Jumaat, 7 Oktober 2011
Undang-undang Islam DiLaksana Kebahagiaan DiRasa
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 12 surah as-Sajadah :
وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
Maksudnya : Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami engkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”
Islam adalah suatu agama yang lengkap dalam mengatur seluruh kehidupan umat manusia. Hukum-hukum syariah yang digariskan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah SWT kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan keberatan atau menambah bebanan ke atas kita sebaliknya untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Jika kita memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah di mana kita akan mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri dengan penerangan tentang maslahah (kebaikan) yang akan diperolehi oleh mereka yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan biasanya ia akan diakhiri dengan peringatan tentang mafsadah (keburukan) yang akan menimpa mereka yang melakukannya. Sebagai contoh, dalam persoalan puasa antara matlamat daripada pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan penderhakaan terhadap Allah SWT dalam kehidupan disamping baik untuk kesihatan. Begitu juga hukum hudud seperti kerat tangan bagi kesalahan mencuri bertujuan supaya terjaganya harta daripada diceroboh. Terdapat 6 perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu [1] memelihara agama atau aqidah, [2] memelihara diri atau jiwa, [3] memelihara keturunan, [4] memelihara maruah [5] memelihara akal dan [6] memelihara harta
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 48 surah an-Nisa’ :
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
Perkara yang paling penting yang wajib kita jaga ialah aqidah daripada terpengaruh dengan ajaran sesat apatah lagi murtad. Pada hari ini begitu banyak masalah dan perkara yang cuba menggugat aqidah umat Islam terutama ketika kebanyakan umat Islam jahil tentang agama mereka sendiri. Berkaitan kesalahan murtad atau keluar daripada agama Islam, sudah ditetapkan hukumannya bunuh melainkan pesalah bertaubat. Aqidah atau pegangan seseorang akan rosak melalui 3 cara iaitu [1] Iktiqad (kepercayan) antaranya dengan meayakini sesuatu perkara yang membatalkan iman, syak pada perkara yang yang wajib beriman dengannya dan syak pada perkara yang dinyatakan oleh agama secara qati’e (putus). [2] Perkataan antaranya mendustakan Allah dan Rasul dan perkara yang wajib beriman dengannya, memaki Allah dan Rasul, engkar perkara yang nyata wajib dengan dalil qati’e (putus), menghalal perkara yang nyata haram atau mengharam perkara yang nyata halal dengan dalil qati’e (putus), mempersenda dan membuat olok-olok dengan agama dan berkata dengan suatu yang menjadikan syirik atau kufur. [3] Perbuatan antanya jangan memperbuat suatu yang menjadikan syirik atau kufur, Jangan memperbuat suatu yang menyerupai syirik atau kufur
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 33 surah al-Isra’ :
وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّـهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا
Maksudnya : Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).
Kedua kita wajib menjaga diri daripada membunuh orang lain tanpa sebenar atau bunuh diri sendiri. Kita dapat saksikan bagaimana masalah pembunuhan semakin serius termasuk jenayah membunuh diri di mana statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lalu, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Kebanyakan kes bunuh diri akibat putus asa dalam menyelesaikan masalah seperti hutang, kerja, rumahtangga dan sebagainya. Islam memandang berat masalah ini di mana nabi Muhammad s.a.w telah banyak memberi amaran keras terhadap orang bunuh diri sendiri seperti maksud hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.: “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 2 surah an-Nuur:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
Islam begitu mementingkan penjagaan terhadap zuriat keturunan dengan mewajibkan kita menutup semua pintu zina termasuk pergaulan bebas, cara berpakaian dan sebagainya. Kita begitu bimbang bila jenayah membuang bayi kembali menghantui masyarakat. Begitu juga hasil Kajian Isu Pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November 2010 yang melibatkan seramai 5,016 responden yang dipilih secara rawak di mana seramai 2,260 responden mengakui terbabit seks bebas. Manakala 1,922 daripada mereka mengetahui rakan mereka mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah. Setiap 3 daripada 6 remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini mempunyai rekod hubungan zina dan yang lebih mengecewakan ramai pelajar universiti yang turut terlibat sama dengan jenayah yang dahsyat ini. Sayyidina Umar Ibni Al-Khattab pernah berpesan, “Didiklah anak-anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu.” Kata syair : Sesungguhnya bangsa-bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh, jika akhlak mereka sudah lumpuh mereka pun akan lenyap
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Islam mewajibkan kita supaya menjaga maruah dengan akhlak mulia serta melarang menjatuhkan maruah orang lain termasuk tuduhan zina tanpa bukti dan sebagainya. Islam juga mewajibkan kita supaya menjaga akal daripada dirosakkan terutama dengan arak dan dadah serta perbuatan yang lain yang membawa kepada hilangnya akal. Begitu juga penjagaan syariat Islam terhadap harta supaya tidak dicerobohi sesuka hati termasuk mengambil tindakan yang tegas terhadap kesalahan mencuri dan merompak. Bila kita renungi dengan fikiran yang waras dan matang maka akan menambahkan lagi keyakinan kita terhadap kehebatan Allah dan keadilan sistem Islam di mana semuanya untuk kebaikan dan kebahagiaan kita di dunia dan akhirat bukannya sebagai penyekat kebebasan dan penindasan yang menzalimi manusia. Islamlah nescaya kita selamat di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 38 surah al-Maidah:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan