Jumaat, 27 Disember 2019
Persaudaraan Islam DiTingkat Penderitaan Uyghur DiSekat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !!!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 18 surah al-Jaathiah :
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ﴿١٨﴾
Maksudnya : Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)
Penjajahan terhadap umat Islam terus berlangsung walaupun dari segi zahir penjajah telah kembali ke negara masing-masing dan banyak negara umat Islam telah diberikan kemerdekaan. Namun penjajahan pemikiran dan sistem hidup termasuk ekonomi, perundangan, sosial terus berlangsung samada adanya penentangan atau terus menjadi ‘pak turut’ kepada sistem penjajah bergantung kepada tahap ilmu dan kesedaran umat Islam itu sendiri. Umat Islam yang berilmu akan menjadi generasi tegar yang akan mempertahankan umat dari serangan-serangan pemikiran dan mereka akan sentiasa bersedia menghadapi aspek-aspek penjajahan pemikiran dan sistem penjajah yang lain. Mawdudi menukilkan ‘tiada Islam tanpa ilmu pengetahuan.’ Pada pandangan beliau, Islam merangkumi 2 perkara utama iaitu pertamanya ilmu dan keduanya ialah mengamalkan ilmu tersebut. Seseorang tidak akan dapat memahami keadaan sekelilingnya tanpa ilmu. Dilahirkan sebagai Islam, mempunyai nama Islam, berpakaian cara Islam dan menggelarkan diri sebagai Muslim sebenarnya masih tidak cukup, kerana Muslim yang hakiki itu mereka mengetahui apa pendirian Islam dan mereka turut berpegang teguh kepada ajaran agama walau apa cabaran atau tohmahan yang dilemparkan kepada Islam dan umatnya. Kejahilan itu perlu diubat dengan ilmu dan cara mendapat ilmu tersebut adalah melalui pendidikan mengikut acuan yang telah diajar oleh nabi Muhammad s.a.w
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 21 surah ar-Ruum :
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾
Maksudnya : Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir
Tahap pendidikan menjadi ukuran asas bagi komitmen terhadap agama. Mereka yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah memandang agama sebagai satu keperluan individu. Ini berbeza dengan mereka yang mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi yang memandang agama sebagai satu bentuk kesatuan dan bersedia untuk mengikuti aktiviti keagamaan secara berkumpulan. Seterusnya, mereka yang mempunyai tahap pendidikan teratas mempunyai keyakinan terhadap institusi keagamaan dan melibatkan diri dalam kegiatan keagamaan dalam ruang lingkup yang lebih besar. Komitmen terhadap agama ini akan membentuk komitmen terhadap keluarga. Seterusnya komitmen terhadap keluarga ini akan mencambah kepada peningkatan jumlah umat Islam melalui penghasilan zuriat yang lebih ramai. Dalam erti kata lain, segalanya bermula daripada proses pendidikan berteraskan agama. Keluarga yang juga merupakan unit asas sesebuah masyarakat mampu menjadi kekuatan dan juga ancaman kepada Islam. Keluarga yang teguh dengan pegangan Islam akan membentuk satu masyarakat yang bertamadun. Sebaliknya, keluarga yang goyah bakal mengundang pelbagai masalah termasuklah ancaman ateisme menolak agama akibat iman yang lemah.
Institusi kekeluargaan memainkan peranan yang sangat kritikal bagi peningkatan umat Islam di serata dunia. Institusi kekeluargaan yang kukuh dan sihat dapat meningkatkan jumlah pertumbuhan umat Islam secara positif. Kajian-kajian lain juga mendapati bahawa hanya keluarga yang mempunyai wanita atau suri rumah tangga yang meletakkan agama sebagai keutamaan sahaja yang mempunyai kemungkinan untuk memperolehi kadar kesuburan atau kelahiran yang tinggi. Situasi ini dikaitkan dengan nilai murni dan komitmen terhadap agama itu sendiri yang memerlukan seseorang wanita yang meletakkan keutamaan kehidupannya melalui aspek perkahwinan, keibu bapaan dan peranan gender dalam keluarga, serta menolak hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 32 surah al-Isra’ :
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ﴿٣٢﴾
Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
Kita begitu terkejut dan bimbang apabila timbulnya isu iklan Sugarbook berunsur maksiat yang tidak mendapat kelulusan itu boleh dipamerkan secara terbuka buat tatapan awam di ibu negara. Iklan berunsur maksiat ini boleh menjadi proses normalisasi terhadap dosa. Dibimbangi masyarakat akan menjadi biasa melihat perkara yang secara jelas boleh mendedahkan Muslim kepada zina sehingga mereka merasakan tiada apa-apa dengan kerosakan ini. Justeru, jangan dibuka ruang untuk pintu maksiat. Biarpun mereka mengatakan iklan tersebut hanyalah iklan untuk bersosial bukan pelacuran, namun implikasi sampingannya adalah kerosakan. Ia tidak lain hanyalah aktiviti mungkar dengan format yang berbeza.
Apabila syarat menjadi Sugar Daddy mestilah kewangan yang stabil untuk membiayai Sugar Baby yang mahukan kehidupan mewah dan kedua-dua individu boleh dipertemukan dan bersama andai bersetuju kepada terma dan syarat secara bersama. Maka apakah beza dengan pelacuran di mana pelanggan bersetuju membayar sekian jumlah untuk mendapatkan pulangan seksual manakala pelacur mendapat pulangan wang atas khidmat seks yang ditawarkan.
Sepatutnya Malaysia di mana Islam adalah agama Negara malu kepada Singapura di mana apabila Sugarbook memasuki pasaran Singapura pada awal 2018, ia mendapat tentangan hebat pemimpin-pemimpin politik dan pertubuhan wanita Singapura kerana dilihat bercangggah dengan undang-undang Singapura., dilihat pencari untung menggunakan kelemahan belia dan mengeksploitasi mereka, aplikasi itu mendedahkan wanita muda kepada merendahkan maruah, eksploitasi, stigma, penganiayaan dan kerosakan psikologi.
Begitu juga sikap New Zealand pada awal 2019, di mana Sugarbook mendapat tentangan hebat pemuka-pemuka masyarakat New Zealand dengan pandangan bahawa hubungan sugar daddy dan sugar baby hanyalah sejenis kerja seks, dan syarikat mempromosikannya di New Zealand boleh melanggar Akta Reformasi Pelacuran, melanggar visa sementara yang diberikan kepada mereka yang memasuki New Zealand dan hubungan yang diasaskan kepada pembayaran adalah tidak asli dan akan selalu bermasalah.
Malangnya di Malaysia bila isu ini heboh, tidak seorang pun pemimpin-pemimpin kerajaan dan pertubuhan wanita yang bersuara ke atasnya. Ke mana perginya suara Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Tidakkah beliau merasa bertanggungjawab melindungi wanita-wanita muda kita dari terjebak ke dalam kancah kemaksiatan dengan menjadi ‘sugar babies’ untuk mencari wang mudah. Ke mana perginya suara Menteri Menteri Pendidikan. Tidakkah mereka merasa bertanggungjawab melindungi pelajar-pelajar wanita di universiti-universiti tempatan yang dijadikan sasaran utama untuk menjadi sugar babies dengan diberikan keistimewaan tertentu oleh syarikat Sugarbook ini. Ke mana perginya suara Menteri Kesihatan. Tidakkah mereka merasa bertanggungjawab melindungi wanita-wanita muda ini dari ancaman kesihatan melalui jangkitan penyakit kelamin (STD) dan masalah psikiatri yang menimpa mereka ekoran menjadi sugar babies ini. Ke mana perginya suara Menteri Agama,. Tidakkah mereka merasa bertanggungjawab memastikan amalan yang bercanggah dengan dasar Islam Rahmatan lil ‘Alamin selaku dasar pentadbiran negara ditamatkan ataukah mereka setuju dengannya atas dasar kebebasan. Ke mana pula hilangnya suara pertubuhan-pertubuhan wanita ketika wanita dihina, diperkuda. Takkan hanya lantang bertempik ketika isu marah wanita Islam disuruh tutup aurat tapi bila wanita dilacurkan suara hilang membisu seribu bahasa
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 134 surah Ali ‘Imran :
الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ﴿١٣٤﴾
Maksudnya : Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Ibn Katsir dalam tafsirnya mengatakan, orang yang bertakwa adalah orang yang tidak hanya memikirkan diri sendiri. Tetapi orang yang disibukkan oleh perkara-perkara yang membuatnya tunduk dan taat kepada Allah, berinfak di jalan-Nya dan juga berbuat baik dengan segala macam kebajikan, kepada kerabat maupun kepada saudara seiman lainnya walau berlainan bangsa dan negara. Dengan demikian, maka akan terbina kerukunan sesama Muslim yang persaudaraan, pemaafan dan hubungan baik lebih diutamakan daripada kesombongan serta penting diri sendiri, sehingga terciptalah persatuan dan kesatuan umat Islam. Suatu modal paling penting bagi setiap Muslim untuk menjadi peribadi yang bertakwa.
Wajib buat kita untuk mengambil berat dan membantu saudara seagama yang terus berdepan dengan penjajahan moden termasuk isu umat Islam di Selatan Thailand yang dibunuh secara melulu tanpa bukti, begitu penderitaan berterusan suadara segama di Palestin, Myanmar dan sebagainya.
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, di masjid yang mulia maka sebagai umat beriman yang bermaruah marilah kita sama-sama mengutuk kerajaan China atas kekejaman terhadap saudara seagama kita. Tidak cukup dengan membunuh ulamak yang menterjemah al-Quran dan pengharaman ibadah umat Islam Uyghur, tidak cukup dengan menyuntik ubat pencegah kehamilan ke atas para wanita Islam Uyghur, tidak cukup dengan penjajahan ke atas demografi majoriti Islam di Xinjiang, tidak cukup dengan menahan berjuta umat Islam Uyghur untuk dihapuskan identiti Islam dan diserapkan idealogi Komunis. Perangai kerajaan China ini ibarat ‘Israel yang bersaiz besar’
Menjadi kewajipan kita untuk bangkit mempertahan saudara seakidah kita iaitu Muslim Uyghur dan jangan biarkan mereka sendirian sahaja. Pemimpin dunia Islam kena bangkit bertindak dan masyarakat Islam pula kena sentiasa berdoa, menyumbangkan sumbangan dan menyebarkan maklumat semasa Muslim Uyghur untuk membuka mata dunia sebagai desakan agar Kerajaan Komunis China diambil tindakan. Adakah kita mampu tidur lena ketika saudara kita dibunuh sewenangnya. Adakah kita mampu seronok melancong ke sini sana ketika saudara kita dipenjara dan dipaksa keluar agama. Adakah kita mampu berehat senang ketika saudara kita meraung kesakitan. Bangkitlah umat Islam bermaruah dalam menghentikan kezaliman
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan