Jumaat, 29 Mei 2015
Perang Bani Mustaliq DiKenang Kekejaman Boneka Zionis Yahudi DiHalang
لسلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Renungilah firman Allah dalam ayat 9 surah al-Maidah:
وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ ۙ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ ﴿٩﴾
Maksudnya : Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar
Kini kita berada pada awal bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Nabi s.a.w bila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah. Maka nabi s.a.w ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa.
Ibarat kata Ulama’ : “Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya.” Begitu juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Jika kita mahu mendapatkan hasil yang baik untuk kehidupan dunia maka kita membuat pelbagai persiapan awal apatah lagi untuk menyiapkan bekalan akhirat maka perlu kepada persediaan yang terbaik. Antara amalan sunat yang paling baik bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, membaca al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 32 surah at-Taubah :
يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّـهُ إِلَّا أَن يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٣٢﴾
Maksudnya : Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)
Bulan Sya’aban yang sedang kita berada sekarang ini sarat dengan peristiwa yang besar yang pernah berlaku pada diri Rasulullah s.a.w dan para sahabat antaranya Peperangan Bani Mustaliq yang berlaku pada bulan Sya’aban tahun Keenam Hijrah . Peperangan ini meletus selepas Rasulullah s.a.w bertindak pantas menghantar tentera apabila mendengar bahawa Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam. Tindakan nabi s.a.w itu telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan. Ini mengajar kita agar sentiasa bersiap sedia dengan kekuatan fizikal dan mental dari sudut ketenteraan dan keselamatan agar kedaulatan Negara terjamin dan perancangan jahat dapat dipatahkan dengan segera. Apa yang menariknya juga di mana para sahabat telah memerdekakan tawanan perang yang memeluk Islam malah Rasulullah s.a.w sendiri telah menjadikan anak kepada ketua Bani Mustaliq yang telah memeluk Islam iaitu Juwairiyyah sebagai isteri. Tindakan ini merupakan antara strategi dakwah yang telah membuka hati ramai di kalangan Bani Mustaliq untuk memeluk Islam setelah melihat bagaimana Islam begitu banyak menawar erti keamanan dan perdamaian. Islam begitu menitik berat keadilan walau pun kepada musuh yang ditawan bukan boleh dibunuh sesuka hati
Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,
Ketika menyoroti peperangan Bani Mustaliq ini juga kita dapati bagaimana sikap golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai yang turut serta dalam tentera Islam bertujuan membuat kacau dan menabur fitnah serta lebih berminat untuk mendapatkan hasil rampasan perang. Antaranya Abdullah bin Ubai begitu marah apabila mendengar berita tentang 2 orang tentera Islam dari kalangan Ansor dan Muhajirin yang kembali berbaik semula selepas berbalah lalu dia berkata : “ Adakah munasabah dia melakukan demikian, apabila mereka (Muhajirin) sudah ramai dalam negeri kita maka mereka hendak menunjukkan kekuatan samalah seperti kata pepatah gemukkan anjingmu kemudian ia akan menggigitmu. Tengoklah nanti apabila pulang ke Madinah tahulah dia bagaimana orang mulia (Ansor) akan mengeluarkan orang yang hina ( Nabi dan Muhajirin)”.
Mendengar kata-kata biadap yang keluar daripada mulut Abdullah bin Ubai itu lalu Sayyidina Umar meminta izin daripada nabi untuk membunuhnya tetapi nabi menegahnya bagi mengelakkan fitnah yang mengatakan nabi membunuh sahabatnya sendiri. Hasil daripada kesabaran ini juga menyebabkan lebih ramai orang membenci Abdullah bin Ubai sehingga dia semakin terpinggir. Allah turut merakamkan peristiwa bagi menjawab tuduhan Abdullah bin Ubai terhadap nabi dan golongan Muhajirin melalui ayat 8 surah al-Munafiqun :
يَقُولُونَ لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنْهَا الأَذَلَّ ۚ وَِللهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لاَ يَعْلَمُونَ
Maksudnya : Mereka (golongan munafik) berkata : “ Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah maka benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang yang lemah daripadanya”. Sedangkan kekuatan itu hanyalah bagi Allah S.W.T, bagi rasulNya dan bagi orang-orang mukmin tetapi orang munafik itu tidak mengetahui.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Peristiwa ini mengajar bagaimana liciknya gerakan musuh dalam selimut yang dinamakan munafik dalam menghancurkan Islam yang mesti diambil perhatian sewajarnya agar ia tidak membantut kelancaran kepada perjuangan dan seterusnya pelaksanaan Islam dalam setiap aspek kehidupan. Malah semangat perkauman sempit yang cuba diapi-apikan oleh ketua munafiq Abdullah bin Ubai merupakan suatu senjata yang berterusan digunakan oleh musuh Islam dalam menghancurkan kesatuan umat Islam. Musuh terus melaung dan memastikan usaha melenyapkan kesatuan kaum Muslimin di mana dengan dasar pecah perintah maka umat Islam saling memandang bahawa isu umat Islam di Negara lain adalah masalah Negara dan bangsa masing-masing tiada kaitan dengan diri mereka seperti penderitaan umat Islam di Palestin, Iraq, Syria, bangsa Ronghiya di Myanmar dan sebagainya. Tiada lagi ruh persaudaraan Islam akibat rasukan semangat assobiyah atau kebangsaan sempit. Sedangkan kita sentiasa diajar tentang persaudaraan Islam yang melangkaui bangsa, Negara, budaya, bahasa
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى – رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, atas masjid yang mulia maka kita mendesak pimpinan Negara yang baru menjadi pengerusi ASEAN untuk menekan Myanmar agar memberhentikan tindakan kejam terhadap umat Islam Ronghiya. Marilah kita sama-sama bangkit atas semangat Islam dalam menghentikan segera pembunuhan, pembakaran, kekejaman terhadap saudara seagama kita. Kita tidak mahu menjadi umat yang tidak sempurna iman akibat tidak menghirau penderitaan saudara seagama yang sedang meraung kesakitan ketika kita melaung keseronokan, tidak membantu saudara yang kehilangan rumah akibat dibakar ketika kita tidur lena atas tilam empuk yang terhampar, tidak menolong saudara yang kebuluran ketika kita berehat kekenyangan. Di manakah sifat kemanusiaan kita?, di manakah nilai keimanan kita?, di manakah ruh Islam kita?. Tepuklah dada tanyalah iman kita
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya
Usaha dalam meninggikan kalimah Allah yang tinggi di atas muka bumi ini bukan dihampar dengan permaidani merah sebaliknya menuntut kepada jihad yang bersungguh termasuk menumpahkan darah, ia bukan diraih dengan jalan yang mudah sebaliknya berdepan dengan pelbagai halangan yang susah, ia bukan datang dengan kemenangan yang senang sebaliknya banyak nyawa yang melayang. Oleh itu kita wajib sedar tentang banyak halangan, cabaran yang terpaksa kita hadapi dalam memperjuangkan Islam di mana ramai pejuang Islam yang dibuang Negara, ramai juga yang dipenjara dan ramai lagi yang dibunuh. Kita juga sedar betapa banyaknya perncangan musuh dalam menyekat malah menghancurkan Islam dan umatnya di mana antara perancangan jahat musuh Islam ialah memastikan berdirinya negara diktator di dunia Islam di mana W.K Smith seorang orientalis Amerika yang mahir dalam hal ehwal Pakistan: “ apabila orang Islam diberikan kebebasan di dunia Islam serta hidup dibawah system demokrasi , maka sesungguhnya Islam akan mendapat kemenangan di Negara-negara tersebut. Hanya dengan cara diktator sahaja yang boleh memisahkan antara umat Islam dan agamanya.” Kita dapat lihat bagaimana kejatuhan satu demi satu pemerintahan kuku besi oleh rakyat seperti di Iraq, Mesir, Libya dan sebagainya tetapi musuh Islam segera bertindak memastikan penggantinya mesti daripada boneka bagi memastikan sebarang usaha dalam mengembalikan pemerintahan Islam dapat dikuburkan segera.
Perancangan jahat musuh Uslam lagi ialah menyingkirkan tokoh-tokoh Islam dan tamatkan Gerakannya di mana telah ramai pemimpin gerakan Islam dipenjara serta ramai dibunuh. Banyak parti Islam telah diharamkan seperti FIS di Algeria, Ikhwanul Muslimin di Mesir dan sebagainya. Minggu ini kita dapat saksikan bagaimana kerajaan boneka zionis Yahudi-Amerika Syarikat di Mesir menjatuhkan hukuman bunuh kepada bekas Presiden Menteri yang digulingkan Mohammed Morsi disamping 100 pemimpin dan ahli Ikhwanul Muslimin yang lain atas tuduhan melakukan rusuhan. Musuh Islam tidak pernah rasa puas dalam mengkhianati perjuangan Islam sehingga mereka rasa bahawa pemimpin dan gerakan Islam dapat dikuburkan sepenuhnya. Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, atas masjid yang mulia maka kita mengutuk tindakan kejam yang tidak bertamadun ini yang dilakukan oleh kerajaan boneka zionis Yahudi-Amerika Syarikat Mesir ini. Kita nyatakan kepada musuh Islam bahawa cahaya Islam terus bersinar terang walau pun ia cuba dipadam, Perjuangan Islam terus maju ke depan walau pun musuh menghalang. Biar bermandi darah namun kami tidak akan sama sekali menyerah kalah, biar berpisah nyawa dari badan namun perjuangan Islam tetap kami teruskan, biar dihalang dengan seribu cara namun system Islam tetap kami julang dengan berjuta cara. Islamlah nescaya kita bahagia dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan :
فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢﴾
Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Isnin, 18 Mei 2015
Isra' dan Mikraj DiHayati Maruah Umat DiJulang Tinggi
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Peristiwa yang menyaksikan nabi menjadi tetamu Kerajaan Allah untuk menyaksikan dunia dan akhirat, alam nyata dan ghaib, alam bumi dan langit, alam manusia dan malaikat dalam masa satu malam sahaja. Peristiwa ini mengajar bahawa semua kerajaan yang ada di dunia ini begitu kecil dan halus yang boleh ditukar ganti dengan begitu mudah oleh kerajaan Allah yang kuat dan kekal. Manakala Islam yang dibawa melalui nabi s.a.w pasti akan berkembang dan tidak sama sekali mampu dipadamkan walau pun pelbagai usaha dilakukan oleh musuh Islam siang dan malam.
Malah perjalanan nabi s.a.w dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang mengikut kiraan akal manusia memakan masa berbilion tahun tetapi boleh berlaku dalam masa satu malam sahaja yang membuktikan kekuasaan Allah yang boleh menghapuskan jarak dan masa lama kerana keduanya adalah antara makhluk Allah. Bila keimanan kepada Allah tidak berbelah bahagi maka sepastinya sebarang perkara yang datangnya daripada Allah tidak kita sangkal walau pun ia berada di luar jangkauan akal manusia termasuk berkaitan Isra’ dan Mikraj ini
Firman Allah dalam ayat 60 surah al-Isra’:
…..وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ ………
Maksudnya : …..dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia…..
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 88-89 surah as-Syu’ara’:
يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ ﴿٨٨﴾ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّـهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ ﴿٨٩﴾
Maksudnya : "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);
Sebelum dibawa dalam suatu perjalanan yang hebat maka dada nabi Muhammad s.a.w telah dibelah untuk dibersihkan hati baginda yang mulia. Ia mengajar kita bagaimana pentingnya pembersihan hati daripada sebarang unsur syirik dan sifat mazmumah atau tercela daripada hati kita. Hati ibarat cermin. Jika tidak dirawat dan dibersihkan, ia mudah kotor dan berdebu. Ada Ulama’ membahagikan hati manusia terbahagi kepada 3 jenis;
[1] Hati yang sakit (Qalbun Maridh), ia sentiasa dipenuhi penyakit sifat mazmumah tercela seperti Riya’, Hasad dengki, takabbur, tamak dan sebagainya. Orang yang hati sakit susah menilai secara jujur apapun yang nampak di depannya. Melihat orang senang timbul iri dengki, Mendapat kawan beroleh nikmat timbul resah dan benci. Hati jenis ini jika dirawat dengan segera maka ia mampu kembali menurut kepada kebaikan
[2] Hati yang mati (Qalbun Mayyit). Hati ini sepenuhnya di bawah kekuasaan hawa nafsu, sehingga ia terhijab dari mengenail Allah. Hari-harinya adalah hari-hari penuh kesombongan terhadap Allah, sama sekali ia tidak mahu beribadah dan tunduk patuh kepada Allah. Hati jenisl ini berada dan berjalan bersama hawa nafsu dan keinginan-nya walaupun sebenarya hal itu dibenci dan dimurkai Allah. Begitu pula apabila ia menolak, mencegah, membenci sesuatu juga karena hawa nafsu bukan kerana Allah
[3] Hati yang baik dan sihat disebut Qalbun Salim. Inilah hatinya orang beriman. Hati ini adalah hati yang hidup, bersih, penuh ketaatan dan jiwanya tenang. Bisikan kebaikan sentiasa menyusup ke dalam hatinya untuk sentiasa berbuat kebaikan
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 153 surah al-An’am:
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٥٣﴾
Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (selain Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa
Ketika perjalanan Isra’ Mikraj maka nabi s.a.w dilatih dengan sifat istiqamah dengan Islam dan tidak tergoda dengan pelbagai panggilan berbentuk iblis, dunia, yahudi, Kristian. Kejayaan kita dalam tunduk patuh kepada Allah ke arah meninggikan kalimah Allah bukan sahaja dalam diri, keluarga malah pelaksanaan seluruh system Islam dalam Negara bergantung kepada sifat istiqamah kita yang tidak terpesona dengan habuan dunia, tidak tertipu dengan godaan syaitan serta tidak terpedaya dengan propaganda yahudi dan Kristian. Begitu juga bila kita ingat dengan pemilihan susu berbanding hidangan arak yang ditawarkan kepada nabi s.a.w semasa Isra’ dan Mikraj yang menunjukkan bagaimana bahayanya pengaruh perkara memabukkan dalam kehidupan kita terutama arak, dadah dan sebagainya.
Ketika menyebut tentang arak maka Malaysia sepatutnya malu kepada Singapura yang baru sahaja menguatkuasa berkenaan jualan dan minum arak di tempat awam yang dihadkan masa dan juga zon kawalan arak kerana masalah rusuhan, kecederaan dan pembunuhan akibat arak. Sedangkan Negara kita yang menjadi pengguna arak 10 tertinggi di dunia masih gagal mengawal arak termasuk dalam kapal terbang MAS walau pun menghadapi 2 peristiwa hitam dengan kehilangan MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh tahun lepas dan yang terbaru MH179 dalam perjalanan ke Colombo, Sri Lanka terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berikutan gangguan yang ditimbulkan seorang penumpang yang mabuk. Malangnya bila Negara dan syarikat terpaksa bergantung kepada perkara yang merbahayakan nyawa dan akhlak untuk mengaut keuntungan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 72 surah al-Ahzab:
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢﴾
Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
Semasa Isra’ dan Mikraj juga bagaimana nabi s.a.w ditunjukkan bagaimana betapa besarnya seksa bagi mereka yang gagal menunaikan amanah yang dipikul apatah lagi jika menggunakan jawatan bagi menindas rakyat dan melakukan penipuan bagi mengaut keuntungan dunia. Sepatutnya dengan setiap kali mengisahkan tentang peristiwa Isra’ Mikraj saban tahun mampu melahirkan pemimpin dan rakyat yang beriman dan bertqwa kepada Allah sehingga mampu melahirkan hamba Allah yang mampu melaksanakan amanah yang dipikul sebaiknya serta menjauhi penyelewengan. Kita melihat dengan suasana yang semakin menekan rakyat yang bukan dipaksa berjimat cermat malah terpaksa menanggung pelbagai bebanan termasuk GST bagi menanggung kemewahan dan pembaziran yang dilakukan oleh pemimpin. Malah dalam isu cuba menutup hutang 1MDB menggunakan wang Tabung Haji merupakan suatu penyelewengan yang boleh menjejaskan matlamat sebenar Tabung Haji dalam memberi kemudahan untuk menunaikan ibadat Haji. Begitu juga penggunaan wang Syarikat Takaful Malaysia Bhd untuk tujuan yang sama. Akhirnya kesuburan bumi Negara yang bukan sahaja menghasilkan pelbagai tanaman malah penuh dengan bahan galian termasuk minyak tetapi akibat salah urus dan pembaziran yang melampau menyebabkan Negara menanggung hutang tinggi dan kebajikan rakyat diketepi
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Ketika membicarakan tentang peristiwa Isra’ dan Mikraj juga maka tidak ketinggalan untuk kita mendoakan dan berusaha dengan pelbagai cara ke arah mencapai kemerdekaan bumi Isra’ Palestin daripada cengkaman Yahudi. Ketika nabi s.a.w Isra’ Mikraj maka baginda telah menjadi imam kepada para nabi yang menunjukkan bagaimana agama nabi-nabi adalah satu iaitu Islam bukannya Yahudi atau Kristian. Oleh itu bumi Isra’ Mikraj juga adalah milik umat Islam yang wajib dibebas dan dijaga. Terutama pada hari ini 15 Mei merupakan hari Nakbah Palestin atau memperingati hari Malapetaka yang menimpa bumi Palestin. Kita begitu kecewa bila kesatuan Arab boleh menyerang Yaman serta merta dengan apa saja alasan tetapi begitu takut untuk membebaskan bumi Aqsa daripada musuh yang jelas iaitu zionis Yahudi. Semoga peringatan Isra’ Mikraj bukan sahaja setakat masuk telinga tetapi perlu kepada gerak kerja yang kemas dalam menyatukan umat Islam atas dasar Islam dalam menjulang system Islam dan menghancurkan keganasan musuh termasuk terhadap saudara kita bangsa Ronghiya yang dibunuh kejam di sempadan Thailand dan ramai yang datang mencari perlindungan di Negara kita akibat penghapusan etnik dan agama. Sami Budha sendiri di Myanmar menjadi dalang dalam pembunuhan kejam ini dengan laungan jangan ulangi kesilapan Budha dan Hindu yang pernah menguasai Indonesia akhirnya hilang dengan datangnya Islam. Oleh itu Islam wajib dihapuskan di Myanmar. Semoga laungan jahat ini mampu kita padamkan dalam membantu umat Islam yang sedang ditindas dan dibunuh saban hari dengan mengembalikan kekuatan Islam. Bersempena berada pada hari Jumaat yang mulia, atas masjid yang mulia maka kita mendesak pimpinan Negara yang baru menjadi pengerusi ASEAN untuk menekan Myanmar agar memberhentikan tindakan kejam terhadap umat Islam. Islamlah nescaya kita selamat bahagia dunia akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Isnin, 11 Mei 2015
Islam DiNobat Rakyat Selamat Negara Berkat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.
Kita sekarang berada pada minggu kedua terakhir daripada bulan Rejab yang merupakan antara bulan Haram di mana sewajarnya kita menjadikannya sebagai bulan persiapan dalam memantapkan fizikal dan mental kerana kita bakal menyambut kedatangan bulan Sya’aban sebelum memasuki penghulu segala bulan iaitu Ramadhan tidak lama lagi. Sesuatu perkara yang penting apatah lagi berkaitan dengan bekalan akhirat, mesti diutamakan dalam agenda harian, mingguan atau pun tahunan kita agar kita termasuk dalam golongan yang bijak iaitu sentiasa ingat kepada hari akhirat dan bersiap sedia dengan bekalan terbaik untuk menuju ke sana. Kedatangan bulan Rejab juga mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w termasuk peristiwa peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan menjadi pendakwah di sana. Peperangan ini juga meletus setelah pihak Rom Timur dilihat bersiap sedia dalam melakukan serangan terhadap pusat pemerintahan Islam Madinah dan kawasan yang berada di bawah penguasaan Islam sekitarnya. Akhirnya dalam masa yang singkat nabi s.a.w berjaya mengumpul 30 ribu tentera bagi berdepan dengan 100 ribu tentera musuh disamping mengumpul sumbangan kewangan, makanan, kenderaan dan bekalan senjata mengikut kemampuan sehingga ada kalangan sahabat yang menangis kerana tidak ada sesuatu yang mampu mereka sumbangkan akibat kemiskinan. Setelah berada di Tabuk yang terletak 800 kilometer dari Madinah yang memakan masa 20 hari perjalanan. Namun setelah 10 hari berada di Tabuk tiada sebarang peperangan meletus kerana pihak musuh merasa gerun dan takut kepada tentera Islam lalu lari daripada bertempur. Rasulullah s.a.w mengambil kesempatan itu untuk menyampaikan risalah Islam kepada kabilah yang berada sekitar Tabuk. Ini antara ketegasan kepimpinan Islam sehingga kedaulatan Negara Islam dijaga, darah umat Islam dibela, dakwah Islam disebar merata dunia. Malangnya pada hari ini senjata dihalakan sesama umat Islam sehingga musuh Islam mengaut untuk dengan jualan senjata, bergembira atas kehancuran satu demi satu Negara umat Islam yang berperang sesama sendiri.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 111 surah at-Taubah :
إِنَّ اللَّـهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚيُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّـهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١١١﴾
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar
Bulan Rejab turut mencatatkan kemenangan Islam yang gemilang apabila bulan Rejab tahun 583 H (1187 M), Solahudin Al-Ayyubi memimpin tentera Islam berangkat ke Baitul Maqdis untuk membebaskannya daripada cengkeraman tentera salib yang menguasainya selama hampir satu abad. Kemenangan Solahudin al-Ayyubi sangatlah istimewa kerana berjaya mengembalikan bumi Isra’ Mikraj dan Qiblat pertama kaum Muslimin ke pangkuan Islam. Semangat juang yang tinggi ini wajib kita contohi agar kebebasan dan kemerdekaan Masjid Aqsa dan bumi Palestin daripada cengkaman zinois Yahudi berjaya dicapai agar kekejaman musuh Islam dapat dihentikan. Kemenangan Islam tidak mampu diraih dengan mudah, bukan dengan setakat angan-angan tetapi bakal menjadi kenyataan dengan syarat umat Islam kembali memenuhi syarat kemenangan iaitu berpegang dengan agama Allah dengan menolak sebarang ideology yang bercanggah daripada Islam, bersatu atas dasar Islam bukan kebendaan atau kebangsaan sempit, mengutamakan akhirat daripada dunia. Bumi Aqsa yang menjadi rebutan 3 agama terbesar di dunia iaitu Islam, Yahudi dan Kristian semenjak dari dahulu lagi mempunyai keistimewaan yang tersendiri malah Allah mengiktirafkannya sebagai bumi yang penuh keberkatan. Kejayaan menguasai bumi Aqsa bakal menjanjikan penguasaan terhadap dunia keseluruhannya. Oleh itu tugas dalam memerdekakan bumi Palestin bukan tugas rakyat Palestin sahaja malah tugas umat Islam seluruh dunia dalam membebaskan tanah wakaf milik seluruh umat Islam itu daripada cengkaman zionis Yahudi
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى - رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit
Tidak ketinggalan bagaimana bulan Rejab pernah meninggalkan sejarah hitam buat umat Islam apabila pada 28 Rejab 1342 Hijrah (3 Mac 1924M), Khilafah Uthmaniah Turki dikuburkan secara rasmi oleh Mustafa Kamal At-Tarturk dengan dokongan Britain dan Perancis. Mulai dari saat itu juga bumi Palestin dijajah oleh zionis Yahudi. Di saat kerajaan Uthmaniah tamat, umat kehilangan asas kepimpinan. Tiada lagi institusi yang mampu melindungi umat secara kolektif dan global. Syariah tidak lagi dijadikan asas negara dan ideologi sekular dan kapitalisme ditanam ke dalam jiwa umat dengan penjajahan terancang. Kerajaan besar Uthmaniah dipecahkan kepada lebih 40 negara kecil dengan berpaksikan kaum, wilayah dan semangat kebangsaan yang merosakkan. Akibatnya, umat Islam terus berkelahi, merebut wilayah dan kekuasaan dan dipisahkan antara negara kaya dan miskin.
Akibat daripada penjajahan dan perpecahan umat Islam dengan kehilangan suatu kuasa Khilafah yang menaungi umat Islam menyebabkan penderitaan dan penindasan umat Islam terus berlaku silih berganti tanpa ada pembelaan sewajarnya walau pun jumlah umat Islam begitu ramai di seluruh dunia. 3 kekuatan utama yang dianugerahkan oleh Allah gagal digunakan sebaiknya iaitu kekuatan Aqidah, jumlah umat yang ramai dan bumi yang subur. Malah antara penghinaan terbaru terhadap Islam dengan penganjuran pertandingan melukis karikartur nabi Muhammad s.a.w di Amerika Syarikat atas alasan kebebasan bersuara yang mendapat kecaman umat Islam. Oleh itu kita wajib mengembalikan kemuliaan umat Islam dengan berjuang atas dasar Islam serta takut kepada Allah lebih daripada takut kepada musuh Islam
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Menyedari betapa bahayanya bila umat Islam kehilangan system Khilafah maka kita wajib kembali bersatu dalam mengembalikan semula system pemerintahan dan perundangan Islam dalam mewujudkan Negara aman dan berkat walau pun kita yakin bahawa ia bukan suatu jalan yang mudah malah perlu menghadapi pelbagai halangan dan tentangan. Mengapa kita begitu mudah menyerah kalah sedangkan golongan anti Islam begitu bersungguh dalam memperjuangkan kebebasan murtad, seks bebas, kecelaruan jantina dan menghilangkan keistimewaan Islam dalam Negara samada melalui tuntutan IFC atau Comango dan selainnya. Oleh itu kita wajib bersungguh dan yakin dengan janji kemenangan daripada Allah dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam Negara. Dalam mengurus kewangan dan ekonomi Negara perlu kembali kepada Islam agar kebajikan rakyat diutamakan bukannya rakyat ditekan seperti dengan GST yang mengutip anggaran 42 juta sehari dari barangan import sahaja belum lagi dari sumber lain sedangkan masalah pecah amanah dan pembaziran tidak ditangani secara serius. Kebimbangan berkenaan hutang 1MDB berbillion ringgit kini mula melarat kepada penggunaan ratus juta duit Tabung Haji yang bakal menjejaskan umat Islam untuk mengerjakan haji. Dasar ekonomi yang tidak amanah menyebabkan jurang antara kaya dan miskin semakin tinggi ketika masalah hutang isi rumah dalam Negara kita mencecah sehingga 80 peratus berbanding Indonesia hanya 16 peratus. Ini menambah masalah bebanan hutang Negara yang mencecah 700 bilion
Begitu juga tahap jenayah dan masalah sosial yang semakin teruk memerlukan usaha bersungguh dalam mengembalikan pelaksanaan undang-undang Islam dalam Negara. Malah bila berlakunya kes kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Klang baru-baru ini yang mengorbankan sepasang suami isteri dan bayi kecil maka sekali lagi disyorkan agar undang-undang Islam dilaksanakan kerana mengikut perundangan Islam sebarang jenayah pembunuhan seakan-akan sengaja (Shibhu ‘amd) tanpa niat, diwajibkan kepada penjenayah untuk membayar diyaat (ganti rugi) kepada keluarga mangsa bukannya kerajaan. Bayangkan seorang yang terbunuh 100 ekor unta yang dikenakan dengan nilai hampir RM1 juta maka jika 3 orang kena bayar kepada waris mangsa hampir RM3 juta. Pelaksanaan hukum ini bukan sahaja membela nasib ahli keluarga terutama anak yatim yang ditinggalkan oleh mangsa malah menggerunkan masyarakat untuk melakukan kesalahan. Sedangkan hukuman Sivil pada hari ini denda menjadi milik Negara sedangkan keluarga mangsa tidak mendapat apa-apa. Oleh itu yakinlah kita kepada system Islam dan bersungguhlah kita dalam mengembalikan semula system Islam yang telah dikuburkan oleh penjajah untuk kembali dilaksana dalam Negara. Islamlah nescaya rakyat selamat, Negara berkat
Firman Allah dalam ayat 22 surah az-Zumaar :
أَفَمَن شَرَحَ اللَّـهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ اللَّـهِ ۚ أُولَـٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢٢﴾
Maksudnya : Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ