Selasa, 8 Mei 2018
Undi Bijak Tegak Negara Berkat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾
Maksudnya : Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Islam datang dengan panduan yang lengkap dan menyeluruh dalam mengatur kehidupan umat manusia agar sentiasa berada atas landasan yang benar berasaskan kepada 2 sumber utama iaitu al-Quran dan hadis nabi diikuti dengan ijma’ dan qias. Malah pengutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri dalam memberi tunjuk ajar yang lebih berkesan dalam melaksanakan kewajipan agama yang menyeluruh bukan terhad kepada ibadat khusus seperti solat 5 waktu, puasa Ramadhan, zakat, ibadat haji sahaja malah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk ekonomi, social, politik dan sebagainya. Sunnah yang diajar oleh nabi bukan hanya berkaitan makan minum, cara berpakaian, nikah kahwin tetapi lebih jauh daripada itu termasuk cara mengurus dan mentadbir negara agar mematuhi syariat. Pengutusan nabi s.a.w bukan sahaja untuk mengajak umat manusia untuk beriman kepada Allah dan melaksanakan ibadat khusus sahaja bahkan sebagai pemimpin Daulah yang agong yang berjaya menjadikan Madinah Munawwarah sebagai model negara yang adil dengan melaksanakan seluruh system Islam seterusnya berjaya membuka Kota Mekah sehingga kehidupan syirik yang membelenggunya sebelum ini berjaya dibersihkan.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 15-16 Surah Saba’:
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ ﴿١٥﴾ فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ ﴿١٦﴾
Maksudnya : Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!. Maka mereka berpaling engkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.
Al-Quran dan hadis nabi s.a.w banyak mengisahkan tentang kepimpinan yang adil mengikut acuan agama diberikan keberkatan hidup manakala pemimpin yang zalim membawa kepada kehancuran dan kemusnahan kepada tamadun kebendaan yang dibina. Keberkatan sesebuah Negara bergantung kepada semakin tunduknya system Negara kepada Islam maka semakin mencurahlah keberkatan dalam sesebuah Negara itu. Kita ambil contoh al-Quran menyentuh berkaitan keberkatan kerajaan Saba’ yang menikmati kemajuan dari sudut sosial di samping mempunyai empayar ekonomi, ketenteraan dan teknologi pembinaan yang tinggi sehingga mereka dapat membina empangan Maa'rib yang masyhur dan masih kekal sehingga ke hari ini. Zaman kegemilangan ini berpunca daripada perutusan Nabi Allah Sulaiman AS, yang telah menjadikan Ratu Balqis, Ratu yang memerintah Saba' sebagai seorang yang beriman kepada Allah. Maka bermulalah zaman keagungan Saba'. Antara sebab utama kejatuhan kerajaan Saba’ akibat sikap manopoli pemimpin selepas itu sehingga menindas rakyat selain masyarakat yang kembali kufur kepada Allah. Oleh itu kita tidak mahu mengulangi kehancuran Kerajaan Saba’ seperti begitu mengagungkan tamadun Barat pada hari ini yang hanya maju dari sudut kebendaan, teknologi dan ketenteraan sahaja sedangkan masalah akhlak, jenayah semakin teruk. Kita juga wajib mengambil pengajaran kepada kejatuhan Namrud, Firaun dan sebagainya akibat menolak agama dalam bernegara
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan
Negara yang zalim, keruntuhannya adalah disebabkan oleh kezaliman demi kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah di dalam negara manakala bagi negara yang adil pula, keruntuhannya boleh berlaku jika rakyat tidak lagi mensyukuri nikmat Allah tersebut seperti lebih suka dengan cara hidup bebas daripada agama dengan membenci undang-undang Islam yang dituduh menyekat hak asasi manusia. Negara yang adil adalah nikmat kehidupan. Kesejahteraan hidup rakyat adalah melalui kerjasama yang erat antara pemerintah dan rakyat. Penguasa akan sentiasa bertanggungjawab terhadap Allah dan amanah yang dipikul, menjaga kepentingan dan maslahat rakyat, lalu rakyat memperteguhkannya melalui sokongan mereka.
Al-Quran mengajar kita dalam mewujudkan negara berkat antaranya memperkasa usaha dalam memastikan umat Islam menjaga solat 5 waktu dengan program khusus dan tindakan undang-undang. Begitu juga mengurus atur zakat agar menepati sasaran sehingga kekayaan negara dapat dirasai oleh seluruh rakyat bukan hanya berlegar di kalangan orang yang sedia kaya sahaja. Keadaan hari ini agak membimbangkan apabila pemimpin negara hanya memikirkan cara memperbanyakkan hasil kemasukan negara termasuk GST dan mengurangkan pengeluaran negara dengan menarik banyak subsidi sehingga membebankan rakyat. Golongan petani, penoreh getah misalnya menghadapi masalah harga yang terlalu rendah sedangkan pengilang dan syarikat mengecapi keuntungan yang berganda. Akhirnya negara ini menjadi "negara perniagaan" yang menyebabkan kegelapan dan kehancuran Negara sebagaimana yang diperingatkan oleh Ibnu Khaldun di dalam Mukaddimahnya : "Sesungguhnya, perniagaan dari pihak kerajaan kepada rakyat merupakan suatu kemusnahan."
Kita ada cara dengan menghapuskan GST diganti dengan cukai benar-benar kepada orang kaya sahaja seperti cukai pendapatan dan cukai saham yang mampu mengutip sehingga RM51 bilion setahun tanpa menjerut dan menzalimi orang miskin dan golongan sederhana.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 104 surah Ali Imran :
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾
Maksudnya : Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Kepimpinan yang mampu mendatangkan keberkatan kepada negara juga wajib memperkasakan amar makruf nahi mungkar di mana yang paling besar ialah berusaha bersungguh-sungguh dalam memperkasakan Mahkamah Syariah termasuk pindaan akta RUU355 supaya masalah murtad dapat ditangani dengan baik ketika semakin beraninya setengah pihak yang melaung supaya dihalalkan murtad dan diiktiraf golongan atheis atau tolak agama. Begitu juga kebiadapan golongan yang mendesak agar dihalalkan zina dan hubungan songsang sejenis LGBT. Bala Allah yang dahsyat sebagaimana hancurnya umat nabi Luth pasti berulang sekiranya kita bersekongkol dengan mereka. Tidak kurang yang minta agar dihapuskan tangkapan khalwat dan undang-undang berpakaian menutup aurat serta larangan percampuran lelaki dan perempuan ketika sesuatu majlis yang dituduh menyekat hak asasi manusia. Latangnya golongan yang meminta agar arak diberikan kebebasan sepenuhnya termasuk pesta arak. Ketika golongan yang biadap dengan Islam boleh lantang bersuara maka adakah kita yang cintakan Allah dan rasul boleh diam membisu
Bangkitlah wahai umat Islam bermaruah! Sama-sama kita berdoa kepada Allah disamping melipat gandakan usaha dalam memastikan gelombang pilihanraya ke-14 ini sebagai gelombang kemenangan Islam. Undian yang kita lakukan adalah untuk kebaikan Islam dan umatnya. Undian yang membawa kebaikan dunia akhirat
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 26 Surah Ali ‘Imran:
قُلِ اللَّـهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya :Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
Kepimpinan yang mendatangkan keberkatan juga ialah bila dapat mengurus kekayaan negara dengan penuh tanggungjawab dengan mengelak pembaziran, ketirisan dan rasuah. Hasil yang Allah anugerahkan kepada negara kita begitu banyak malangnya bila tidak diurus dengan betul menyebabkan yang kaya semakin kaya, yang miskin papa kedana. Kita mahu bina sebuah kerajaan berkebajikan termasuk menghapus hutang PTPTN yang sebelum ini menjerut graduan university ketika hampir setengah juta mahasiswa menghadapi masalah pengangguran. Kita mahu lahirkan pemimpin yang bertanggungjawab dalam mengagihkan kekayaan termasuk hak rakyat Kelantan yang terus dinafikan royalty minyak yang dianggarkan oleh satu NGO berjumlah 12 bilion sehingga kini. Minyak dan gas Kelantan dilarikan ke Songhkla, Thailand kemudian ke Kerteh, Terengganu dan terbaru ke Penggerang, Johor.
Kita juga mahu pembelaan terhadap mangsa jenayah yang dizalimi sehingga ahli keluarga menderita termasuk isu pembunuhan kejam di Memali dan banyak lagi isu salahguna harta negara yang diwarisi daripada kepimpinan dahulu dan diteruskan hingga kini. Kesungguhan kita dalam memilih pemimpin yang adil dan bertanggungjawab akan membina negara berkat. Sebaliknya memilih ikut nafsu menyebabkan kita terus menderita dalam negara sendiri. Islamlah nescaya kita Berjaya dan bahagia dunia akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan