Rabu, 3 Februari 2016
Islam DiJulang Penjajahan Baru DiHalang
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah :
وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾
Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Bila menyebut tentang penjajahan maka pasti kita semua tidak mahu dijajah. Namun ia terus berlaku di mana kita dapat lihat bagaimana Peperangan Salib terus dilangsungkan hingga hari ini kerana musuh Islam begitu bimbang terhadap kesedaran semula umat Islam untuk kembali kepada system Islam yang sebenar sebagaimana ungkapan Orientalis Gardner : "Kekuatan yang tersembunyi di dalam Islam itulah yang menakutkan Eropah". Benarlah kata-kata seorang tokoh Islam bahawa kita tidak sepatutnya bergembira dengan kembalinya penjajah ke Negara mereka sebaliknya kita sepatutnya bergembira bila pemikiran, roh dan undang-undang penjajah hilang daripada terus membelenggu umat Islam dan Negara kita. Musuh Islam juga mengakui bahawa Islam merupakan tembok kukuh dalam menghalang penjajahan sebagaimana ungkapan Henry Hamilton : "Orang Islam tidak dapat menjadi rakyat yang setia kepada kerajaan yang menganut anutan lain selain Islam. Perkara ini adalah mustahil selama mana orang Islam berada di bawah naungan hukum Al Quran".
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfaal :
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ ﴿٣٦﴾
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.
Musuh Islam terus bergerak dengan beberapa agenda besar mereka dalam memastikan Negara dan umat Islam terus dijajah. Antara : [1] Menguburkan sistem Khilafah yang memainkan peranan penting dalam menyatukan umat Islam di mana kini tiada satu pun Negara Islam yang kuat dibiarkan aman sebaliknya diganggu gugat dengan peperangan dan masalah dalaman. Ketakutan kuffar terhadap system Khilafah sebagaimana laungan Lawrence Brown : "Apabila orang Islam bersatu dalam sebuah Khilafah, ia mampu menjadi laknat dan bahaya kepada dunia kuffar. Ia juga mampu menjadi nikmat kepada umat Islam. Sebaliknya, apabila orang Islam kekal berpecah belah, orang Islam akan terus tidak mempunyai sebarang kedudukan dan pengaruh". [2] Melemahkan Dunia Islam dan Membunuh Jiwanya dengan melaga-lagakan orang Islam dan menyebarkan perpecahan di kalangan kita sehingga peperangan saudara di Syria, Yaman telah mengorbankan ratusan ribu nyawa. Kuffar menuduh Islam dengan pelbagai tuduhan palsu seperti Islam agama keganasan sedangkan serangan 11 September di Amerika dengan menjadikan orang Islam sebagai kambing hitam yang mengorbankan 3000 nyawa tetapi serangan jahat ke atas Afghanistan dan Iraq mengorbankan ratusan ribu nyawa. Kuffar memburukkan sistem Islam seperti hukum hudud adalah zalim sedangkan perundangan buatan manusia gagal dalam mencegah jenayah yang terus meningkat [3] Pembunuhan etnik dan penjajahan fizikal melalui cara penguasaan bukan Islam ke atas orang Islam dan hasutan untuk menyapu bersih orang Islam dalam pertelagahan dan peperangan seperti di Palestin, bangsa Ronghiya di Myanmar dan selainnya.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :
قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ
Maksudnya : Raja perempuan itu ( Ratu Balqis) berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan
Bila menyebut tentang penjajahan baru ini maka kita begitu bimbang dengan keputusan Parlimen beberapa hari lepas yang meluluskan keputusan untuk menandatangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Antara penjajahan baru yang bakal berlaku selepas termeterainya perjanjian ini ialah [1] Islam terancam
seperti menutup premis sewaktu solat Jumaat, tidak menjual makanan di siang hari bulan Ramadhan, mengharamkan arak dijual di penempatan Islam, kawalan pembiakan khinzir di kawasan tertentu dan seumpamanya akan berdepan tindakan undang-undang apabila ia didakwa merugikan perniagaan syarikat asing. Kesannya akan membentuk budaya yang sangat liberal dalam Malaysia. Syarikat boleh sahaja menyaman akta syariah negara atas alasan ia merugikan operasi mereka. Apatah lagi untuk melaksanakan hukum hudud semakin kabur dan gelap. Secara mudahnya, TPPA bakal memberikan kuasa kepada syarikat setaraf atau melebihi kuasa sebuah negara berdaulat seperti Malaysia. Pangkat Yang DiPertuan Agong boleh disamakan seperti pengurus syarikat sahaja.
[2] Negara hilang kedaulatan dan orang asing boleh berkongsi maklumat sulit negara. Kalau sebelum ini perlembagaan negara dan segala akta persekutuan adalah hukum tertinggi negara, tetapi selepas ini TPPA adalah hukum tertinggi. Mana-mana peruntukan dalam perlembagaan Malaysia yang dianggap merugikan anggota TPPA, boleh disaman di mahkamah antarabangsa. Contohnya dalam akta filem, negara menetapkan setiap filem yang ingin ditayangkan perlu ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem. Tetapi selepas TPPA dimeterai, akta tersebut bakal berdepan saman sekiranya syarikat asing yang mengeluarkan filem-filem tidak bermoral seperti lucah, perkauman dan provokasi agama melampau tidak boleh menjual produk mereka di negara kita. Ibarat kata Ibn Khaldun dalam karya agungnya al-Muqaddimah : “Suatu bangsa yang telah dikalahkan dan berada di bawah kekuasaan bangsa lain, akan cepat lenyap”.
Betapa sebuah bangsa yang dijajah akan cepat lenyap dan sirna. Tinggal hanyalah puing-puing yang menjadi kenang-kenangan muzium untuk umat akan datang. Kerana bangsa yang terjajah selalunya akan mengalami kemunduran jiwa dan ketandusan ilmu. Mereka terjajah mindanya dan kosong jiwanya. Sehinggakan jatidiri mereka rapuh dan semangat juang mereka kendur. Penjajah menekan mereka dan melenyapkan mereka tanpa ada tentangan.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kesan penjajahan TPPA yang ke –[3] Hilang nilai dan budaya murni Timur yang berlandaskan Islam apabila semua pihak anggota bebas memasarkan produk masing-masing dalam negara, maka segala produk seperti filem, permainan, makanan dan pakaian yang bertentangan dengan budaya luhur kita akan terjejas. Tiada lagi adat ketimuran yang boleh dibanggakan. Suasana kerosakan akhlak semakin tenat. Ibarat kata Ibn Khaldun: “Yang ditakluki selalunya mahu meniru yang menang dalam hal perilaku, cara pakaiannya, pekerjaannya dan pelbagai keadaan dan adat resam”. Inilah gambaran umat Islam sekarang dan akan datang jika penjajahan tidak ditentang. Kita merasa “moden” dengan setiap pemikiran yang berasal dari Barat. Setiap produk yang kuffar ciptakan, sama ada racun atau ubat, kita hirup sambil tersenyum bangga. Kita merasa maju dengan mengikuti kuffar, dan merasa malu jika tetap teguh kepada budi yang berteraskan adab Islam. Kita khusyuk dan takjub lalu menyusun bait-bait indah untuk mengagungkan kuffar.
Kesan buruk TPPA yang lain ialah kos sara hidup semakin tinggi di mana kesan GST dan penarikan subsidi pun sudah tak tertanggung. Syarikat tempatan akan gulung tikar akibat tidak mampu bersaing dengan syarikat gergasi luar yang bakal menyaksikan kadar pengangguran semakin tinggi di mana pada 2015 sahaja hampir 20 peratus daripada setengah juta penganggur adalah lepasan Universiti. Oleh itu bangkitlah kita dalam berdepan dengan penjajahan baru ini. Sedarlah kita bagaimana Negara sedang digadai, masa depan rakyat jelata sedang dijual oleh pemimpin yang mementingkan taukey koperat dengan menindas rakyat. Dulu pejuang kemerdekaan bermati-matian menghalau penjajah tapi kini pemimpin Negara menghampar permaidani merah mengalu-alukan penjajahan baru. Sedar sebelum tergadai, ingat sebelum terjerat, bangkit sebelum tersepit
Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan :
فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢﴾
Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan