الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 25 dan 26 surah al-Taubah :
لقد نصركم الله فى مواطن كثيرة ويوم حنين إذ أعجبتكم كثرتكم فلم تغن عنكم شيئا وضاقت عليكم الأرض بما رحبت ثم وليتم مدبرين ثم أنزل الله سكينته على رسوله وعلى المؤمنين وأنزل جنودا لم تروها وعذب الذين كفروا وذلك جزاء الكفرين
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir.
Kita masih berada di bulan Syawal yang turut merakamkan banyak peristiwa bersejarah kepada umat Islam untuk dijadikan pengajaran dalam meneruskan perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Bulan Syawal pernah menyaksikan berlakunya peperangan Uhud, peperangan Ahzab dan peperangan Hunain pada zaman Rasulullah s.a.w di mana peperangan ini meletus bukannya disebabkan Islam menghalalkan keganasan tetapi sebaliknya semua peperangan ini berlaku bagi mempertahankan diri daripada serangan musuh. Kuffar terlebih dahulu merancang untuk menyerang sebelum tentera Islam terpaksa keluar untuk bertahan bagi memastikan agama Allah terus tersebar tanpa sebarang sekatan dan gangguan. Pada hari ini kita cuba mengambil beberapa pengajaran penting daripada peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Peperangan ini merupakan peperangan terakhir antara umat Islam dengan musyrikin arab kerana selepas itu kebanyakan musyrikin Mekah memeluk Islam sehingga api permusuhan selama ini dapat dipadamkan.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Peperangan Hunain berlaku apabila bani Hawazin dan Thaqif pimpinan Malik bin Auf yang tinggal di Taif merancang untuk menyerang umat Islam. Bagi mengetahui secara lanjut tentang persiapan mereka lalu Rasulullah s.a.w menghantar Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslamiy ke Taif untuk tinggal di tengah-tengah kaum tersebut bagi mengumpul maklumat. Setelah itu dia pulang ke Mekah dan memberitahu tentang persiapan bani Hawazin dan Thaqif dari segi kelengkapan senjata dan juga dengan bilangan tentera antara 20 hingga 30 ribu orang bagi menyerang umat Islam. Pasukan kuffar ini turut membawa bersama harta benda dan anak isteri mereka agar mereka tidak lari dari medan perang kerana maksud peperangan ialah menjaga diri, harta dan keluarga daripada serangan musuh. Di sini kita dapat lihat bagaimana peperangan memerlukan kepada usaha dan perancangan yang rapi termasuk mencari maklumat lengkap tentang jumlah dan persiapan musuh sehingga memungkinkan kita mengetahui tentang tahap kekuatan dan kelemahan yang ada. Tugas pengintip rahsia walau pun merbahaya tetapi perlu ada bagi mengumpul sebanyak mungkin maklumat pihak lawan sebelum peperangan meletus. Ini berbeza dengan kebanyakan negara umat Islam hari ini di mana mereka lebih banyak mengetahui dan mengintip rahsia daripada pejuang Islam yang berjuang untuk menegakkan Islam dalam negara sehingga melupakan mereka untuk mengetahui rahsia dan perancangan musuh Allah yang sememangnya ingin menghancurkan Islam dan umatnya. Bilakah umat Islam akan diberikan kemenangan jika kita saling bermusuhan sesama kita demi kepentingan harta dan takhta sehingga melupakan kita kepada musuh yang nyata.
Rasulullah s.a.w bersama 12 ribu orang tentera muslimin iaitu 10 ribu dari Madinah dan 2 ribu dari Mekah telah keluar menuju ke lembah Hunain. Dalam peperangan ini disebabkan kekurangan bekalan senjata maka Rasulullah s.a.w terpaksa meminjam senjata dan seratus baju besi daripada Safwan bin Umaiyah yang belum Islam lagi pada masa itu. Pinjaman yang terpaksa dibuat ini tidak menjatuhkan maruah umat Islam kerana Safwan adalah seorang yang dipercayai dan dia agak lemah serta tidak mampu menguasai umat Islam melalui senjata yang dipinjamkan itu. Ini berbeza dengan kebanyakan negara umat Islam hari ini yang bukan sahaja terpaksa membeli senjata daripada musuh tetapi turut mendapat tekanan kerana kekurangan pakar untuk menggunakan senjata itu sehingga musuh senang menguasai negara melalui senjata yang dibeli daripada mereka. Malah ada negara umat Islam yang terpaksa berlutut kepada musuh dan dipermainkan olehnya apabila senjata yang dibeli tidak diserahkan atas alasan yang tidak munasabah. Senjata yang dibeli juga lebih banyak dihalakan kepada saudara seagama terutama pejuang Islam berbanding penggunaaanya dalam menghentikan kezaliman musuh Islam. Sampai bilakah umat Islam terpaksa menagih simpati daripada kepakaran musuh dalam pembinaan senjata sendiri. Kita bukan mahu menghasilkan senjata untuk melakukan kerosakan di muka bumi sebagaimana kuffar tetapi bertujuan untuk menjaga keamanan dunia yang terus dirosakkan oleh tangan pengganas kuffar. Kita tidak mahu membiarkan tubuh umat Islam terus dimamah oleh bom musuh, kepala mereka dipenggalkan oleh senjata kuffar dan perut mereka diratah oleh lawan. Jangan biarkan senjata utama yang ada pada umat Islam iaitu ilmu dan jihad semakin padam ditambah lagi senjata zahir turut ketinggalan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Keesokan harinya ketika tentera Islam di barisan hadapan pimpinan Khalid bin Walid sedang bergerak mara, mereka diserbu dari arah kiri dan kanan disamping anak panah yang menghujani mereka dari arah depan dan belakang. Serangan mengejut ini menyebabkan kuda-kuda lari ketakutan begitu juga ramai tentera Islam yang berundur ke belakang terutama dalam peperangan kali ini walau pun jumlah tentera Islam agak ramai berbanding beberapa peperangan sebelum ini tetapi kebanyakan mereka baru memeluk Islam dan tidak begitu tahan dengan ujian. Ini memberi suatu pengajaran yang besar di mana jumlah yang ramai belum tentu dapat mengalahkan musuh jika perjuangan tidak disertakan dengan keikhlasan kepada Allah dan juga tidak tahan dengan ujian yang mendatang. Kebanyakan tentera Islam merasakan mereka akan mendapat kemenangan dengan mudah kerana jumlahnya yang ramai disamping mereka juga begitu terlalu memikirkan harta rampasan yang bakal diperolehi sehingga melalaikan mereka daripada mengingati bahawa peperangan yang disertai itu ialah untuk Islam bukannya untuk meraih harta dunia. Jumlah umat Islam pada hari ini bukan sedikit tetapi kita diuji dengan kekalahan kerana tidak kembali bersatu di bawah payung Islam. Contohnya jumlah yahudi di Palestin hanya beberapa juta sedangkan umat Islam di negara arab sekelilingnya berjumlah ratusan juta tetapi yahudi boleh terus mengganas kerana umat Islam tidak bersatu memerangi mereka.
Ketika suasana bertambah gawat dan cemas lalu Rasulullah s.a.w yang berada di tengah-tengah tentera Islam yang sedang berundur ke belakang di mana Rasulullah s.a.w terus mara ke arah musuh dan cuba menghadapi mereka secara bersendirian tetapi dipegang oleh 2 orang sahabat yang lain. Musuh turut menyebarkan berita bohong bahawa nabi telah terbunuh di mana serangan saraf ini melemahkan lagi semangat tentera Islam. Inilah bahayanya serangan saraf terutama dalam sesuatu perangan kerana ia boleh mengalihkan tumpuan musuh dan menghancurkan kesatuan sesama mereka. Kita umat Islam hari ini juga tidak terlepas daripada serangan saraf yang dilancarkan oleh musuh dalam melunturkan semangat jihad kita dan menghancurkan perpaduan umat Islam untuk kembali kepada Islam.
Sidang Jumaat Jumaat yang dikasihi sekalian,
Akhirnya apabila mendengar jeritan Rasulullah s.a.w dan melihat keberanian baginda meluru ke arah musuh telah menaikkan semangat tentera Islam yang benar-benar mahu berjuang iaitu kira-kira 200 orang di mana kemaraan tentera Islam bagi kali kedua ini telah berjaya menewaskan musuh yang ramai. Selepas itu tentera Islam turut mengepung musuh di Taif dan kemudiannya kembali dengan tidak membunuh musuh yang telah terkepung sebaliknya diiringi doa agar mereka memeluk Islam. Ini menunjukkan bagaimana peperangan dalam Islam bukannya untuk membalas dendam tetapi ia merupakan antara jalan dakwah apabila dilawan dengan kekerasan. Selepas itu ramai puak Hawazin telah memeluk Islam yang membolehkan nabi membebaskan tawanan perang daripada kalangan mereka. Inilah keindahan Islam yang meraikan keadilan tidak sebagaimana yang dituduh oleh musuh yang mengatakan bahawa Islam suatu agama yang menggalakkan keganasan. Kuffar lah yang sebenarnya ganas kerana bertanggungjawab membunuh umat Islam kerana dendam sehingga ramai terbunuh seperti di Afghanistan. Kini mereka cuba menyerang Iraq, Somalia serta mengapikan permusuhan antara Pakistan dan India. Malah kuffar turut mengisytiharkan bahawa tahun 2002 sebagai tahun peperangan.
Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :
انفروا خفافا وثقالا وجــهدوا بأمولكم وأنفسكم فى سبيل الله ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون
Maksudnya : Pergilah kamu samada dalam keadaan ringan atau pun merasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan