Isnin, 18 Mei 2015

Isra' dan Mikraj DiHayati Maruah Umat DiJulang Tinggi

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ : سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Peristiwa yang menyaksikan nabi menjadi tetamu Kerajaan Allah untuk menyaksikan dunia dan akhirat, alam nyata dan ghaib, alam bumi dan langit, alam manusia dan malaikat dalam masa satu malam sahaja. Peristiwa ini mengajar bahawa semua kerajaan yang ada di dunia ini begitu kecil dan halus yang boleh ditukar ganti dengan begitu mudah oleh kerajaan Allah yang kuat dan kekal. Manakala Islam yang dibawa melalui nabi s.a.w pasti akan berkembang dan tidak sama sekali mampu dipadamkan walau pun pelbagai usaha dilakukan oleh musuh Islam siang dan malam. Malah perjalanan nabi s.a.w dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang mengikut kiraan akal manusia memakan masa berbilion tahun tetapi boleh berlaku dalam masa satu malam sahaja yang membuktikan kekuasaan Allah yang boleh menghapuskan jarak dan masa lama kerana keduanya adalah antara makhluk Allah. Bila keimanan kepada Allah tidak berbelah bahagi maka sepastinya sebarang perkara yang datangnya daripada Allah tidak kita sangkal walau pun ia berada di luar jangkauan akal manusia termasuk berkaitan Isra’ dan Mikraj ini Firman Allah dalam ayat 60 surah al-Isra’: …..وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ ……… Maksudnya : …..dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia….. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 88-89 surah as-Syu’ara’: يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ ﴿٨٨﴾ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّـهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ ﴿٨٩﴾ Maksudnya : "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); Sebelum dibawa dalam suatu perjalanan yang hebat maka dada nabi Muhammad s.a.w telah dibelah untuk dibersihkan hati baginda yang mulia. Ia mengajar kita bagaimana pentingnya pembersihan hati daripada sebarang unsur syirik dan sifat mazmumah atau tercela daripada hati kita. Hati ibarat cermin. Jika tidak dirawat dan dibersihkan, ia mudah kotor dan berdebu. Ada Ulama’ membahagikan hati manusia terbahagi kepada 3 jenis; [1] Hati yang sakit (Qalbun Maridh), ia sentiasa dipenuhi penyakit sifat mazmumah tercela seperti Riya’, Hasad dengki, takabbur, tamak dan sebagainya. Orang yang hati sakit susah menilai secara jujur apapun yang nampak di depannya. Melihat orang senang timbul iri dengki, Mendapat kawan beroleh nikmat timbul resah dan benci. Hati jenis ini jika dirawat dengan segera maka ia mampu kembali menurut kepada kebaikan [2] Hati yang mati (Qalbun Mayyit). Hati ini sepenuhnya di bawah kekuasaan hawa nafsu, sehingga ia terhijab dari mengenail Allah. Hari-harinya adalah hari-hari penuh kesombongan terhadap Allah, sama sekali ia tidak mahu beribadah dan tunduk patuh kepada Allah. Hati jenisl ini berada dan berjalan bersama hawa nafsu dan keinginan-nya walaupun sebenarya hal itu dibenci dan dimurkai Allah. Begitu pula apabila ia menolak, mencegah, membenci sesuatu juga karena hawa nafsu bukan kerana Allah [3] Hati yang baik dan sihat disebut Qalbun Salim. Inilah hatinya orang beriman. Hati ini adalah hati yang hidup, bersih, penuh ketaatan dan jiwanya tenang. Bisikan kebaikan sentiasa menyusup ke dalam hatinya untuk sentiasa berbuat kebaikan Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 153 surah al-An’am: وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٥٣﴾ Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (selain Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa Ketika perjalanan Isra’ Mikraj maka nabi s.a.w dilatih dengan sifat istiqamah dengan Islam dan tidak tergoda dengan pelbagai panggilan berbentuk iblis, dunia, yahudi, Kristian. Kejayaan kita dalam tunduk patuh kepada Allah ke arah meninggikan kalimah Allah bukan sahaja dalam diri, keluarga malah pelaksanaan seluruh system Islam dalam Negara bergantung kepada sifat istiqamah kita yang tidak terpesona dengan habuan dunia, tidak tertipu dengan godaan syaitan serta tidak terpedaya dengan propaganda yahudi dan Kristian. Begitu juga bila kita ingat dengan pemilihan susu berbanding hidangan arak yang ditawarkan kepada nabi s.a.w semasa Isra’ dan Mikraj yang menunjukkan bagaimana bahayanya pengaruh perkara memabukkan dalam kehidupan kita terutama arak, dadah dan sebagainya. Ketika menyebut tentang arak maka Malaysia sepatutnya malu kepada Singapura yang baru sahaja menguatkuasa berkenaan jualan dan minum arak di tempat awam yang dihadkan masa dan juga zon kawalan arak kerana masalah rusuhan, kecederaan dan pembunuhan akibat arak. Sedangkan Negara kita yang menjadi pengguna arak 10 tertinggi di dunia masih gagal mengawal arak termasuk dalam kapal terbang MAS walau pun menghadapi 2 peristiwa hitam dengan kehilangan MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh tahun lepas dan yang terbaru MH179 dalam perjalanan ke Colombo, Sri Lanka terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berikutan gangguan yang ditimbulkan seorang penumpang yang mabuk. Malangnya bila Negara dan syarikat terpaksa bergantung kepada perkara yang merbahayakan nyawa dan akhlak untuk mengaut keuntungan. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 72 surah al-Ahzab: إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. Semasa Isra’ dan Mikraj juga bagaimana nabi s.a.w ditunjukkan bagaimana betapa besarnya seksa bagi mereka yang gagal menunaikan amanah yang dipikul apatah lagi jika menggunakan jawatan bagi menindas rakyat dan melakukan penipuan bagi mengaut keuntungan dunia. Sepatutnya dengan setiap kali mengisahkan tentang peristiwa Isra’ Mikraj saban tahun mampu melahirkan pemimpin dan rakyat yang beriman dan bertqwa kepada Allah sehingga mampu melahirkan hamba Allah yang mampu melaksanakan amanah yang dipikul sebaiknya serta menjauhi penyelewengan. Kita melihat dengan suasana yang semakin menekan rakyat yang bukan dipaksa berjimat cermat malah terpaksa menanggung pelbagai bebanan termasuk GST bagi menanggung kemewahan dan pembaziran yang dilakukan oleh pemimpin. Malah dalam isu cuba menutup hutang 1MDB menggunakan wang Tabung Haji merupakan suatu penyelewengan yang boleh menjejaskan matlamat sebenar Tabung Haji dalam memberi kemudahan untuk menunaikan ibadat Haji. Begitu juga penggunaan wang Syarikat Takaful Malaysia Bhd untuk tujuan yang sama. Akhirnya kesuburan bumi Negara yang bukan sahaja menghasilkan pelbagai tanaman malah penuh dengan bahan galian termasuk minyak tetapi akibat salah urus dan pembaziran yang melampau menyebabkan Negara menanggung hutang tinggi dan kebajikan rakyat diketepi Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ : فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar Ketika membicarakan tentang peristiwa Isra’ dan Mikraj juga maka tidak ketinggalan untuk kita mendoakan dan berusaha dengan pelbagai cara ke arah mencapai kemerdekaan bumi Isra’ Palestin daripada cengkaman Yahudi. Ketika nabi s.a.w Isra’ Mikraj maka baginda telah menjadi imam kepada para nabi yang menunjukkan bagaimana agama nabi-nabi adalah satu iaitu Islam bukannya Yahudi atau Kristian. Oleh itu bumi Isra’ Mikraj juga adalah milik umat Islam yang wajib dibebas dan dijaga. Terutama pada hari ini 15 Mei merupakan hari Nakbah Palestin atau memperingati hari Malapetaka yang menimpa bumi Palestin. Kita begitu kecewa bila kesatuan Arab boleh menyerang Yaman serta merta dengan apa saja alasan tetapi begitu takut untuk membebaskan bumi Aqsa daripada musuh yang jelas iaitu zionis Yahudi. Semoga peringatan Isra’ Mikraj bukan sahaja setakat masuk telinga tetapi perlu kepada gerak kerja yang kemas dalam menyatukan umat Islam atas dasar Islam dalam menjulang system Islam dan menghancurkan keganasan musuh termasuk terhadap saudara kita bangsa Ronghiya yang dibunuh kejam di sempadan Thailand dan ramai yang datang mencari perlindungan di Negara kita akibat penghapusan etnik dan agama. Sami Budha sendiri di Myanmar menjadi dalang dalam pembunuhan kejam ini dengan laungan jangan ulangi kesilapan Budha dan Hindu yang pernah menguasai Indonesia akhirnya hilang dengan datangnya Islam. Oleh itu Islam wajib dihapuskan di Myanmar. Semoga laungan jahat ini mampu kita padamkan dalam membantu umat Islam yang sedang ditindas dan dibunuh saban hari dengan mengembalikan kekuatan Islam. Bersempena berada pada hari Jumaat yang mulia, atas masjid yang mulia maka kita mendesak pimpinan Negara yang baru menjadi pengerusi ASEAN untuk menekan Myanmar agar memberhentikan tindakan kejam terhadap umat Islam. Islamlah nescaya kita selamat bahagia dunia akhirat. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan