Jumaat, 28 Mac 2014
Sistem Islam DiNobat Bala Allah DiSekat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 155 - 156 surah al-Baqarah :
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿١٥٦﴾ أُولَـٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
Maksudnya : Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
Dunia ini menjadi tempat buat kita semua untuk diuji keimanan dan ketaatan kita kepada Allah. Di dalam ujian itu, sudah tentu ada yang rebah dan leka, terlupa pada tujuan dan matlamat asal diciptakannya ke dunia. Begitu pun, Allah SWT tidak pernah mengabaikan hamba-hambaNya yang tersasar dari jalan yang lurus. Sentiasa ada waktu dan kesempatan yang diberikan buat hamba-hamba-Nya untuk kembali kepada petunjuk-Nya. Peluang itu dinamakan sebagai taubat. Setiap diri kita diuji dengan pelbagai cara dan rupa bergantung kepada tahap keimanan kita di mana manusia yang kufur derhaka kepada Allah maka musibah merupakan balasan terhadap diri mereka. Manusia yang berdosa maka musibah sebagai penghapus dosa manakala bagi hamba Allah yang taat patuh kepada Allah maka musibah sebagai cara untuk mengangkat martabat kepada kedudukan yang lebih mulia di sisi Allah.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 123 surah Hud :
وَلِلَّـهِ غَيْبُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَإِلَيْهِ يُرْجَعُ الْأَمْرُ كُلُّهُ فَاعْبُدْهُ وَتَوَكَّلْ عَلَيْهِ ۚ وَمَا رَبُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Maksudnya : Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan
Negara kita ditimpa dengan pelbagai musibah dalam tempoh yang singkat termasuk kehilangan kapal terbang MH370 yang terus menjadi tanda tanya hingga hari ini walau pun Perdana Menteri telah mengisytiharkan bahawa ia berakhir di Lautan Hindi. Dalam kesempatan berada pada yang Jumaat yang mulia ini marilah kita sama-sama mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga ujian ini dihadapi dengan penuh ketabahan dan kesabaran serta banyak mengingati Allah. Sesungguhnya hamba yang bersabar akan diberi ganjaran yang lebih besar. Banyakkan berdoa sebagaimana yang diajar oleh nabi s.a.w
اللَّهمَّ أجِرني في مُصيبَتي واخلُفني خيرًا مِنها
Maksudnya :“Ya Allah! berilah pahala padaku menerusi musibah ini dan gantikanlah untukku dengan apa yang lebih baik”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Peristiwa yang menyayat hati ini banyak meninggalkan pengajaran yang berguna kepada kita dan yang paling besar ialah pergantungan kita kepada Allah dalam apa jua keadaan di mana teknologi manusia mempunyai pelbagai kelemahan yang tidak mampu melawan kekuasaan dan kehendak Allah. Kehilangan yang penuh misteri ini turut memerlukan kepakaran ahli agama dalam merungkaikan beberapa perkara termasuk solat ghaib yang disarankan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan agar ia tidak dibuat lagi hingga bukti yang kukuh ditemui. Begitu juga pandangan Majlis Fatwa berkenaan mangsa yang beragama Islam bergelar syahid akhirat hendaklah diambil perhatian oleh kerajaan dan pengurusan MAS sendiri dalam mengislamkan pengurusan dan cara kerja dalam syarikat penerbangan itu antaranya pengharaman arak, pakaian menutup aurat kepada pramugari dan kakitangan serta contohi penerbangan Brunei yang membaca doa sebelum penerbangan dan semasa mendarat. Kita tidak mahu kerugian demi kerugian syarikat MAS yang menelan begitu banyak duit rakyat ditambah dengan musibah ini akibat penderhakaan kepada Allah
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Peristiwa ini juga mengingatkan kita tentang hari kematian kita yang pasti akan datang. Kita sebenarnya sedang menunggu giliran samada bersedia atau tidak untuk berdepan dengan ajal kematian. Misteri kehilangan yang agak jauh berbeza antara laluan sebenar ke China tetapi mengalih arah haluan sehingga ke Lautan Hindi menggambarkan ini adalah kekuasaan dan kehendak Allah yang mengetahui segala perkara yang ghaib termasuk di mana tempat sebenar kita akan dimatikan
Firman Allah dalam ayat 34 surah Luqman :
إِنَّ اللَّـهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿٣٤﴾
Maksudnya : Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 9-11 surah Hud :
وَلَئِنْ أَذَقْنَا الْإِنسَانَ مِنَّا رَحْمَةً ثُمَّ نَزَعْنَاهَا مِنْهُ إِنَّهُ لَيَئُوسٌ كَفُورٌ ﴿٩﴾ وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ نَعْمَاءَ بَعْدَ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي ۚ إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخُورٌ ﴿١٠﴾ إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ ﴿١١
Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: "Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku". Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai). Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.
Kebanyakan daripada jenis ibadah khusus yang kita lakukan akan disertakan dengan kalimah takbir Allahu Akbar yang bermaksud Allah Maha Besar. Antaranya solat, ibadah umrah dan haji, korban, azan dan iqamat, takbir hari raya dan macam-macam lagi. Tujuannya agar kita sebagai hamba sentiasa ingat akan kebesaran Allah dan tidak merasa ego, sombong, angkuh, bongkak dan takabbur. Namun, ramai manusia tetap juga sombong dengan ilmu dan kepakarannya. Maka kali ini Allah tunjukkan sedikit daripada kekuasanNYA yang Maha Luas. Allah tarik nikmat hujan, Allah berikan kemarau dan Allah selindungkan MH370. Di mana kepakarannya? Di mana teknologinya? Di mana kemodenannya? Hinggakan kita tidak mampu untuk menurunkan hujan walau setitik! Hinggakan kita tidak mampu menjernihkan udara yang kita hirup walau sedikit!
Malangnya manusia masih belum sedar di mana Allah turunkan sahaja hujan maka ia dianggap sebagai kejayaan pembenihan awan. Allah tarik sedikit jerebu maka manusia kembali menganggap ia hanya fanomena alam bukannya antara peringatan Allah. Oleh itu mimbar Jumaat pada hari ini ingin menyatakan rasa kecewa kepada pemimpin dan mereka yang terlibat dalam menganjurkan konsert Muzik liar yang menyebabkan 6 kematian akibat dadah di Bukit Jalil ketika Negara sedang ditimpa musibah yang bertindih. Konsert yang disajikan dengan arak, dadah dan seks bebas jelas mendatangkan kemurkaan Allah yang sepastinya tidak akan diturunkan kepada pelakunya sahaja malah menyeluruh kepada seluruh rakyat jelata. Begitu juga dengan penganjuran beberapa lagi konsert maksiat walau pun setengahnya telah dibatalkan atas alasan menghormati mangsa MH370 bukannya kerana takut kepada Allah. Adakah Negara perlu ditimpa dengan banyak bala lagi barulah pesta maksiat dihentikan. Jangan alasan untuk menarik lebih ramai pelancong maka kita halalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Jangan kerana ingin mengaut keuntungan sedikit kita jemput pelbagai bala Allah yang pasti mendatangkan kerugiaan yang berlipat ganda dunia akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 58 surah al-A’araf :
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia ini juga marilah kita sama-sama mengambil berat tentang pembunuhan yang berlaku terhadap saudara seagama kita bangsa Ronghiya di Myamnmar sehingga diminta agar tidak ditulis bangsa dalam sebarang dokumen bagi mengelakkan ditindas. Begitu juga pembunuhan yang terus berlaku di Selatan Thailand. Tidak kita lupa kepada kezaliman pemimpin Syria yang terus membunuh rakyat yang tidak berdosa. Begitu juga bertambahnya sekatan dan pembunuhan kepada umat Islam di bumi Palestin terutama di Gazza oleh pembunuh utama dunia yahudi Israel. Mimbar Jumaat hari ini turut mengajak pemimpin, seluruh rakyat dan dunia agar sama-sama mengutuk hukuman bunuh terhadap 529 ahli Ikhwanul Muslimin di Mesir dalam perbincaraan yang begitu pantas di mana ia tidak lebih daripada menambahkan lagi pembunuhan terancang selepas pembunuhan terhadap ribuan terhadap penunjuk perasaan tahun lepas. Ia antara sunnatullah kepada pejuang Islam di mana kita bakal berdepan dengan pelbagai ujian dalam meninggikan kalimah Allah termasuk penjara, dibuang negeri atau dibunuh. Kita nyatakan kepada dunia bahawa pejuang Islam tidak pernah takut kepada sebarang tindakan kejam kerana mati syahid merupakan cita-cita tertinggi kami. Kita terlalu yakin bahawa gugur syahidnya pejuang Islam bukan mengakhiri perjuangan Islam malah akan melahirkan lebih ramai lagi pemuda-pemuda yang berebut-rebut untuk gugur syahid. Benarlah janji Allah melalui ayat 23 surah al-Ahzab :
مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّـهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Maksudnya : Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan