Selasa, 18 September 2018
Hijrah DiHayati Izzah Umat DiMiliki
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala su ruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 36 surah at-Taubah :
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦﴾
Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya 4 bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa
Kini kita telah berada di bulan Muharram tahun baru 1440H di mana bulan Muharram merupakan salah satu dari 4 bulan haram yang dimuliakan oleh Allah. Secara khusus Allah melarang berbuat zalim pada bulan ini untuk menunjukkan kehormatannya. Larangan berbuat zalim pada bulan-bulan ini menunjukkan bahawa dosanya lebih besar daripada dikerjakan pada bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amal kebaikan yang dikerjakan di dalam bulan-bulan haram termasuk Muhharam juga dilebihkan pahalanya. Salah satu amal soleh yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w untuk dikerjakan pada bulan Muharram ini ialah memperbanyakkan puasa sunat.
قَالَ الرسول e: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ – رواه مسلم
Maksudnya : Puasa yang paling utama sesudah puasa Ramadlan adalah puasa pada Syahrullah (bulan Allah) Muharram. Sedangkan solat malam merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.”
Begitu juga galakan khusus untuk berpuasa sunat hari ke-10 Muharram
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ e: .. وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ” – رواه مسلم
Maksudnya : … Adapun puasa hari Asyura (iaitu hari ke-10 Muharram), pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya
Sebaiknya jika berkemampuan kita gabungkan puasa Asyura’ dengan puasa sunat Tasua’ iaitu hari ke-9 Muharram sebagai bentuk berhati-hati terutama untuk membezakan daripada puasa orang Yahudi dan Nasrani
لَئِنْ عِشْتُ إلَى قَابِلٍ لاَصُومَنَّ التَّاسِعَ – رواه مسلم
Maksudnya : Jika aku masih hidup di tahun depan, pasti akan berpuasa pada hari kesembilan Muharram.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
Ayat ini menjelaskan tentang tujuan dan kelebihan hijrah antaranya : [1] Hijrah mesti dilaksana atas dasar niat ikhlas kerana Allah dan bertujuan mendapat rahmat dan keredhaan Allah. [2] Hijrah yang ikhlas akan memperolehi pengampunan Allah, memperolehi keberkatan rezeki dan kemenangan di sisi Allah. [3] Hijrah dan jihad hanya dapat dilakukan dengan mengorbankan apa yang kita miliki, termasuk hartabenda bahkan jiwa raga [4] Penekanan tentang 3 prinsip hidup, iaitu iman, hijrah dan jihad. Iman bermakna keyakinan, hijrah bermakna perubahan dan jihad bermakna perjuangan dalam menegakkan risalah Allah atas muka bumi ini.
Hijrah adalah salah satu prinsip hidup yang sentiasa kita maknai dengan kebenaran berasaskan Islam. Seseorang itu dikatakan hijrah jika dia telah memenuhi 2 syarat iaitu yang pertama ada sesuatu yang ditinggalkan dan kedua ada sesuatu yang dituju. Kedua-duanya mesti dipenuhi oleh seseorang yang berhijrah. Meninggalkan segala hal yang buruk, negatif, maksiat, kondisi yang tidak kondusif menuju keadaan yang lebih yang lebih baik, positif dan kondisi yang kondusif untuk menegakkan ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan samada berkaitan ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.
قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَقَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
- رواه مسلم
Maksudnya: Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali terasing seperti mulanya maka beruntunglah orang-orang yang terasing
Makna ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing itu dijelaskan oleh baginda :
الَّذِينَ يُصْلِحُونَ عِنْدَ فَسَادِ النَّاسِ
Mereka yang melakukan perbaikan ketika orang-orang telah rosak
Dan dalam lafaz yang lain: الذين يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاس
Mereka yang memperbaiki apa yang telah dirosak oleh orang-orang yang rosak
Dalam lafaz lain: – رواه ابن ماجه النُّزَّاعُ مِنَ الْقَبَائِلِ
“Mereka adalah orang-orang yang terasing dari kabilah-kabilah”
Apa yang dapat difahami maksud ghuraba’ adalah orang yang tetap melakukan pembaikan dan tetap istiqamah menjalankan ketaatan kepada Allah ketika masyarakat telah rosak dengan istiqamah menyuruh kepada yang ma’ruf dan melarang dari yang munkar.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 115 surah an-Nisaa’ :
وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَىٰ وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا ﴿١١٥﴾
Maksudnya : Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Pada hari ini umat Islam seluruh dunia diuji hebat dengan pelbagai bentuk penindasan termasuk di negara kita. Cabaran besar yang datang bukan sahaja kesan perang ketenteraan seperti perang proksi, bahkan serangan pemikiran. Umat Islam mulai meragui Islam adalah penyelesaian kepada konflik kemanusiaan sehingga mengambil ideologi dan akal manusia semata-mata sebagai panduan. Contohnya isu sebat pesalah budaya songsang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu 2 minggu lepas. Hukuman ke atas pesalah yang ringan dengan 6 kali sebatan syarie tidak langsung menyakiti apalagi mencederakan pesalah. Ia sekadar memalukan dan yang lebih penting ialah ia bertaubat dan memohon keampunan Allah di atas kesalahannya. Bukan sahaja itu, hukum syarak juga mempunyai nilai pencegahan ke atas masyarakat di mana penyaksian ke atas hukuman itulah nilai pencegahan kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan yang sama.
Ini berbeza dengan sebatan sivil yang ternyata gagal mencegah perbuatan jenayah walau pun keras seperti sebat sivil menggunakan buluh tumpat dalam keadaan pesalah ditelanjangkan dan dilaksana pula secara tertutup. Malah pernah terjadi dalam isu liwat di bawa tilam sebagai bukti kes dan pesalah dipenjara bertahun-tahun sehingga maruah pesalah tercalar lebih teruk. Kegerunan hanya ada kepada yang melakukan jenayah, bukan bersifat mencegah kepada mereka yang belum atau berhasrat melakukan jenayah. Oleh itu kita menyeru kerajaan pusat agar memberikan kesempatan kepada negeri-negeri melaksanakan hukum syarak yang berada di bawah bidang kuasa negeri, bukan mempertikaikannya. Apa yang dikesalkan ialah yang disensasikan dan difokuskan ialah hukuman sebat itu dan bukannya kebimbangan terhadap perbuatan LGBT yang semakin berleluasa meskipun ia sebagai suatu kesalahan jenayah yang sepatutnya dibanteras.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Firman Allah dalam ayat 87 surah al-Qasas :
وَلاَ يَصُدُّنَّكَ عَنْ آيَاتِ اللهِِ بَعْدَ إِذْ أُنزِلَتْ إِلَيْكَ وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ وَلاَ تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya : Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu dan (menyampaikan) ayat-ayat Allah sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu. Dan serulah mereka kepada (jalan) Tuhanmu dan janganlah sekali-kali kamu termasuk mereka yang mempersekutukan Allah.
Umat Islam haruslah sedar dan benar-benar menghayati mesej daripada Peristiwa Hijrah nabi s.a.w dan para sahabat dengan pengertian yang sebenar. Matlamatnya untuk membina sebuah masyarakat yang hidup aman dan melaksanakan keadilan dengan menjadikan Islam memimpin bukan dipimpin dan menjadi dasar kepada pembangunan negara bukan sekadar penerapan kepada nilai-nilai ibadat dan peribadi semata-mata. Tanggungjawab mempertahankan Islam adalah salah satu usaha yang menepati matlamat hijrah yang digariskan Islam. Tugas mempertahankan Islam tidak mengira sesiapa, sama ada para pemerintah, raja-raja, ahli politik, para ulama’ serta mufti, kumpulan Islam, NGO-NGO dan umat seluruhnya. Mempertahankan Islam satu kemuliaan terutama adanya suara sumbang yang semakin lantang menghina dan menuntut agar undang-undang syariah dihapuskan. Marilah kita bekerjasama atas semangat ta’awun dan menghayati makna hijrah dalam mempertahankan kesucian agama daripada celaan mereka yang memusuhi Islam, dalam masa yang sama tanpa menafikan hak bukan Islam hidup dalam sebuah masyarakat madani berkonsepkan adil untuk semua. Islamlah nescaya kita selamat dan berjaya di dunia dan akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan