Jumaat, 24 Mei 2024
Khutbah Jumaat : Jihad Sultan Muhammad al-Fateh DiJulang, Palestin Berdaulat DiPerjuang
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :
انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui
Sempena kita berada di penghujung bulan Mei maka marilah kita sama-sama mengambil pengajaran yang berguna daripada kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh memasuki bandar Constantinople atau Istanbul Turki untuk membukanya pada hari Selasa 29 Mei 1453 Masihi bersamaan 20 Jamadilawal tahun 857 Hijrah. Janji nabi s.a.w tentang kehebatan panglima tentera dan pasukan tentera yang bakal menawan kota Constantinople ini telah disahut sejak dari zaman sahabat nabi RH lagi termasuk Abu Ayyub Al-Anshari sehingga kuburannya yang ditemukan dekat kubu Constantinople. 800 tahun selepas itu barulah apa yang dijanjikan oleh nabi s.a.w dicapai
قال النبي : لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ، وَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ- رواه أحمد
Maksudnya : Sungguh Constantinople akan dibuka, maka sebaik – baik panglima tenteranya adalah panglimanya dan sebaik – baik pasukan tentera adalah pasukan tersebut (yang membukanya)
Kejayaan besar Sultan Muhammad al-Fateh membuka Constantinople yang diubah nama kepada Islambol yang bererti Bandaraya Islam yang kemudian diubah kepada nama Istanbul. Sebalik kebesaran namanya maka di sana ada nilai-nilai tarbiyah yang dapat menjadi pelajaran berharga bagi pendidikan kita saat ini antaranya : [1] Kurikulum Pendidikan di mana dalam usia yang masih muda, Muhammad Al-Fateh sudah menghafal Al-Quran 30 Juz, menguasai Ilmu Hadits, memahami Ilmu feqah, matematik, ilmu falak, strategi perang, menguasai 6 bahasa. Ini membuktikan bahawa dalam konsep kurikulum haruslah dibangun di atas landasan Al-Quran. Belajar dan menghafalnya merupakan pelajaran yang terbaik dari semua pelajaran yang lain. Sangat sulit dibayangkan jika generasi Islam saat ini tidak mampu membaca al-Quran dan memahaminya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 79 surah Ali Imran :
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ ﴿٧٩﴾
Maksudnya : Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.
[2] Peranan Guru di mana awalnya Muhammad Al-Fateh sulit untuk dikawal oleh ayahnya yang saat itu sebagai khalifah ke 6. Kebiasaan hidup mewah di istana sehingga menjadi anak yang manja, dia selalu berlindung di balik kebesaran ayah sehingga menyulitkan para ulama yang didatangkan ke istana untuk mendidiknya. Hingga akhirnya kelembutan dan ketegasan 2 ulama besar berhasil menundukkannya iaitu Syeikh Aaq Samsuddin dan Muhammad Ismail Al-Qurani. Diusianya yang 14 Tahun Muhamad Al Fatih menjadi pemuda yang cerdas dan taat beragama. Muhammad Al Fatih berkata tentang gurunya: “Penghormatanku kepada Syeikh mulia ini tanpa aku sedari. Aku bisa menjadi emosional di hadapannya. Aku bergetar di hadapannya. Adapun para syeikh yang lain, ketika mereka datang menghadapku. Justeru mereka yang bergetar dihadapanku.”
Hal yang menarik adalah pada saat Muhammad Al-Fateh meminta agar gurunya turut ikut berperang bersamanya. Setelah beberapa kali percubaan perang melawan pasukan musuh belum membuahkan hasil. Akhirnya utusan datang 2 kali ke khemah gurunya lalu berpesan bahawa “Allah akan memberi kemenangan.” Sebuah motivasi yang sangat luar biasa. Tidak berhenti disitu, karena Muhammad Al Fateh yang tidak puas dengan jawapan gurunya akhirnya baginda sendiri pergi berjumpa gurunya di mana baginda mendapati gurunya sedang sujud cukup lama kemudian bangun dan berkata kepada Muhammad Al Fatih : “Aku selalu mendoakanmu semoga Allah menganugerahkan dengan kemenangan yang dijanjikan”.
Begitulah seharusnya seorang guru terus mendoakan kebaikan bagi murid-muridnya. Mengajar dengan penuh keikhlasan dengan jiwa yang bersih, berwibawa dan terus memberikan motivasi.
[3] Pendidikan Akhlak dan kerohanian di mana keunikan dan sifat peradaban Islam asasnya adalah tauhid. Muhammad Al-Fateh adalah seorang yang selalu mendekatkan diri kepada Allah, puasa sunat, tidak pernah masbuk solat berjema’ah, membaca al-Quran, qiamullail. Ini merupakan pelajaran penting bagi dunia pendidikan kita saat ini iaitu dengan orientasi duniawi semata-mata membuat lupa mendidik dan membina rohani anak. Perlu lahir seorang yang menghargai ilmu, menghormati Guru, tidak sombong dan adil. Bahkan setelah selesai membuka Kota Constantinopel, Muhammad Al-Fateh menemui gurunya untuk ikut berkhalwat di khemah dengan tujuan agar terhindar dari kehidupan dunia, jawatan dan harta yang melenakan yang akan membuatkannya lupa kepada Allah. Namun gurunya menolak dan meminta agar baginda tetap memimpin rakyatnya. Gurunya menasihatinya : “Jika engkau ikut bersamaku lalu mendapatkan kerohanian yang hanya untuk dirimu sendiri. Namun jika engkau memimpin dengan adil dan amanah maka kamu kebaikanmu bukan hanya untuk dirimu tapi bermanfaat untuk orang ramai”.
Apa yang lebih penting ialah setiap pembukaan Negara adalah mahu meruntuhkan jahiliah dan dibangunkan system Islam bukannya menukar jahiliah kepada jahiliah yang baru, bukan menukar system zalim kepada system zalim yang baru, bukan menukar pemimpin sahaja tanpa menukar system penjajah kepada Islam
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran :
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠﴾
Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri
Sultan Muhamad al-Fateh menukar nama Kota Konstantinopel kepada Istanbul lalu menjadikan ibu kotanya. Seterusnya beliau menakluk Serbia pada tahun 1460 dan Bosnia pada tahun 1462. Kemudian Sultan Muhamad al Fateh menakluk Itali, Hungari, dan Jerman. Ketika berada dikemuncak kegemilangannya, Sultan Muhamad al Fateh memerintah 25 buah negeri. Sebelum beliau meniggal dunia, beliau menyampaikan wasiat seperti berikut: “Tidak lama lagi aku akan mati, tetapi aku tidak pernah menyesal kerana aku telah meninggalkan calon pengganti dan penerus seperti kamu. Jadilah orang yang adil, soleh dan penyayang. Lindungilah seluruh rakyatmu tanpa membeza-bezakan dan bekerjalah untuk menyebar agama Islam. Ini adalah kewajipan seluruh raja di atas muka bumi ini, dahulukan perhatianmu kepada urusan agama berbanding urusan yang lain. Jangan berhenti untuk terus melaksanakannya.
Jangan memilih orang yang tidak mengutamakan urusan agama, tidak menjauhi dosa besar dan tenggelam dalam maksiat. Jauhilah juga bidaah yang buruk yang merosakkan. Jauhilah orang yang mengajak kamu melakukan bidaah yang buruk. Perluaskanlah negeri kamu dengan berjihad dan janganlah sampai harta baitulmal itu dibazirkan. Jangan mengambil harta seorang pun dari rakyat kamu kecuali dengan mengikut aturan Islam. Berikanlah jaminan makanan dan keselamatan bagi orang yang lemah. Muliakan orang yang berhak dengan sebaik-baiknya.
Ketahuilah bahawa ulama adalah satu kekuatan yang ada dalam tubuh negara kamu, maka muliakanlah kehormatan mereka dan motivasikanlah mereka dengan sumber kekuatan dan kekuasaan yang kamu miliki. Jika engkau mendengar ada ulama di negeri yang jauh, maka jemputlah ia datang dan muliakannya. Waspada dan berhati-hatilah, jangan sampai engkau terlena dan terpesona dengan harta dan kekuatan yang banyak. Jangan sampai engkau menjauhi ulama syariat dan jangan sampai engkau cenderung melakukan amalan yang menyalahi syariat. Agama adalah tujuan kita, hidayah adalah jalan hidup kita dan dengan keduanya kita akan menang.
Ambillah pengajaran daripada diriku. Aku datang ke negeri ini seperti semut yang kecil, lalu Allah memberikan aku semua nikmat yang besar ini. Oleh itu, ikutilah dan jejaklah apa yang aku lakukan. Bekerjalah untuk meneguhkan agama ini dan muliakan pengikutnya. Jangan menggunakan wang negara untuk kemewahan dan sia-sia atau membelanjakan lebih daripada sepatutnya kerana ia penyebab terbesar kebinasaan.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 190 surah al-Baqarah :
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ ﴿١٩٠﴾
Maksudnya : Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.
Tarikh penting yang mesti diambil perhatian oleh seluruh umat Islam tiap kali berada pada bulan Mei juga ialah tarikh 15 Mei 1948 yang merupakan tanggal hitam dalam sejarah umat Islam era moden kerana hampir 700,000 warga Palestin diusir serta ratusan buah kampung asal yang diduduki orang Palestin dibakar dan dihancurkan, berpuluh ribu nyawa menjadi korban serta puluhan episod pembunuhan besar-besar dilakukan dengan cukup kejam oleh pengganas Yahudi Zionis yang ketika itu. Kini telah 76 tahun berlalunya detik hitam itu.
Mala petaka kejahatan tentera Zionis Israel dengan bantuan pasukan Ahzab daripada Amerika Syarikat dan Eropah menyerang dengan cara yang paling melampau terus berlaku. Bukan sahaja berperang, malah membunuh dengan cara yang paling melampau terhadap mereka yang tidak terlibat dengan peperangan seperti membunuh lebih 40 ribu warga tua, kanak-kanak, dan para pesakit di hospital, rumah ibadat, sekolah, dan khemah penempatan, termasuk para sukarelawan daripada semua bangsa dan agama sehinggalah tanah perkuburan; semuanya menjadi mangsa serangan. Kejahatan melampau Zionis Israel menggegarkan seluruh manusia yang berperikemanusiaan untuk bangkit menentang Zionis tanpa mengira agama, bangsa, dan ideologi yang dianut mendahului kerajaan masing-masing menentang Zionis Israel, termasuk di dalam negara Israel sendiri. Mereka melakukan demonstrasi serta pemulauan ekonomi dan media, sehinggalah beberapa negara terus memutuskan hubungan diplomatik dan menyeret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Teruskan berdoa keselamatan dan kemenangan umat Islam yang terus mempertahankan bumi Aqsa dengan darah dan nyawa mereka. Biar bermandi darah namun pejuang Islam tidak akan berundur walau selangkah. Biar nyawa melayang namun perjuangan memerdekakan Palestin tetap diteruskan. Biar nyawa bercerai dari badan namun kezaliman zionis Yahudi dan sekutunya terus dilawan. Yakinlah pertolongan dan kemenangan dari Allah
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Khutbah Jumaat : Guru DiTatang, Kemerdekaan Palestin DiPerjuang
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 65-70 surah al-Kahfi :
فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا ﴿٦٥﴾ قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا ﴿٦٦﴾ قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا ﴿٦٧﴾ وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا﴿٦٨﴾ قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا ﴿٦٩﴾ قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَن شَيْءٍ حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا ﴿٧٠﴾
Maksudnya : Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” Dia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku. Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi? Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, In sya Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”. Dia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”
Setiap kali berada berada pada hari Jumaat maka kita disunatkan untuk membaca surah al-Kahfi di mana antara tujuannya selain mendapat fadhilat atas pembacaannya maka yang paling penting untuk kita sama-sama memahami seterusnya menghayati begitu banyak pengajaran terutama melalui kisah-kisah teladan yang terkandung dalam surah al-Kahfi ini. Antaranya berkenaan kisah Nabi Musa a.s yang belajar dengan nabi Khidir a.s di mana kita di minta supaya menjaga tertib dan adab menuntut ilmu dengan sebaiknya yang membolehkan kita mendapat keberkatan. Akhlak seseorang murid yang barangkali dirinya itu lebih mulia dan lebih soleh daripada seorang guru, tetapi itu tidak melayakkan seseorang murid untuk membantah atau tidak menghormati gurunya. Dengan kata lain, seseorang yang bergelar guru bukan sahaja wajar mendapat penghormatan daripada anak muridnya, tetapi seseorang anak murid itu harus memuliakan gurunya. Seorang murid perlu bersabar dengan tindakan gurunya, tidak terlalu gopoh menghukum atau menilai perlakuan gurunya sedangkan dia tidak mempunyai pemahaman mendalam mengenai apa yang dilakukan. Walaupun anak murid mempunyai pandangan bercanggah atau tidak senang dengan guru, tetapi berasaskan rasa hormat, anak murid tidak wajar menegur guru secara melulu. Seseorang Muslim ditegah mencerca guru kerana keberkatan ilmu bergantung kepada sejauh mana guru redha terhadap ilmu dicurahkan kepada seseorang. Muslim yang baik juga tidak boleh sombong atau bangga diri dengan gurunya walaupun barangkali jawatan disandang lebih tinggi daripada gurunya kerana Islam sangat menitikberatkan untuk menghormati ilmu yang ada pada diri seseorang supaya ilmu itu tidak menjadi barang dagangan yang diperlekehkan. Begitu juga dalam kita mencari dan menuntut ilmu, setiap ilmu yang diperolehi hendaklah diamalkan kerana berapa banyak ilmu yang kita ada bukan ukuran mendekatkan diri dengan Allah, tetapi sejauh mana kita beramal dengan ilmu yang dipelajari. Keberkatan ilmu juga bergantung kepada amalan kerana jika hanya menuntut, tetapi tidak beramal boleh menghilangkan keberkatan ilmu.
Selain itu, perkara pokok yang menjadi tunjang utama dalam adab menuntut ilmu adalah adanya rasa keikhlasan hanya kepada Allah SWT, bukan bertujuan untuk mendapat gelaran dan pangkat. Sebaiknya ilmu dimanfaatkan untuk agama Allah, bukan sekadar perhiasan dunia. Justeru, tetapkan niat yang betul serta berdoa kepada Allah supaya diberi hidayah untuk bersama memanfaatkan ilmu dipelajari. Inilah juga cara kita mendekatkan diri di sisi Allah. Tanpa jasa guru yang sabar serta setia mencurah bakti mengajar dan mendidik, siapalah kita hari ini. Oleh itu, tinggalkan pangkat dan darjat yang membaluti, tinggalkan kemuliaan yang menyelimuti diri dan bersabarlah berhadapan guru kerana kesabaran dan rasa hormat itulah datangnya keberkatan ilmu.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Mujadilah:
……يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١١﴾
Maksudnya : ….supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.
Ketika kita menyambut Hari Guru pada 16 Mei maka sebagai umat beriman maka kita tidak boleh meninggal contoh murabbi terunggul dan teragong ialah Rasulullah ﷺ itu sendiri. Nabi Muhammad s.a.w sebagai meurabbi agong wajib diberi sorotan dengan penuh perhatian. Bagaimana baginda berjaya mencipta satu generasi sahabat RH. Perlu diteliti ciri-ciri, teknik-teknik dan pendekatan kemurabbiyan Rasulullah ﷺ. Kejayaannya sebagai murabbi ada suatu yang luar biasa dan dianggap para ulama’ sebagai mukjizat iaitu al ‘ijaz al tarbawiy. Para ulama’menganggap andainya Rasulullah ﷺ tidak dikurniakan mukjizat lain maka keunggulan para sahabat yang dididiknya itu sudah cukup bagi bukti kenabiannya. Baginda bukan sekadar berjaya mendidik sahabat yang hidup sezaman dengannya, malah mendidik para murabbi dan orang yang tidak pernah melihat pun “mukjizat kependidikan” sepanjang zaman hingga ke hari ini. Para sahabat bukan cuma murid-murid, bukan hanya pengikut, bahkan dididik Rasulullah s.a.w. sebagai murabbi-murabbi sepanjang zaman. Malah kita hari ini pun mempelajari daripada fatwa para sahabat dan inspirasi keunggulan peribadi mereka. Membaca riwayat para sahabat Rasulullah ﷺ memberikan kita suntikan semangat yang bermakna.
Antara kelebihan guru sebagaimana yang dijelaskan melalui beberapa hadis nabi s.a.w ialah : [1] dijanjikan pahala yang besar
Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ-رَوَاهُ مُسْلم
Maksudnya : Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.”
[2] Pahala yang mengalir setelah meninggal dunia
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَاتَ اَلْإِنْسَانُ اِنْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالَحٍ يَدْعُو لَهُ – رَوَاهُ مُسْلم
Maksudnya : “Apabila seorang manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakan orang tuanya.” Mengajarkan ilmu dan menyebarkannya termasuk dalam golongan yang memanfaatkan ilmunya selain daripada beramal dengan ilmu yang kita ada.
[3] Martabat yang tinggi
Rasululllah SAW bersabda:
إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ -رواه الترمذي
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah, para malaikat dan semua makhluk yang ada di langit dan di bumi, hingga semut yang ada di sarangnya dan juga ikan (di lautan), semuanya berselawat kepada muallim (orang berilmu) yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.”
[4] Guru golongan yang beruntung
الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ، مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرَ اللهِ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا-رواه الترمذي وابن ماجه
Maksudnya : “Dunia ini dan seisinya adalah laknat (dikeji) kecuali yang mengingati Allah, yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan pelajar.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran :
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠﴾
Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri
Tarikh penting yang mesti diambil perhatian oleh seluruh umat Islam tiap kali berada pada bulan Mei iaitu tarikh 15 Mei 1948 yang merupakan tanggal hitam dalam sejarah umat Islam era moden kerana hampir 700,000 warga Palestin diusir serta ratusan buah kampung asal yang diduduki orang Palestin dibakar dan dihancurkan, berpuluh ribu nyawa menjadi korban serta puluhan episod pembunuhan besar-besar dilakukan dengan cukup kejam oleh pengganas Yahudi Zionis yang ketika itu. Kini telah 76 tahun berlalunya detik hitam itu.
Ditambah pula bermula tarikh 7 Oktober 2023 yang lalu menyaksikan serangan balas oleh mujahidin Palestin dalam usaha bagi membuka mata dunia, sehingga 200 hari kemudian pula masyarakat dunia disajikan dengan peristiwa Nakbah era moden apabila hampir 1.5 juta rakyat Palestin kini terusir dan terperangkap di Rafah, di selatan Gaza manakala lebih 40 ribu rakyat yang tidak bersalah termasuk majoritinya kanak-kanak dan wanita lemah dibunuh kejam.
TIDAK ada keraguan sedikit pun bahawa serangan Israel ke atas Gaza hari ini adalah suatu bentuk jenayah pembunuhan beramai-ramai, dan merupakan antara tragedi yang paling mengerikan dalam sejarah kemanusiaan. Sehingga tercetusnya protes yang paling keras daripada semua lapisan manusia yang berperikemanusiaan seluruh pelosok dunia, bersamanya melibatkan kalangan mereka yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum. Hanya manusia yang tidak berfikiran sebagai manusia dan tidak berperikemanusiaan sahaja yang tidak tersentuh perasaannya oleh apa yang berlaku kini. Ia merupakan suatu pembunuhan kejam yang dilakukan tanpa sempadan moral dan akal, malah tanpa mengira siapa mangsa, termasuklah kanak-kanak, warga tua dan kaum wanita. Bahkan, mereka turut menyerang hospital, rumah ibadat, khemah perlindungan, sehinggalah tanah perkuburan.
Teruskan berdoa keselamatan dan kemenangan umat Islam yang terus mempertahankan bumi Aqsa dengan darah dan nyawa mereka. Terus boikot barangan dan apa sahaja kepentingan yang menyokong kezaliman zionis yahudi dan sekutunya. Teruskan juga sebarang bentuk bantuan kewangan, perubatan dan sebagainya dalam menyatakan kebersamaan kita bersama jihad mulia saudara seagama. Biar bermandi darah namun pejuang Islam tidak akan berundur walau selangkah. Biar nyawa melayang namun perjuangan memerdekakan Palestin tetap diteruskan. Biar nyawa bercerai dari badan namun kezaliman zionis Yahudi dan sekutunya terus dilawan. Yakinlah pertolongan dan kemenangan dari Allah
اتَّقِ دَعْوَةَ المَظْلُومِ، فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ -رواه البخاري
Maksudnya : “Takutlah kepada doa orang yang dizalimi, kerana tiada dinding (yang menahannya) daripada perkenan Allah.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ