Khamis, 23 Januari 2020
Islam DiMartabat Murtad DiSekat Umat Kuat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 17 surah al-An’am :
وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١٧﴾
Maksudnya : Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
Tamadun manusia telah menyaksikan bahawa sebelum kedatangan Islam ke Tanah Arab, keadaan kesihatan awam pada ketika itu amat daif. Penyakit berjangkit seperti cirit-birit, batuk kering, taun dan lain-lain amat mudah berlaku, bahkan secara berleluasa. Hanya dengan kedatangan Islam menerusi nabi Muhammad s.a.w. penekanan terhadap kesihatan dan penjagaan kesihatan yang sempurna mula mendapat perhatian masyarakat. Walaupun Rasulullah diutuskan bagi menyampaikan hukum-hukum Allah yang Maha Suci, tetapi ajaran dalam Islam amatlah menyeluruh sifatnya. Malah ajaran Islam juga amat menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan yang sempurna supaya individu itu mempunyai kekuatan yang diperlukan bagi menjalankan ibadat kepada Tuhan.
Begitu juga, bagi menjadikan amalan ibadat dan doanya itu diterima Allah, individu Muslim itu mestilah sentiasa memelihara kesihatan diri terutamanya dalam memastikan kebersihan dan halal haram makanan yang diambil di samping menggunakan hanya pakaian yang bersih, tidak dikotori najis dan sebagainya. Semua perkara ini terkandung dalam ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w sehingga muncul sebuah karya agung khusus berkaitan kaedah perubatan dan penjagaan kesihatan cara Rasulullah s.a.w yang dikenali At Tibb an Nabawi.
Pencegahan menjadi asas utama penjagaan kesihatan yang baik di samping melakukan aktiviti kehidupan secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan yang sentiasa dianjurkan oleh Islam kepada umatnya. Manakala bidang perubatan dan kesihatan moden yang berasaskan kaedah saintifik kini turut memberi penekanan terhadap pencegahan dan rawatan dalam menghadapi sesuatu jangkitan dan penyakit yang menjadi asas disiplin kesihatan awam.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 51 surah at-Taubah :
قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿٥١﴾
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".
Kini Negara kita diuji dengan penyakit berjangkit Influenza yang merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti salur pernafasan. Ia boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius. Dalam keadaan tertentu, ia boleh mengancam nyawa individu yang dijangkiti. Secara kebiasaannya, gejala influenza bermula 1 atau 2 hari selepas dijangkiti, dan ianya meliputi Demam, Selesema, Sakit tekak, Batuk, Sakit kepala, Sakit badan, Sukar bernafas, Cirit birit dan sakit perut khususnya di kalangan kanak-kanak) . Influenza merebak dari seorang individu yang dijangkiti kepada seorang individu yang lain melalui titisan salur pernafasan apabila bercakap, batuk atau bersin. Titisan ini boleh mencemari permukaan dan menyebabkan jangkitan kepada individu yang menyentuh permukaan tersebut.
Pendekatan yang berasaskan perubatan `mencegah’ dalam menangani wabak dan jangkitan penyakit sebenarnya telah diajar oleh Nabi s.a.w dalam banyak situasi.
الطَّاعُونُ آيَةُ الرِّجْزِ ابْتَلَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهِ نَاسًا مِنْ عِبَادِهِ فَإِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ فَلاَ تَدْخُلُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَفِرُّوا مِنْهُ ) – رواه مسلم
Maksudnyu :Taun (penyakit merebak) adalah suatu peringatan dari Allah untuk menguji hamba-hamba-Nya dari kalangan manusia. Maka apabila kamu mendengar penyakit itu berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu masuk ke negeri itu. Dan apabila wabak itu berjangkit di negeri tempat kamu berada, jangan pula kamu lari keluar daripadanya."
Kekhuatiran ini berkisar apabila kita berkemungkinan sebagai kumpulan pembawa yang terlibat menjangkitkan pula penyakit berkenaan kepada orang lain. Ajaran dalam al-Quran, kita juga ditegah daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang menjerumus kepada kesengsaraan, kemudaratan dan kemusnahan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Usaha dalam menangani masalah penyakit berjangkit ini juga ialah sentiasa merujuk pihak kesihatan dan apa yang paling penting ialah menjauhi maksiat dan perkara yang menjadi punca kepada penyakit serta memperbanyakkan doa kepada Allah
Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca: (Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak 3 kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak 3 kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” [Riwayat Abu Daud (5088)]
Daripada Abu Hurairah RA berkata:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا لَقِيتُ مِنْ عَقْرَبٍ لَدَغَتْنِي الْبَارِحَةَ، قَالَ: أَمَا لَوْ قُلْتَ، حِينَ أَمْسَيْتَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، لَمْ تَضُرَّكَ – رواه مسلم
Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi SAW bersabda: Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu: (Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta)” nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudharatkan kamu.”
Daripada Anas bin Malik RA berkata:
كَانَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: Adapun Rasulullah berdoa: (Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk)”.” [Riwayat Abu Daud (1554)]
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Kafiruun :
لَكُمۡ دِینُكُمۡ وَلِیَ دِینِ
Maksudnya : “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku
Ketika melihat isu Tanglung di sebuah sekolah baru-baru ini betapa menteri terus turun padang untuk mempertahankannya atas alasan perpaduan. Alangkah bagusnya jika isu yang dianggap perpaduan itu juga diguna dalam isu tulisan jawi di sekolah yang dirempuh ganas oleh kumpulan rasis antara alasan dangkalnya bertujuan untuk menyebar Islam di kalangan pelajar bukan Islam ketika kaligrafi Cina dianggap lambang penyatuan. Isu terbaru ada pihak mengecam dan mempertikaikan arahan Kementerian Pendidikan untuk semua sekolah melarang pelajar Islam menyertai Pesta Ponggal yang diisytiharkan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pongal merupakan perayaan masyarakat Hindu terutama di Tamil Nadu yang dirayakan pada bulan ‘Thai’ sekitar pertengahan Januari dalam kalendar India. Ia sempena berakhirnya musim menuai, di mana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari. ‘Pongal’ dalam bahasa Tamil bermaksud ‘merebus’, dan perayaan ini dirayakan sebagai perayaan kesyukuran bagi musim menuai. Oleh itu apa relevan untuk pelajar-pelajar Islam di sekolah-sekolah dikerah untuk terlibat sama dalam Pesta Ponggal ini. Sedangkan dalam masa yang sama kita tidak melarang pelajar yang beragama Hindu untuk menyambut Pesta tersebut. Inilah toleransi kita dalam perbezaan agama dalam perayaan masing-masing yang perlu dihormati akan prinsip oleh penganut agama lain. Mengapa orang Islam yang tegas dalam mempertahankan prinsip dianggap rasis sedangkan orang lain yang tidak toleransi malah menyerang Islam secara membabi buta tidak dipanggil rasis.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 217 surah al-Baqarah :
…… وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَـٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ ﴿٢١٧﴾
Maksudnya : “…..Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka,mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).”
Isu yang paling besar apabila Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 yang sebelum lantang mempertikaikan kewujudan JAKIM di mana yang terbaru mereka mengkritik Undang-undang Murtad dengan mengatakan keputusan seorang Islam untuk keluar agamanya antara individu itu dengan Tuhan. Kumpulan itu mengatakan bahawa Undang-undang Negeri menghukum orang murtad, sama ada dengan denda, pemenjaraan atau pemulihan, tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama. Kumpulan ini jelas menafsirkan kebebasan beragama mengikut acuan Liberal Barat. Agama dianggap urusan peribadi yang tidak ada campur tangan dari pihak lain. Kebebasan beragama bagi mereka, manusia tidak boleh dipaksa hidup beragama. Pentafsiran ini adalah tidak betul kerana setiap individu yang telah menganut sebarang agama adalah terikat dan berkewajipan dengan peraturan agamanya. Hak beragama ini bukanlah bersifat mutlak bahkan ianya adalah berdasarkan prinsip agama masing-masing.
Kebebasan beragama dalam Islam ialah Islam menjamin kebebasan agama dalam bentuk tidak boleh melakukan paksaan untuk menganut agama Islam bahkan Islam memberi hak kepada setiap individu untuk memilih agama yang ingin dianuti tanpa ada paksaan. Murtad atau keluar dari agama Islam adalah satu jenayah, telah melakukan kesalahan dan dikenakan hukuman hudud. Murtad tergolong dalam dosa-dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah. Hukuman membunuh orang murtad akan dilaksanakan sekiranya telah tamat tempoh untuk bertaubat dengan kembali kepada Islam
مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ – رواه البخاري
Maksudnya : “Barangsiapa yang menukar agamanya, bunuhlah dia.”
Murtad atau keluar daripada agama Islam sebenarnya adalah berbeza dengan konteks hak kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 11 tersebut adalah lebih merujuk kepada kebebasan mempertahankan amalan dan cara hidup yang digariskan oleh agama masing- masing bukan menghalalkan murtad sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan pelampau ini. Oleh itu bersungguhlah kita bukan sahaja dalam mempertahankan aqidah malah memperkasakan system Islam dalam Negara. Islamlah nescaya kita berjaya dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan