Jumaat, 15 April 2022

Khutbah Jumaat : Ramadhan DiRai Al-Quran DiHayati Keberkatan DiMiliki

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat  3-6 surah ad-Dukhan : إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ ﴿٣﴾ فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ ﴿٤﴾ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا ۚ إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ ﴿٥﴾ رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul. (Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hambaNya) Syukur kita panjatkan ke hadhrat Allah atas nikmat Ramadhan di mana kini telah 2 minggu kita sama-sama diberikan kesempatan untuk beramal pada bulan yang penuh keberkatan ini. Ramadhan dan al-Quran tidak dapat dipisahkan maka begitulah juga dengan diri kita jangan pisahkan daripada al-Quran. Kemuliaan Ramadhan berkait rapat dengan penurunan al-Quran maka begitulah hati kita bila sentiasa disirami dan dipenuhi dengan al-Quran akan membawa kepada kemuliaan diri dunia dan akhirat. Amat rugi apabila kita mampu membaca akhbar, majalah, whatsap, tonton tv, layari internet sedangkan sentiasa memberi seribu alasan untuk tidak membaca al-Quran. Betapa rugi kita mampu berbincang dan belajar ilmu dunia yang lain sedangkan sentiasa memberi pelbagai alasan untuk tidak belajar al-Quran dan memahami makna isi kandungannya. Betapa rugi manusia yang malu jika mampu menguasai Bahasa dunia yang lain terutama Bahasa Inggeris sedangkan dia tidak pernah malu kerana tidak pandai membaca al-Quran apatah lagi memahami maknanya. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’: وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. Contohilah generasi kemenangan dari kalangan para sahabat nabi yang menjadi teladan bagi generasi berikutnya dalam menjadikan al-Quran sebagai jalan hidup mereka. Oleh sebab itu mereka mulia di sisi Allah kerana ketakwaan mereka, kedalaman ilmu mereka, amal soleh mereka, dan kecintaan mereka yang teramat besar terhadap Allah dan Rasul-Nya. Para sahabat hidup di bawah naungan al-Quran. Sehingga ayat-ayat suci itu mewarnai hidup dan kehidupan mereka, mewarnai hati dan tingkah laku mereka. Para sahabat tidak memandang al-Quran sebagai teori dan falsafah. Bahkan, mereka menjadikan al-Quran sebagai undang-undang kehidupan mereka dalam hidup bermasyarakat dan bernegara, dalam hidup individu dan rumah tangga. Bahkan, al- Quran itu sesuai dengan semua keadaan dan suasana. Kita patut merasa bimbang apabila kegunaan al-Quran dalam masyarakat hanya disimpan di dalam rumah, tulisan khat digantung di dinding-dinding rumah sebagai perhiasan semata-mata. Bahkan terdapat kajian menunjukkan tahap kesedaran umat Islam di Malaysia terhadap al-Quran masih berada tahap sederhana. Satu pemantauan telah dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, mendapati bahawa ada dalam kalangan umat Islam di negara ini tidak mempunyai al-Quran walaupun senaskhah di rumah mereka. Para remaja pada hari ini ramai yang tidak tahu atau kurang mahir dalam membaca al-Quran kerana sikap mereka yang tidak memandang berat akan kepentingan al-Quran serta ketidakprihatinan ibu bapa dan masyarakat sekeliling . Masalah ini juga adalah berpunca dari sikap masyarakat yang terlalu memandang kepada pangkat serta mengambil berat mengenai hal-hal keduniaan Menurut suatu laporan kajian mendapati bahawa hanya 10% sahaja yang membaca al-Quran setiap hari dan sebanyak 63.1% yang membaca al-Quran jarang-jarang. Alasan mereka yang jarang-jarang membaca al-Quran adalah kerana malas, tidak ada masa dan alasan tidak pandai membaca al-Quran. Walaupun kebanyakan pelajar telah khatam al-Quran, namun dari segi tahap kelancaran masih di peringkat sederhana. Sebagaimana dapatan kajian mendapati masalah yang dihadapi oleh pelajar adalah pelajar kurang lancar membaca al-Quran, lemah dari segi makhraj huruf dan lemah menguasai hukum-hukum tajwid. Mereka tidak dapat menguasai al-Quran sejak di sekolah rendah lagi. Begitu juga kebanyakan umat Islam membaca al-Quran, tetapi mereka tidak memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran yang dibaca sehingga Kejahilan segelintir kita yang tidak memahami maksud di sebalik ayat al-Quran menjadikan matlamat membaca al-Quran itu pincang. Keadaan di mana individu melagukan ayat al-Quran secara mendayu sedangkan ayat menegaskan perintah Allah, sering berlaku dan menimbulkan kekeliruan Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat  121 surah al-Baqarah : الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ ‎﴿١٢١﴾ Maksudnya : Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.  Al-Quran dan Ramadhan saling berkait dan menjadi sumber bekalan. Al-Quran merupakan sebuah mukjizat dan Rahmatan Lil a'lamin kepada seluruh makhluknya. Manakala, bulan Ramadhan diturunkan padanya al-Quran serta menjadi sumber bekalan kekuatan kepada setiap orang Muslim. Manusia hanya perlu memanfaatkan keberadaan di Bulan Ramadhan dan berusaha memahami al-Quran dengan berinteraksi menggunakan kaedah yang di gariskan daripada al-Quran dan as-Sunnah bagi memberikan kesan kepada penghayatan al-Quran dalam kehidupan Menurut Imam Ghazali , merujuk ayat “sebagaimana sepatutnya” (haqqa tilawatih) membawa maksud, membaca perlu melibatkan lisan, akal, dan hati. Tugas lisan adalah membaca huruf per huruf secara tepat. Tugas akal adalah memahami makna dan kandungan. Manakala, tugas hati adalah mengambil pelajaran dan nasihat untuk kemudian dipatuhi dan ditaati. Kalimah Haqqa tilawatih menurut at-Tabari , Abdullah ibn Mas’ud menjelaskan dengan memabawa maksud tunduk dan patuh terhadap segala apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh-Nya, dan membacanya sesuai dengan apa yang diturunkan oleh Allah serta tidak menyimpangkan-Nya, dan tidak mentakwilka-Nnya secara tidak patut. Manakala, Ibnu Abbas menafsirkan haqqa tilawatih, iaitu mengiringi apa yang dibaca dengan iringan yang beramal dengan-Nya Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 89 surah an-Nahlu : وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ ﴿٨٩﴾ Maksudnya : dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam Gunakanlah peluang berada pada bulan Ramadhan bulan turunnya al-Quran untuk kita semakin rapat dengan al-Quran bukan sahaja berlumba untuk membacanya tetapi mesti memahami seterusnya melaksanakannya dalam kehidupan seharian agar kita berjaya dunia dan akhirat. Kita perlu runsing bila ditanya mengapa umat Islam di negara ini tidak mengamalkan mambaca al-Quran dalam kehidupan seharian lalu mereka akan memberikan alasan sibuk dengan pekerjaan. Manakala pelajar sekolah pula mengatakan bahawasanya mereka terlalu sibuk untuk belajar dan menyiapkan kerja sekolah yang perlu dihantar segera sehinga tidak sempat membaca al-Quran. Ibu bapa juga tidak menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengajar al-Quran ekoran daripada kerja yang terlalu banyak hingga terbawa-bawa ke rumah. Anak-anak akan merasakan bahawa membaca al-Quran itu adalah perkara yang tidak penting dan boleh dipilih sama ada ingin membacanya mahupun tidak. Ibu bapa dalam konteks ini tidak mempamerkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak dalam penghayatan al-Quran di rumah. Pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan yang besar dalam isu al-Quran ini. Rakan sebaya yang tidak pernah mengingatkan rakannya untuk membaca al-Quran merupakan rakan sebaya yang teruk dan tidak sepatunya dijadikan rakan ataupun tugas umat Islam sebagai seorang yang bertanggungjawab perlulah membimbing rakan sebaya yang terpesong jauh dari ajaran agama Islam. Jika ketua kumpulan dalam kalangan rakan sebaya itu dapat dipengaruhi untuk berubah dan sentiasa mengamalkan al-Quran, nescaya rakan-rakan mereka yang lain akan turut patuh dan mengikuti apa sahaja yang ketua mereka lakukan. Biarpun pada awalnya setiap individu dalam masyarakat membaca al-Quran secara paksaan, tetapi lama kelamaan paksaan tersebut akan menjadi relahati. Perubahan ini menuntut kepada cara interaksi dengan al-Quran yang baik. Hidupkan al-Quran dalam diri kita, anak isteri kita, masyarakat kita, negeri kita, negara kita nescaya kita akan berjaya dunia akhirat قال النبي : اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ – – رواه مسلم Maksudnya : Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat memohonkan syafa’at bagi orang yang membacanya (di dunia) بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan