أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 31 Januari 2025
Khutbah Jumaat : Isra’ Mikraj DiIngat, Arak DiSekat, Umat Selamat
Khutbah Jumaat : Isra’ Mikraj DiIngat, Arak DiSekat, Umat Selamat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Kita baru sahaja meninggal bulan Rejab yang telah menyaksikan pernah berlakunya suatu peristiwa besar pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Isra’ Mikraj ini merupakan mukjizat kedua terbesar selepas mukjizat al-Quran di mana kita sebagai umat beriman kepada Allah dan rasulnya wajib menerima berita dan mengimani tentang kebenaran tanpa rasa ragu dan was-was walau sedikit pun. Contohilah iman Saidina Abu Bakar tidak mempertikaikan apatah lagi meragui peristiwa luar biasa yang dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW pada saat ada penduduk Makkah ketika itu yang ragu tentang peristiwa tersebut.
Peristiwa yang menakjubkan ini mengajar kepada kita bagaimana cekalnya jiwa nabi Muhammad s.a.w yang mulia dalam menunaikan amanah dakwah Islam sehingga berdepan dengan onak duri ujian yang bukan sahaja berbentuk cercaan manusia malah meliputi serangan fizikal. Kesabaran nabi s.a.w dalam berdepan penentangan dakwah Islam begitu terserlah terutama setelah nabi s.a.w dilontar batu oleh penduduk Taif sehingga membawa diri ke padang pasir yang kontang dalam keadaan kepala baginda tertunduk ke bawah kerana dibimbangi umatnya yang degil dan keras ini bakal berdepan dengan laknat Allah yang dahsyat termasuk kehancuran sebagaimana yang pernah menimpa umat sebelum ini. Nabi Muhammad s.a.w juga menolak tawaran untuk dihancurkan umat yang degil ini sebaliknya memandang bahawa kedegilan mereka akibat dakwah Islam yang dibawa belum dapat diterima oleh generasi yang telah lama hidup dalam kepekatan jahiliah di mana baginda berharap zuriat yang bakal lahir nanti akan menerima kemanisan Islam
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 88 surah al-Maidah:
وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّـهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي أَنتُم بِهِ مُؤْمِنُونَ ﴿٨٨﴾
Maksudnya : Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.
Sebelum berlangsungnya perjalanan yang hebat ke atas diri nabi s.a.w maka diriwayatkan bagaimana dada nabi s.a.w telah dibelah dan hatinya telah disuci oleh malaikat. Sebagaimana yang ditulis pengarang Simthut Durrar, Habib Ali Al Habsyi:
وَمَا أَخْرَجَ الْلأَمْلَاكُ مِنْ قَلْبِهِ أَذَى وَلَكِنَّهُمْ زَادُوْهُ طُهْرًا عَلَى طُهْرٍ
Maksudnya : “Malaikat tidak menghilangkan kotoran dari hati Nabi, tetapi agar hati yang suci semakin menjadi suci”
Ini juga sebagai peringatan penting agar kita sentiasa menjaga hati daripada kotoran penyakit hati seperti riya’, takabbur, dengki dan sebagainya disamping memperbanyakkan ibadat, zikrullah, doa dan menjauhi maksiat. Begitu juga hati kita menjadi kotor dan punca doa ditolak antaranya akibat terlibat dengan perkara yang haram samada sumber dapatan atau makanan itu sendiri yang haram . Dalam kitab Minhajul Abidin, Imam al-Ghazali menjelaskan ada 3 sebab utama mengapa kita wajib menjauhkan diri dari memakan makanan yang haram dan syubhat:
[1] Takut pada neraka Jahannam
قال النبي : لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ ، النَّارُ أَوْلَى بِهِ – رواه أحمد
Maksudnya : Tidak masuk syurga daging yang tumbuh dari yang haram, neraka lebih baik untuknya.
[2] orang yang memakan makanan haram dan syubhat tidak pantas beribadah, sebab ibadah yang dikerjakannya ditolak Allah SWT. Hanya orang-orang yang bersih dan suci yang berhak beribadah kepada-Nya.
[3] orang yang makan barang haram dan syubhat, maka ia terhalang untuk melakukan kebaikan, meskipun ia melakukan kebaikan, namun perbuatannya ditolak Allah SWT. Semua yang dilakukannya hanyalah kepayahan, kesedihan, dan mengisi waktu luang belaka saja, tidak lebih daripada itu.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 114 surah an-Nahlu:
فَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّـهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ ﴿١١٤﴾
Maksudnya : Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.
Dewasa ini industri halal negara banyak dipelopori oleh mereka yang bukan Islam. Kebanyakan syarikat pembuatan makanan khususnya syarikat bertaraf “multinational” yang dikuasai mereka yang bukan beragama Islam menguasai sebahagian besar daripada pasaran industri halal negara. Berdasarkan perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 80 peratus pemegang sijil halal JAKIM adalah syarikat-syarikat asing. Manakala selebihnya dikuasai oleh usahawan Muslim yang mempunyai kemampuan kewangan dan ilmu pengetahuan yang terhad yang menyebabkan usaha mereka untuk pergi lebih jauh dalam industri pengeluaran barangan halal negara ini tersekat.
Orang bukan Islam begitu giat menceburi industri halal disebabkan unsur ekonomi. Mereka mengetahui pasaran umat Islam negara ini begitu luas selaras dengan pengumuman kerajaaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub halal. Itu belum lagi membincangkan pasaran ke negara-negara dunia Islam yang lain. Namun bagi syarikat yang dimiliki oleh bukan Islam, tidak boleh memandang remeh soal sijil halal kerana masyarakat Islam tidak boleh dipermain-mainkan dalam hal ini. Mereka perlu lebih berusaha menjaga keperluan pengguna Muslim khasnya dalam menggunakan status halal. Kepentingan makan makanan halal antaranya [1] Menyihatkan tubuh badan dari aspek fizikal, mental dan rohani. Pemakanan yang baik dapat mempengaruhi pemikiran seseorang. Ianya menjadikan seseorang itu lebih cergas, sihat dan kehidupannya lebih terjamin. [2] Terhindar dari kemungkaran [3] Terhindar daripada penyakit yang merbahaya seperti haramnya daging babi kerana kajian sains membuktikan bahawa terdapat cacing pita dan virus JE (Japanes Enceplytis) dalam babi. Kedua-duanya dikatakan sukar untuk dibunuh
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١٩﴾
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir
Ketika menghayati Israk Mikraj dan juga diriwayatkan bagaimana nabi s.a.w memilih susu yang merupakan fitrah Islam yang terbaik sebagai cara hidup. Nabi s.a.w tidak memilih arak yang merupakan perosak. Arak membawa ancaman dan bahaya kepada ketenteraman ruang awam serta memberi kesan negatif kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Hal ini sudah lama dipraktikkan di negara bukan Islam lain terutama di Barat seperti New Zealand, Australia dan United Kingdom malah Singapura sendiri yang mengambil langkah proaktif mengawal penjualan minuman keras seperti mengehadkan lesen penjualan, mengkhususkan premis tertentu sahaja serta menetapkan masa terhad bagi penjualannya. Ini semua dilakukan atas dasar kesedaran bagi membendung gejala sosial dan melindungi masyarakat umum daripada bahaya yang timbul daripada arak. peningkatan berterusan statistik kes pemandu mabuk, keganasan domestik dan gangguan awam dilakukan pemabuk.
Kita sebagai umat beriman wajib menyokong sebarang usaha dalam menghadkan penjualan arak apatah lagi di Kawasan majoriti Islam. Peringatan daripada Rasulullah SAW:
اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ – رواه الحاكم
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 114 surah an-Nahlu:
يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨
Maksudnya : “Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membenci.
Ketika membicarakan tentang Isra’ dan Mikraj maka tidak lengkap tanpa menyentuh tentang perjuangan umat Islam di bumi Palestin tempat terletak Masjid Aqsa yang menjadi tempat persinggahan nabi s.a.w dalam perjalanan menakjubkan ini. Perkembangan terkini di mana perjuangan memerdekakan bumi Palsetin dan Masjid Aqsa terus berlangsung di mana zionis Yahudi gagal menghapuskan pejuang Islam yang diumumkan kononnya boleh dilaksanakan dalam masa beberapa hari, tetapi sebaliknya berpanjangan memakan masa bulan dan tahun. Ramai bala tentera Zionis dan sekutunya dibunuh dan ditawan. Adapun Palestin, Gaza, Lubnan, Yaman, Iraq, dan negara yang bersama mereka, ramai orang awam yang dibunuh dan dicederakan, khususnya kanak-kanak, warga tua, dan pesakit.
Akhirnya, setelah semua itu, Zinois Yahudi menerima gencatan sejata dalam keadaan terus dibekalkan senjata oleh negara sekutunya, kerana desakan di dalam negaranya supaya boleh membebaskan tawanan perang mereka dengan pertukaran, tidak sama menerima kematian dan penawanan tenteranya. Akhirnya, Israel bertindak menerima gencatan senjata laksana menyerah diri kerana gagal menghapuskan pejuang Islam dan menguasai Gaza yang juga menghakiskan tentera dan semangatnya. Adapun pihak pejuang Islam dan sekutunya bertahan menerima gencatan senjata kerana prinsip Islam mendahulukan perdamaian, walaupun mencapai kejayaan menyerang dan bertahan, bukan menyerah kalah tanpa melawan
Yakinlah kita tentang janji pertolongan dan kemenangan daripada Allah walau berdepan dengan tentera bersekutu kuffar dan munafik. Pejuang Islam sentiasa yakin di depan kita adanya 2 keadaan samada kemenangan atau syahid yang menjadi idaman.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)