أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 6 Mac 2026
Khutbah Jumaat : Penghina al-Quran DiHukum, Kemerdekaan Palestin DiJunjung
Khutbah Jumaat : Penghina al-Quran DiHukum, Kemerdekaan Palestin DiJunjung
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 3-6 surah ad-Dukhan :
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ ﴿٣﴾ فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ ﴿٤﴾ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا ۚ إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ ﴿٥﴾ رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦﴾
Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul. (Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hambaNya)
Ramadhan dan al-Quran tidak dapat dipisahkan maka begitulah juga dengan diri kita jangan pisahkan daripada al-Quran. Kemuliaan Ramadhan berkait rapat dengan penurunan al-Quran maka begitulah hati kita bila sentiasa disirami dan dipenuhi dengan al-Quran akan membawa kepada kemuliaan diri dunia dan akhirat. Amat rugi apabila kita mampu membaca akhbar, majalah, whatsap, tonton tv, layari internet sedangkan sentiasa memberi seribu alasan untuk tidak membaca al-Quran. Betapa rugi kita mampu berbincang dan belajar ilmu dunia yang lain sedangkan sentiasa memberi pelbagai alasan untuk tidak belajar al-Quran dan memahami makna isi kandungannya. Betapa rugi manusia yang malu jika mampu menguasai Bahasa dunia yang lain terutama Bahasa Inggeris sedangkan dia tidak pernah malu kerana tidak pandai membaca al-Quran apatah lagi memahami maknanya.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
Al-Quran adalah sebuah kitab mukjizat kerana makahluk tidak akan mampu dan mustahil untuk mendatangkan sebuah kitab semisal al-Quran sekalipun terdapat gabungan dan kesepakatan antara seluruh manusia dan jin dalam . Sudah tentu perkataan makhluk tidak akan boleh menyamai perkataan Yang Maha Pencipta, yang tiada tandingan dan tara. Ayat Al-Quran dihafaz oleh ribuan sama ada lelaki , perempuan atau kanak-kanak. Inilah istimewanya yang tiada pada mana-mana kitab atau buku yang lain.
Al-Quran kitab zaman semuanya. Ia bermaksud kitab yang kekal yang bukan hanya sesuai pada suatu masa sahaja dan bukan untuk satu generasi. Tetapi ia sesuai sepanjang zaman dan semua tempat. Justeru tidak pelik sehingga sekarang al-Quran tetap menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan. Al-Quran kitab agama keseluruhannya. Maksudnya ialah ia menjadi asas kepada agama dan roh Islamnya dan daripadanya diambil roh akidah, ibadat, akhlak dan juga usul tasyriq dan hukum hakam. Al-Quran merupakan kitab kemanusiaan sejagat. Hal ini dapat difahami berdasarkan kepada sifat al-Quran itu sendiri yang banyak menekankan kehidupan manusia dengan kalimahnya dan untuk alam sejagat
Suatu kajian menunjukkan pengaruh bacaan al-Quran pada saraf, otak dan organ tubuh lain antara lain menyatakan: “Tidak ada lagi bacaan yang dapat meningkatkan terhadap daya ingatan dan memberi ketenangan kepada seseorang kecuali membaca al-Quran.”
Klinik Besar Florida, Amerika Syarikat, berjaya membuktikan hanya dengan mendengan bacaan ayat-ayat al-Quran, seorang muslim, baik mereka yang berbahasa arab atau bukan, dapat merasakan perubahan fisiologi yang sangat besar. Penurunan tekanan, kesedihan , memperoleh ketenangan jiwa merungkai pelbagai macam penyakit merupakan pengaruh am yang dirasakan orang-orang yang menjadi objek kajiannya. Penemuan kajian ini dilihat tidak menentu.
Penelitiannya disokong dengan bantuan peralatan elektronik terkini untuk mengesan tekanan darah dengupan jantung, ketahanan otot, dan ketahanan kulit terhadap aliran elektrik. Dari hasil kajiannya, beliau telah membuat kesimpulan, bahawa bacaan al-Quran berpengaruh besar sehingga 97% dalam melahirkan ketenangan jiwa dan penyembuh penyakit. Dalam laporan sebuah kajian yang disampaikan dalam Persidangan Perubatan Islam Amerika Utara pada tahun 1984, disebutkan, al-Quran terbukti mampu mendatangkan ketenangan sehingga 97% bagi mereka yang mendengarkannya
Al-Quran memberikan pengaruh besar jika diperdengarkan kepada bayi. Menurut penyelidikan yang dijalankan, bayi yang berusia 48 jam yang diperdengarkan ayat-ayat al-Quran dari perakan suara menunjukkan respon tersenyum dan menjadi lebih tenang.
Sungguh suatu kebahagian dan merupakan nikmat yang besar. Kita mempunyai al-Quran. Selain menjadi ibadah dalam membacanya, bacaannya ,memberikan pengaruh besar bagi kehidupan jasmani dan rohani kita.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 89 surah an-Nahlu :
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ ﴿٨٩﴾
Maksudnya : dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam
Isu panas tular di media sosial minggu lepas di mana gambar kaki seorang lelaki memijak al-Quran dan tangkap layar wajib diambil berat dan serius oleh semua pihak. Apabila Al-Quran dipijak, maka yang tercemar bukan sekadar kertasnya, tetapi kesucian wahyu dan maruah umat. Kita menyokong penuh sebarang usaha dalam menghukum penghina al-Quran. Perbuatan menghina al-Quran perlu dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada walaupun pelaku sudah memohon maaf. Perbuatan itu jelas mempunyai unsur mempersendakan dan berbahaya jika tidak ditangani secara tegas. Perbuatan membiarkan tanpa tindakan dinormalisasikan, ia dibimbangi boleh menjadi ikutan kepada orang lain. Fenomena menghina, memperlaku, kemudian meminta maaf dan tanpa didakwa, ditakuti meneruskan budaya menghina agama, kemudian meminta maaf sehingga Masyarakat merasakan kelihatan main-main dengan isu agama. Pihak pemegang amanah undang-undang wajib laksana tuntutan undang-undang.
Menjaga agama Islam adalah turutan pertama dalam tertib Maqasid As-Syariah, mendahului kewajipan menjaga nyawa, akal, keturunan (zuriat), maruah dan harta. Membezakan Islam dengan ajaran yang lain, sama ada agama atau teori.
Imam Al-Syatibi membahagikan dua aspek dalam konsep menjaga agama Islam:
[1] Mempertahankan kewujudannya dalam aspek positif. Menjaga rukun Islam dan meneguhkan asas amalannya.
[2] Menolak sebarang langkah menentang Islam dan usaha menghapuskan atau melemahkannya. Sama ada menghadapi perkara yang telah dilakukan oleh musuhnya atau menolak perkara negatif yang bakal dilakukan terhadap Islam.
Kata Buya Hamka, "jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan."
Kita sebagai umat yang bermaruah wajib mengagungkan al-Quran dengan sentiasa membaca, memahami seterusnya melaksakan tuntutan Allah dan rasulNya dalam setiap aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, ekonomi, politik, sosia dan sebagainya. Mulia dan berjayanya umat Islam bergantung kepada sebanyak mana hubungan dan pengamalan kita kepada panduan al-Quran
إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ – رواه مسلم
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah mengangkat kedudukan seseorang (sesuatu kaum itu) dengan kitab ini (iaitu al-Qur’an) dan merendahkan yang lain dengan kitab ini.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Renungi suatu surat daripada Abdullah al-Mubarak kepada Fudhail bin iyadh : “Wahai ahli ibadah di dua Tanah Haram, Kalaulah kamu telah menyaksikan kami, Maka kamu akan mengetahui bahawa sesungguhnya Seolah-olah kamu telah bermain-main dalam ibadah, Kalau orang-orang membasahi pipinya dengan air mata yang mengalir deras Maka dengan pengorbanan kami, kami mengalirkan darah yang lebih deras, ataupun kuda-kuda ia kepenatan di dalam perkara batil, Maka kuda-kuda kami penat dalam melakukan penyerbuan dan peperangan, Bau wangi-wangian menjadi milikmu, Sedangkan bau wangi-wangian kami adalah debu-debu di jalanan, dan sesungguhnya telah datang kepada kami sabda Nabi s.a.w., Sabda yang benar jujur dan tidak ada kebohongan Tidaklah sama debu kuda-kuda Allah di hidung seseorang dan asap neraka yang menyala-nyala, Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami, Bahawa orang mati syahid tidaklah sama dengan orang yang mati biasa, Ia tidak akan berbohong”.
Ramadhan bukan sahaja mentarbiah diri untuk membentuk dan mencari kelebihan peribadi Sahaja bahkan mengajar kita erti simpati dan turut merasai penderitaan saudara kita yang lain terutama di Palestin yang terus dibunuh sesuka hati oleh musuh. Malah keganasan Amerika Syarikat dan zionis Yahudi yang menyerang Iran bermula awal minggu ini wajib dikutuk dan didoakan kehancuran pengganas dunia ini. Kita yang dapat menunaikan ibadat puasa dengan aman dan berterawih di masjid yang berhawa dingin ketika tubuh saudara kita diratah peluru dan bom musuh. Kita sibuk memikirkan persiapan hari raya sedangkan saudara kita kesejukan dengan kekurangan pakaian dan makanan. Kita asyik melihat rumah berwarna warni indah Ketika rumah saudara kita menyembam tanah diroboh oleh musuh dengan darah merah di sana sini . Ayuh sedar dan bangkitlah wahai umat Islam untuk terus membantu dari segi kewangan dan doa buat saudara kita. Semoga janji Allah dengan kegembiraan bila bertemu Allah di akhirat nanti dapat sama-sama kita raih dengan syarat kita mengambil berta tentang penderitaan saudara kita yang lain. Islamlah nescaya kita Berjaya dan mulia dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Ulasan (Atom)