أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 6 Ogos 2010

128. RAMADHAN PENYUBUR KASIH SAYANG

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 10-11 سورة الصف :
يأيها الذين ءامنوا هل أدلكم على تجــرة تنجيكم من عذاب أليم تؤمنون بالله ورسوله وتجــهدون فى سبيل الله بأموالكم وأنفسكم ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman , Adakah kamu suka Aku tunjukkan kepadamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.
Kini telah seminggu kita umat Islam sama-sama menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan. Kita sama-sama menyambut kehadiran bulan yang penuh dengan pengampunan dosa bersama penggandaan pahala, terbuka luasnya pintu syurga bersama tertutupnya pintu neraka disamping terantainya syaitan penggoda. Semoga kehadiran Ramadhan bersama dengan kewajipan berpuasa dapat kita tunaikan dengan sebaiknya untuk lahir sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Jika kita perhatikan kepada 5 rukun Islam maka didapati bagaimana setiap suatu rukun mempunyai waktunya yang tertentu dalam melatih dan mengajak umat Islam untuk menjaga disiplin dan menghomati masa dengan sebaiknya demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kita wajib menjaga segala tuntutan dua kalimah syahadah sepanjang masa agar tidak dicemari dengan sebarang perkara yang membatalkannya. Kita diwajibkan untuk mengerjakan solat lima waktu sehari semalam mengikut masa yang telah ditetapkan. Kita semua diwajibkan untuk berpuasa selama sebulan dalam setahun kemudiannya diwajibkan menunaikan zakat fitrah setahun sekali. Manakala kewajipan untuk menunaikan haji bagi yang mampu pula adalah sekali seumur hidup. Inilah keindahan Islam yang tiada di dalam agama yang lain. Kewajipannya datang daripada Allah bukannya rekaan manusia di mana kesemua kewajipan ini mesti ditunaikan untuk kebahagiaan manusia itu sendiri. Apabila umat Islam dapat melaksanakan segala kewajipan tersebut dengan penuh keikhlasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah maka insya Allah ganjaran yang besar akan diperolehinya sebagai bekalan untuk menempuh hari akhirat yang merupakan hari pembalasan kepada setiap amalan yang dikerjakan sepanjang hidup di dunia yang sementara ini.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Taqwa itulah matlamat utama yang mesti dicapai oleh umat Islam yang berpuasa disamping menunaikan kewajipan agama yang lain. Perkataan taqwa begitu mudah disebut dimulut tetapi begitu susah untuk diperolehi. Oleh itu sempena kedatangan Ramadhan yang mulia ini hendaklah kita sama-sama hidupkannya dengan seberapa banyak amalan soleh disamping menjauhi segala bentuk maksiat. Jangan biarkan diri kita hanya berpuasa tetapi tidak akan mendapat apa-apa ganjaran melainkan lapar dan dahaga sahaja. Jika kita begitu cermat dan mempunyai perancangan yang baik untuk mencapai keuntungan berbentuk keduniaan walau pun kita semua tahu bahawa ia akan ditinggalkan apabila mati kelak maka mengapakah kita tidak boleh berbuat demikian dalam masalah mencari bekalan akhirat sebanyak yang mungkin dengan sentiasa cermat dan memperbaiki segala amalan soleh kita ke arah yang lebih baik dari hari ke hari. Jika kita boleh menghindarkan sebarang sebab atau faktor yang akan merugikan kita dalam masalah mencari keuntungan dan kejayaan dalam perniagaan dunia maka mengapakah kita tidak mampu untuk menghindarkan diri kita daripada terpedaya dengan hasutan nafsu jahat yang sememangnya akan merosakkan diri dan cuba mengheret kita ke arah neraka Allah. Jangan biarkan nafsu terus mengganas terutama dibulan Ramadhan di mana syaitan yang menjadi kawan rapat kepada nafsu sedang dirantai Ingatlah kita bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang mampu menggunakan nafsu untuk mendapatkan keredhaan Allah dan sejahat-jahat manusia ialah mereka yang digunakan oleh nafsu untuk menderhakai Allah. Jangan jadikan diri ini sebagaimana golongan munafik yang melihat dosa seperti lalat yang hinggap dihidung di mana lalat tadi boleh dihalau bila-bila masa sahaja. Jadikanlah diri kita sebagai orang yang benar-benar beriman kepada Allah di mana kita melihat dosa seperti gunung besar yang akan menghempap diri.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Ibadat puasa juga melatih kita untuk menjadi manusia yang sabar dengan ujian yang mendatang serta menanamkan rasa kasih sayang kepada manusia yang lain. Apabila kita berasa lapar dan dahaga maka kita akan terbayang bagaimana orang lain yang tidak bernasib baik menanggung penderitaan dan kebuluran. Melalui tarbiah lapar ini maka lahirnya sikap untuk membantu orang yang susah dan menderita. Kita di sini boleh menunaikan ibadat puasa dalam keadaan yang aman dan tenang di mana kita hanya perlu berlawan dengan serangan nafsu sedangkan ramai saudara seagama kita yang lain bukan sahaja berlawan dengan godaan nafsu tetapi mereka turut diancam oleh peluru dan bom kuffar. Kita di sini boleh berbuka puasa dan seterusnya menunaikan solat terawih berjemaah di suarau-surau dan masjid-masjid dengan mudah sedangkan ramai saudara kita di negara lain yang terancam nyawa dan sentiasa berhati-hati untuk bergerak kerana kuffar sentiasa menghalakan senjata untuk membunuh mereka. Maka gunakanlah nikmat sihat dan keamanan ini untuk kita menunaikan segala amalan soleh dengan sebaik-baiknya. Rasulullah s.a.w telah berpesan bagaimana ramai umatnya sentiasa lupa dan mengabaikan 2 nikmat yang utama iaitu masa sihat dan masa senang.
Jadikanlah tarbiah Ramadhan ini sebagai medan untuk melahirkan diri sebagai seorang mukmin yang sentiasa membantu saudaranya yang lain. Tanamkanlah rasa kasih sayang kepada saudara kita yang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri. Tanpa kasih sayang maka timbullah huru-hara apabila masing-masing tidak lagi menghormati hak orang lain. Tanpa kasih sayang maka tersebarkan api permusuhan dan kebenciaan sesama manusia. Kita lihat bagaimana besarnya bala Allah yang menimpa negara kita apabila hilangnya rasa kasih dan sayang. Kita lihat bagaimana seorang ayah sanggup membunuh isteri dan anaknya. Seorang anak sanggup membunuh ayah dan ibunya. Nyawa dan maruah manusia semakin lama semakin murah nilainya di kaca mata insan yang telah hilang rasa kasih sayang daripada dirinya. Mengapakah bala ini boleh terjadi di negara kita di mana kita tidak diuji oleh Allah dengan serangan musuh dari luar tetapi musuh datangnya dari kalangan kita sendiri. Selagimana kita mengabaikan suruhan Allah dan memperlekehkan perundangan Islam maka selagi itulah ujian yang besar ini akan berlanjutan. Oleh itu bersungguhlah kita dalam perjuangan untuk pelaksaan seluruh sistem Islam dalam negara ini bagi menghindarkan bala Allah yang lebih besar. Jalankanlah amanah dan tanggungjawab yang sebaiknya dalam membina keluarga bahagia yang tunduk pada agama seterusnya membina masyarakat yang patuh kepada kehendak Allah demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.


Sidang Jumaat yang dihormati,
Ramadhan juga adalah bulan kemenangan kepada umat Islam. Bulan puasa bukanlah bulan untuk kita melawan nafsu dalam diri sahaja tetapi umat Islam silam telah membuktikan kepada kita bagaimana Ramadhan juga telah mencatatkan kemenangan umat Islam ketika berhadapan dengan kuffar. Sejarah Islam telah mencatatkan bagaimana kemenangan Rasulullah s.a.w dalam peperanan Badar al-Kubra berhadapan dengan musuh yang berganda. Begitu juga dengan pembukaan Kota Mekah yang penuh kegemilangan tanpa pertempuran sehingga semua berhala lambang kesyirikan yang berada di keliling Ka’abah telah dihancurkan. Bermula daripada pembukaan Kota Mekah inilah maka kemenangan selepas itu terus meliputi kawasan diluar semenanjung Tanah Arab sehingga runtuhnya 2 kerajaan besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi seterusnya Islam mampu tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Ramadhan tidak pernah melemahkan semangat juang umat Islam sebaliknya ia menyemarakkan lagi semangat jihad yang sedia ada. Semoga kedatangan Ramadhan kali ini akan menjadi tapak permulaan untuk umat Islam mencapai kemenangan di dalam melawan musuh. Sudah lama umat Islam menderita kerana mengabaikan kewajipan agama. Oleh itu umat Islam mesti bangkit dari tidur kerana musuh kini sedang membakar kita. Kita mesti bangkit dan bersatu di bawah satu panji iaitu Islam barulah kita akan berjaya melawan pengganas kuffar yang diketuai oleh 2 kuasa utama iaitu Amerika dan Britain. Jangan biarkan kuffar bermaharajalela membaham kita. Jangan biarkan air mata kita terus mengalir kesedihan menyaksikan kekejaman musuh meratah umat Islam. Biarkanlah air mata yang mengalir selepas ini ialah air mata kegembiraan tanda syukur di atas kemenangan. Kemenangan dari Allah begitu hampir kepada hambaNya yang soleh
Renungilah Firman Allah dalam ayat 26 surah an-Nahlu :
قد مكر الذين من قبلهم فأتى الله بنيــنهم من القواعد فخر عليهم السقف من فوقهم وأتئهم العذاب من حيث لايشعرون
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orag sebelum mereka telah melakukan perancangan maka Allah menghancurkan bangunan-bangunan mereka dari asas-asas binaaannya lalu bumbung bangunan itu jatuh menimpa mereka dari atas dan datanglah azab itu kepada mereka dari tempat yang tidak mereka sedari
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Rabu, 4 Ogos 2010

81. MERDEKAKAN PERLEMBAGAAN NEGARA DENGAN ISLAM

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 5-6 surah al-Qosas :
ونريد أن نمن على الذين استضعفوا فى الأرض ونجعلهم أئمة ونجعلهم الورثين . ونمكن لهم فى الأرض ونرى فرعون وهــمــن وجنودهما منهم ما كانوا يحذرون
Maksudnya : Dan Kami hendak memberi kurniaan kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan Kami mahu menjadikan mereka pemimpin serta menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi bumi. Dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi ini dan akan Kami memperlihatkan kepada Firaun dan Haman serta tentera keduanya tentang apa yang sentiasa mereka bimbangkan selama ini
Kemerdekaan merupakan suatu kebebasan daripada sebarang bentuk penjajahan yang selama ini membelenggu sesuatu bangsa atau negara. Sesuatu bangsa hanya akan mencapai kemerdekaan hakiki apabila mampu membebaskan diri daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah dalam setiap aspek kehidupan bermula daripada ibadat khusus sehinggalah menguruskan negara. Hampir keseluruhan negara umat Islam termasuk negara kita mendapat kemerdekaan daripada penjajah dengan bersyarat antaranya mesti tunduk kepada perlembagaan penjajah yang bertujuan agar kita terus tunduk kepada penjajah walau pun kemerdekaan telah diberi. Kita perlu faham bahawa negara kita asalnya negara Islam tetapi penjajah telah memurtadkan perlembagaan negara di mana perlembagaan ini terus dipertahankan yang menyebabkan kebanyakan sistem Islam gagal dilaksanakan dalam negara kerana bercanggah dengan perlembagaan negara. Oleh itu dalam memastikan kita lahir sebagai umat merdeka maka kita mestilah mengislamkan kembali perlembagaan negara agar kemerdekaan yang dicapai adalah kemerdekaan hakiki dan kita dapat meraih keredhaan Allah di dunia dan akhirat. Orang bukan Islam tidak boleh sama sekali mempertikaikan sebarang usaha dalam mengislamkan kembali perlembagaan negara ini kerana asal negara ini ialah negara Islam. Malah umat Islam mesti lebih berani dan yakin dalam melaksanakan seluruh sistem Islam dalam negara dengan penuh hikmah. Kita perlu ingat bagaimana usaha dalam melaksanakan sistem Islam sering terbantut atas alasan perpaduan dan menjaga hati orang bukan Islam sedangkan sistem Islam tidak pernah menindas manusia. Alasan yang diberikan adalah alasan lapuk dan ketinggalan zaman di mana ia mula dimainkan di Mesir atas alasan mahu menjaga keamanan negara dan perpaduan dengan penganut Kristian yang jumlahnya begitu sedikit di sana dan alasan tersebut turut digunakan di negara kita. Jika selama ini rakyat tidak mempertikaikan apabila Islam tidak pernah memaksa orang bukan Islam untuk sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat mengapakah apabila orang bukan Islam diberikan pilihan dalam masalah perundangan Islam maka ia dikatakan tidak adil dan membahayakan mereka. Kita perlu fahami bahawa perundangan dalam Islam bukan untuk menghukum pesalah semata-mata tetapi ia merupakan antara cara untuk bertaubat atas kesalahan berat yang menyebabkan orang bukan Islam diberikan pilihan untuk menerima pakainya atau pun tidak. Kita memperbesarkan masalah pelaksanaan hukuman Islam kerana masalah jenayah dalam negara membabitkan rompakan, rogol, zina, membunuh semakin meningkat bagaikan tiada penyelesaian sedangkan hukuman untuk jenayah itu jelas ada dalam perundangan Islam tetapi ia tidak mahu dilaksanakan. Merdekakah kita jika perundangan Islam tidak boleh dilaksanakan oleh penganutnya sendiri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Antara punca kepada penjajahan dan penerusannya yang menyebabkan umat Islam terus mundur dan tertinggal termasuk dalam negara mereka sendiri ialah apa yang pernah tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Ibnu Umar di mana katanya bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Wahai kaum Muhajirin! 5 perkara andainya kamu ketepikan maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah semoga kamu tidak menemui saat itu. 1. Tidak terserlah zina pada suatu kaum sehingga mereka melakukannya secara terang-terangan kecuali mereka akan ditimpa suatu penyakit merbahaya yang cepat merebak di kalangan mereka dan mereka dimusnahkan oleh penyakit yang belum pernah menimpa umat terdahulu. 2. Dan tiada mereka mengurangi sukatan daripada timbangan kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan berlaku zalim daripada kalangan pemimpin mereka. 3. Dan tiada mengeluarkan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka hujan dari langit di mana jika tiada binatang sudah tentu mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah. 4. Dan tiada mereka mungkir janji Allah dan rasulNya kecuali Allah akan menguasakan atas mereka musuh mereka maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka. 5. Dan apabila pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan maka diwaktu itu Allah jadikan peperangan sesama mereka.
Oleh itu sedarlah kita bagaimana peringatan daripada Rasulullah s.a.w tersebut mestilah diambil perhatian dan tindakan sewajarnya agar kita dapat merdekakan diri daripada bala Allah. Sebagai umat yang beriman kepada Allah dan rasulNya maka kita mesti yakin bahawa tiada kemerdekaan hakiki melainkan tunduk menyembah Allah dalam seluruh aspek kehidupan bukannya ketika beribadat khusus sahaja. Malah hadis tadi bukan sahaja menyentuh mengenai masalah ibadat khusus tetapi turut merangkumi masalah sosial, perundangan, ekonomi dan pemerintahan. Ingatlah bagaimana dalam masalah Aids sahaja negara terpaksa mengeluarkan ratusan juta setiap tahun untuk menanganinya. Begitu juga masalah dadah di mana negara terpaksa mengeluarkan belanja 300 juta setahun serta terpaksa membina 28 buah pusat pemulihan seluruh negara setakat ini. Jika Islam dapat dilaksanakan dengan penuh amanah maka wang berjumlah ratusan juta untuk mengubat penyakit yang begitu parah itu boleh digunakan dalam melahirkan lebih ramai pakar agama dan profesional dalam memajukan negara. Malah sekurang-kurangnya jumlah wang sebanyak itu sudah cukup untuk kembali membantu sekolah agama rakyat.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Antara tanda negara berdaulat ialah adanya benderanya sendiri. Tidak salah mengibar bendera bagi menyatakan kegembiraan dalam menyambut kemerdekaan negara. Malah bendera merupakan simbol kekuatan yang mesti djaga terutama dalam peperangan. Kita pernah ingat bagaimana sepupu nabi iaitu Jaafar bin Abi Tolib at-Toyyar yang ditugaskan sebagai panglima perang Islam dalam peperangan Mu’tah yang berlaku pada tahun 8 Hijrah di mana beliau kehilangan kedua-dua belah tangannya kerana mengawal panji Islam daripada jatuh ke tanah sehingga beliau akhirnya menggigit panji itu dengan mulutnya sebelum datangnya musuh lalu memenggal kepalanya yang menyebabkan beliau gugur syahid di mana beliau telah digelar at-Toyyar yang bererti pemilik sayap untuk terbang di syurga. Walau bagaimana pun panji Islam itu tidak sempat jatuh ke bumi sebaliknya disambar dengan segera oleh tentera Islam yang lain. Akhirnya tentera Islam menang dalam peperangan ini hasil kecekapan panglima Islam yang baru dilantik semasa peperangan iaitu Sayyidina Khalid ibnu Walid disamping keyakinan yang tinggi terhadap pertolongan dan kemenangan daripada Allah yang tertanam dalam sanubari tentera Islam.
Oleh itu fahamilah kita bahawa kibaran bendera bukan semata-mata untuk menyatakan kegembiraan kerana negara sudah merdeka daripada penjajah berbangsa Inggeris sebaliknya kita mesti lebih bersemangat untuk memerdekakan perlembagaan negara ini yang masih dijajah oleh perlembagaan penjajah Inggeris. Jangan hanya tahu mengibar bendera sedangkan kita lupa untuk bangun memberi peringatan kepada pemimpin agar menghentikan kezaliman, penindasan, salah guna kuasa dan tindakan kejam terhadap pengajian agama dan penghinaan terhadap Islam yang kebanyakannya lebih berani daripada penjajah itu sendiri. Jangan hanya tahu melihat bendera negara berkibar kerana cintanya kita pada tanahair sedangkan banyak tanah dan air milik negara tergadai kepada orang asing.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bagi menyatakan kesyukuran kita atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi maka sewajarnya kita mengisi kemerdekaan ini dengan lebih bersungguh dalam menunaikan kewajipan agama kerana Allah barulah kita memperolehi kemerdekaan hakiki. Jangan kita hanyut dan terpedaya dengan slogan Keranamu Malaysia sehingga kita mendahulukan tuntutan negara daripada agama. Ingatlah kita bahawa agamalah yang memuliakan sesuatu bangsa dan membawa keamanan kepada negara. Jangan disebabkan mahu mengharumkan nama negara maka adanya umat Islam yang sanggup meninggalkan kewajipan agama terutama yang besar iaitu sembahyang. Ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w sendiri bukan sahaja mengharumkan malah mempertahankan Daulah Islamiah tetapi tetap sembahyang dalam keadaan syiddatul khauf. Malah Rasulullah s.a.w pernah memberi peringatan bagaimana ikatan Islam akan dirungkaikan satu demi satu oleh umat Islam sendiri bermula daripada sembahyang diakhiri dengan system Islam. Jangan slogan Keranamu Malaysia lebih besar daripada KeranaMu Allah yang menyebabkan maslahat negara lebih besar daripada arahan Allah. Rupanya slogan Keranamu Malaysia telah menyebabkan umat Islam Islam sendiri lebih bersungguh dalam mengharumkan nama negara walau pun dengan mengenepikan ajaran agama. Kembalilah kepada Allah dalam menyambut merdeka bukannya mahu membebaskan diri daripada ikatan tali Allah iaitu Islam.
Firman Allah dalam ayat 7-8 surah Yunus :
إن الذين لايرجون لقاءنا ورضوا بالحيــوة الدنيا واطمأنوا بها والذين هم عن ءايــتنا غــفلون . أولئك مأوئهم النار بما كانوا يكسبون
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan untuk menemui Kami (pada hari Akhirat untuk menerima balasan) dan yang redha dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengan kehidupan dunia dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda kekuasaan) Kami. Orang-orang yang demikian keadaannya (di dunia) maka tempat tinggal mereka ialah neraka disebabkan oleh keengkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Selasa, 3 Ogos 2010

132. MERDEKAKAN SELURUH SISTEM ISLAM

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 188 surah Ali ‘Imran :
لاتحسبن الذين يفرحون بمآ أتوا ويحبون أن يحمدوا بمالم يفعلوا فلاتحسبنهم بمفازة من العذاب ولهم عذاب أليم
Maksudnya : Janganlah sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka kerjakan. Janganlah kamu menyangka bahawa mereka terlepas daripada siksa dan bagi mereka siksaan yang pedih

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Detik 31 Ogos tidak pernah lekang daripada ingatan seluruh rakyat negara ini kerana ia merupakan tarikh bersejarah yang telah menyaksikan negara ini diberi kemerdekaan oleh pihak penjajah yang begitu lama menguasai bumi tercinta ini. Penjajah telah bersetuju memberi kemerdekaan dengan syarat dasar pemerintahan mestilah terus berkiblatkan sistem yang diamalkan oleh mereka. Akhirnya golongan yang menjadi anak didik penjajah telah berjaya mendapatkan kemerdekaan tersebut sedangkan satu golongan lagi yang dipelopori oleh para ulama’ yang betul-betul memperjuangkan kemerdekaan bukan setakat bertukarnya kulit putih kepada kulit sawa matang dan daripada pemimpin yang berbangsa Inggeris kepada pemimpin berbangsa melayu malah sistem Islam yang telah dilaksanakan oleh kesultanan melayu sebelum datangnya Portugis pada 1511 berjaya dilaksanakan semula namun mereka gagal mendapat tempat di hati penjajah. Golongan ulama’ terus dipinggirkan daripada pemerintahan di mana sehingga sekarang ulama’ bukan sahaja dimaki hamun tetapi diperangi sehingga ada yang terbunuh pada zaman pemerintahan anak didik penjajah. Pengorbanan ulama’ bukan sahaja tidak disanjungi malah mereka dituduh sebagai pengkhianat yang mahu hancurkan negara.

Sidang Jumaat yang dihormati,
Sebelum merdeka kita menentang penjajah yang sememangnya memusuhi Islam malah merekalah yang bertindak membuang seluruh sistem Islam daripada dilaksanakan di negara ini. Setelah penjajah pulang ke negara mereka dengan membawa begitu banyak hasil mahsul dari negara ini maka segala dasar pemerintahan penjajah diteruskan oleh anak didik mereka. Tugas umat Islam pada awalnya dijangka lebih mudah setelah mendapat kemerdekaan tetapi sehingga hari ini tugas untuk memartabatkan kembali sistem Islam di negara ini terus mendapat halangan dan tentangan mungkin lebih hebat daripada zaman penjajah. Tugas dalam meninggikan kalimah Allah tidak cukup setakat kita mendapat kemerdekaan sedangkan sistem Islam terus dipenjara daripada dilaksanakan. Kita menentang penjajah bukanlah kerana mereka berbangsa Inggeris dan kita menentang penjajah bukanlah disebabkan mereka bukan anak tempatan tetapi kita menentang penjajah kerana mereka memerangi Islam dan menghalang daripada terlaksananya sistem Islam di negara ini. Oleh itu kita pada hari ini terus menegur pemimpin negara walau pun mereka seagama dengan kita kerana mereka meneruskan sistem penjajah yang berlawanan dengan Islam sedangkan penjajah telah lama meninggalkan negara kita.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Pada zaman penjajah mereka mengakui bahawa begitu susah untuk memurtadkan umat Islam lalu mereka menjauhkan kita daripada Islam melalui sistem pendidikan disamping system perundangan yang diamalkan. Kita pernah mendengar bagaimana peristiwa Natrah yang diambil balik daripada keluarga angkatnya yang beragama Islam di Singapura oleh keluarga asalnya yang beragama Kristian maka seluruh umat Islam bangun menentang sehingga menggerunkan penjajah. Tetapi selepas merdeka ramai umat Islam yang telah murtad di mana umat Islam bukan sahaja dilarang bangkit menentangnya malah perundangan yang ada telah memberi keselesaan dan ruang yang luas kepada umat Islam untuk murtad. Kes Aisyah Bukhari misalnya di mana pihak Kristian berjaya mendapatkan perintah daripada mahkamah agar ayah Aisyah merelakan anaknya dimurtadkan. Begitu juga kes Kartini Kamarudin di mana ayahnya yang cuba membawa balik anaknya namun dihalang oleh mereka yang memurtadkannya malah terpaksa mempertahankan dirinya ketika ditikam dengan senjata tajam tetapi dia pula dituduh di mahkamah cuba mencederakan penculik anaknya yang boleh membawa hukuman penjara 14 tahun. Perkara ini berlaku pada masa ini dan apakah yang bakal berlaku di zaman anak cucu kita jika kita gagal memerdekakan negara ini daripada sistem penjajah. Sematkan dalam diri dan gerakkkan seluruh anggota kita agar kemerdekaan negara yang telah dicapai buat kali pertama dengan berjayanya kita menghalau penjajah kembali ke negara mereka dan kini kita mengorak langkah dalam memerdekakan negara daripada sistem penjajah ke arah pelaksanaan sistem Islam yang pasti akan memberi keamanan dan kebahagiaan yang sebenar di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Penjajah tersenyum girang apabila melihat kejayaan pemimpin yang merupakan anak didik mereka berjaya menghalang kebangkitan Islam malah lebih berani daripada mereka sendiri. Mereka seronok melihat rakyat negara ini rosak sebagaimana rosaknya moral anak mereka. Sistem pendidikan negara yang diwarisi daripada penjajah telah menjauhkan rakyat daripada Islam malah telah merosakkan anak bangsa. Setelah ramai anak muda beragama Islam memenuhi pusat serenti kerana terlibat dengan dadah maka sekarang ini lebih banyak penyakit sosial yang lebih merbahaya dan menggugat umat Islam telah melanda negara. Kita dikejutkan oleh Black Metal yang menjadikan Syaitan sebagai tuhan mereka ditambah dengan gejala pink metal iaitu golongan anak muda yang terlibat dengan lumba haram dengan mempertaruhkan perempuan sebagai hadiah. Perkara ini sebenarnya telah lama berlaku tetapi ia dianggap remeh-temeh kerana ia hanya menggugat keamanan negara bukannya menggugat kedudukan pemimpin. Perkara yang lebih diambil berat oleh pemimpin ialah pengajian agama serta kuliah di masjid-masjid dan juga ceramah yang boleh menggugat kedudukan mereka sebagai pemimpin di mana mereka dengan segala kuasa yang ada pada mereka terus menyekat program yang berjaya menyedarkan masyarakat tentang kesesatan dan kezaliman sistem dan pemimpin yang ada serta-merta sedangkan masalah penyakit sosial yang sebenar hanya diambil tindakan secara sambil lewa.

Sidang Jumaat yang dihormati,
Pada zaman penjajah kita dapat saksikan bagaimana ramai pejuang kemerdekaan dipenjara dan dibunuh. Tidak kurang jiwa rakyat negara ini dijadikan benteng dalam melawan musuh penjajah. Rakyat dijadikan mangsa untuk kepentingan kuasa penjajah. Cara ini turut digunakan pada hari ini di mana rakyat yang beruniform terpaksa berhadapan dengan rakyat yang bangkit menentang kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh pemimpin yang telah merobek dengan tangan mereka sendiri sistem yang selama ini dipertahankan oleh mereka. Pemimpin tanpa rasa bersalah memenjarakan rakyat tanpa membicarakan kesalahan mereka yang dikatakan golongan militan yang mahu menggulingkan pemimpin dengan alasan mereka pernah berlatih di Pakistan dan pernah membantu golongan mujahidin di Afghanistan dalam menghalau kuasa komunis Russia. Pemimpin menyembunyikan hasrat mereka yang sebenar iaitu menjadikan rakyat sebagai umpan bagi memujuk Presiden Amerika Syarikat dengan menyatakan bahawa pemimpin negara ini juga benci kepada mujahidin terutama Usama Laden yang memerangi Amerika Syarikat dan sekutu kuffarnya. ٍBertepatan dengan persiapan untuk menyambut hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos depan maka kita menyeru agar pemimpin membebaskan mereka yang tidak bersalah atau bicarakan mereka jika mereka benar-benar bersalah. Hormatilah negara ini yang telah merdeka dan merdekakan Islam untuk dilaksana.
.Firman Allah dalam ayat 167 surah An-Nisa’ :
إن الذين كفروا وصدوا عن سبيل الله قد ضلوا ضللا بعيدا
Maksudnya : Sesungguhnya orang kafir dan menghalangi (manusia) daripada jalan Allah benar-benar telah sesat sejauh-jauhnya.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Isnin, 2 Ogos 2010

113. BERSATU MENCAPAI KEMERDEKAAN HAKIKI

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
عن أبي بكر الصديق رضى الله عنه قال : يآأيهاالناس إنكم تقرءون هذه الأية : يآأيهاالذين آمنوا عليكم أنفسكم لايضركم من ضل إذا اهتديتم . وإني سمعت رسول الله يقول : إن الناس إذا رأوا الظالم فلم يأخذوا على يديه أوشك أن يعمهم الله بعقاب منه - رواه أبو دأود والترمذي والنسائي
Daripada Sayyidina Abu Bakar telah berkata : Wahai sekalian manusia! Kamu telah membaca ayat 105 surah al-Maidah yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah dirimu di mana tidak membahayakan dirimu kesesatan orang yang sesat asalkan kamu memperolehi petunjuk. Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda : Sesungguhnya jika orang-orang yang melihat orang zalim berbuat kejahatan sedangkan mereka tidak mencegah dengan kemampuannya maka sudah hampir Allah akan menurunkan siksaanNya yang merata
Kemerdekaan hakiki ialah kemampuan manusia dalam membebaskan diri daripada penjajahan zahir dan batin sehingga melahirkan dirinya sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Tokoh kemerdekaan di dunia ini ialah bermula daripada nabi-nabi dan rasul-rasul yang telah dimerdekakan oleh Allah daripada penjajahan berbentuk musuh yang zahir dan juga batin daripada hawa nafsu dan syaitan. Tidak ketinggalan nabi kita Muhammad s.a.w yang telah dimerdekakan daripada syirik walau pun dibesarkan dalam keadaan masyarakat jahiliah dan selepas itu dimerdekakan nabi daripada deraan dan siksaan kafir Quraisy dengan kebenaran daripada Allah untuk berhijrah ke Madinah. Kemerdekaan yang diraih oleh nabi dan para sahabat telah diisi dengan penyembahan kepada Allah dalam semua aspek kehidupan bukannya setakat ibadat khusus sebagaimana sebelum merdeka ketika berada di Mekah. Pengisian seperti inilah yang cuba kita lakukan di tanahair kita yang tercinta ini sebagai menyahut erti kemerdekaan yang sebenar bukannya setakat menghalau penjajah yang berkulit putih dan berbangsa Inggeris sedangkan kita terus membiarkan anak didik penjajah yang sebangsa dengan kita untuk terus melakukan kesesatan dan kezaliman berdasarkan perundangan penjajah.
Semangat di dalam memerdekakan Malaysia daripada cengkaman jahiliah moden mestilah terus bersemarak dalam diri sehinggalah negara kita ini berjaya dijadikan Daulah Islamiah buat kali kedua selepas ia berjaya dilaksanakan oleh Kesultanan Melayu sebelum datangnya penjajah. Kita perlu mencontohi semangat yang telah ditunjukkan oleh Rub’i bin Umair ketika menjawab pertanyaan Rustam panglima Parsi ketika berlakunya peperangan al-Qadisiah tentang sebab beliau membawa tentera Islam ke Parsi lalu dengan tegas dijawab : “ Allah telah mengutuskan kami untuk memerdekakan sesiapa yang dikehendaki dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah yang Esa. Dan memerdekakan manusia daripada kesempitan dunia kepada lapang dan luasnya akhirat dan daripada belenggu kezaliman agama lain yang sesat kepada keadilan Islam”.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Kemerdekaan negara kita sepatutnya telah lama diisi dengan Islam bukannya meneruskan sistem penjajah yang merosakkan manusia di dunia dan akhirat. Sebagai mereka yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya maka kita wajib dengan kemampuan yang ada terus menerus memberi peringatan kepada pemimpin agar melaksanakan seluruh sistem Islam dalam negara agar segala masalah kemelesetan ekonomi dan keruntuhan sosial dapat ditangani dengan hukum Allah yang adil. Kita tidak boleh putus asa dalam mengingatkan pemimpin tentang kesesatan dan kezaliman perundangan yang dicipta oleh manusia. Sebagai rakyat yang sentiasa berpegang kepada ajaran al-Quran dan hadis nabi serta tunjuk ajar ulama’ pewaris nabi maka kita terus bersabar dalam berdakwah kepada pemimpin walau pun mendapat tentangan dan halangan yang begitu hebat. Gerakan Islam terus menghormati sistem demokrasi pilihanraya yang dijadikan jalan dalam mengembalikan semula pelaksanaan hukuman Islam dalam negara. Walau pun diserang dan dituduh dengan bermacam-macam tuduhan namun gerakan Islam terus bergerak secara aman sebagai menjunjung perintah nabi antaranya dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim :
قال الرسول : إنه يستعمل عليكم أمراء فتعرفون وتنكرون فمن كره فقد برىء ومن أنكر فقد سلم ولكن من رضي وتابع . قالوا : يارسول الله ألا نقاتلهم ؟ قال : لا ما أقاموا فيكم الصلاة
Maksudnya : Sesungguhnya akan muncul ke atasmu beberapa pemimpin yang kamu kenal kebaikan dan kejahatannya. Maka sesiapa yang membenci dalam hatinya maka bererti telah bebas, sesiapa yang menentang bererti selamat sebaliknya siapa yang rela dan mengikutinya maka itulah yang binasa. Sahabat bertanya : Wahai Rasulullah! Tidakkah lebih baik kami memerangi mereka dengan senjata?. Jawab nabi : Jangan! Selagimana mereka masih sembahyang.
Oleh itu sewajarnya pemimpin yang ada menghormati kedudukan ulama’ dalam memberi peringatan kepada mereka dengan penuh sabar dan istiqamah. Jika tanpa tunjuk ajar dan peringatan daripada ulama’ pewaris nabi maka negara kita mungkin lebih teruk daripada apa yang telah berlaku pada hari ini. Kesabaran manusia ada batasannya tetapi jika ia tidak dibatasi dengan wahyu Allah maka ia mungkin akan membawa kemusnahan dan kehancuran.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Esok kita akan menyambut hari kemerdekaan negara kita kali ke-45 yang menunjukkan kepada kita bagaimana negara ini telah lama merdeka dari sudut pertukaran pemimpin yang berlainan bangsa kepada pemimpin sebangsa dan dari bahasa dan buaday yang berbeza kepada bahasa dan budaya yang sama. Namun begitu dari segi hakikat sebenarnya negara kita terus dibelenggu dengan penjajahan baru oleh pemimpin sebangsa yang mengamalkan pemerintahan kuku besi. Pemimpin hanya tahu melaungkan merdeka sedangkan mereka terus memenjarakan rakyat daripada bangun menegur kezaliman mereka. Pemimpin mengistiharkan bahawa negara ini adalah negara Islam sedangkan dalam masa yang sama mereka menentang pelaksanaan perundangan Islam. Alasan bahawa rakyat negara ini belum faham tentang perundangan Islam menampakkan lagi kegagalan sistem pendidikan negara di mana hampir 50 tahun sambut merdeka dan semakin banyak sekolah dan universiti dibina tetapi rakyat semakin tidak faham serta jahil tentang Islam itu sendiri. Pemimpin hanya tahu meletakkan wawasan dunia yang mahu dicapai tetapi tidak pernah terlintas dalam pemikiran mereka untuk meletakkan matlamat bilakah Islam akan dilaksana secara keseluruhannya dalam negara.Jika dilihat kepada ucapan dan maklumat yang disebar melalui media massa terutama tv, radio, akhbar maka kita dapati usaha dalam menjauhkan umat Islam dan bukan Islam daripada Islam lebih jelas daripada daripada penerangan tentang Islam. Sebab itulah seorang bekas pegawai di Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur yang pernah berkhidmat di negara ini selama 10 tahun telah mengatakan bahawa beliau lebih tahu tentang Islam melalui pembacaan berbanding bangsa Cina dan India bukan Islam yang berpuluh-puluh tahun menjadi warganegara Malaysia kerana pendedahan tentang Islam oleh kerajaan tidak banyak serta tidak mempunyai kesungguhan.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Selepas merdeka dan pertukaran pemimpin kepada mereka yang sebangsa maka kedudukan Islam semakin tersepit. Majlis ceramah penerangan dihalang bagaikan ianya merupakan program yang menimbulkan keganasan sedangkan program maksiat digalakkan. Kuliah agama dan majlis ilmu dikenakan pelbagai sekatan sedangkan pemimpin membiarkan bertambahnya keruntuhan akhlak termasuk menggalakkan perzinaan yang berlaku secara bebas termasuk ketika menyambut kemerdekaan di Dataran Merdeka dan beberapa dataran yang lain. Dulu ISA digunakan untuk menangkap komunis tetapi kini dijadikan senjata untuk menangkap rakyat yang pernah menghalau kuasa komunis Russia di Afghanistan. Tujuan sebenar ialah pemimpin begitu takut dan benci melihat adanya rakyat yang bangun menegur tentang beberapa ideologi komunis terutama dalam menolak peranan agama dalam membangunkan masyarakat yang telah meresap dalam diri pemimpin. Oleh itu sempena menyambut merdeka maka seluruh umat Islam yang cintakan Allah dan rasulNya mendesak agar pemimpin negara membebaskan semua tahanan ISA atau dakwa mereka di mahkamah jika bersalah. Jangan biarkan rakyat yang tidak bersalah dipenjara dan keluarga mereka terus menitis air mata sedangkan kita bergembira menyambut kemerdekaan negara.
Firman Allah dalam ayat 165 surah al-A’raf :
فلما نسوا ماذكروا به أنجينا الذين ينهون عن السؤ وأخذنا الذين ظلموا بعذاب بئيس بما كانوا يفسقون
Maksudnya : Maka ketika mereka melupakan apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang mencegah daripada kemungkaran dan Kami timpakan mereka yang zalim dengan azab siksa yang amat berat disebabkan mereka derhaka.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Ramadhan DiSambut Taqwa DiRebut

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Renungilah firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara hak dan batil. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahuinya maka hendaklah ia berpuasa padanya. Sesiapa yang sakit atau bermusafir maka wajib dia ganti sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain selepas Ramadhan. Allah S.W.T mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan agar kamu membesarkan Allah di atas petunjukNya kepada kamu. Dan supaya kamu bersyukur
Kita bakal menyambut ketibaan bulan Ramadhan buat sekian kalinya dalam hidup kita mulai esok di mana bulan ini dijanjikan dengan rahmat pada awal kedatangannya diikuti dengan pengampunan dosa pada pertengahannya serta dibebaskan daripada api neraka pada penghujungnya bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan. Sempena kedatangan bulan Ramadhan yang dibuka seluasnya pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka, diganda pahala, diampunkan dosa, dimakbul doa, dirantai segala syaitan derhaka ditambah pula dengan ada pada salah suatu malamnya laillatul qadar di mana kelebihan beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan mestilah sama-sama kita rebut bukan setakat disebut dimulut tanpa berusaha menghidupkannya. Raikanlah kehadiran Ramadhan kali ini untuk menambah amal ibadat bukan makanan lazat yang menambah berat badan. Selagi umat Islam banyak tidur daripada ibadat, banyak berhibur daripada memikirkan tanggungjawab, banyak rehat daripada bekerja maka selagi itulah kita tidak akan maju dalam meneguhkan agama dan menguasai dunia. Bersamalah kita merebut keistimewaan Ramadhan yang bakal kita lalui bagi menyahut tawaran Allah yang diberitahu oleh nabi Muhammad s.a.w melalui suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Sahli bin Sa’ad :
قال الرسول  : ِإنَّ فِي الَجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ لا يَدْخُلُ مَعَهُمْ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُوْنَ؟ فَيَدْخُلُوْنَ مِنْهُ : فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ - رواه ومسلم
Maksudnya : Sesungguhnya pada syurga itu ada satu pintu yang dipanggil Rayyan di mana akan masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari qiamat. Tidak akan masuk bersama mereka seorang pun selain mereka yang berpuasa. Akan diseru dimanakah orang-orang yang berpuasa?. Maka mereka akan masuk syurga melaluinya. Maka apabila telah masuk orang terakhir daripada orang berpuasa nescaya ditutup pintu itu dan tidak boleh lagi memasukinya walau pun seorang.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa
Taqwa itulah matlamat utama yang mesti dicapai oleh umat Islam yang berpuasa. Perkataan taqwa begitu mudah disebut dimulut tetapi begitu susah untuk diperolehi tanpa usaha yang bersungguh dan sikap acuh tidak acuh. Kita mesti memilki 4 ciri utama taqwa melalui tarbiah madrasah Ramadhan yang bakal kita lalui sebagaimana yang pernah disebut oleh Sayyidina Ali Karramallahu wajhah :
التَّقْوَى هُوَ الخَوْفُ مِنَ الجَلِيْلِ وَالرِّضَا بِالقَلِيْلِ وَالعَمَلُ بِالتَّنْزِيْلِ وَالاسْتِعْدَادِ لِيَوْمِ الرَّحِيْلِ
Maksudnya : Taqwa ialah : [1] takut kepada Allah dalam setiap perkara, [2] sentiasa redha dengan pemberian Allah walau pun sedikit, [3] sentiasa melaksanakan sistem Islam sebagaimana yang diturunkan dalam al-Quran [4] dan sentiasa bersedia dengan bekalan terbaik bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi
Oleh itu sempena kedatangan Ramadhan hendaklah kita sama-sama hidupkannya dengan seberapa banyak amalan soleh disamping menjauhi segala bentuk maksiat. Kita wajib memperkemaskan ilmu berkenaan puasa zahir dan batin agar puasa kita menjadi ibadat yang diterima Allah bukan hanya setakat adat yang sia-sia. Kita tidak mahu ibadat yang penting ini hanya dilaksanakan dalam keadaan teraba-raba setakat mengikut orang bukannya berdasarkan ilmu yang dipelajari. Jangan biarkan puasa kita setakat berlapar dahaga di dunia sahaja sedangkan di akhirat nanti hampa tanpa ganjaran atas apa yang dikerjakan. Jangan malu untuk belajar apatah lagi untuk bertanya agar kualiti puasa tahun ini lebih baik dari sebelum nya. Jika perkara dunia kita mahu yang terbaik, inikan pula perkara akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Apabila sebuah negara melahirkan individu, keluarga, masyarakat bermula daripada pemimpin sehinggal rakyat jelata daripada kalangan orang bertaqwa maka dijanjikan keberkatan kepada negara tersebut dan inilah yang kita idamkan selama ini. Tanpa masyarakat yang taqwa maka pelbagai masalah terus datang silih berganti bermula daripada kerosakan aqidah, keruntuhan akhlak, masalah jenayah, penyakit berjangkit dan sebagainya. Pemikiran dan tindakan umat bertaqwa berbeza jauh daripada golongan yang memisahkan agama daripada sistem kehidupan seharian. Umat bertaqwa sentiasa beriman bahawa setiap apa yang berlaku berdasarkan Qadha’ dan Qadar Allah di mana kita tidak boleh lari daripada bergantung harap kepada Allah dalam setiap apa yang berlaku disamping sentiasa memikirkan tentang setiap bala ujian yang menimpa merupakan peringatan daripada Allah dalam menyedarkan hambaNya yang banyak melakukan perderhakaan disamping untuk menguji tahap keimanan kita kepada Allah. Manusia yang tidak bertaqwa menganggap apa yang berlaku hanya disebabkan fenomena alam di mana hanya perlu dicari ubat untuk mengubatinya tanpa memikirkan bahawa penyakit yang menimpa merupakan kesan daripada kesalahan diri dan masyarakat yang banyak menolak kekuasaan dan kehebatan Allah. Kita dapat saksikan bagaimana masyarakat hari ini hanya takut kepada penyakit seperti selsema babi bukannya takut kepada Allah yang mencipta penyakit tersebut. Contohnya sambutan kemerdekaan kali ke-52 tahun ini hanya dibuat sederhana kerana bimbang jangkitan selsema babi yang telah meragut 68 nyawa sebagaimana berapa kali sambutan tahun baru dan merdeka sebelum ini hanya dibuat sederhana kerana tsunami dan banjir besar bukannya kerana takut kepada Allah. Jika tiada bala Allah ini sudah kerap kali sambutan tahun baru dan merdeka walaupun jatuh pada bulan Ramadhan dicemari dengan program maksiat. Pemimpin hanya sibuk memperkatakan 95 peratus yang keluar demontrasi membantah ISA dari kalangan orang Melayu sedangkan mereka terus membiarkan lebih 90 peratus orang Melayu yang sentiasa memenuhi program maksiat yang berakhir dengan dadah, penzinaan dan sebagainya. Kita di Kelantan insya Allah akan mengadakan solat hajat perdana bagi memohon kepada Allah agar dijauhi selsema babi sebelum sahur pagi esok di Kota Bharu.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Apabila pemimpin tidak bertaqwa maka berlakunya pecah amanah, rasuah serta tindakan yang bercanggah dengan agama dalam mentadbir negara. Apabila peniaga tidak bertaqwa maka berlakulah sorok barang seperti gula bagi mengaut keuntungan berganda. Malah di tengah kekalutan selsema babi maka diambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dalam menjual penutup muka dan ubat virus sehingga timbul dakwaan bahawa selsema babi dicipta oleh golongan kapiltalis untuk mengaut keuntungan daripada ubat yang dijual. Namun kita yakin bahawa setiap apa yang berlaku adalah antara tanda kekuasaan Allah. Oleh itu marilah kita menggunakan kesempatan dengan kedatangan Ramadhan untuk melahirkan pemimpin dan rakyat jelata yang bertaqwa sehingga negara dilimpahi keberkatan manakala pelbagai masalah dapat disekat daripada terus melarat. Islamlah nescaya kita selamat, negara berkat, dunia bahagia, akhirat sentosa
Firman Allah dalam ayat 36 surah ar-Ruum :
وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا ۖ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ
Maksudnya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Ahad, 1 Ogos 2010

Berqiblatkan Islam Menuju Kemenangan

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 144 surah al-Baqarah :
قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاء فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّواْ وُجُوِهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوْتُواْ الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.
Kita sekarang ini masih berada pada bulan Sya’aban yang pernah melakar beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya peristiwa perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama yahudi dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Selagi sistem yang digunakan oleh oleh umat Islam masih berqiblat kepada sistem kuffar maka selagi itulah kita terus mundur dan terjajah dalam negara sendiri. Sebagai contohnya yahudi sentiasa memastikan agar umat Islam tidak kembali kepada penggunaan wang dinar walau pun di kalangan negara bawah Pertubuhan Negara Islam (OIC) sahaja kerana yahudi bimbang sistem riba akan hancur dan pelbagai penipuan melalui wang kertas yang membolehkan mereka kaya raya akan musnah. Kita pernah menyaksikan bagaimana pertukaran penggunaan wang dinar emas kepada wang kertas antara penyebab kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki 1924. Malah perlaksanaan hukum hudud iaitu kerat tangan kepada pencuri turut terganggu jika kadar minima dibuat berdasarkan wang kertas kerana nilainya sentiasa berubah berbanding dinar emas. Ketika menyebut berkenaan Masjid Aqsa juga maka tidak boleh lari untuk kita memperkatakan tentang usaha yang perlu kita lakukan dalam membebaskan bumi Palestin terutama ketika memperingati suatu sejarah hitam 39 tahun tindakan jahat seorang pelampau yahudi yang membakar Masjid Aqsa pada 21 Ogos 1969 atas alasan agama bagi membina Haikal nabi Sulaiman di atas runtuhan Masjid Aqsa itu. Buat sekian kalinya kita sebagai umat Islam yang bermaruah menyatakan bahawa Masjid Aqsa milik Islam dan sekiranya benar Masjid Aqsa dibina adalah Haikal nabi Sulaiman maka ia pun milik umat Islam kerana semua nabi adalah menyeru kepada agama yang satu iaitu Islam.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 173 dan 174 surah Ali ’Imran :
الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ فَانْقَلَبُوا بِنِعْمَةٍ مِنَ اللهِ وَفَضْلٍ لَمْ يَمْسَسْهُمْ سُوءٌ وَاتَّبَعُوا رِضْوَانَ اللهِ ۗ وَاللهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ
Maksudnya : Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar
Peristiwa besar kedua yang pernah berlaku pada bulan Sya’aban tahun ke 4 Hijrah ialah Peperangan Badar Sughra atau Badar Kecil. Peperangan ini meletus setahun selepas Peperangan Uhud bagi mememenuhi janji Abu Sufian yang merupakan antara pembesar kafir Quraisy pada waktu itu di mana sebaik sahaja menang dalam peperangan Uhud maka Abu Sufian dengan angkuhnya mencabar nabi Muhammad s.a.w untuk bertempur di Badar pada tahun berikutnya bagi menentukan siapa sebenarnya yang layak untuk bergelar pemenang samada nabi bersama tentera Islam atau tentera kafir Quraisy. Nabi Muhammad s.a.w sebagai memenuhi janji tersebut mengumpul sejumlah tentera Islam telah keluar ke Badar manakala tentera kafir Quraisy pimpinan Abu Sufian turut keluar tetapi belum sampai di Badar lalu Abu Sufian terus berasa takut untuk berperang lalu dinyatakan alasan untuk menarik diri disebabkan cuaca kemarau dan dipersetujui oleh semua tentera kafir yang sememangnya takut untuk berperang. Bagi menutup kelemahan dan perasaan takut ini lalu Abu Sufian mengupah seorang Islam yang bernama Nua’im bin Mas’ud yang baru pulang dari Mekah kerana menunaikan umrah supaya menakut-nakutkan nabi dan tentera Islam agar jangan keluar ke Badar atas alasan tentera musuh begitu ramai dan tidak mampu dihadapi oleh tentera. Dia juga menyatakan supaya tentera Islam jangan terlalu mengikut perasaan untuk pergi berperang agar kekalahan dalam peperangan Uhud yang baru setahun berlalu tidak berulang semula. Hasutan ini diterima oleh sebahagian besar tentera Islam tetapi bila mendengar kata-kata Rasulullah bahawa baginda tetap akan keluar ke Badar walau pun seorang diri telah menyebabkan semangat tentera Islam semakin berkobar-kobar. Akhirnya bila tiba di Badar dan menunggu ketibaan tentera kafir Quraisy selama 8 hari maka didapati musuh tidak kunjung tiba. Nabi Muhammad s.a.w dan para tentera Islam telah mendapat 2 kemenangan iaitu musuh yang menyerah sebelum berperang dan keuntungan berlipat ganda daripada perniagaan sepanjang 8 hari di Badar sambil menunggu musuh datang. Persitiwa ini memberi pengajaran penting agar kita sentiasa menepati janji walau pun terhadap musuh. Kita juga mesti beringat bahawa sentiasa wujud musuh dalam selimut yang sanggup makan upahan musuh Islam di dalam melemah dan menghancurkan kesatuan umat Islam. Kita sebagai umat Islam yang cintakan Allah dan rasulNya mesti sentiasa bersiap dari segi ilmu dan kemampuan yang lain dalam menghadapi musuh Islam. Kewajipan kita sekarang ialah untuk mengurangkan musuh dengan memastikan kita sendiri betul-betul faham dan beramal dengan Islam sehingga orang bukan Islam semakin jelas tentang Islam dan mereka bertindak bijak masuk Islam atau sekurang-kurangnya mereka tidak menentang Islam

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Peristiwa besar yang ketiga yang berlangsung pada bulan Sya’aban ini juga ialah Peperangan Bani Mustaliq pada tahun 6 Hijrah apabila Rasulullah bertindak pantas menyerang Bani Mustaliq yang sedang merancang untuk menyerang Madinah. Antara perkara yang besar sepanjang peperangan ini ialah khabar Ifk atau berita bohong yang dilempar terhadap diri Siti Aisyah yang dituduh melakukan perbuatan sumbang dengan Safwan bin al-Mu’tal. Fitnah ini begitu kuat sehingga Rasulullah s.a.w sendiri tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah turunnya wahyu yang menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. Rasulullah s.a.w sendiri meminta agar diselidik mengenai orang- yang mula-mula menaburkan fitnah yang dahsyat ini di mana akhirnya 3 orang dihukum dengan hukuman qazaf 80 kali sebatan iaitu Hasan bin Thabit, Musytaq dan seorang perempuan bangsawan Quraisy. Peristiwa ini memberi pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam supaya berhati-hati dan cermat terutama dalam berdepan dengan fitnah dan tuduhan liar terhadap Islam dan umatnya. Kita bimbang budaya bersumpah sebelum lagi sesuatu bukti tuduhan ditunjukkan di mahkamah akan menjadi suatu cara untuk tidak lagi menggunakan saluran mahkamah sebagai tempat untuk menghukum siapa salah dan siapa benar sebaliknya cukup sekadar siapa yang berani bersumpah dialah yang benar walau pun bukti tiada.
Firman Allah dalam ayat 19 surah an-Nur :
إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ۚ وَاللهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman maka bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

111. MERDEKAKAN NEGARA DARIPADA PENJAJAHAN BARU

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 31 surah Saba’ :
وقال الذين كفروا لن نؤمن بهذا القرءان ولا بالذي بين يديه ولو ترى إذ الظــلمون موقوفون عند ربهم يرجع بعضهم إلى بعض القول يقول الذين استنضعفوا للذين استكبروا لولآ أنتم لكنا مؤمنين
Maksudnya : Dan orang-orang kafir berkata : “ Kami sekali-kali tidak akan beriman kepada al-Quran ini dan tidak pula beriman kepada kitab-kitab sebelumnya”. Dan betapa hebatnya jika kamu melihat ketika mereka yang zalim itu dihadapkan kepada Tuhannya di mana sebahagian mereka menghadapkan perkataan kepada sebahagian yang lain. Berkata mereka yang dianggap lemah kepada mereka yang menyombong diri : “ Jika bukan kerana kamu nescaya kami menjadi orang-orang yang beriman”.
Setiap insan cintakan kebebasan dan kemerdekaan mengikut keadaan masing-masing. Si miskin mahu bebas daripada kemiskinan, Si peniaga mahu bebas daripada belenggu hutang dan kerugian, Si banduan mahu bebas daripada penjara dan Mangsa kezaliman mahu bebas daripada penindasan. Setiap manusia mudah menyebut perkataan merdeka tetapi ramai di kalangan mereka tidak tahu hakikat kemerdekaan dan bagaimana cara mengisi kemerdekaan. Ramai yang hanya tahu melaung perkataan merdeka sedangkan dirinya terus terjajah. Makna kemerdekaan yang sepatutnya kita guna pakai ialah kebebasan daripada kesempitan sistem jahiliah kepada keluasan dan keadilan Islam, daripada penindasan kezaliman sistem yang sesat kepada kesaksamaan sistem Islam, daripada belenggu kegelapan jahiliah kepada sinar ilmu Islam yang terang.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Kini buat sekian kalinya rakyat negara ini menyambut ketibaan bulan Ogos yang merupakan bulan bagi menyambut kemerdekaan negara daripada penjajah. Bagi mereka yang pernah hidup di zaman penjajah maka mereka pernah merasai keperitan hidup di zaman itu dan bagi generasi yang muda pula mereka hanya mendengar melalui cerita ayah dan datuk mereka tentang penindasan yang telah dilakukan oleh penjajah terhadap rakyat jelata. Di sini sudah kita dapati perbezaan antara dua golongan iaitu yang tua dan yang muda dalam mengerti erti kemerdekaan di mana yang tua lebih terasa bahang kemerdekaan berbanding dengan generasi muda. Golongan tua menyambut merdeka dengan penuh perasaan hiba sedangkan generasi muda kebanyakannya hanya tahu melompat menjerit perkataan merdeka sedangkan diri mereka disalut dengan budaya penjajah.
Pada tahun ini kerajaan akan membazirkan sebanyak RM 1 juta wang rakyat bagi kempen mengibar bendera jalur gemilang. Bila dilihat kepada keadaan ini maka menunjukkan bagaimana rakyat pada hari ini kurang bersemangat menyambut merdeka sehingga kerajaan terpaksa membazirkan wang yang begitu banyak bertujuan semata-mata mahu melihat rakyat mengibar bendera. Semangat menyambut merdeka telah semakin berkurangan disebabkan berlakunya penjajahan baru oleh pemimpin dictator yang terlalu banyak menindas rakyat. Walau pun penjajah British telah dihalau namun anak buah penjajah yang menjadi gantiannya terus memerintah menggunakan sistem penjajah disamping lebih banyak penyelewengan yang berlaku sehingga rakyat tidak tahu lagi membeza antara penjajahan British dengan penjajahan pemimpin yang sebangsa. Rakyat mula berfikir tentang bagaimana mereka diminta bergembira mengibarkan bendera sedangkan pemimpin terus ketawa menggadai negara. Rakyat mula bimbang pada suatu masa nanti negara ini hanya tinggal bendera sedangkan seluruh kekayaan dan tanah akan menjadi milik orang asing akibat kelalaian dan penyelewengan pemimpin yang tamak haloba. Kemerdekaan yang disambut tidak lebih daripada menang sorak kampung tergadai. Oleh itu marilah kita sama-sama menukarkan cara sambutan merdeka ke arah mengikut lunas Islam agar kemerdekaan yang pernah dicapai dapat digunakan sepenuhnya dalam melaksanakan kembali sistem Islam sebagaimana yang telah dilaksanakan pada zaman Kesultanan Melayu sebelum kedatangan penjajah.


Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Pada zaman sebelum merdeka, penjajah British tidak berani mengganggu sekolah-sekolah Melayu dan pondok-pondok tempat pengajian agama sedangkan pada zaman anak didik penjajah di mana mereka lebih berani dalam menukar cuti daripada Jumaat kepada hari Ahad di beberapa buah negeri, penghapusan tulisan jawi sebelum ini, pengurangan isi kandungan dalam pengajian Islam, larangan memakai kopiah apatah lagi jubah dan serban di sekolah serta anak didik penjajah dengan begitu lantang memerangi pusat pengajian Islam sehingga ada yang terpaksa ditutup disamping menyusahkan orang ramai daripada mendapatkan pengajian di surau dan masjid sehingga kebanyakan masjid hanya menjadi tempat solat sahaja bukan lagi berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu Islam. Mengajar agama secara menyeluruh dianggap pengganas dan membahayakan keselamatan negara sedangkan sistem pendidikan yang ada lebih ramai melahirkan kaki lepak dan mereka yang terlibat dengan najis dadah sehingga pusat Serenti tumbuh sama banyak dengan bilangan universiti.
Malah anak didik penjajah turut berani mahu menukarkan pengajian sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sedangkan usaha ini tidak lebih daripada berundur ke belakang dan mengkhianati amanah bangsa. Usaha ini telah ditentang oleh orang Melayu walau pun pemimpin yang mengaku berbangsa Melayu ini mendakwa bahawa kebanyakan orang Melayu setuju dengan usaha ini. Mereka boleh menyembunyikan fakta yang sebenar kerana seluruh media dikuasai oleh pemimpin yang hanya tahu menipu rakyat sedangkan dalam masa yang sama sudah ramai guru-guru yang mahu menarik diri daripada mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Mengapakah kita perlu bersetuju dengan usaha anak didik penjajah yang menjadi pengkhianat kepada bangsa sendiri sedangkan orang Cina dan India turut bangun menentang secara terang-terangan usaha penggunaan Bahasa penjajah itu di negara ini. Sepatutnya semakin lama merdeka maka semakin banyak ilmu yang dapat di alih ke dalam bahasa Melayu sebagaimana usaha kuffar yang telah menghabiskan wang yang banyak dalam menterjemahkan ilmu-ilmu yang diambil daripada tamadun Islam dalam bahasa arab ke dalam bahasa mereka. Adakah setelah begitu lama kita merdeka dan semakin banyak universiti yang dibangunkan maka negara kita masih kekurangan ahli penterjemah dan pakar bahasa. Jika masih belum mampu melahirkannya maka suatu usaha yang lebih gigih mesti dibuat segera bukannya hanya tahu membazirkan wang rakyat dalam membina mahligai yang berjuta serta membina projek mega yang hanya menguntungkan kroni sahaja sedangkan rakyat hanya mampu berputih mata


Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Sehubungan dengan ini maka sempena sambutan bulan merdeka maka sepatutnya kita sambut dengan penuh insaf dalam mengembalikan semula negara ini sebagaimana sebelum kedatangan penjajah iaitu di dalamnya dilaksanakan sistem Islam secara menyeluruh. Sepatutnya semakin lama menyambut merdeka maka semakin kurangnya orang bukan Islam dalam negara jika kerajaan yang ada begitu serius mengajak orang bukan Islam terutama bangsa Cina dan India untuk memeluk Islam. Alangkah indahnya pada suatu hari nanti kita dapat merasai bagaimana orang Melayu, Cina, India dan lain bangsa bersatu dalam satu agama iaitu Islam dalam memajukan negara. Tiada lagi perasaan iri hati dan dendam kepada suatu bangsa yang lain kerana masing-masing sudah disatukan oleh Islam. Orang Cina dan India serta bangsa lain tidak boleh bertukar kepada bangsa Melayu tetapi mereka boleh bersama kita di dunia dan akhirat dengan memeluk Islam. Pada hari ini kita masih gagal merasai suasana itu kerana kita diperintah oleh pemimpin yang berjuang atas semangat kebangsaan yang sempit. Semoga dengan merdekanya kita daripada pemimpin yang kolot dan ketinggalan zaman itu maka erti kemerdekaan yang hakiki dapat dirasai oleh seluruh rakyat jelata
Firman Allah dalam ayat 37 surah Saba’ :
وما أمولكم ولآأولــدكم بالتي تقربكم عندنا زلفى إلا من ءامن وعمل صالحا فأولئك لهم جزاء الضعف بما عملوا وهم فى الغرفــت ءامنون
Maksudnya : Dan bukanlah harta dan anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami walau pun sedikit. Tetapi mereka yang beriman dan beramal soleh maka mereka itulah yang memperolehi balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi iaitu di Syurga.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ