Jumaat, 5 Julai 2013

Rai Kedatangan Ramadhan Raih Kemenangan Islam

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 31-32 surah al-Fathir : وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ‌ بَصِيرٌ‌ ﴿٣١﴾ ثُمَّ أَوْرَ‌ثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا ۖ فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَ‌اتِ بِإِذْنِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ‌ Maksudnya : Dan Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hambaNya, lagi Maha Melihat dan memerhatikan. Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata) Kini kita berada diminggu terakhir daripada bulan Sya’aban di mana kita bakal menyambut kedatangan Ramadhan yang dijanjikan dengan rahmat pada awal kedatangannya diikuti dengan pengampunan dosa pada pertengahannya serta dibebaskan daripada api neraka pada penghujungnya bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan. Kedatangan bulan yang begitu lebih dengan penggandaan pahala dan penghapusan dosa wajib disambut sebaik mungkin agar segala janji kebaikan daripada Allah dapat kita capai. Sekiranya dalam kehidupan kita bila akan dikunjungi oleh tetamu yang istimewa dan hebat maka kita pasti berasa begitu gembira untuk menyambut kehadirannya dengan persiapan awal walau pun terpaksa berkorban harta, masa dan tenaga. Begitulah juga sepatutnya kita lakukan dalam mempersiapkan diri supaya benar-benar bersedia untuk menyambut kedatangan tetamu istimewa yang bakal merubah hidup kita ke arah yang lebih baik di dunia dan akhirat bila kita benar-benar menggunakan peluang dengan kedatangan Ramadhan sebaik mungkin dengan menggandakan amalan soleh dan memperbanyakkan memohon keampunan daripada Allah. Ingatlah kita bahawa kebahagiaan akhirat bergantung kepada bekalan yang kita bawa di dunia ini. Ulama’ mengingatkan kita bahwa jika melihat dari segi umur kita yang singkat sudah pasti tidak mampu untuk membawa bekalan yang banyak ke akhirat namun dengan kasih sayang dan rahmat Allah dengan janji penggandaan pahala termasuk dengan adanya bulan Ramadhan bersama Lailatul Qadar maka membuka ruang yang begitu luas kepada kita untuk memperbanyakkan bekalan akhirat sehingga lahir sebagai manusia yang bertaqwa yang merupakan bekalan terbaik di akhirat Firman Allah dalam ayat 197 surah al-Baqarah: …..وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ‌ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ Maksudnya : ….Sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa; dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah: شَهْرُ‌ رَ‌مَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْ‌آنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْ‌قَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ‌ فَلْيَصُمْهُ ۖ Maksudnya : Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu Suasana untuk benar-benar menghidupkan Ramadhan tidak akan berhasil kecuali dengan adanya ilmu dan kesedaran. Oleh itu marilah kita sama-sama menambah ilmu pengetahuan dan kecintaan untuk memasuki Ramadan melalui aktiviti pembacaan dan kelas ilmu. Perbanyakkan mempelajari hukum berkaitan ibadah puasa dan amalan sunat yang dituntut padanya. Janganlah kita memasuki Ramadan dengan kejahilan kerana sifat jahil itu menandakan kita masih tidak bersedia menjadi tetamu bulan mulia ini. Setiap diri kita mesti menyemai rasa cinta kepada ahli keluarga untuk bersama menyambut Ramadan al-Mubarak dengan penuh persediaan serta rasa ketakwaan. Tanamkan dalam jiwa isteri dan anak bahawa inilah bulan yang padanya seribu keberkatan dengan ibadah puasa dan amalan sunat lain. Semaikan dalam jiwa mereka rasa rindu untuk menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh rasa gembira dan ceria. Selain itu semangat cintakan Ramadan perlu disemai dalam kalangan masyarakat seperti mengadakan ceramah, meletakkan iklan yang boleh memberi kesedaran dan mengingatkan jiran serta rakan akan kehadiran bulan mulia ini. TV, radio dan media massa mesti berperanan besar dalam menanamkan semangat untuk meraikan kehadiran Ramadhan dan berlumba dalam melakukan kebaikan. Masjid dan surau memainkan peranan penting dengan meletakkan sepanduk dan sebagainya untuk dilihat oleh jemaah di samping itu menghiasi dengan perhiasan indah. Sejarah menunjukkan bagaimana Sayyidina Umar al-Khattab memasang lilin di kawasan dalam dan luar masjid supaya masyarakat bersemangat untuk datang mengerjakan solat tarawih secara berjemaah di masjid. Suburkan persekitaran dengan suasana yang menarik orang ramai untuk berlumba-lumba dalam menghidupkan Ramadhan dengan amalan mulia. Jangan rosakkan Ramadhan dengan suasana maksiat yang bukan sahaja merosakkan pahala puasa malah menghakis sifat taqwa dalam diri Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’: وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْ‌آنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَ‌حْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارً‌ا Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. Bila mengingati bagaimana Ramadhan merupakan bulan mula diturunkan al-Quran maka menjadi tanggungjawab kita bersama bukan sahaja membaca al-Quran untuk mengejar fadhilatnya sahaja tetapi apa yang lebih penting ialah memahami dan seterusnya mengamalkan segala system al-Quran dalam kehidupan harian. Ibarat kata ulama’ bahawa suatu yang agak pelik apabila ramai di kalangan umat Islam mengadu tidak mampu menyelesaikan masalah kehidupan mereka sedangkan al-Quran yang merupakan penyembuh segala penyakit ada di samping mereka. Kita bukan dimuliakan kerana harta, bangsa atau keturunan sebaliknya mulianya kita dengan taqwa yang dihasilkan daripada pengamalan kita kepada isi kandungan al-Quran. Kita sebagai umat Islam jangan mengulangi jenayah besar yang pernah dilakukan oleh bani Israel yang menganggap bahawa mereka adalah bangsa pilihan sehingga ramai nabi-nabi dilahirkan daripada kalangan bangsa mereka sehingga mereka mempermainkan agama termasuk neraka itu sendiri di mana bagi mereka seolah-olah mainan. Yahudi mengajar pengikut mereka bahawa merelah bangsa yang paling mulia sedangkan bangsa lain setaraf dengan binatang. Yahudi mendakwa Allah menciptakan matahari dan bulan untuk bumi manakala bumi pula diciptakan untuk nabi Adam a.s. Penciptaan nabi Adam a.s pula adalah untuk melahirkan bangsa bani Israel di mana bagi kepercayaan yahudi bahawa hanya bani Israel yang berketurunan nabi Adam manakala bangsa lain dari keturunan monyet atau kera yang hina. Jenayah yahudi yang melampaui batas agama walau pun telah didatangkan kepada mereka kitab Taurat menyebabkan mereka dilaknat termasuk melalui lidah nabi Daud dan nabi Isa a.s serta disifatkan mereka seumpama keldai Firman Allah dalam ayat 5 surah al-Juma’ah: مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَ‌اةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ‌ يَحْمِلُ أَسْفَارً‌ا ۚ بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّـهِ ۚ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ Maksudnya : Bandingan orang-orang (Yahudi) yang dipertanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, Ketika melihat kepada suasana yang masih celaru terutama di bumi umat Islam seperti pembunuhan kejam yang terus berlaku di bumi Syria ditambah dengan gambaran rakyat Turki yang bangkit mahu menggulingkan kerajaan ditambah dengan berita terbaru iaitu penggulingan pemimpin gerakan Islam di Mesir semalam oleh pihak tentera dengan alasan ia adalah kehendak rakyat. Menurut pemerhati yang lebih amanah dalam pemberitaan mereka maka tidak dapat dinafikan bahawa semua yang berlaku di bumi yang pernah disebut malah pernah disinggah oleh nabi Muhammad s.a.w iaitu Mesir, Syam atau Syria dan Turki ada kaitannya dengan keadaan di bumi Palestin. Musuh Islam terutama zionis yahudi sentiasa mengambil berat tentang perubahan politik yang berlaku sekitar Negara haram Israel. Melalui sokongan umat Islam sendiri terutama yang terpengaruh dengan sekulerisme dan kurang minat dengan system Islam maka yahudi mengambil kesempatan agar pemimpin di Negara sekitar termasuk Mesir, Syria, Jordan, Turki dan lainnya mestilah daripada kalangan yang mesra zionis yahudi. Oleh itu tunjuk perasaan di Turki yang berpunca daripada perkara yang kecil diperbesarkan bagi digunakan untuk mengguling kerajaan yang sah. Begitu juga penggulingan pemimpin Mesir yang baru setahun memerintah bermula dengan usaha yang licik di mana semuanya ini akan memberi keuntungan kepada zionis Yahudi di mana antara contohnya sebaik sahaja Mursi digulingkan maka pintu masuk Refah ditutup sedangkan ia merupakan ruang untuk umat Islam yang terkepung di Gazza, Palestin untuk keluar daripada kepungan yahudi. Seluruh saluran tv, akhbar yang menyalurkan maklumat sebenar disekat sehingga apa yang sampai kepada kita hanya berita yang diubah mengikut selera musuh Islam. Ini bukan kali pertama gerakan Islam digulingkan walau pun menang dalam pilihanraya kerana ia mengulangi peristiwa di Algeria apabila pemimpin gerakan Islam yang menang dipenjara. Begitu juga di Turki apabila pemimpin Islam yang baru 9 bulan memerintah dipenjara oleh tentera. Semua ini mengajar kita bagaimana perjuangan Islam bukan dihampar dengan permaidani merah malah menuntut kepada tumpahnya darah. Perjuangan Islam bukan melalui jalan kemenangan yang senang sebaliknya menuntut seribu macam pengorbanan Firman Allah dalam ayat 42 surah at-Taubah: لَوْ كَانَ عَرَ‌ضًا قَرِ‌يبًا وَسَفَرً‌ا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَـٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّـهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَ‌جْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ Maksudnya : Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu). بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan