subur dalam diri kenayakan umat Islam telah diambil kesempatan oleh musuh Islam terutama Kristian dalam memurtadkan umat Islam. Kita merasa risau bila adanya dakwaan yang perlu disiasat oleh pihak berwajib iaitu tentang adanya sebuah syarikat buku di Terengganu yang menawarkan gaji satu kali ganda kepada pekerja Islam yang bersetuju menukar agama. Begitu juga di Johor apabila ada pihak yang menawarkan secara percuma bantuan kewangan sehingga RM 50,000 kepada peniaga Islam yang gagal membayar hutang along dengan syarat mereka perlu mengisi borang yang ada lambang salib yang disediakan oleh pihak berkenaan. Disamping itu adanya usaha yang cuba untuk menarik umat Islam untuk kembali kepada agama nenek moyang orang Melayu sebelum kedatangan Islam yang didakwa beragama Hindu. Begitu juga adanya pensyarah-pensyarah pusat pengajian tinggi yang menjadi pendakyah dalam memurtadkan pelajar. Kita merasa kecewa apabila menteri berkaitan agama masih lagi boleh bercakap bahawa masalah murtad dalam negara masih kecil dan terkawal sedangkan asakan murtad semakin lama semakin kuat dan berani. Wahai umat Islam! Bangkitlah sebelum makin tersepit, cegah sebelum parah, sekat sebelum merebak, berjuanglah hingga ke titisan darah terakhir jangan mudah menyerah kalah. Bersama kita menyanggah usaha musuh dalam memurtadkan umat Islam. Jangan biarkan hanya air mata penyesalan yang mengalir bukannya titisan darah dan air peluh perjuangan yang dicurahkan.
Firman Allah dalam ayat 30 surah as-Syura :
وما أصــبكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم ويعفوا عن كثير
Maksudnya : Dan apa sahaja musibah yang menimpa maka ia disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan kamu
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan