Jumaat, 30 Oktober 2020

Cinta Nabi s.a.w DiJulang, Penghina Nabi DiTentang

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab : لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya Keberadaan kita pada bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w nabi akhir zaman pembawa rahmat kepada seluruh alam. Hadirnya bersama misi dan visi yang besar iaitu memastikan umat manusia yang tenggelam dalam cara hidup jahiliah terutama syirik kepada kembali MengEsakan Allah, daripada mengikut hawa nafsu kepada tunduk kepada suluhan wahyu, daripada sikap kebinatangan kepada akhlak yang mulia. Kita sebagai umat yang beriman begitu yakin bahawa pada diri Rasulullah s.a.w mempunyai contoh teladan yang terbaik dari pelbagai aspek kehidupan samada cara berkeluarga, cara berekonomi, cara bersosial, cara berpolitik, cara bernegara dan sebagainya. Bila kita benar-benar beriman kepada Allah dan rasulNya maka setiap tindak tanduk kita akan membawa kebaikan bukan sahaja pada diri sendiri malah mampu menyebar luaskan kebaikan kepada sekitar. Hanya umat yang meyakini bahawa perlunya kita kepada pengutusan nabi untuk membimbing umat manusia dalam mengurus kehidupan dunia berteraskan agama bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan yang paling penting di akhirat nanti. Islam melarang kita mendewakan nabi sehingga dianggap sebagai Tuhan sebagaimana sesatnya Kristian yang mempertuhankan nabi Isa a.s . Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran : قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Sempena berada di bulan Maulidurrasul s.a.w ini marilah kita sama-sama bermuhasabah menghitung diri berkaitan sejauh mana rasa cinta dan kasih kita kepada nabi Muhammad s.a.w, sejauh manakah kesungguhan kita dalam mengamalkan sunnah nabi s.a.w dalam kehidupan seharian. Individu manakah yang lebih kita kenal dan sanjung antara peribadi nabi s.a.w atau artis, pemain sukan dan selainnya yang kita lebih minati. Adakah kita sudah mempunyai seseorang yang kita sanjung dan junjung sepanjang hidup di dunia ini untuk kita bangkit bersama mereka bila keluar daripada lubang kubur menuju ke padang Mahsyar nanti. Nabi s.a.w mengingatkan kita bahawa seseorang itu akan bangkit daripada kuburnya bersama dengan orang yang paling dia kasih semasa hidup di dunia ini. Berapa banyak hadis nabi s.a.w yang telah kita hafaz dan amalkan dalam kehidupan seharian. Seorang muslim yang mengaku mencintai Rasulullah s.a.w semestinya dia selalu berusaha untuk meneladani sunnah nabi s.a.w dalam kehidupannya mengikuti petunjuk dan perbuatan baginda s.a.w. Imam Ibnu Katsir, ketika menafsirkan ayat 31 surah Ali ‘Imran berkata, “Ayat yang mulia ini merupakan hakim (pemutus perkara) bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah, akan tetapi dia tidak mengikuti jalan (sunnah) Rasulullah s.a.w, maka dia adalah orang yang berdusta dalam pengakuan tersebut dalam masalah ini, sampai dia mahu mengikuti syariat dan agama (yang dibawa oleh) Nabi Muhammad s.a.w dalam semua ucapan, perbuatan dan keadaannya” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, قال الرسول: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه Maksudnya:Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia 2 minggu lepas dunia dikejutkan dengan tragedi berdarah apabila Samuel Paty, seorang guru subjek Sejarah sebuah sekolah di Perancis telah dibunuh dengan kepalanya dipenggal oleh seorang pemuda Islam sebagai respon balas terhadap gurunya yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menayangkan beberapa lukisan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW kepada pelajar-pelajarnya di dalam bilik darjah untuk berbincang di atas dasar hak kebebasan bersuara. Kita tidak seharusnya menyalahkan pemuda itu sahaja yang bertindak melampau kerana tindakan Presiden Perancis dan pelukis kartun yang menghina Baginda SAW lebih melampau sehingga mencetuskan provokasi yang keterlaluan. Rasulullah SAW melarang para sahabat menghina sahabat yang lain apabila ada kalangan ayah mereka yang bukan Islam dibunuh dalam Perang Badar kerana menyerang umat Islam. Ini semata-mata bagi menghormati perasaan dan fitrah yang ada dalam hati seseorang manusia yang normal fikirannya. Seandainya Presiden Perancis itu berfikiran normal, maka apakah perasaannya jika dilukis dan dilakarkan kartun yang menghina ayah, ibunya mahupun dirinya sendiri?. Sudah pasti dia sendiri pun mempunyai perasaan marah jika perkara itu dilakukan di hadapannya. Sekiranya dia tidak rasa marah apabila dilakukan sedemikian, itu menandakan dia seorang yang berada di luar tabii manusia biasa. Namun pada dasarnya, dia mestilah kembali kepada hak asasi manusia yang berbeza dengan hak makhluk yang lain. Termasuklah hak binatang sehingga ia menjadi agenda perjuangan kumpulan pencinta alam di negara Barat. Memberi hak kebebasan tidak bermakna diizinkan kebebasan mencuri, merompak sehingga membunuh secara bebas sepertimana binatang buas, juga tidak bermakna dibolehkan bertelanjang di tengah khalayak ramai kerana amalan itu ditolak oleh semua agama dan manusia yang mempunyai sifat kemanusiaan yang sebenar. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 112 surah Al-An’am : وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا ۚ وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ ۖ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ Maksudnya : Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.” Jika kita meneliti sirah Nabi S.A.W, Baginda telah dihina dan dicerca dengan pelbagai bentuk dan cara, bukanlah kerana Baginda seorang yang jahat atau melakukan kezaliman dan provokasi kepada orang lain, bahkan hanyalah kerana Baginda menyampaikan kebenaran dan berdialog dengan cara terbaik dalam berdakwah. Baginda pernah dituduh dan diburukkan karakternya dengan pelbagai gelaran seperti gila, penipu, ahli sihir, dirasuk jin dan lain-lain lagi yang amat jauh dari keperibadian sebenar Baginda, tetapi akhirnya apa yang berlaku ialah manusia semakin ramai mengenali Islam dan memeluk Islam setelah mengenali Baginda dan ajaran Islam dalam wajahnya yang sebenar. Selain itu, kita juga dapat saksikan dalam sejarah Islam akibat daripada penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W yang mana ia membawa kemusnahan terhadap diri atau kumpulan itu sendiri, antaranya kisah Raja Parsi. Raja Parsi pernah mengoyak surat Rasulullah S.A.W dan menghina Baginda dengan mengatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W hanya setaraf hambanya sahaja. Lalu Baginda S.A.W mendoakan supaya Allah mengoyakkan kerajaannya dan akhirnya Allah S.W.T telah memakbulkan doa Baginda sehingga jatuhnya empayar Parsi dengan penuh kehinaan dan tidak pernah bangkit semula hingga ke hari ini. Kita percaya para penghina Rasulullah S.A.W akan ditimpakan oleh Allah S.W.T dengan kehinaan sama ada di dunia atau akhirat. Bukanlah suatu yang sukar bagi Allah S.W.T meruntuhkan kerajaan pimpinan Emmanuel Macron kerana menghina kekasihNya. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 33 surah At Taubah : هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ (33( Maksudnya : Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang Musyrik tidak menyukainya.” Umat Islam mestilah bangkit membantah penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W mengikut cara yang dianjurkan oleh syarak, akal yang waras dan akhlak dalam menangani perbezaan agama dan aliran. Tidak boleh menolak mudarat dengan mendatangkan mudarat yang lebih besar. Tidak boleh melampau dalam bertindak balas, serta tidak boleh juga berserah dan berdiam diri kerana itu adalah sikap orang yang dayus serta lemah iman. Hari ini hampir seluruh dunia Islam khususnya di Timur Tengah melancarkan boikot terhadap barangan keluaran Perancis. Banyak pasar raya di Timur Tengah mengeluarkan barangan Perancis dari kedai-kedai mereka. Apabila dilancarkan kempen boikot ini dianggarkan kerugian Perancis melebihi USD 1 bilion sehari. Ini menunjukkan betapa kuatnya kesan dan pengaruh Dunia Islam terhadap ekonomi dan perdagangan Barat. Jika Dunia Islam bersatu membantah dan memboikot ekonomi dan sebarang urusniaga dengan pihak yang menghina Islam, sudah pasti tiada pihak yang berani memperlekehkan Islam. Yang penting usaha dan pilihan itu berada di dalam tangan kita sendiri. Adakah kita rela membiarkan maruah kita dan Nabi kita dihina musuh atau bangkit mempertahankan hak dan maruah kita sebagai umat beriman? Akibat daripada kempen boikot yang dilancarkan ini, Perancis mula terasa bahang akibat keceluparan mereka sendiri sehingga ada dari kalangan menterinya yang menyeru supaya dihentikan boikot kerana kononnya ia dianjurkan kumpulan radikal. Dalam masa yang sama Islam melarang umatnya menghina dan memperlekehkan agama lain. Selain daripada usaha memboikot barangan buatan Perancis, umat Islam juga mestilah tidak putus menyampaikan dakwah dan menyebarluaskan gambaran sebenar berkenaan Islam dan keperibadian Nabi Muhammad S.A.W. Biar bermandi darah namun penghinaan terhadap nabi s.a.w wajib disanggah, biar bercerai nyawa dari badan namun kemuliaan nabi s.a.w kami tetap pertahankan, biar nyawa melayang asalkan maruah dan agama kami perjuangkan. Jangan bermain api dengan umat Islam buruk padahnya. قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم : لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الْأَمْرُ مَا بَلَغَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ ، وَلَا يَتْرُكُ اللَّهُ بَيْتَ مَدَرٍ وَلَا وَبَرٍ إِلَّا أَدْخَلَهُ اللَّهُ هَذَا الدِّينَ ، بِعِزِّ عَزِيزٍ أَوْ بِذُلِّ ذَلِيلٍ ، عِزًّا يُعِزُّ اللَّهُ بِهِ الْإِسْلَامَ ، وَذُلًّا يُذِلُّ اللَّهُ بِهِ الْكُفْرَ – رواه أحمد والبيهقي Maksudnya : Sungguhnya perkara ini akan sampai ke seluruh dunia sebagaimana malam dan siang. Allah tidak akan membiarkan satu rumah pun baik di kota mahu pun di desa kecuali Allah akan memasukkan agama ini dengan kemuliaan yang dimuliakan atau kehinaan yang dihinakan: kemuliaan yang dengannya Allah memuliakan Islam dan kehinaan yang dengannya Allah menghina-dinakan kekufuran بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan