Jumaat, 10 Oktober 2014
Maksiat DiSisih Kesejahteraan Dunia Akhirat DiRaih
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 41-44 surah Qaf :
وَاسْتَمِعْ يَوْمَ يُنَادِ الْمُنَادِ مِن مَّكَانٍ قَرِيبٍ ﴿٤١﴾ يَوْمَ يَسْمَعُونَ الصَّيْحَةَ بِالْحَقِّ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمُ الْخُرُوجِ ﴿٤٢﴾ إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي وَنُمِيتُ وَإِلَيْنَا الْمَصِيرُ ﴿٤٣﴾ يَوْمَ تَشَقَّقُ الْأَرْضُ عَنْهُمْ سِرَاعًا ۚ ذَٰلِكَ حَشْرٌ عَلَيْنَا يَسِيرٌ ﴿٤٤﴾
Maksudnya : Dan dengarlah (apa yang diterangkan kepadamu sekarang ini mengenai hari kiamat), hari (malaikat yang menjadi) penyeru, menyeru (makhluk-makhluk yang telah mati) dari tempat yang dekat yang dapat didengar oleh semuanya), Iaitu hari mereka mendengar pekikan seruan yang menyatakan perkara yang benar; hari seruan itu ialah hari masing-masing keluar dari kubur. Sesungguhnya Kami menghidupkan dan mematikan, dan kepada Kamilah sahaja tempat kembali (sekalian makhluk). Pada hari bumi terbelah-belah untuk mereka segera keluar (daripadanya). Perbuatan (menghidupkan dan) menghimpunkan mereka di Padang Mahsyar itu, mudah bagi Kami melaksanakannya.
Alhamdulillah minggu ini 3 kali kita dihimpunkan untuk menunaikan solat kemudian mendengar khutbah dimulai pada pagi Ahad lepas kita sama-sama berkumpul bagi menunaikan solat sunat hari raya korban diikuti dengan khutbah raya. 2 malam yang lepas pula kita berkumpul untuk sama-sama menunaikan solat sunat Gerhana bulan diikuti dengan khutbah gerhana. Pada hari ini kita berkumpul untuk himpunan mingguan bagi sama-sama mendengar khutbah seterusnya menunaikan solat Jumaat. Antara hikmat daripada berkumpulnya kita untuk menunaikan ibadat khusus seterusnya mendengar nasihat dan peringatan daripada khutbah yang disampaikan bagi mengukuhkan tali persaudaraan Islam, menyubur kasih sayang, berkongsi ilmu, menyelesaikan masalah secara bersama dan pelbagai lagi kebaikan dunia akhirat. Malangnya bila peluang untuk berkumpul ini tidak digunakan sebaiknya sehingga ada yang sengaja datang lewat untuk solat Jumaat sehingga tertinggal khutbah, ada yang berbual dan bermain sms ketika khutbah dan pelbagai lagi gelagat yang kurang baik. Apabila amal ibadat dan nasihat dibuat sambil lewa menyebabkan kesan dalam menghidupkan hati yang mati, menyuburkan jasmani dan rohani gagal diraih. Hikmat berkumpulnya kita juga bagi mengingatkan tentang suatu himpunan yang lebih besar dan dahsyat iaitu di padang Mahsyar nanti bagi membalas segala amalan kita di dunia dengan 2 tempat pembalasan yang utama iaitu Syurga dengan segala nikmatnya atau Neraka dengan segala azabnya. Sebelum kita kita dikumpul di padang Mahsyar maka bersungguhlah kita untuk berkumpul di masjid atau surau untuk solat berjemaah dan duduk dalam majlis ilmu kerana di sini kita masih berpeluang untuk memperbetulkan kesilapan, memperbanyakkan amalan sedangkan di akhirat nanti hanya untuk terima balasan tiada lagi peluang untuk membuat apa-apa amalan di mana tiada guna lagi sebarang penyesalan.
Firman Allah dalam ayat 18-20 surah as-Sajadah :
أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ ﴿١٨﴾ أَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ جَنَّاتُ الْمَأْوَىٰ نُزُلًا بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿١٩﴾ وَأَمَّا الَّذِينَ فَسَقُوا فَمَأْوَاهُمُ النَّارُ ۖ كُلَّمَا أَرَادُوا أَن يَخْرُجُوا مِنْهَا أُعِيدُوا فِيهَا وَقِيلَ لَهُمْ ذُوقُوا عَذَابَ النَّارِ الَّذِي كُنتُم بِهِ تُكَذِّبُونَ ﴿٢٠﴾
Maksudnya : (Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan). Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan. Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: "Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu".
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 120 surah al-An’am :
وَذَرُوا ظَاهِرَ الْإِثْمِ وَبَاطِنَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَكْسِبُونَ الْإِثْمَ سَيُجْزَوْنَ بِمَا كَانُوا يَقْتَرِفُونَ ﴿١٢٠﴾
Maksudnya : Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.
Al-Quran dan hadis nabi banyak mengingatkan kita tentang bahaya dosa di mana kita jangan sekali-kali cuba berbuat dosa walau pun kecil apatah lagi besar. Dosa adalah suatu yang ketagih di mana sekali sahaja kita buat akan membawa kepada untuk mengulanginya pula untuk kali seterusnya. Oleh itu jauhi dosa maksiat dan bila terlibat maka segeralah bertaubat agar ia tidak mendatangkan ketagihan. Bila kita sebut berkenaan ketagih maka ia sesuatu yang sukar diubati seperti ketagihan dadah, pil kuda yang ada hingga membawa maut. Malah isu masalah penagihan gam yang semakin serius dalam kalangan remaja dan pelajar agak serius sehingga kerajaan sedang merangka undang-undang untuk menyekat penjualan bahan mengkhayalkan itu dengan sewenang-wenangnya. Begitu juga isu pesta arak Oktoberfest yang sedang berlangsung 24 September sehingga 12 Oktober ini yang dianjurkan oleh Carlsberg Malaysia sejak tahun 2011 di mana perlu kepada usaha bersungguh daripada semua pihak agar ketagihan arak dapat ditangani bukan di promosi secara terbuka. Kita tidak mahu akibat masih bergantung kepada cukai arak menyebabkan ketagihan arak yang pernah mencatatkan Malaysia sebagai pengguna ke-10 tertinggi di dunia tidak dapat diubati. Kita tidak mahu bala Allah yang lebih besar akan turun bila masalah serius ini tidak dihiraukan apatah lagi ia dibuat secara terbuka. Kita juga wajib pastikan umat Islam tidak terlibat dengan industri arak kerana ia merupakan suatu dosa yang besar. Ingatlah amaran nabi s.a.w melalui suatu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud :
قال الرسول:لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ
Maksudnya : Allah melaknati arak. (Allah juga melaknati) yang meminumnya, yang menuangnya, yang menjualnya, yang memerah anggur (untuk dijadikan arak), yang membantu memerah anggur itu, pembawanya dan mereka yang menerimanya
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Pada hari kita bercakap berkenaan ketagihan internet samada melalui komputer atau telefon pintar. Ia timbul apabila digunakan berlebihan sehingga tidak tidur malam, tidak menumpukan kepada pekerjaan dan perkara lain sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam, isteri, suami, anak dan kepada majikan. Malah ia boleh diibaratkan seperti orang ketagihan dadah di mana jika tidak mengambilnya akan menjadi tidak keruan dan semakin lama, keinginan menjadi semakin bertambah. Apa yang lebih malang apabila mereka berkongsi suatu yang tidak baik samada kata-kata atau gambar di mana banyak berlaku perasaan bangga atas dosa yang dilakukan dikongsi di laman sosial facebook, twitter dan lainnya. Mereka lupa bagaimana bahayanya bila dosa walau pun kecil tapi dibanggakan
أَبُو هُرَيْرَةَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ : كُلُّ أَمَّتِى مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً ، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا ، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللهِ عَنْهُ" .- رواه البخاري ومسلم.
Maksudnya : Setiap umatku akan mendapat ampunan, kecuali mujahirin (orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa). Dan yang termasuk terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang berbuat (dosa) pada malam hari, kemudian pada pagi hari dia menceritakannya, padahal Allah telah menutupi perbuatannya tersebut, di mana dia berkata, ‘Hai Fulan, malam tadi aku telah berbuat begini dan begitu.’ Sebenarnya pada malam, Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi pada pagi harinya dia menyingkap perbuatannya sendiri yang telah Allah tutupinya.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Petang ini ramai bakal menumpukan perhatian kepada Belanjawan 2015 di mana harapan pelbagai pihak mampu memberikan kebaikan untuk setiap lapisan masyarakat. Kita tidak mahu setelah rakyat dikorbankan sebelum hari raya korban yang baru lalu dengan kenaikan harga minyak yang sepastinya mendatangkan kesan kepada kos barangan keperluan. Lebih menghairankan, dalam pada minyak dunia jatuh menjunam di pasaran antarabangsa, minyak di negara ini dinaikkan atas nama rasionalisasi subsidi. Sepatutnya cara belanjawan Negara yang boros dan membazir serta banyak berlakunya kebocoran dan ketirisan yang sepatutnya ditangani bukannya dengan cara menarik subsidi. Kita tidak mahu keperitan rakyat bakal bertambah dengan pelaksanaan cukai GST tahun depan. Kita juga berharap agar belanjawan ini mampu merapatkan jurang antara golongan papa dan kaya. Tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran agama mesti diambil berat. Al-Quran dan hadis nabi banyak memberi garisan berguna bagi mewujudkan belanjawan berimbang yang bukan sahaja mencapai kesejahteraan hidup di dunia malah yang lebih utama di akhirat nanti
Kita tidak mahu belanjawan nanti tidak menyelami perit pedih rakyat yang menanggung bebanan ketika pemimpin terus hidup penuh kemewahan. Belanjawan yang tiada rasa belas kasihan kepada rakyat yang tidak mampu untuk membeli makanan seharian bahkan hidup mengemis demi dibawa pulang rezeki kepada anak-anak yang setia menunggu. Belanjawan yang bukan sahaja menerus malah menambah pelbagai derita dan duka rakyat sehingga yang papa semakin papa, yang susah semakin derita
Beringat-ingatlah terhadap doa Nabi Muhammad SAW yang berbunyi :
اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ
Maksudnya : Ya Allah, bagi siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyulitkan mereka, maka timpakanlah kesulitan kepadanya. Dan barang siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyayangi mereka, maka sayangilah dia. [riwayat Muslim]
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan