Jumaat, 19 Oktober 2012
Zulhijjah DiHayati Islam DiJulang Tinggi
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Fajr :
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ
Maksudnya : Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); Dan bilangan yang genap serta yang ganjil;
Kini kita berada pada 10 hari terawal daripada bulan Zulhijjah yang dijanjikan dengan kelebihan yang begitu besar oleh Allah sebagaimana yang disebut dalam al-Quran pada awal surah al-Fajr di mana Ibnu Abbas dan Mujahid menyatakan bahawa malam sepuluh yang dimaksudkan ialah 1 hingga 10 Zulhijjah di mana pendapat ini dikuatkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a:
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ قَالُوا وَلَا الْجِهَادُ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ” – رواه البخاري
Maksudnya : Tiada hari-hari yang amalan soleh dalamnya lebih dicintai Allah daripada hari-hari (ayyam) ini (iaitu 10 hari pertama Zulhijjah). Mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, termasuk jihad di jalan Allah?” Baginda menjawab: “Ya, tidak juga jihad di jalan Allah kecuali orang yang mengorbankan jiwa dan hartanya dan dia tidak kembali setelah itu (mati syahid).”
Jelas menerusi hadis ini amalan pada 10 hari pertama Zulhijjah begitu besar. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqolani: “Jika seseorang melakukan hal seperti itu iaitu berjihad sehingga mengorbankan diri dan harta, maka dia lebih baik atau sedarjat dengan mereka yang melakukan ibadat pada 10 hari pertama pada Zulhijjah.”
Selanjutnya al-Hafiz Ibn Hajar memperjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat (secara serentak) pada bulan-bulan lain.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Menyedari tentang kelebihan 10 hari terawal daripada bulan Zulhijjah yang sedang kita berada sekarang maka marilah kita sama-sama mengisinya dengan amalan soleh yang dianjurkan oleh nabi Muhammad s.a.w antara puasa sunat terutama pada hari Arafah iaitu hari yang ke-9 daripada bulan Zulhijjah
عن أبي قتادة رضي الله عنه قال سُئِلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ فَقَالَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ - رواه مسلم واللفظ له وأبو داود والنسائي وابن ماجه والترمذي
Maksudnya : Rasulullah S.A.W telah ditanya mengenai puasa hari Arafah? maka jawab baginda : Dikaffarah(ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang
Amalan mulia yang lain ialah bagi yang berkemampuan maka digalakkan untuk melakukan ibadat korban bermula pada hari raya hinggalah berakhirnya hari Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah
قَالَ الرَّسُوْلُ: مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّناَ – رواه ابن ماجه
Maksudnya : Sesiapa yang mempunyai kemampuan sedangkan dia tidak melakukan ibadat korban maka janganlah dia mendekati tempat solat kami
Selain itu perbanyakkan amalan sedekah sebagai menambah saham akhirat kita disamping mengikis sikap kedekut serta menyuburkan sifat suka membantu saudara seagama yang lain terutama yang sedang menderita akibat peperangan seperti di Palestin, Iraq, Syria, bangsa Ronghiya dan lain-lain. Ingatlah bahawa harta dunia tidak akan memberi manfaat kepada akhirat kita kecuali dihasil melalui sumber halal kemudian dilaburkan dengan cara halal terutama sedekah
قَالَ رَسُوْلُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَقُولُ ابْنُ آدَمَ : ” مَالِي مَالِي ، قَالَ : وَهَلْ لَكَ يَابْنَ آدَمَ مِنْ مَالِكَ إِلَّا مَا أَكَلْتَ فَأَفْنَيْتَ أَوْ لَبِسْتَ ، فَأَبْلَيْتَ أَوْ تَصَدَّقْتَ فَأَمْضَيْتَ - رواه مسلم
Maksudnya : Berkatalah anak Adam : Hartaku! Hartaku! Maka sabda nabi : Sedangkan engkau sebenarnya tidak memiliki daripada hartamu kecuali apa yang telah engkau makan lalu menjadi najis isi jamban, apa yang engkau pakai maka ia menjadi lusuh lalu dibuang atau apa yang engkau sedekah hanya ia yang kekal menjadi bekalan
Seterusnya perbanyakkanlah bertaubat dan istighfar kepada Allah pada hari-hari yang mulia ini disamping memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid bermula pagi hari Arafah sehingga berakhirnya hari Tasyriq
عن ابْنِ عُمَرَ عَنِ النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- قَالَ : مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنَ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّهْلِيلِ، وَالتَّكْبِيرِ، وَ التَّحْمِيدِ - رواه أحمد
Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,
Kita ingat kata-kata seorang yahudi kepada Sayyidina Umar al-Khottab : Wahai Amirul Mukminin! Sekiranya turun ayat ini kepada kami golongan yahudi nescaya kami akan menjadikan hari tersebut sebagai hari raya iaitu ayat 3 dari surah al-Maidah :
…..الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا……
Maksudnya : Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu
Mendengar kata-kata yahudi itu lalu Sayydina Umar mengatakan bahawa kami tahu bahawa ayat ini turun pada hari Jumaat ketika berada di padang Arafah.
Begitu juga ungkapan Saiyidina Omar bin Al-Khattab : “Sesungguhnya Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan, lalu ia disambut dengan Aidil Fitri. Manakala hari penurunan terakhir Al-Quran pula ialah pada bulan Zulhijjah ketika Rasulullah s.a.w. menunaikan ibadah haji yang terakhir (Haji Wada’), maka ia disambut dengan Aidil Adha ” . Maka jelaslah Aidil Adha adalah hari merayakan kesyumulan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang lengkap dan sempurna, yang mengatur, menyusun segala aspek kehidupan manusia, akidah, syariat, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, perundangan, akhlak dan sebagainya. Oleh itu kita sebagai umat Islam bermaruah begitu marah dan kecewa bila ada pihak yang mempertikaikan tentang keadilan dan kehebatan system Islam termasuk Hudud. Dakwaan yang terbaru apabila orang yang sama yang sebelum ini pernah menyatakan hukum Hudud kejam terutama kepada kaum wanita, Malaysia akan kehilangan pelabur dan Negara akan musnah jika laksana Hudud dan kini dakwaan bahawa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan terjejas jika hudud dilaksanakan. Angka tersebut meliputi pekerjaan Genting Berhad, kedai perjudian, internet café, rumah urut dan sektor pelancongan. Kita mendesak agar pemimpin beragama Islam segera merawat orang ini yang terus memperlecehkan Islam ketika masyarakat Cina sendiri yang dikatakan fobia dengan cadangan pelaksanaan hudud di mana tinjauan Universiti Malaya (UM) mendapati sebanyak 42 peratus masyarakat Cina percaya undang-undang Islam itu mampu menjanjikan keadilan kepada semua. Hasil tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaysia (UMCEDEL) itu juga mendapati sebanyak 26 peratus masyarakat India dan 62 peratus Melayu berkongsi pandangan sama. Menjadi kewajipaan bersama bermula daripada pemimpin, Ulama’ dan umat Islam untuk faham seterusnya menyampaikan tentang keadilan system Islam melalui teori dan praktikal. Betapa malangnya jika umat Islam sendiri jahil dan melawan system Islam apatah lagi orang bukan Islam
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 124 surah al-Baqarah :
وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."
Setiap kali tibanya bulan Zulhijjah terutama ketika menyambut hari raya korban maka umat Islam sentiasa diperingatkan tentang kisah nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail a.s. Kerja dakwah dan memimpin umat yang dilaksanakan menjadi simbol kepada betapa pentingnya usaha dalam melahirkan generasi pelapis yang akan meneruskan dakwah dan kerja-kerja Islam dalam masyarakat dan negara. Generasi remaja hari ini bakal menggambarkan corak pemerintahan negara pada masa akan datang. Oleh itu kesungguhan pelbagai pihak dituntut terutama dalam melahirkan remaja yang faham dan amal agama sehingga Allah ditakut, nabi Muhammad s.a.w diikut, ibubapa dihormati, guru dikasihi, solat dijaga, aurat dipelihara, pahala dikejar, dosa dihindar. Kita bimbang kegagalan dalam mendidik golongan remaja menyebabkan pelbagai penyakit sosial timbul satu demi satu. Contohnya dalam satu kajian, mengesahkan kumpulan remaja dan belia adalah golongan peringkat umur kes terkumpul jangkitan HIV tertinggi dilaporkan. Lebih 76 peratus atau 69,747 daripada jumlah keseluruhan kes HIV sehingga akhir 2010 adalah di kalangan belia berusia antara 20 dan 39 tahun. Manakala, pada 2011, bagi setiap 4 kes baru jangkitan HIV, satu dilaporkan di kalangan orang muda dan belia dalam lingkungan 13 hingga 29 tahun. Adakah laporan ini hanya dipandang sepi tanpa tindakan sewajarnya dalam menyekat daripada merebak disamping merawat daripada terus melarat. Islamlah semua system dalam Negara samada politik, perundangan, ekonomi, social dan sebagainya untuk melahirkan umat yang taat, mencapai Negara yang berkat dan memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 32 surah al-An’am :
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Maksudnya : Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan