Jumaat, 18 November 2011
Dunia Bertunjangkan Agama Jamin Bahagai
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 18-19 surah a-Isra’ :
مَّن كَانَ يُرِيدُ الْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُ فِيهَا مَا نَشَاءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُ جَهَنَّمَ يَصْلَاهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا ﴿١٨﴾وَمَنْ أَرَادَ الْآخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَـٰئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا
Maksudnya : Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya
Islam mengajar kita bagaimana kehidupan dunia berkait rapat dengan kehidupan akhirat di mana dunia tempat kita beramal manakala akhirat tempat kita menerima pembalasan. Rasulullah s.a.w berulangkali memperingatkan kita tentang bahayanya dunia jika kita gagal menguruskannya berdasarkan panduan agama. Dunia tiada berharga di sisi Allah malah ia dikutuk sekiranya tidak mengaitkannya dengan akhirat. Dunia yang diraih tanpa mengingati Allah akan menyebabkan manusia menjadi hamba dunia. Dunia yang tiada pantang halal haram, dosa pahala disifatkan seumpama bangkai manakala pemburu dunia jenis ini diibaratkan anjing rakus yang tidak mempeduli samada yang dibahamnya itu bangkai atau daging yang halal. Sebaliknya akan berjaya manusia yang mentadbir dunia dengan sentiasa mengingati Allah dengan hati, lidah dan amalan soleh disamping segala gerakgeri dan kerja hariannya berada dalam batas syarak.
حَدَّثَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ , قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , وَهُوَ يَقُولُ : " الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ , مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرَ اللَّهِ , وَمَا وَالَاهُ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا - رواه ابن ماجه
Maksudnya : Ketahuilah bahawa dunia ini dilaknat kecuali zikrullah, barang yang dikasihi Allah daripada ketaatan, orang yang berilmu dan orang yang belajar
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Kita pernah ingat bagaimana nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda berkenaan seorang sahabat yang kaya-raya iaitu Abdul Rahman bin ‘Auf walau pun antara orang yang dijanjikan Syurga tetapi akan memasukinya secara merangkak. Apabila Abdul Rahman bin ‘Auf mendengar kata-kata nabi itu lalu beliau memahami antara sebab beliau memasuki dalam keadaan itu kerana harta yang dimiliki begitu banyak sehingga terpaksa berhenti begitu lama ketika diperiksa di akhirat kelak. Menurut beberapa riwayat antara punca beliau menyerah kesemua hartanya sebanyak 100 ekor unta penuh dengan barang dagangan dan ada riwayat yang mengatakan 700 ekor unta kepada Rasulullah s.a.w disebabkan beliau terlalu bimbang sekiranya harta yang banyak akan menyukarkannya untuk memasuki Syurga Allah sebagaimana yang dikhabarkan oleh nabi kepadanya. Jika kekayaan dengan harta daripada sumber yang halal dan dibelanja pula dengan cara yang halal sudah begitu payah untuk memasuki Syurga apatah lagi jika harta itu didapati daripada sumber yang haram seperti rasuah, riba, pecah amanah dan sebagainya. Kita juga wajib memastikan bagaimana kerja untuk mencari rezeki mesti mengikut kehendak syarak disamping tidak melalaikan kita daripada mengerjakan perkara fardhu ‘ain terutama belajar ilmu agama, solat, puasa dan sebagainya
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ : " يَا ابْنَ آدَمَ تَفَرَّغْ لِعِبَادَتِي أَمْلَأْ صَدْرَكَ غِنًى وَأَسُدَّ فَقْرَكَ ، وَإِلَّا تَفْعَلْ مَلَأْتُ يَدَيْكَ شُغْلًا وَلَمْ أَسُدَّ فَقْرَكَ " – رواه الترمدي
Maksudnya : Sesungguhnya Allah berfirman : Wahai anak Adam! Luangkanlah dirimu untuk beribadat nescaya Aku akan penuhkan dadamu dengan kecukupan dan Aku menutup kefakiran kamu. Jika kamu tidak melakukannya nescaya Aku membuatkan drimu sentiasa dalam keresahan dan Aku tidak menutup kefakiranmu
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 27 surah al-Isra’ :
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
Islam juga mengajar kepada kita tentang betapa buruknya amalan membazir walau pun harta itu milik kita apatah lagi membazir harta rakyat dan orang ramai maka ia suatu perbuatan keji dan hina. Pernah nabi Muhammad s.a.w ketika melintasi sebuah rumah seorang Ansor yang mempunyai kubah lalu bila nabi berselisih dengan pemiliknya maka nabi berpaling ke arah lain dengan wajah yang masam. Apabila sahabat Ansor ini mengetahui antara punca nabi marah kepadanya kerana dia membina kubah iaitu suatu yang bukan keperluan sebaliknya sebagai tanda bermegah-megah lalu dia dengan segera menghancurkannya. Kisah ini mengajar kita supaya tidak membuat binaan secara berlebihan luar daripada keperluan walaupun dengan harta kita apatah lagi dengan berhutang. Jadikanlah diri kita sebagai hamba akhirat dengan menjadikan dunia sebagai tempat menyemai amalan soleh untuk kita tuai pahalanya di akhirat nanti. Jangan jadikan kita hamba dunia sehingga kita bakal diseksa dalam lubang kubur dan merana dengan seksaan yang dahsyat di akhirat kelak. Kita wajib menjadi hamba yang bertaqwa antaranya redha kepada Allah walau menerima nikmat yang sedikit serta tidak mengeluh apabila ditimpa musibah. Jangan jadi hamba dunia yang bukan sahaja tidak bersyukur kepada Allah bila diberi nikmat malah menggunakannya untuk melakukan perderhakaan terhadap Allah dan sentiasa keluh kesah bila ditarik nikmat oleh Allah.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ وَالدِّرْهَمِ ، وَالْقَطِيفَةِ ، وَالْخَمِيصَةِ إِنْ أُعْطِيَ رَضِيَ وَإِنْ لَمْ يُعْطَ ، لَمْ يَرْضَ " – رواه البخاري
Maksudnya : Binasalah hamba kepada dinar dan dirham dan hamba kepada kain tebal yang berbulu dan kain bercorak (ghairah dengan kemewahan dan kesenangan) sekiranya diberikan kepadanya maka dia redha sebaliknya jika tidak diberikannya maka dia tidak redha
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 65 surah Yaasin :
الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (dosa masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.
Kegagalan dalam memahami dan menghayati suruhan dan tegahan Allah kehidupan menyebabkan pelbagai masalah sosial, jenayah dan juga penyelewengan berlaku termasuk dalam menguruskan harta rakyat. Laporan Audit Negara 2010 antara bukti bagaimana penyelewengan dan pembaziran ratusan juta wang rakyat akibat hilangnya penghayatan terhadap kehidupan beragama. Laporang tersebut juga secara jelas membezakan pengurusan kewangan antara 2 buah kerajaan iaitu satu kerajaan lebih suka menambah hutang, membazir dan menyeleweng manakala satu kerajaan lagi menumpu untuk membayar hutang lapok dan memikirkan kebajikan rakyat dengan kekangan kewangan yang terhad. Apabila sesebuah kerajaan merasakan dirinya lebih tinggi dan tidak merasai bahwa mereka sebenarnya berada di bawah kerajaan Allah yang Maha Besar maka penyelewengan yang dilakukan tidak dirasa bersalah malah sanggup merompak harta rakyat dengan pelbagai alasan termasuk rompakan besar terhadap royalti minyak milik rakyat Kelantan yang menjangkau RM 6 bilion. Penyelewengan dan pembaziran yang berlaku terus bertambah dari tahun ke tahun tanpa tindakan diambil disamping negara juga berdepan dengan hutang yang bertambah iaitu dengan purata setiap rakyat Malaysia termasuk yang masih dalam kandungan menanggung hutang negara lebih satu juta seorang. Apa yang lebih malang apabia semua hutang itu berasaskan sistem riba yang pastinya bungan jauh lebih besar daripada pokok. Kita telah menyaksikan dalam masa terdekat bagaimana banyak kerajaan dunia seperi Greece dan terbaru Itali telah muflis akibat hutang. Menteri juga yang dahulunya mempertahankan kenyataannya bahawa negara akan muflis sekiranya subsidi kepada rakyat diteruskan akhirnya menjilat muntahnya semula dengan mengatakan bahawa negara tidak muflis akibat subsidi sebaliknya akan bankrap akibat hutang dan penyelewengan. Betapa malangnya jika rakyat terus dibuai mimpi indah dengan mainan dan penipuan melalui tv, radio, akhbar sehingga tidak menyedari negara hampir digadai, negara hampir dilelong akibat hutang dan penyelewengan disebabkan menyerahkan amanah kepada bukan yang layak. Benarlah kata pujangga
شَرَارُ المُلُوْكِ ِ بِشَرارِ الرَّعِيَّةِ
Maksudnya : Jahatnya pemimpin kerana ramai rakyatnya yang jahat yang memilihnya
Usah salahkan orang lain sekiranya harta Negara kita dirompak akibat kita sendiri yang memilih orang yang tidak amanah, Jangan menuding jari kepada orang lain sekiranya urusan Negara dikhianati akibat kita sendiri yang mencari penyakit dengan memilih orang pecah amanah untuk menguruskannya.
Firman Allah dalam ayat 113 surah Hud :
وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّـهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
Maksudnya : Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan