Jumaat, 23 Ogos 2013
Islam DiJulang Kezaliman Tentera Ahzab Moden DiHalang
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 8-10 surah al-Syamsu :
فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا ﴿٨﴾ قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Maksudnya : Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; - Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
Kini kita telah memasuki minggu ketiga daripada bulan Syawal di mana kehangatan sambutan hari raya masih terasa. Kenikmatan sebenar berhari raya tidak mampu dirasai kecuali oleh golongan yang benar-benar berjaya menunaikan kewajipan yang diperintah oleh Allah disamping berjaya mengawal diri daripada segala laranganNya bukan sahaja pada bulan Ramadhan yang baru lalu malah pada 11 bulan selepasnya. Sesuai dengan hakikat fitrah itu sendiri yang menyuburkan rasa cinta kepada amalan soleh dan membenci sebarang bentuk maksiat. Perkara ini gagal dirasai kecuali dengan mengekalkan segala tarbiah Ramadhan pada bulan-bulan yang lain sehingga kebersihan diri daripada najis noda dosa terus dijaga bukannya pembersihan diri hanya dibuat secara secara bermusim iaitu pada bulan Ramadhan sahaja sehingga bila berlalunya Ramadhan maka diri kita kembali bergelumang dengan maksiat. Antara hikmat galakan berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal adalah bagi mendidik diri kita untuk tidak meninggal terus ibadat puasa dengan berlalunya Ramadhan. Amat malang diri yang telah bersih kembali dikotori dengan najis maksiat. Amat rugi apabila amalan soleh yang mendekatkan diri kita kepada Allah ditinggal terus sehingga kita kembali jauh daripada Allah. Semangat mengekali amal soleh serta menjauhi maksiat tidak akan berjaya kecuali adanya kesungguhan dalam diri disamping sentiasa memastikan suasana sekitar sentiasa mendorong kita ke arah itu termasuk sentiasa berada dalam majlis ilmu, bersahabat dengan orang soleh, menyediakan jadual khas untuk ibadat dan zikir harian. Kita tidak mahu menyambut hari raya secara zahir sahaja iaitu pakaian, rumah, kereta, perabut sentiasa bertukar baru sedangkan perangai buruk tidak ditukar baru dan hubungan dengan Allah semakin jauh akibat mengotori hari raya dengan maksiat
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah dalam ayat 19-21 surah al- Ma’arij :
إِنَّ الْإِنسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا ﴿١٩﴾ إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا ﴿٢٠﴾ وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا
Maksudnya : Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); - Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;
Kita doakan semoga tarbiah Ramadhan yang sama-sama dilalui telah mengembalikan kita dalam keadaan fitrah yang sentiasa ingat dan syukur kepada Allah sepanjang masa bukannya bermusim. Amat malang bila kita hanya mencari agama bila keadaan tersepit seperti masalah jerebu maka sibuk meminta ahli masjid untuk solat sunat Istisqa’ minta hujan tetapi bila bala Allah reda maka dijemput pula kumpulan muzik rock barat Metallica 2 malam lepas untuk merosakkan budaya dan akhlak rakyat. Ia ibarat memberi dadah atau arak supaya rakyat mabuk hingga lupa kepada kenaikan harga barang, tarif elektrik, jenayah dan sebagainya
Suasana yang tidak sihat ini juga ibarat menjemput lebih banyak bala Allah termasuk rasa hormat kepada Islam terhakis seperti surau di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor dijadikan tempat ibadat penganut Budha sehingga kerakyatan pemilik resort ditarik balik dan surau diroboh. Kita minta agar pihak berwajib mengambil iktibar dalam usaha yang lebih bersungguh ke arah meningkatkan kesedaran dalam menjaga hubungan kaum dan agama. Begitu juga masalah jenayah menggunakan senjata api bagaikan pesta sehingga timbul dakwaan pembunuh upahan dalam negara ini begitu mudah dan murah di mana 35 kes tembakan dicatat sejak Mei lalu dengan 22 kematian. Suasana pembunuhan yang menggila ini juga mengingatkan kita tentang betapa hampirnya dunia ini kepada qiamat
عنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَا تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَأْتِيَ عَلَى النَّاسِ يَوْمٌ لَا يَدْرِي الْقَاتِلُ فِيمَ قَتَلَ ، وَلَا الْمَقْتُولُ فِيمَ قُتِلَ ، فَقِيلَ : كَيْفَ يَكُونُ ذَلِكَ ؟ قَالَ : الْهَرْجُ ، الْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ – رواه مسلم
Demi jiwaku di bawah kekuasaanNya, tidak akan berlalunya dunia sehingga datang pada manusia tidak tahu si pembunuh sebab apa dia membunuh, dan tidak tahu yang kena bunuh kenapa dia dibunuh, Lalu ditanya: Bagaimana ini boleh berlaku? Sabda nabi: Pembunuhan, si pembunuh dan mangsa bunuh dalam api neraka
Dalam hadis yang lain nabi s.a.w menerangkan sebab orang yang dibunuh turut masuk neraka kerana dia juga berniat untuk membunuh pembunuhnya jika ada kesempatan. Nabi s.a.w juga menjelaskan bagaimana umat akhir zaman ibarat orang hilang akal sehingga melakukan pembunuhan tanpa rasa takut
عن أبي موسى الأشعري قال : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ يُحَدِّثُنَا أَنَّ بَيْنَ يَدَيْ السَّاعَةِ الْهَرْجَ . قِيلَ : وَمَا الْهَرْجُ ؟ قَال : الْكَذِبُ وَالْقَتْلُ . قَالُوا : أَكْثَرَ مِمَّا نَقْتُلُ الْآنَ ؟ قَالَ : إِنَّهُ لَيْسَ بِقَتْلِكُمْ الْكُفَّارَ ، وَلَكِنَّهُ قَتْلُ بَعْضِكُمْ بَعْضًا ، حَتَّى يَقْتُلَ الرَّجُلُ جَارَهُ ، وَيَقْتُلَ أَخَاهُ ، وَيَقْتُلَ عَمَّهُ ، وَيَقْتُلَ ابْنَ عَمِّهِ . قَالُوا : سُبْحَانَ اللَّهِ ! وَمَعَنَا عُقُولُنَا ؟ قالَ : لَا ، إِلَّا أَنَّهُ يَنْزِعُ عُقُولَ أَهْلِ ذَاكَ الزَّمَانِ ، حَتَّى يَحْسَبَ أَحَدُكُمْ أَنَّهُ عَلَى شَيْءٍ وَلَيْسَ عَلَى شَيْءٍ - رواه أحمد
Maksudnya : Sesungguhnya menjelang datangnya hari kiamat, akan terjadi banyak sekali Al Haraj.” Mereka (para sahabat) bertanya, “Apa maksud Al Haraj?” Baginda menjawab: “Pendustaan dan pembunuhan.” Mereka bertanya: “Apakah lebih banyak dari yang kami lakukan sekarang?.” Baginda bersabda: “Bukan seperti yang kalian lakukan iaitu (memerangi) Kuffar. Akan tetapi (pembunuhan yang terjadi) antara sebahagian kalian dengan sebagian yang lain (peperangan sesama muslimin) sehingga seseorang membunuh jirannya, adik beradiknya, bapa saudaranya dan sepupunya sendiri.” Mereka bertanya lagi, Subhanallah! Apakah pada hari itu, kami masih bersama dengan orang-orang yang berakal?” Baginda menjawab: “Tidak! Kecuali Dia telah menghilangkan akal manusia pada masa itu sehingga menyangka di kalangan kamu bahawa dia mempunyai dasar yang kuat, padahal dia tidak mempunyai pegangan apa-apa
Oleh itu usaha dalam menanamkan rasa takut kepada Allah melalui pemerkasaan ilmu agama di semua peringkat disamping kembali kepada system Islam merupakan cara terbaik untuk menangani masalah yang semakin kronik bukannya memberi alasan seperti tidak mampu menambah anggota keselamatan dan alat canggih dalam masa terdekat sedangkan permohonan kerajaan Selangor untuk menubuh polis bantuan bagaikan tidak dilayan dengan sewajarnya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur :
وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka
Suasana Syawal tahun ini turut mencatatkan peristiwa berdarah yang menyayat hati di mana penerusan kekejaman kerajaan Syria yang terus membunuh rakyat yang tidak berdosa sehingga yang terbaru menggunakan senjata kimia yang mengorbankan lebih 1200 orang rakyat. Mimbar Jumaat hari ini juga mengutuk tindakan tidak bertamadun kerajaan haram Mesir yang membunuh ribuan serta mencederakan puluhan ribu rakyatnya sendiri yang tidak bersenjata termasuk wanita dan kanak-kanak sehingga ada yang dibakar dalam masa 2 hari sahaja. Masjid dan hospital turut menjadi sasaran untuk ditembak dan dibakar. Sebelum ini kita bercakap tentang kekejaman zionis Yahudi dalam menyembelih, membedil dan mengebom umat Islam tetapi kini orang yang mengaku manusia tetapi berhati binatang menghalakan senjata kepada saudara seagama. Jika pada bulan Syawal tahun 5H nabi Muhammad s.a.w bersama tentera Islam terpaksa berdepan tentera Ahzab atau bersekutu Kuffar tetapi pada ini ada Negara umat Islam sendiri bersekongkol dengan zionis yahudi Israel, Amerika Syarikat seperti Arab Saudi, Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang menjanjikan AS12 billion dolar kepada tentera yang menggulingkan kerajaan sah di Mesir. Adakah kita boleh menghalalkan darah saudara seagama untuk dibunuh sesuka hati sedangkan mereka bangkit bukan sebagai pemberontak sebagaimana didakwa oleh musuh Islam sebaliknya untuk menuntut hak mereka yang dirampas. Apa yang berlaku di bumi Mesir dan sekitar tanah Arab mengingatkan kita tentang perancangan licik zionis yahudi dalam membina Israel Raya sebagaimana dicita-citakan iaitu memanjang dari Syria hingga ke Iraq dan Mesir berpusat di Palestin di mana rancangan awal ianya berjaya dibentuk pada tahun 1995 yang lalu tetapi masih tersasar hingga hari ini. Begitu juga peperangan saudara yang diletuskan ini bertujuan untuk kapitalisme mengaut keuntungan daripada jualan senjata. Adakah kita mahu melihat lahirnya Firaun moden yang membunuh sesiapa sahaja yang ingin kembali kepada system Islam. Adakah kita rela melihat lahirnya Haman moden yang menasihat pemimpin termasuk untuk membunuh rakyat sendiri asalkan kekal berkuasa. Adakah kita sanggup memerhati lahirnya Qarun moden yang sanggup gunakan harta kekayaan untuk memadam kebangkitan Islam. Semoga laungan launganوأعز جنده وهزم الأحزاب وحده yang bermaksud Dan Dia (Allah) yang memulia dengan memberi kemenangan kepada tenteraNya dan mengalahkan tentera bersekutu kuffar (Ahzab) dapat kita laksanakan dalam kehidupan seharian dalam meraih kemenangan daripada Allah dengan sama-sama kembali bersatu atas landasan Islam dan menolak sebarang ideology dan system ciptaan manusia. Bangkitlah membantu saudara seagama yang ditindas termasuk di bumi Mesir, Syria, Palestin, Ronghiya dan seluruh dunia termasuk melalui harta dan doa. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 153 surah al-An’am:
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan