Jumaat, 19 November 2021
Khutbah Jumaat : Kepimpinan Nabi s.a.w DiContohi Judi DiPerangi Negara DiBerkati
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 116-117 surah Huud:
فَلَوْلَا كَانَ مِنَ الْقُرُونِ مِن قَبْلِكُمْ أُولُو بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنِ الْفَسَادِ فِي الْأَرْضِ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّنْ أَنجَيْنَا مِنْهُمْ ۗ وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَا أُتْرِفُوا فِيهِ وَكَانُوا مُجْرِمِينَ ﴿١١٦﴾ وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ ﴿١١٧﴾
Maksudnya : Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa. Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
Al-Quran banyak menceritakan kisah bagaimana umat dahulu dihancurkan sebagaimana pengajaran dan iktibar yang berguna kepada kita semua agar tidak mengulanhi jenayah dan sikap yang sama. Antara sikap umat dahulu yang telah dihancurkan oleh Allah iailah : [1] Menentang ayat-ayat Allah dan Rasul-rasulNya. [2] Mengikut perintah pemerintah yang zalim, hidup berfoya-foya, melakukan kerosakan di muka bumi tanpa melakukan pembaikan seperti kaum ‘Aad dan Thamud. [3] Berbangga dengan pengetahuan kebendaan, berpaling dari ilmu wahyu [4] Kagum dengan kekuatan kebendaan dan kekayaan harta benda dengan melupakan kemurkaan Allah seperti Firaun dan Qarun). [5] Zalim dan bongkak yang melampaui batas kebenaran khususnya terhadap orang-orang miskin dan lemah seperti bangsa Madyan kaum Nabi Syu’aib. [6] Melakukan perbuatan kotor dan mengikut hawa nafsu seperti kaum Nabi Luth). [7] Tersebarnya kerosakan dan kemungkaran di mukabumi secara terang-terangan tanpa usaha menghentikannya seperti sebahagian kaum Bani Israeil. [8] Kufur pada ni’mat Allah dan tidak mensyukurinya, bahkan digunakan pemberian Allah itu untuk melakukan maksiat. [9] Boros dan melampau-lampau dalam kesenangan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
Menyedari tentang betapa bahayanya apabila umat hanyut dalam gelombang hawa nafsu maka Allah telah mengutuskan nabi-nabi termasuk nabi Muhammad s.a.w untuk menunjuk jalan menuju Syurga dan menjauhi seksaan api Neraka. Pengutusan nabi Muhammad s.a.w bukan setakat sebagai pendakwah malah bertindak sebagai pemimpin Daulah yang telah memberi tunjuk ajar dalam segenap aspek kehidupan manusia termasuk ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.
Ciri-ciri kepimpinan Rasulullah s.a.w yang mesti di contohi antaranya ialah : [1] Berilmu Pengetahuan terutama aspek-aspek teknikal dan juga pengurusan yang lebih terutamanya aspek-aspek teknikal dan juga pengurusan dalam organisasi. [2] Teras Aqidah yang kukuh bagi memastikan setiap tindakannya adalah bersandarkan kepada ajaran Islam. [3] Amanah agar menjauhi daripada perbuatan pecah amanah, pemalsuan dan juga rasuah, yang boleh meruntuhkan organisasi yang dipimpin. [4] Benar dalam perkataan dan tindakan agar tidak menimbulkan kecelaruan dalam organisasi yang dipimpin atau dipertikaikan kredibilitinya. [5] Bijak dalam menangani masalah di samping mempunyai ketokohan yang boleh menyakinkan anak buahnya dalam melaksanakan sesuatu tindakan dengan berkesan dan sempurna. [6] Keadilan yang meliputi segenap aspek yang dipimpin agar setiap mereka itu terhindar dari sifat tidak puas hati atau memberontak disebabkan perkara tersebut. [7] Bersifat Rahim iaitu belas kasihan dan bertimbang rasa kepada orang bawahan [8] Sentiasa menyampaikan perkara-perkara yang baik dan pesan dengan perkara-perkara yang benar selaras dengan kehendak Allah
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 90 surah al-Ma’idah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Ketahuilah sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah ialah perbuatan yang keji daripada amalan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Pemimpin yang bijak dan bertaqwa ialah pemimpin yang sentiasa berusaha mencontohi cara kepimpinan nabi Muhammad s.a.w termasuk menyekat judi dan had penjualan arak kerana kedua ini adalah virus merbahaya bukan sahaja kepada umat Islam malah orang bukan Islam. Antara kesan negatif dan akibat daripada judi [1] Lalai daripada tanggungjawab yang dipikul. [2] Mengalami kehabisan wang dan sumber. [3] Selalu dibebani dengan hutang. [4] Mudah terjebak dengan perlakuan jenayah. [5] Meruntuhkan institusi kekeluargaan. [6] Punca perpecahan dalam masyarakat. [7] Meruntuhkan moral dan integriti sesebuah masyarakat.
Manakala antara hikmah pengharaman judi pula dapat mengelakkan seseorang itu daripada terjebak dalam pelbagai jenayah seperti: [1] Mencuri. [2]Mencederakan jiwa. [3] Menimbulkan permusuhan dan pertelingkahan. [4] Mengambil harta orang lain secara batil. [5] Menjadi asbab kepada seseorang dalam menipu dan menzalimi orang lain. [6] Menghabiskan harta sehingga sanggup menggadai isteri dan anak-anak.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١٩﴾
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:
Ketika ada pihak yang memberi hujah yang dangkal atas alasan hak kebebasan dan agama selain Islam membenarkan judi maka kita datangkan kajian di mana didapati bukan Islam sahaja mengharamkan judi malah agama lain turut meletakkan judi sebagai perbuatan buruk.
Ajaran lama Budha Hinayana, menggariskan lima larangan kepada penganut Budha iaitu; ” membunuh, mencuri, menipu, berzina, meminum alkohol dan berjudi”.
Namun ajaran baru Budha Mahayana telah melonggarkan larangan ini dan ia hanya terpakai kepada yang mahu menjadi sami atau betul-betul menghayati ajaran Budha. Juga tercatit dalam kitab lama Budha kisah masyhur ‘Ratapan si Penjudi’ (Gambler’s Lament) yang menjadi pengajaran berguna apabila seorang penjudi yang kalah wang taruhan menyebabkan dia kehilangan anak dan isteri.
Bagi ajaran Kristian pula tidak ada kejelasan dalam pengharaman judi tetapi ajaran Kristian memberi amaran bagi yang mencari kekayaan secara cepat dan cintakan wang. Majoriti gereja bersepakat menyatakan keburukan judi dan menolak penubuhan pusat judi secara besaran seperti kasino atas dasar ‘melampau’. Manakala gereja Prebysterian menolak terus segala bentuk judi termasuk loteri kerana atas hujah ia mengambil wang dari golongan miskin dan berpendapatan rendah, yang mengharapkan hadiah lumayan, tetapi hanya ‘seorang dalam sejuta sahaja’ yang memenangi hadiah wang yang dijanjikan.
Manakala bagi penganut agama Yahudi, para Rabbi (pemimpin agama Yahudi) menetapkan aktiviti judi dibenarkan semasa perayaan Hannukah sahaja sebagai satu bentuk hiburan di musim perayaan.
Di Amerika Syarikat sendiri, walaupun di peringat Pusat membenarkan aktiviti judi, namun setiap negeri mempunyai kuasa untuk mengharamkannya di mana kebanyakan negeri masih tidak membenarkan lesen judi atas sebab kesan moral dan sosial. Adakah Amerika Syarikat dituduh diskriminasi agama kerana melarang judi di kebanyakan negerinya. Oleh itu kita sebagai negara yang Islam adalah tunggak agama rasmi sewajibnya membanteras amalan judi bukan menyuburkannya agar dijauhi daripada laknat dan kemurkaan Allah
Firman Allah dalam ayat 90 surah al-Ma’idah :
وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ ﴿٣٠﴾
Maksudnya : Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan