Khamis, 22 Mac 2018
Runtuhkan Jahiliah Julang Izzah Ummah
لسلام عليكم
الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 7-15 surah al-Insyiqaq :
فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ ﴿٧﴾ فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَسِيرًا﴿٨﴾ وَيَنقَلِبُ إِلَىٰ أَهْلِهِ مَسْرُورًا ﴿٩﴾ وَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ وَرَاءَ ظَهْرِهِ ﴿١٠﴾ فَسَوْفَ يَدْعُو ثُبُورًا ﴿١١﴾ وَيَصْلَىٰ سَعِيرًا ﴿١٢﴾ إِنَّهُ كَانَ فِي أَهْلِهِ مَسْرُورًا ﴿١٣﴾ إِنَّهُ ظَنَّ أَن لَّن يَحُورَ ﴿١٤﴾ بَلَىٰ إِنَّ رَبَّهُ كَانَ بِهِ بَصِيرًا ﴿١٥﴾
Maksudnya : Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, -Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang. Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)! Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) ! (Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!
Setiap kali keluarnya sesuatu keputusan peperiksaan samada peringkat sekolah, university, alam pekerjaan dan sebagainya seperti semalam diumumkan keputusan SPM maka suasana berbeza di antara yang berjaya dengan mereka yang gagal. Ada yang berjaya mencapai sasaran, ada pula yang tersasar. Bagi yang cemerlang maka sedang merancang untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi manakala yang tidak cemerlang atau gagal maka cuba mencari pilihan yang lain dalam meneruskan kehidupan. Apa yang paling penting kehidupan dunia adalah alam ujian di mana kita diberi peluang untuk berusaha dalam mencapai cita-cita. Kegagalan dalam peperiksaan bukan pengakhiran kepada peluang untuk berjaya sebaliknya ia antara ujian dalam membina kejayaan pada masa depan bila adanya matlamat, kesabaran dan usaha yang berterusan.
Suasana berjaya dan gagalnya di alam dunia tidak sama dengan keadaan kita di alam barzakh dan akhirat nanti. Gagalnya dalam membawa bekalan pahala terbaik apatah lagi dikotori dengan dosa maksiat yang tidak disuci dengan taubat penyesalan akan menyebabkan kita menderita yang tidak lagi mampu untuk kita beramal soleh semula
Firman Allah dalam ayat 12 surah as-Sajadah :
وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ ﴿١٢﴾
Maksudnya : Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 17 surah Luqman :
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ ﴿١٧﴾
Maksudnya : “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
Menyedari tentang hakikat kehidupan dunia ini penuh ujian dalam menentukan siapa antara kita yang berjaya lahir sebagai hamba Allah yang bertaqwa yang merasai kelazatan dalam ibadat dan gerun pada maksiat atau menjadi manusia derhaka yang benci beramal soleh dan tenggelam dalam najis maksiat. Pilihan berada dalam tangan kita samada memilih jalan bahagia atau derita, kebenaran atau kebatilan. Allah masih panjangkan umur kita bagi memberi peluang untuk kita beramal soleh dan bertaubat atas dosa maksiat. Guna peluang ini sebelum terlepas, ambil kesempatan sebelum ditutup
Terdapat 5 faktor utama yang menyebabkan berlakunya perlanggaran tatasusila agama dan pelbagai gejala sosial di kalangan umat Islam hari ini iaitu: [1] Faktor agama dan peribadi iaitu masyarakat mengalami krisis iman, ibadah, akhlak dan ukhuwah. [2]Faktor keluarga yang tidak memainkan peranannya. [3] Faktor persekitaran sosial yang menggalakkan perlanggaran tatasusila agama. [4] Faktor undang-undang iaitu penguatkuasaan undang-undang yang lemah, dan [5] Faktor media massa yang mempengaruhi pemikiran dan cara hidup.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ‘Imran
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾
Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi
Asakan demi asakan daripada musuh Islam terutama dalam merosakkan aqidah dan akhlak umat Islam termasuk melalui pemikiran sekuler yang memisahkan antara urusan dunia daripada agama di mana Mufti Turki Mustofa Sobri menyifatkan sekuler adalah jalan pintas kepada murtad. Agama dan Negara sebagaimana disifatkan oleh Imam al-Ghazali: “Negara dan agama adalah saudara kembar, agama adalah asas sedangkan kuasa adalah penjaga, sesuatu yang tidak memiliki asas akan hancur dan sesuatu yang tidak memiliki penjaga akan hilang”. Bahayanya bila agama dipisahkan daripada Negara :
[1] Segala pertimbangan dibuat hanya berdasarkan kepentingan duniawi semata. Masyarakat dipimpin oleh pemimpin yang tidak mengambilkira ajaran agama, kesejahteraan rohani, dan kebahagiaan ukhrawi. Akhirnya subur pecah amanah, rasuah, bazir harta rakyat, beban cukai kepada rakyat bagi kemewahan pemimpin. Arak dan judi begitu diperlukan dalam menjana ekonomi Negara sehingga diberikan kebebasan [2] Masyarakat tidak memiliki sistem nilai yang teguh untuk memandu masyarakat, akibatnya aqidah dan akhlak masyarakat menjadi rosak. Malah masalah murtad akan bertambah seperti apa yang terbaru apabila 4 individu memohon Mahkamah Sivil di Sarawak untuk membenarkan mereka murtad namun permohonan mereka ditolak dengan alasan bahawa kes murtad adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun ia tidak berhenti setakat itu apabila adanya parti politik mendesak Kerajaan Negeri Sarawak meminda akta menyediakan suatu garis panduan atau SOP bagi membenarkan orang murtad. Perkara ini mesti ditentang habis-habisan. Murtad bukan isu kecil sebagaimana dakwaan setengah pihak bahawa dosanya seperti tinggal solat sahaja.
Firman Allah dalam ayat 217 surah al-Baqarah :
وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُوْلَـئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya : Sesiapa dari kalangan kamu yang murtad dari agamanya kemudian dia mati dalam kaadaan kafir, maka orang berkenaan amal usahanya yang baik menjadi lupus ; baik di dunia mahu pun di akhirat. Mereka menjadi penduduk neraka yang kekal di dalamnya selama-lamanya
Timbul juga golongan liberal yang menafsirkan Islam tanpa terikat dengan nas al-Quran dan sunnah sebaliknya menjadikan akal sebagai kayu ukur memahami agama. Islam sebenarnya tidak menolak akal dan tidak juga mengagungkan akal. Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad antaranya: “Akal itu umpama penglihatan yang sempurna. Al-Quran umpama matahari yang menyinari alam, melalui kedua-duanya seseorang memperoleh hidayah. Seorang yang mengambil satu daripadanya tergolong dalam kalangan yang bodoh. Orang yang menolak akal hanya cukup dengan al-Quran adalah sama dengan mereka yang mendapat cahaya matahari tetapi menutup mata, maka dia tiada bezanya dengan orang buta”.
Bahayanya bila akal tanpa wahyu menyebabkan adanya yang berani bukan sahaja halalkan murtad, budaya songsang LGBT dan sebagainya
[3] Bila agama dipisahkan daripada Negara maka Pemimpin tidak memiliki kawalan dalaman, sehingga kecenderungan untuk berbuat zalim akan lebih besar. Tiada kuasa di atasnya untuk mempertanggungjawabkan segala apa yang dilakukannya. Pemimpin yang tidak takutkan Allah, akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan atau menambahkan kekuasaannya, termasuk dengan menipu rakyat dan memanipulasi undang-undang.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 40 surah al-Hajj :
الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّـهُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّـهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّـهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ اللَّـهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ﴿٤٠﴾
Maksudnya : Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, di rumah Allah yang mulia maka marilah kita sama-sama doakan keselamatan kepada saudara segama yang sedang dibunuh di Palestin, Syria, Iraq, Yaman, Filiphina, Myanmar dan selainnya. Bagi yang berkemampuan hulurkan bantuan melalui badan bantuan yang berkenaan. Adakah subur iman kita jika saudara seagama meraung kesakitan sedangkan kita melaung keseronokan, adakah kita boleh rehat kekenyangan sedangkan saudara seagama sedang menggelupur kelaparan, adakah kita boleh tidur nyenyak ketika musuh sedang melanyak tubuh saudara seagama, adakah air mata kita dibazirkan untuk menangis ditipu filem tv daripada sedih memikirkan penderitaan saudara seagama yang dibom, adakah kita tersenyum girang melihat mahligai indah sedangkan rumah saudara seagama sedang ranap menyembah tanah, adakah kita bergembira melihat tanah kebun yang subur ketika sejengkal demi sejengkal tanah saudara seagama dirampas oleh musuh yang mengganas. Tepuklah dada tanyalah iman
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan