Jumaat, 14 September 2012
Islam DiJulang Nabi Muhammad s.a.w DiPertahan
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 42 surah at-Taubah :
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَـٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّـهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Maksudnya : Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai nabi Muhammad) sesuatu yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)
Kebenaran Islam adalah suatu pengiktirafan daripada Allah yang tidak boleh dipertikaikan. Kemenangan Islam adalah suatu janji benar daripada Allah yang tidak boleh disangkal lagi. Cuma dalam membuktikan tentang kebenaran Islam dan juga untuk mencapai kemenangan Islam di alam nyata maka perlu kepada usaha dan pengorbanan yang bersungguh daripada umat Islam bukan hanya setakat menjadi penonton dan pemerhati yang tidak melakukan apa-apa tindakan positif ke arah itu. Kebenaran Islam dapat kita buktikan melalui ilmu dan pengamalan kepada semua sistem Islam dalam kehidupan samada ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Runtuhnya kesesatan jahiliah apabila ilmu Islam berjaya menembusi hati-hati manusia yang selama ini menentang kebenaran akibat mereka jahil tentang Islam. Oleh itu menjadi suatu kewajipan bersama bermula daripada rumah hingga ke peringkat negara untuk memperkasakan ilmu Islam agar dapat melahirkan masyarakat yang aqidahnya kukuh dan amalan soleh serta akhlaknya utuh. Kita dapat lihat daripada dulu hingga kini di mana sebarang penjajahan akan menumpukan kepada sistem pendidikan agar pelajar yang keluar daripada sebarang institusi pengajian mestilah berqiblat kepada cara hidup penjajah. Kita begitu bimbang dengan keadaan aqidah umat Islam sendiri yang begitu goyah dan mudah menerima sebarang pemikiran sesat sehingga ada yang mempertikaikan tentang kewujudan Allah atas alasan tidak logik percaya kepada suatu yang tidak nampak. Itu belum lagi dikira kepada umat Islam yang banyak memberi alasan bila diminta agar menutup aurat yang dianggap merimaskan, disuruh solat dan puasa yang dianggap menyusahkan dan sebagainya. Akhirnya lahir ramai umat Islam yang ingin berseronok dan berehat daripada ibadat di dunia namun berangan-angan besar untuk menikmati keseronokan dan kerehatan dalam Syurga Allah di akhirat kelak. Inilah antara kejayaan besar penjajah sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh seorang barat (Zwimmer) dengan katanya :
“Anda telah berjaya menyediakan di negara Islam satu generasi belia yang tidak mengetahui hubungannya dengan Allah malah tidak ingin mengetahuinya. Anda juga telah berjaya mengeluarkan umat Islam daripada agamanya walau pun anda tidak memasukkannya ke dalam Kristian. Seterusnya akan lahirlah satu generasi Islam bertepatan dengan kehendak penjajah di mana generasi ini tidak lagi mempedulikan perkara besar yang berlaku di sekitarnya sebaliknya lebih suka menghabiskan masa untuk berehat dan malas berusaha, cita-citanya dalam dunia tidak lain selain memenuhi keperluan nafsu syahwat sahaja…….”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 70 surah al-An’am :
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّـهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا ۗ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ
Maksudnya : Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)
Apabila umat Islam mempunyai ilmu agama yang mendalam serta beramal dengan segala yang disuruh oleh Allah dan rasulNya disamping menjauhi segala tegahan Allah dan rasulNya dalam setiap aspek kehidupan maka ini semua dapat mengelakkan daripada lahirnya golongan yang mempermain dan memandang hina terhadap system Islam. Sebagai contohnya masalah hukum Hudud di mana sentiasa ada golongan yang mempertikaikannya dan memberi pelbagai alasan supaya ia tidak dilaksanakan termasuk alasan terbaru supaya Kelantan lebih baik menyelesaikan 24 ribu masalah kes di Mahkamah Syariah terlebih dahulu sebelum melaksanakan hukum Hudud sedangkan jumlah kes yang tertangguh sebenar hanya 5 ribu sahaja bukan sebagaimana dakwaan yang berniat jahat itu. Sepatutnya setelah 55 tahun menyambut kemerdekaan Negara maka usaha dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam Negara semakin rancak dan maju termasuk hukum Hudud namun apa yang berlaku adalah sebaliknya sehingga rakyat diperbodohkan dengan alasan-alasan yang tidak munasabah. Oleh itu jadilah kita sebagai rakyat yang bijak dan cerdik yang tidak mudah ditipu oleh golongan yang mempermain dan merendahkan agama supaya kita sentosa di dunia dan bahagia di akhirat sana.
Kita yakin bahawa hukum Allah adalah adil dan mampu menyelesaikan semua masalah manusia. Tanpa menjadikan Islam sebagai teras pemerintahan Negara menyebabkan rompakan cara keras yang mengancam nyawa dan harta rakyat semakin bertambah manakala rompakan cara halus melalui pecah amanah dan rasuah terus bercambah. Kita bimbang jika selama ini hanya rakyat yang bangkit menyatakan penyelewengan dalam mengurus harta Negara tapi kini bila Sultan Johor sendiri yang menegur tentang pembelian sejenis kenderaan untuk pasukan angkatan tentera yang berbeza sehingga 500 ribu ringgit sebuah disamping mutunya dipertikaikan. Bila Allah tidak ditakuti maka lebih banyak kerosakan akan berlaku
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal :
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.
Cahaya kebenaran Islam sentiasa cuba dipadamkan oleh musuh Islam di mana mereka tidak pernah rehat dan berhenti dalam memesongkan manusia daripada menerima kebenaran Islam. Kekuatan hujah Islam dalam membongkar kesesatan dan kezaliman agama dan system selain Islam sehingga semuanya tersungkur menyembam tanah namun akibat kedegilan maka musuh terus mempertahankan kebatilan. Hujah nabi Ibrahim a.s telah mengalahkan dakwaan sesat Raja Namrud yang akhirnya menggunakan hujah berbentuk kekerasan dengan membakar nabi Ibrahim a.s. Begitu juga hujah nabi Musa a.s berjaya mengalahkan Firaun namun raja zalim itu bukan sahaja tidak menerima kebenaran malah bertindak memburu nabi Musa a.s untuk dibunuh. Pertentangan ini terus berlangsung sehingga nabi kita sendiri Muhammad s.a.w Berjaya mematahkan sebarang hujah sesat Abu Jahal, Abu Lahab dan pemuka kafir Quraisy namun kebenaran bukan sahaja ditolak mentah-mentah malah musuh berusaha dalam membunuh nabi.
Maka pada hari ini kita dapat lihat bagaimana Yahudi dan Kristian terutamanya cuba menghasut dunia agar membenci dan memusuhi Islam dan umatnya. Mereka sanggup lakukan segalanya termasuk penipuan dan keganasan termasuk dalam serangan 11 September yang didalangi oleh yahudi tetapi umat Islam dijadikan ‘kambing hitam’. Oleh itu sambutan 11 September tahun ini dicemari dengan penyiaran suatu filem pendek yang menghina nabi Muhammad s.a.w yang digambarkan sebagai seorang penipu, gila seks dan menyeru untuk pembunuhan beramai-ramai. Tindakan biadap ini membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia sehingga ada duta dan pegawai Amerika Syarikat terbunuh dalam tunjuk perasaan di Libya. Mimbar Jumaat pada hari ini mengutuk dan mengecam pihak yang bertanggungjawab dalam menerbitkan filem yang biadap ini. Jangan cuba bermain api dengan umat Islam yang sememangnya cinta kepada nabi. Kami sanggup mati daripada membiarkan nabi dicaci. Biar darah mengalir ke bumi namun kami tidak akan membenarkan nabi dimaki. Biar nyawa melayang namun kami tidak reda kemuliaan nabi dipermainkan.
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Sof :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedangkan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan