Jumaat, 19 Mei 2023
Khutbah Jumaat : Kalimah Allah DiJulang Umat Gemilang
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 256 surah al-Baqarah:
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّـهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٥٦﴾
Maksudnya : Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui
Cabaran-cabaran ke atas agama Islam, ajaran dan Syariatnya semakin hari semakin hebat. Tetapi pada masa sama Islam juga berkembang di serata pelusuk dunia dengan begitu pesat. Atas janji Allah dalam Al-Quran bahawa Islam itu agama yang sempurna. Sifat Islam yang sempurna dan jaminan Allah tentang kelangsungan Islam di alam ini sehinggalah datangnya Hari Kiamat tidak bermakna kita umat Islam tidak perlu berusaha untuk menjelaskan tentang Islam dan merealisasikan kesempurnaannya. Keadaan ini juga tidak membenarkan kita umat Islam bertindak pasif dalam menegakkan hukum Syariah serta syiar Islam. Di sinilah munculnya kewajipan untuk setiap kita melakukan dakwah, mengajak ke arah kebaikan dan cara hidup Islam serta menegakkan hukum Allah yang jelas dan nyata.
Di negara kita, antara cabaran utama kepada Islam dan umatnya di negara ini ialah cabaran berkaitan akidah. Perkara yang menjadi fokus semasa ialah berkaitan kebebasan menganut dan mengamal doktrin yang diisytiharkan salah oleh pihak berautoriti agama. Timbulnya golongan liberal yang meminta supaya pegangan agama diserahkan kepada setiap individu untuk memilih dan mengamal doktrin serta menentukan akidah masing-masing tanpa sebarang peduli atau perhatian dan jagaan daripada pihak berautoriti agama. Perkara ini sudah tentu tidak selaras dengan kefahaman Islam sebenar kerana akidah Islam itu mempunyai paksi tertentu dan tidak boleh diubah
Begitu juga jeritan pihak-pihak tertentu untuk memansuhkan sekatan yang boleh dikenakan ke atas penyebaran doktrin bukan Islam di kalangan orang Islam. Alasannya ialah kebebasan beragama sedangkan sekatan penyebaran doktrin ini adalah suatu hak orang Islam yang dimaterai dan diiktiraf Perlembagaan Negara.
Apa yang lebih malang bila adanya cadangan agar Majlis Agama Islam Negeri tidak mengambil tindakan kepada orang Islam sekiranya maksiat dilakukan secara tertutup yang membuka kepada segala pintu kemaksiatan semakin berleluasa. Kita bimbang peranan Majlis Agama dalam membanteras gejala maksiat semakin dikecilkan malah mungkin tidak berperanan lagi.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Penghinaan terhadap agama Islam terakam dalam banyak ayat al-Qur’an. Antaranya adalah penghinaan yang dilakukan oleh golongan bukan Islam yang memusuhi Islam dan umat Islam. Sebagai contoh firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 12:
وَإِن نَّكَثُوا أَيْمَانَهُم مِّن بَعْدِ عَهْدِهِمْ وَطَعَنُوا فِي دِينِكُمْ فَقَاتِلُوا أَئِمَّةَ الْكُفْرِ ۙ إِنَّهُمْ لَا أَيْمَانَ لَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَنتَهُونَ
Maksudnya: “Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela ugama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).”
Ayat ini membahaskan berkenaan pembesar-pembesar musyrikin yang telah memungkiri janji mereka seperti Abu Sufyan bin Harb, Harith bin Hisham dan Sahl bin Amr. Pada asalnya orang-orang bukan Islam yang memohon perlindungan di bawah negara Islam (kafir mu’ahad) hendaklah diperlakukan sebagaimana orang-orang Islam. Namun, jika mereka mencabuli perjanjian lalu menghina agama Islam, maka mereka boleh diambil tindakan keras termasuk dibunuh kerana perjanjian telah berakhir dan mereka tidak lagi dilindungi. Kefahaman daripada ayat ini, menghina Islam merupakan suatu perkara yang amat serius sehingga hukuman yang boleh dikenakan juga amat berat. Dalam contoh yang lain, firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 65:
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّـهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ ﴿٦٥﴾
Maksudnya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”
Ayat ini diturunkan sebelum berlaku peperangan Tabuk. Pada ketika itu terdapat dua orang munafik yang menghina al-Qur’an dan Rasulullah SAW manakala seorang lagi mentertawakannya. Lalu Allah SWT menyampaikan hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda memanggil mereka bertiga lalu bertanya hal tersebut dan mereka menjawab sambil mengatakan perbuatan itu sekadar suatu gurauan atau permainan. Dengan itu, Allah SWT menurunkan ayat ini menempelak perbuatan mereka.
Daripada dua contoh ayat di atas, dapat kita fahami bahawa agama Islam tidak boleh sama sekali dihina. Termasuk dalam erti kata menghina Islam adalah menghina segala perkara yang berkaitan langsung dengan agama Islam seperti menghina Allah SWT, Rasulullah dan para nabi, al-Qur’an, al-Sunnah, laungan azan, solat, puasa dan lain-lain.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Bukan sekadar itu, bahkan Islam turut melarang umatnya sendiri untuk menghina agama bukan Islam. Hal ini bersandarkan firman Allah dalam surah al-An’am ayat 108:
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ فَيَسُبُّوا اللَّـهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿١٠٨﴾
Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”
Jika diperhatikan sepintas lalu, larangan mencela tuhan agama lain itu seolah-olah tidak tepat. Ini kerana, tuhan yang disembah oleh mereka itu adalah batil menurut aqidah Islam. Walau bagaimanapun, sekiranya diteliti dengan lebih cermat, alasan larangan itu dinyatakan sendiri oleh al-Qur’an. Larangan menghina tuhan sembahan golongan kafir itu adalah bagi mengelakkan mereka membalas penghinaan atau cercaan itu dengan menghina atau mencerca Allah SWT sedangkan Allah SWT adalah Tuhan yang sebenar-benarnya. Ini bermakna, Islam merupakan agama yang tidak akan berkompromi sama sekali dengan mana-mana pihak yang menghina agama tanpa mengambil kira sama ada agama yang dihina itu adalah Islam atau selainnya.
Dalam konteks peruntukan undang-undang, kita melihat isu penghinaan terhadap agama Islam boleh ditangani menerusi perundangan sivil dan perundangan syariah. Ini kerana, kedua-dua perundangan tersebut ada menyatakan peruntukan bagi kesalahan menghina agama. Namun demikian, bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya terbatas kepada membicarakan kes-kes yang melibatkan orang Islam, berbeza dengan Mahkamah Sivil yang boleh membicarakan mana-mana orang yang melakukan kesalahan di negara ini tanpa mengira kaum dan agama.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Isu kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran hangat dibincang dalam minggu ini. Penggunaan kalimah Allah dalam buku penerbitan agama Kristian pastinya mamberikan maksud yang berbeza dengan tafsiran Islam berikutan dasar kepercayaan yang berbeza lagi bertentangan. Sedangkan kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang membezakan tafsiran kalimah Allah dari sudut kepercayaan musyrikin, Kristian dan selainnya.
Firman Allah S.W.T dalam 1-4 surah al-Ikhlas:
قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ لَمۡ یَلِدۡ وَلَمۡ یُولَدۡ وَلَمۡ یَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.”
Kita senada dengan pendirian Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menegaskan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di mana MAIS berpendirian kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan, sebaliknya ia juga melibatkan akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Raja sebagai ketua agama negeri.
Kerajaan sebelum ini termasuk melalui 3 majlis agama itu ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK)telah bertindak dalam proses rayuan terutama dalam menjunjung titah DYMM Sultan Selangor serta DYMM Sultan Johor dengan berpandangan demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah ALLAH dibuat bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi negara memutuskan isu itu secara muktamad dan boleh menjadi panduan semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah ALLAH demi maslahat agama dan negara.
Ia juga bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.
Firman Allah S.W.T: dalam ayat 30 surat at-Taubah :
(وَقَالَتِ ٱلۡیَهُودُ عُزَیۡرٌ ٱبۡنُ ٱللَّهِ وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَى ٱلۡمَسِیحُ ٱبۡنُ ٱللَّهِۖ ذَ ٰلِكَ قَوۡلُهُم بِأَفۡوَ ٰهِهِمۡۖ یُضَـٰهِـُٔونَ قَوۡلَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ مِن قَبۡلُۚ قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُۖ أَنَّىٰ یُؤۡفَكُونَ)
Maksudnya : Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan