السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Rejab yang merupakan antara 4 bulan haram selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram boleh dikatakan bulan memperteguhkan aqidah sebelum tibanya bulan penuh ibadah iaitu Ramadhan di mana ibadah menjadi suatu sia-sia tanpa aqidah yang benar sempurna. Aqidah yang kukuh akan menyelamatkan kita daripada perbuatan syirik samada pada ibadah khusus, sosial, ekonomi, politik dan seluruh sistem hidup. Peristiwa Isra’ Mikraj turut menekankan tentang kepentingan menjaga hati daripada mati sehingga segala tawaran Syurga Allah dipandang sepi manakala peringatan azab neraka Allah tidak membawa apa-apa erti. Seorang Ulama’ hebat Syeikh Ibrahim Adham pernah menukilkan 10 tanda manusia hati mati iaitu [1] Mengaku kenal Allah s.w.t tetapi tidak menunaikan hak-hakNya [2] Mengaku cinta pada Rasulullah s.a.w tetapi tidak menunaikan Sunnah baginda [3] Membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengan hukum- hukum di dalamnya [4] Memakan nikmat- nikmat Allah s.w.t tetapi tidak mensyukuri atas pemberiannya [5] Mengaku syaitan itu musuh tetapi tidak berjuang menentangnya [6] Mengaku adanya nikmat syurga tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya [7] Mengaku adanya seksa neraka tetapi tidak berusaha untuk menjahinya [8] Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa tetapi masih tidak bersedia untuknya [9] Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain tetepi lupa akan keaiban diri sendiri [10] Menghantar dan menguburkan jenazah saudara seIslam tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya
Firman Allah dalam ayat 88 dan 89 surah as-Syua’ra’ :
يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ .إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّـهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
Maksudnya : "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,"Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 45 surah al-‘Ankabut:
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Bulan Rejab dikenali sebagai bulan solat memandangkan kewajipan solat diterima oleh nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj secara langsung daripada Allah tanpa perantaraan malaikat Jibril. Peristiwa Isra’ Mikraj turut mengetuk hati kita tentang betapa besarnya peranan masjid yang bukan sahaja disebut nama Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Aqsa, Palestin tetapi turut dikisahkan bagaimana nabi Muhammad s.a.w menjadi imam solat kepada nabi-nabi yang lain. Ini semua memberitahu dengan jelas kepada kita betapa pentingnya masjid untuk dihidupkan bukan sahaja untuk solat berjemaah, pengajian ilmu malah program manfaat yang lain sehingga usaha musuh Islam dalam memisahkan umat Islam terutama golongan remaja daripada masjid dapat ditangani, buta agama dapat dibasmi, jenayah yang meningkat akibat rosaknya hati dan akhlak dapat diubati. Betapa malangnya apabila solat yang merupakan tiang agama dan amalan pertama yang bakal ditanya ketika manusia berada di padang Mahsyar nanti dianggap perkara remeh temeh dan meninggalkannya dianggap biasa. Sudah tibanya orang yang meninggal solat dikira sebagai penjenayah yang mesti diambil tindakan keras kerana cara nasihat sudah tidak diambil hirau. Akibat meninggal solat maka melarat kepada kerosakan akhlak dan perbuatan jenayah yang lain malah antara punca perceraian juga menunjukkan akibat mengabaikan solat 5 waktu.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 70 surah al-An’am :
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّـهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا ۗ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ
Maksudnya : Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)
Ketika membicarakan tentang peristiwa Isra’ Mikraj maka manusia terbahagi kepada 3 peringkat dari segi keimanan mereka iaitu yang pertama golongan kufur semakin kufur akibat mereka melihat nabi sebagai manusia biasa dan apa yang diceritakan tidak masuk akal, golongan kedua yang telah beriman kembali murtad akibat hanya menggunakan akal untuk menolak kebenaran cerita nabi sehingga lupa bahawa yang menceritakan peristiwa hebat itu adalah seorang nabi yang tidak pernah bercakap mengikut hawa nafsu manakala golongan yang paling hebat keimanan mereka umpama Sayyidina Abu Bakar yang semakin bertambah keyakinan kerana melihat yang menceritakan perkara ini ialah seorang rasul yang wajib bersifat benar. Begitulah juga keadaan yang menimpa umat Islam pada hari ini apabila membicarakan tentang aqidah dan syariat Islam di mana golongan yang menjadikan akal sebagai rujukan utama nescaya akan memandang undang-udang Islam sebagai lambang kezaliman seperti mempertikaikan 4 saksi dalam masalah kesalahan zina dan tuduhan zina, potong tangan terhadap pencuri dan sebagainya. Golongan ini sebaliknya mengagungkan undang-undang manusia walau pun jelas menjatuhkan maruah malah begitu zalim seperti sebatan yang mencederakan pesalah bukan mendidik dan mencegah sebagaimana hukum Islam. Malah mimbar Jumaat hari ini mengutuk kebiadapan penghinaan kartun dalam Utusan Malaysia yang menggambarkan Islam tidak memberi keadilan kepada mangsa rogol. Kita juga merasa begitu bimbang apabila isu murtad kembali bergema apabila menteri menjawab dalam parlimen Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010 di mana 168 diluluskan walau pun selepas itu pelbagai alasan diberikan samada yang diluluskan bukan murtad tetapi disahkan tidak Islam sejak awal lagi dan terbaru alasan kesilapan nama seperti nama orang Islam sehingga ditulis beragama Islam tetapi apabila dirujuk semula maka ditukar status kepada bukan Islam. Apa yang lebih penting ialah marilah kita bersama bermula daripada pemimpin hingga rakyat di bawah supaya menjaga aqidah kita dan keluarga disamping berusaha menjaga golongan muallaf dengan kebajikan dan didikan yang berterusan agar mereka terus kekal dalam Islam. Pemimpin wajib menggubal undang-undang murtad bagi menangani jenayah aqidah ini
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika menyingkap lawatan nabi Muhammad s.a.w melihat nikmat Syurga dan seksa Neraka maka ia menambahkan lagi keyakinan kita tentang balasan Allah terhadap ahli ibadat dan ahli maksiat. Janji dan amaran Allah bukan perkara main-main atau khayalan. Oleh itu pastikan bekalan akhirat kita semakin bertambah, taubat kita semakin banyak agar kita dapat menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman tentang balasan akhirat disamping menjadi ahli ibadat yang istiqamah dalam mengerjakan amalan soleh disamping bersungguh-sunguh dalam menjauhi maksiat. Nasihat Sayyidina Ali : Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal.
Firman Allah dalam ayat 108 yang berbunyi:
وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولاً
Maksudnya : Dan orang-orang Mukmin itu hanya berkata: Maha suci Tuhan kami, sesungguhnya janji-janji Tuhan kami pasti akan terjadi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan