Khamis, 12 September 2019
Hijrah Merdekakan Negara Julang Umat Berjaya
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :
قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ
Ertinya : Ratu Balqis berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan
Pada tahun ini kita sama-sama menyambut 2 peristiwa bersejarah dalam masa yang berdekatan iaitu sambutan hari kemerdekaan negara kali ke-62 dan juga awal Muharram tahun baru 1441H. Ketika menyoroti antara makna dan matlamat merdeka dan hijrah maka kita dapati banyak persamaan antara keduanya. Hakikat sebuah kemerdekaan sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika beliau bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:
نَحْنُ قَوْمٌ انبْعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سَعَةِ الآخِرَةِ”
Maksudnya : “Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat”
Kemerdekaan juga ditakrifkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin. Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Za’aba, memberi erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ ﴿٧٤﴾
Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.
Manakala makna hijrah dibezakan menjadi dua macam, iaitu hijrah makaniyah yang bermakna berpindah dari satu tempat ke tempat lain seperti hijrah nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinan. Makna kedua hijrah maknawiyah iaitu mengubah diri, dari yang buruk menjadi lebih baik demi mengharap keredhaan Allah. Hijrah maknawiyah dibahagikan kepada 4 iaitu [1] hijrah i'tiqadiyah iaitu keimanan, ketika seorang Muslim mencuba meningkatkan keimanannya agar terhindar dari syirik. [2] hijrah fikriyah iaitu pemikiran, ketika seseorang memutuskan kembali mengkaji pemikiran Islam yang berdasar pada al-Quran dan hadis nabi demi menghindari pemikiran yang sesat. [3] hijrah syu'uriyyah adalah berubahnya seseorang yang dapat dilihat dari penampilannya, seperti gaya berpakaian dan kebiasaan hidup agar bertepatan dengan syarak. [4] hijrah sulukiyyah iaitu tingkah laku atau keperibadian agar berakhlak dengan akhlak Islam
Hijrah yang berjaya ialah hijrah yang berjaya menukarkan umat melarat kepada umat berdaulat, umat dihina kepada umat memimpin dunia, umat yang lemah bertukar menjadi gagah. Hijrah yang berjaya juga mengubah dunia daripada kongkongan jahiliah kepada keluasan Islam, daripada gelap kekufuran kepada terangnya iman, daripada kezaliman nafsu kepada keadilan wahyu. Umat yang mahu berjaya mesti berhijrah daripada mengikut hawa nafsu kepada tunduk dengan segala arahan wahyu tanpa rasa was-was dan ragu-ragu lagi.
قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya
Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,
Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Hajj :
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾
Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
Bila kita faham bagaimana erti merdeka dan hijrah maka bersungguhlah kita dalam mempertahankan kemerdekaan Negara dengan bersungguh berhijrah daripada terus memuja system kuffar kepada Islam, cara hidup yang bercanggah dengan agama kepada patuh kepada syarak. Jangan biarkan darah dan keringat para pejuang kemerdekaan dicemari dengan kembali mengikut jejak langkah penjajah. Kita berasa kecewa dan marah bila kemerdekaan Negara cuba dicemari dengan beberapa isu seperti adanya golongan pelampau yang menghina Islam, mencaci nabi Muhammad s.a.w, mencerca raja, mempertikai keistimewaan Melayu, membantah pembelajaran jawi di sekolah, mengibar bendera Malaysia secara terbalik dan beberapa isu lain yang menggugat keharmonian Negara. Sekiranya setiap rakyat dapat memahami dan mematuhi kontrak sosial yang dibuat sebelum mendapat kemerdekaan maka isu ini tidak akan berbangkit. Kita sedar bagaimana setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3G yang menjadi matlamat utama penjajahan iaitu [1] God iaitu Tuhan atau agama penjajah untuk disebarkan, [2] Glory iaitu kemasyhuran dengan kejayaan penjajah terhadap negara jajahannya diperbesarkan dan [3] Gold iaitu mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
Kita wajib memiliki jiwa merdeka agar tidak terus dijajah dan bergantung kepada orang lain untuk maju. Contohilah hijrah sahabat nabi dalam memerdekakan umat daripada penjajahan jahiliah. Ketika umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, mereka tidak membawa harta atau aset kekayaan bersama mereka. Sebaliknya mereka hanya bersehelai sepinggang untuk memulakan hidup baru di wilayah baru. Suasana ekonomi di Madinah pada ketika itu berada dalam cengkaman monopoli orang Yahudi. Yahudi menguasai perdagangan antara kota, pertanian, tenunan pakaian, industri besi dan emas serta pinjaman kewangan dengan riba yang sangat tinggi. Setelah tiba di Madinah, Rasulullah sa.w mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Abdul Rahman bin Auf dipersaudarakan dengan Saad bin Rabi’ iaitu antara orang terkaya dalam kalangan Ansar. Saad bin Rabi’ ingin memberi salah seorang isterinya dan separuh hartanya kepada Abdul Rahman bin Auf. Namun, Abdul Rahman bin Auf menolak pelawaan itu sebaliknya berkata, “Tunjukkan aku dimanakah pasar yang paling sibuk dengan perniagaan”.
Maka Saad bin Rabi’ pun menunjukkan kepadanya Pasar Yahudi Qainuqa. Abdul Rahman bin Auf yang sebelum ini merupakan hartawan dan usahawan di Mekah terus memulakan perniagaan di pasar Yahudi itu tanpa takutkan persaingan. Antara dagangannya adalah perniagaan unta yang selama ini dikuasai oleh orang Yahudi. Beliau menjual unta dengan harga yang tidak setinggi jualan orang Yahudi. Walaupun tahap keuntungannya sedikit, namun beliau telah menarik ramai pelanggan dek kerana harga yang tidak terlampau mahal. Tetapi, setiap unta yang dijualnya tidak disertakan tali pengikat unta. Apabila banyak unta terjual, menjadi suatu keperluan kepada masyarakat untuk mendapatkan tali pengikat unta. Dari sinilah Abdul Rahman bin Auf mula membuat keuntungan dengan menjual tali pengikat unta.
Pengajaran dari kisah ini adalah, “Peniaga Muslim perlu ada Skill & Strategi Perniagaan”. Apa yang dilakukan oleh Abdul Rahman bin Auf adalah Market Research (cari pasar paling sibuk), Trust through Branding (unta Uthman harganya tidak terlampau mahal seperti peniaga Yahudi) dan Supply & Demand (mengawal harga melalui keperluan masyarakat untuk mendapatkan tali unta).
Oleh itu merdekakan diri umat Islam dengan kesungguhan dalam mengeluarkan produk, menyatukan kepakaran yang ada, saling membantu dalam membina kekuatan ekonomi umat Islam. Kekuatan atas dasar aqidah ini akan memerdekakan kita daripada terlalu bergantung orang lain disamping mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menipu umat Islam seperti isu logo halal, jenama atas nama Islam hanya sebagai pelaris dan mengelirukan pengguna umat Islam. Merdekakan diri kita, ahli keluarga, masyarakat, negeri seterusnya Negara dengan berhijrah dari system jahiliah kepada Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali ‘Imran :
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١٣٩﴾
Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan