Jumaat, 31 Ogos 2012
Islamkan Sambutan Merdeka Raih Nikmat Syurga
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Fathu :
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا ﴿١﴾ لِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّـهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُّسْتَقِيمًا ﴿٢﴾ وَيَنصُرَكَ اللَّـهُ نَصْرًا عَزِيزًا
Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)
Kini kita berada dipertengahan bulan Syawal di mana kehangatan sambutan hari raya masih dirasai dengan pelbagai program termasuk rumah terbuka yang silih berganti. Sambutan hari raya lebih bermakna bila disambut mengikut suluhan wahyu dengan mengekang hawa nafsu supaya tarbiah Ramadhan yang dijanjikan dengan pengampunan dosa tidak kembali dicemari dengan kekotoran noda dosa pada bulan Syawal. Peluang kedatangan Syawal juga akan lebih bererti bila proses tarbiah Ramadhan diteruskan dengan sama-sama berpuasa 6 hari di bulan Syawal bagi menyahut seruan nabi s.a.w :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ ( رواه مسلم )
Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Selain kehangatan sambutan raya, hari ini kita berada pada 31 Ogos di mana bermula malam tadi dengan sambutan ambang merdeka dan pagi tadi pelbagai acara dalam menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia seronok kerana dapat menyambut hari kemerdekaan Negara kali ke-55. Sebagaimana laungan kemenangan ketika sambutan raya yang sepatutnya memberi motivasi dan semangat yang tinggi untuk kita sama-sama menjulang wahyu, mengekang hawa nafsu sehingga musuh Islam tidak lagi berani memperkuda dan mempermainkan Islam namun apa yang berlaku adalah sebaliknya akibat umat Islam dihidapi penyakit al-Wahnu iaitu terlalu cinta kepada dunia dan terlalu takut kepada mati sehingga takbir raya bukan sahaja lesu tak bermaya malah tidak membawa perubahan ke arah kebaikan. Begitulah juga sambutan merdeka yang tidak dapat lari daripada unsur hiburan melampau yang menunjukkan bahawa mulut sahaja seronok melaungkan merdeka tetapi jiwa dan cara hidup terus berqiblatkan penjajah. Akhirnya penjajah tersenyum simpul melihat gelagat lucu rakyat di negara bekas jajahannya yang mulutnya berkata merdeka tetapi cara hidupnya terus menjulang system penjajah. Malah system Islam yang dikuburkan oleh penjajah termasuk hukum Hudud begitu ditakuti oleh umat Islam sendiri kerana telah lama memuja system penjajah. Seronokkah kita bila hanya melaungkan merdeka sedangkan selepas merdeka peratus orang Islam ada 82% tetapi setelah 55 tahun merdeka peratus orang Islam tinggal 50% sahaja. Itu belum dikira dengan penghapusan tulisan jawi yang membawa kepada semakin ramai umat Islam buta al-Quran dan agama. Penukaran cuti hari Jumaat kepada Ahad yang tidak pernah berani dibuat oleh penjajah tetapi dilakukan oleh anak didik penjajah. Malah pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sehingga bahasa Malaysia dikuburkan menjadi lambang besar bagaimana penjajahan pemikiran dan cara hidup lebih bahaya daripada penjajahan bangsa dan warna kulit. Benarlah kata Ibnu Khaldun bahawa bangsa yang paling bangsat ialah bangsa yang terpaksa menggunakan bahasa penjajahnya untuk mencari kemajuan.
Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :
قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ
Ertinya : Ratu Balqis berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,
Menyedari betapa pentingnya erti sebuah kemerdekaan dari segi pengisian dan seterusnya menjaganya maka kita umat Islam telah diberi garis panduan berguna bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah dalam perkara ini termasuk pengajaran besar daripada Kemerdekaan Kota Mekah pada bulan Ramadhan tahun 8H bukan sahaja membersihkan kembali Ka’abah daripada berhala dan amalan syirik yang selama ini mengotorkan kesucian bumi Mekah malah memudahkan lagi umat Islam untuk mengerjakan ibadat umrah dan haji. Bahkan bermula daripada kemerdekaan Kota Mekah telah membolehkan Islam menyebar luaskan lagi dakwah dan sistemnya bukan sahaja dalam Semenanjung Tanah Arab tetapi turut keluar daripada kawasan itu. Kemerdekaan ini diminta oleh Allah agar didahulukan dengan bertasbih dan bertahmid atas nikmat Allah yang telah menjadikan umat Islam sebagai pemegang amanah dan pembela agama Islam dan juga atas rahmat Allah yang mengurniakan kemenangan serta penyertaan umat manusia yang begitu ramai memeluk Islam selepas kemerdekaan bumi Mekah. Allah turut menyuruh agar beristighfar atas pelbagai perasaan bangga dan sombong yang berkecamuk dalam hati di saat kemenangan serta perasaan tidak sabar, terkilan, gentar kerana merasakan begitu lama kemenangan yang dijanjikan Allah ini untuk diraih. Arahan ini sebagaimana diungkapkan oleh Allah dalam ayat 3 surah an-Nasru :
فَسَبِّحْ ِبحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
Maksudnya : Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan pohonlah keampunanNya. Sesungguhnya Allah Amat Menerima taubat hambaNya.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,
Ia jauh berbeza dengan sambutaan kemerdekaan kita yang dipenuhi dengan hiburan melampau sehinga ramai yang terlibat dengan arak, zina yang melahirkan anak luar nikah beberapa bulan selepas sambutan merdeka dan kesan buruk yang lain. Cara sambutan kemerdekaan ini bukan sahaja tidak berterima kasih kepada pejuang kemerdekaan yang sanggup mati untuk menghalau penjajah malah tidak bersyukur kepada Allah dengan melakukan maksiat. Akhirnya laungan merdeka menjadi nyanyian yang melalaikan ketika sistem penjajah terus menguasai jiwa dan negara yang menyaksikan bukan sahaja jenayah bertambah ganas dan parah malah maruah Islam dan umatnya semakin tercalar. Ketika bercakap isu murtad maka tiada undang-undang tegas berdasarkan Islam yang digubalkan. Malah apa yang lebih malang kedudukan Mahkamah Syariah yang dianggap kelas kedua berbanding mahkamah sivil telah meletakkan hak muallaf bagaikan terumbang-ambing tanpa pembelaan sewajarnya. Apa yang lebih teruk apabila undang-undang tukar agama yang diluluskan kabinet pada tahun 2009 yang membenarkan seorang anak kekal dalam agama asalnya iaitu bukan Islam apabila ibubapanya masuk Islam menambahkan penghinaan terhadap Islam. Sempena menyambut kemerdekaan kali ke-55 marilah sama-sama kita berdoa dan membantu seorang Muallaf iaitu Muhammad Riduan bin Abdullah yang memerlukan kos guaman sebanyak RM 60 ribu bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang memberi hak penjagaan anak-anaknya yang telah diIslamkan kepada isterinya yang bukan Islam walau pun sebelum itu Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memutuskan hak penjagaan 3 anaknya itu kepada Muhamamd Riduan. Jangan pula akibat pemikiran kita pun telah dijajah menyebabkan kita memandang isu agama anak sebagai suatu yang murah berbanding baju raya dan bendera jalur gemilang. Jangan jadi menang sorak kampung tergadai. Buat pekak walau pun agama dijual
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Sempena menyambut kemerdekaan juga marilah kita hayatilah erti sebenar sebuah kemerdekaan sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika beliau bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:
نَحْنُ قَوْمٌ انبْعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ غَيْرِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سَعَةِ الآخِرَةِ”
Maksudnya : “Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat”
Tarbiah Ramadhan banyak mengajar kita bahawa kita bukan sahaja akan berasa gembira ketika berbuka puasa malah apa yang paling diidamkan ialah bahagia apabila berjumpa dengan Allah di akhirat kelak. Begitu juga tarbiah Ramadhan akan memerdekakan kita daripada api neraka yang merupakan antara kemuncak kepada kelebihan Ramadhan bagi hamba Allah yang Berjaya menghayati tarbiah Ramadhan. Maka suasana sambutan merdeka juga mesti disambut mengikut acuan agama agar jiwa dan cara hidup kita dimerdekakan daripada penjajahan system penjajah samada dari segi pemerintahan, politik, sosial, ekonomi dan lainnya supaya kita bukan sahaja benar-benar merdeka di dunia malah yang lebih penting ialah merdeka daripada api neraka Allah seterusnya meraih Syurga di akhirat nanti.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan