Khamis, 7 Jun 2012

Ruh Islam DiHayati Kemenangan Islam Dirai

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit. Kini kita berada bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj, Peperangan Tabuk tahun 9H serta kembali tertawannya bumi Palestin oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 bersamaan 6 Rejab 1367H dengan penubuhan negara haram Israel selepas Palestin dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun. Sayyidina Ali pernah mengingatkan kita : “Kebenaran yang bergerak tanpa organisasi dan perancangan yang tersusun bakal dikalahkan oleh kebatilan yang bergerak dengan cara tersusun”. Ketika berdepan dengan musuh Islam yang menyerang kita dengan pelbagai cara samada dengan senjata atau serangan pemikiran maka kita wajib bersiap sedia sepanjang masa dengan aqidah yang kukuh melalui proses mendalami ilmu agama yang berterusan tanpa terhad di pusat pengajian khusus dan umur tertentu sahaja bahkan berlangsung sepanjang masa selagi hayat dikandung badan. Seterusnya bersihkan hati kita daripada sifat mazmumah atau tercela dengan mengisinya dengan sifat mahmudah atau terpuji sehingga hubungan kita dengan Allah semakin dekat yang menghampirkan kita dengan janji kemenangan dunia dan akhirat. Imam Al-Ghazali berkata: “Carilah hatimu di tiga tempat. [1] ketika membaca al-Quran, [2] ketika sembahyang dan [3] ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka pohonkanlah kepada Allah agar Allah memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati.” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah : انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui Ketika menyoroti tentang Peperangan Tabuk yang meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan menjadi wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Inilah suatu sikap dan tindakan tegas yang telah diambil oleh nabi selaku pemimpin negara Islam Madinah dalam mempertahankan kehormatan diri dan nyawa umat Islam di mana bila seorang dibunuh di negara musuh maka tentera Islam terus dikerah untuk mengajar kebiadapan musuh yang mengajar kita tentang harga diri umat Islam adalah begitu mahal nilainya bukannya boleh dibunuh sesuka hati. Mimbar Jumaat hari ini mengutuk kekejaman pemimpin Syria yang meneruskan pembunuhan terhadap rakyatnya sendiri di mana yang terbaru di bandar Houla pada 25 dan 26 Mei lalu yang menyaksikan lebih 100 orang termasuk 49 kanak-kanak dibunuh. Berbalik kita berkenaan Perang Tabuk di mana sebelum keluar ke Tabuk Rasulullah s.a.w terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu [1] golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Manakala golongan ke-[2] ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Alasan-alasan ini mengingatkan kita tentang apa yang pernah digariskan oleh Imam Ghazali tentang 4 perkara besar yang selalu menjadi penghalang kepada seseorang mukmin untuk melakukan ibadat dan berjuang pada jalan Allah SWT iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan. Perkara [1] iaitu dunia merujuk kepada semua perkara yang akan ditinggalkan apabila manusia mati seperti wang ringgit, harta, pakaian, makanan dan minuman. Jika keperluan duniawi itu tidak lebih sebagai alat dan perantara untuk membolehkan diri kita mengurus dan membelanjakannya ke jalan yang diredai Allah SWT maka ia dipuji sedangkan bila ia melalai daripada menambah bekalan akhirat maka ia suatu yang keji. Betapa ramai umat Islam yang hanya mengejar kesenangan dunia sehingga tidak kira halal haram malah lebih rela memilih pemimpin yang menjerat dengan habuan dunia tanpa mempedulikan kebenaran. Akhirnya rasuah, pecah amanah yang berjuta-juta tidak dihiraukan lagi akibat dibutakan dengan habuan yang sedikit. Perkara ke-[2], ialah gangguan dan halangan daripada makhluk iaitu apa saja yang dikurniakan Allah kepada kita termasuk anak, binatang ternakan dan harta benda yang boleh melalaikan manusia daripada mengingati Allah jika gagal diuruskan mengikut kehendak agama. Manusia yang terlibat dengan perkara yang haram akan malas melakukan ibadat sebaliknya lebih mudah untuk melakukan dosa maksiat. Perkara ke-[3] pula ialah keinginan atau lebih dikenali sebagai nafsu jahat yang sentiasa cuba menguasai diri sehingga manusia yang gemar tunduk dan tewas kepada kehendak nafsu sendiri dengan menyingkirkan niat dan azam untuk melakukan kebaikan. Kejahatan dan kemungkaran yang timbul dari nafsu inilah sukar untuk dikekang jika kita tidak bersungguh melawannya. Kita begitu kecewa ketika masalah kerosakan di kalangan belia semakin parah maka pemimpin sanggup mengupah kumpulan muzik K-Pop dari Korea dan penari menjolok mata dari Jepun dengan bayaran berjuta ringgit dalam meruntuhkan lagi akhlak muda mudi ketikan Himpunan Sejuta Belia minggu lepas. Lebih mengecewakan apabila ada ceramah agama dibatalkan kerana memberi laluan kepada kumpulan yang terkenal dengan gaya menjolok mata ini. Perbuatan ini sama dengan tindakan menangkap pelacur sedangkan dalam masa yang sama memberi lesen kepada kelab malam dan aktiviti maksiat. Menangkap orang berjudi sedangkan lesen judi terus subur. Manakala perkara ke-[4], adalah desakan dan bisikan iblis dan syaitan durjana yang sentiasa menggoda serta menipu daya manusia ke jalan yang sesat sehinggalah hari Kiamat. Syeikh Ibrahim Adham pernah menyatakan bagaimana semakin ramai manusia yang hatinya mati menyebabkan walau pun mereka tahu bahawa syaitan itu adalah musuh tetapi ia dijadikan teman rapat dalam menyesatkan kehidupan mereka. Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, Firman Allah dalam ayat 55 surah at-Taubah : فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُمْ ۚ إِنَّمَا يُرِ‌يدُ اللَّـهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَافِرُ‌ونَ Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula). Ketika Perang Tabuk juga Rasulullah s.a.w terpaksa berdepan dengan golongan yang ke-[3] yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan ini terus ada pada setiap zaman yang mesti kita jauhi daripada bersifat dengan sifat munafiq antaranya bila berjanji tidak ditepati, bila bercakap suka berdusta dan bila diberi amanah sentiasa dikhianati. Musuh dalam selimut ini lebih bahaya daripada kafir yang jelas menentang Islam kerana mereka bergerak atas nama Islam tetapi memesongkan ajaran Islam. Kita berasa kecewa apabila pihak berkuasa gagal menyekat kehadiran Irsyad Manji seorang penulis berketurunan Uganda daripada melancar buku seterusnya menyebar fahaman sesat liberalismie, pluralisme dan feminisme di Negara ini di mana dia merupakan pendukung budaya songsang Lesbian, Homoseks di peringkat antarabangsa. Beliau pernah mengarang sebuah buku yang menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia bertajuk “Permasalahan Dengan Islam Hari Ini” (“The Trouble With Islam Today”) yang mengandungi idealisme sama seperti penulis novel Surah Syaitan (“The Satanic Verses”), Salman Rushdie yang telah diisytiharkan murtad. Beliau jelas mendakwa seolah-olah nabi Muhammad s.a.w melantik diri sendiri bukannya utusan pilihan Allah, menolak hadis yang didakwa sebagai rekaan manusia. Beliau menolak ijtihad ulama’ tetapi dalam masa yang sama meminta supaya pemikiran sesatnya diiktiraf oleh masyarakat. Kita desak supaya kerajaan lebih serius dalam masalah ini terutama ketika krisis aqidah dan pengamalan umat Islam agak lemah dan mudah terpengaruh dengan pemikiran bebas dan logik semata-mata Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Sebaik sahaja selesai daripada Perang Tabuk juga, Allah telah memerintahkan kepada Rasulullah s.aw agar meruntuhkan masjid yang bina oleh golongan munafik dikenali dengan Masjid Dhirar bertujuan untuk bermegah-megah,memecah belahkan hati para muslimin, asas yang membawa kepada kekufuran dan pengkhiatan kepada Islam. Oleh itu kita wajib pastikan setiap pembinaan masjid bukan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk tentang kecantikan senibina atau saiznya sebaliknya apa yang paling penting ialah kerja-kerja dalam memakmurkannya agar cahaya Islam terus berkembang. Kita tidak mahu menjadikan masjid kita sebagaimana suatu amaran nabi iaitu hanya megah dari segi binaan tetapi kosong daripada hidayat Allah. Kita wajib berlumba-lumba membina masjid kerana Allah bukan untuk untuk merebut projek bagi memenuhi kocek semata-mata. Jadikanlah masjid sebagai pusat perkembangan Islam bukan hanya menjadi tatapan pelancong tanpa ada ruh yang menyuburkannya. Firman Allah dalam ayat 107 surah at-Taubah: وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَ‌ارً‌ا وَكُفْرً‌ا وَتَفْرِ‌يقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْ‌صَادًا لِّمَنْ حَارَ‌بَ اللَّـهَ وَرَ‌سُولَهُ مِن قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَ‌دْنَا إِلَّا الْحُسْنَىٰ ۖ وَاللَّـهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ Maksudnya : Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:” Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata “. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan