Jumaat, 24 Mei 2024
Khutbah Jumaat : Guru DiTatang, Kemerdekaan Palestin DiPerjuang
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 65-70 surah al-Kahfi :
فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا ﴿٦٥﴾ قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا ﴿٦٦﴾ قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا ﴿٦٧﴾ وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا﴿٦٨﴾ قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا ﴿٦٩﴾ قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَن شَيْءٍ حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا ﴿٧٠﴾
Maksudnya : Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” Dia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku. Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi? Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, In sya Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”. Dia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”
Setiap kali berada berada pada hari Jumaat maka kita disunatkan untuk membaca surah al-Kahfi di mana antara tujuannya selain mendapat fadhilat atas pembacaannya maka yang paling penting untuk kita sama-sama memahami seterusnya menghayati begitu banyak pengajaran terutama melalui kisah-kisah teladan yang terkandung dalam surah al-Kahfi ini. Antaranya berkenaan kisah Nabi Musa a.s yang belajar dengan nabi Khidir a.s di mana kita di minta supaya menjaga tertib dan adab menuntut ilmu dengan sebaiknya yang membolehkan kita mendapat keberkatan. Akhlak seseorang murid yang barangkali dirinya itu lebih mulia dan lebih soleh daripada seorang guru, tetapi itu tidak melayakkan seseorang murid untuk membantah atau tidak menghormati gurunya. Dengan kata lain, seseorang yang bergelar guru bukan sahaja wajar mendapat penghormatan daripada anak muridnya, tetapi seseorang anak murid itu harus memuliakan gurunya. Seorang murid perlu bersabar dengan tindakan gurunya, tidak terlalu gopoh menghukum atau menilai perlakuan gurunya sedangkan dia tidak mempunyai pemahaman mendalam mengenai apa yang dilakukan. Walaupun anak murid mempunyai pandangan bercanggah atau tidak senang dengan guru, tetapi berasaskan rasa hormat, anak murid tidak wajar menegur guru secara melulu. Seseorang Muslim ditegah mencerca guru kerana keberkatan ilmu bergantung kepada sejauh mana guru redha terhadap ilmu dicurahkan kepada seseorang. Muslim yang baik juga tidak boleh sombong atau bangga diri dengan gurunya walaupun barangkali jawatan disandang lebih tinggi daripada gurunya kerana Islam sangat menitikberatkan untuk menghormati ilmu yang ada pada diri seseorang supaya ilmu itu tidak menjadi barang dagangan yang diperlekehkan. Begitu juga dalam kita mencari dan menuntut ilmu, setiap ilmu yang diperolehi hendaklah diamalkan kerana berapa banyak ilmu yang kita ada bukan ukuran mendekatkan diri dengan Allah, tetapi sejauh mana kita beramal dengan ilmu yang dipelajari. Keberkatan ilmu juga bergantung kepada amalan kerana jika hanya menuntut, tetapi tidak beramal boleh menghilangkan keberkatan ilmu.
Selain itu, perkara pokok yang menjadi tunjang utama dalam adab menuntut ilmu adalah adanya rasa keikhlasan hanya kepada Allah SWT, bukan bertujuan untuk mendapat gelaran dan pangkat. Sebaiknya ilmu dimanfaatkan untuk agama Allah, bukan sekadar perhiasan dunia. Justeru, tetapkan niat yang betul serta berdoa kepada Allah supaya diberi hidayah untuk bersama memanfaatkan ilmu dipelajari. Inilah juga cara kita mendekatkan diri di sisi Allah. Tanpa jasa guru yang sabar serta setia mencurah bakti mengajar dan mendidik, siapalah kita hari ini. Oleh itu, tinggalkan pangkat dan darjat yang membaluti, tinggalkan kemuliaan yang menyelimuti diri dan bersabarlah berhadapan guru kerana kesabaran dan rasa hormat itulah datangnya keberkatan ilmu.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Mujadilah:
……يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١١﴾
Maksudnya : ….supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.
Ketika kita menyambut Hari Guru pada 16 Mei maka sebagai umat beriman maka kita tidak boleh meninggal contoh murabbi terunggul dan teragong ialah Rasulullah ﷺ itu sendiri. Nabi Muhammad s.a.w sebagai meurabbi agong wajib diberi sorotan dengan penuh perhatian. Bagaimana baginda berjaya mencipta satu generasi sahabat RH. Perlu diteliti ciri-ciri, teknik-teknik dan pendekatan kemurabbiyan Rasulullah ﷺ. Kejayaannya sebagai murabbi ada suatu yang luar biasa dan dianggap para ulama’ sebagai mukjizat iaitu al ‘ijaz al tarbawiy. Para ulama’menganggap andainya Rasulullah ﷺ tidak dikurniakan mukjizat lain maka keunggulan para sahabat yang dididiknya itu sudah cukup bagi bukti kenabiannya. Baginda bukan sekadar berjaya mendidik sahabat yang hidup sezaman dengannya, malah mendidik para murabbi dan orang yang tidak pernah melihat pun “mukjizat kependidikan” sepanjang zaman hingga ke hari ini. Para sahabat bukan cuma murid-murid, bukan hanya pengikut, bahkan dididik Rasulullah s.a.w. sebagai murabbi-murabbi sepanjang zaman. Malah kita hari ini pun mempelajari daripada fatwa para sahabat dan inspirasi keunggulan peribadi mereka. Membaca riwayat para sahabat Rasulullah ﷺ memberikan kita suntikan semangat yang bermakna.
Antara kelebihan guru sebagaimana yang dijelaskan melalui beberapa hadis nabi s.a.w ialah : [1] dijanjikan pahala yang besar
Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ-رَوَاهُ مُسْلم
Maksudnya : Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.”
[2] Pahala yang mengalir setelah meninggal dunia
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَاتَ اَلْإِنْسَانُ اِنْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالَحٍ يَدْعُو لَهُ – رَوَاهُ مُسْلم
Maksudnya : “Apabila seorang manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakan orang tuanya.” Mengajarkan ilmu dan menyebarkannya termasuk dalam golongan yang memanfaatkan ilmunya selain daripada beramal dengan ilmu yang kita ada.
[3] Martabat yang tinggi
Rasululllah SAW bersabda:
إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ -رواه الترمذي
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah, para malaikat dan semua makhluk yang ada di langit dan di bumi, hingga semut yang ada di sarangnya dan juga ikan (di lautan), semuanya berselawat kepada muallim (orang berilmu) yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.”
[4] Guru golongan yang beruntung
الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ، مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرَ اللهِ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا-رواه الترمذي وابن ماجه
Maksudnya : “Dunia ini dan seisinya adalah laknat (dikeji) kecuali yang mengingati Allah, yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan pelajar.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran :
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠﴾
Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri
Tarikh penting yang mesti diambil perhatian oleh seluruh umat Islam tiap kali berada pada bulan Mei iaitu tarikh 15 Mei 1948 yang merupakan tanggal hitam dalam sejarah umat Islam era moden kerana hampir 700,000 warga Palestin diusir serta ratusan buah kampung asal yang diduduki orang Palestin dibakar dan dihancurkan, berpuluh ribu nyawa menjadi korban serta puluhan episod pembunuhan besar-besar dilakukan dengan cukup kejam oleh pengganas Yahudi Zionis yang ketika itu. Kini telah 76 tahun berlalunya detik hitam itu.
Ditambah pula bermula tarikh 7 Oktober 2023 yang lalu menyaksikan serangan balas oleh mujahidin Palestin dalam usaha bagi membuka mata dunia, sehingga 200 hari kemudian pula masyarakat dunia disajikan dengan peristiwa Nakbah era moden apabila hampir 1.5 juta rakyat Palestin kini terusir dan terperangkap di Rafah, di selatan Gaza manakala lebih 40 ribu rakyat yang tidak bersalah termasuk majoritinya kanak-kanak dan wanita lemah dibunuh kejam.
TIDAK ada keraguan sedikit pun bahawa serangan Israel ke atas Gaza hari ini adalah suatu bentuk jenayah pembunuhan beramai-ramai, dan merupakan antara tragedi yang paling mengerikan dalam sejarah kemanusiaan. Sehingga tercetusnya protes yang paling keras daripada semua lapisan manusia yang berperikemanusiaan seluruh pelosok dunia, bersamanya melibatkan kalangan mereka yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum. Hanya manusia yang tidak berfikiran sebagai manusia dan tidak berperikemanusiaan sahaja yang tidak tersentuh perasaannya oleh apa yang berlaku kini. Ia merupakan suatu pembunuhan kejam yang dilakukan tanpa sempadan moral dan akal, malah tanpa mengira siapa mangsa, termasuklah kanak-kanak, warga tua dan kaum wanita. Bahkan, mereka turut menyerang hospital, rumah ibadat, khemah perlindungan, sehinggalah tanah perkuburan.
Teruskan berdoa keselamatan dan kemenangan umat Islam yang terus mempertahankan bumi Aqsa dengan darah dan nyawa mereka. Terus boikot barangan dan apa sahaja kepentingan yang menyokong kezaliman zionis yahudi dan sekutunya. Teruskan juga sebarang bentuk bantuan kewangan, perubatan dan sebagainya dalam menyatakan kebersamaan kita bersama jihad mulia saudara seagama. Biar bermandi darah namun pejuang Islam tidak akan berundur walau selangkah. Biar nyawa melayang namun perjuangan memerdekakan Palestin tetap diteruskan. Biar nyawa bercerai dari badan namun kezaliman zionis Yahudi dan sekutunya terus dilawan. Yakinlah pertolongan dan kemenangan dari Allah
اتَّقِ دَعْوَةَ المَظْلُومِ، فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ -رواه البخاري
Maksudnya : “Takutlah kepada doa orang yang dizalimi, kerana tiada dinding (yang menahannya) daripada perkenan Allah.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan